Jumaat, 26 Julai 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Kembalikan semangat kejiranan

Posted: 25 Jul 2013 12:06 PM PDT

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
utusanmelaka@utusan.com.my

Fadilah Abdullah (tengah) bersama ibu-ibu yang kehilangan anak-anak mereka yang lemas di Sungai Melaka baru-baru ini iaitu Norizan Zainal (depan, tiga dari kiri), Norazlinda Abd. Mutalib (tiga dari kanan) dan Junaidah Mokhtar (kanan) pada majlis sumbangan kepada keluarga terlibat di Surau An Nur, Taman Sri Krubung, Melaka, semalam.

MELAKA 25 Julai - Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Negeri Melaka (Bistari) menggesa agar semangat kejiranan diwujudkan kembali bagi membolehkan masyarakat saling mengambil berat antara satu sama lain.

Pengerusinya, Datin Fadilah Abdullah berkata, dengan mengambil berat terhadap satu sama lain pelbagai kejadian yang tidak diingini terutamanya dalam kalangan kanak-kanak mampu dielakkan.

Menurutnya, tragedi empat kanak-kanak yang lemas ketika mencari kepah di sungai berhampiran Taman Seri Krubong di sini Ahad lalu amat mendukacitakan.

"Kita perlu ada pemikiran bahawa anak orang adalah anak kita juga dan jika jiran-jiran menegur anak kita, maka tak perlu rasa marah kerana mereka ingin menjaga anak kita seperti anak mereka sendiri.

"Perkara yang telah terjadi itu perlu dijadikan iktibar kepada semua pihak agar tidak berulang lagi pada masa akan datang. Atas sebab itu, Bistari terpanggil untuk mengadakan program tahlil serta penyerahan bantuan kepada keluarga mangsa yang terlibat pada hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis tahlil dan penyerahan bantuan kepada keluarga empat mangsa lemas di Surau An-Nur, Krubong di sini hari ini.

Ahad lalu, empat kanak-kanak iaitu Hanis Balkis Fadzli, 7 dan abangnya, Mohd. Hazimi Fadzli, 9, serta dua rakan mereka iaitu Athafis Amin, 10; dan Radziatul Nadia Rosnan, 12, ditemui lemas ketika mencari kepah di sungai itu.

Turut bersama mereka dan terselamat ialah Muhd. Khuzaimi Abdul Rahim, 11, dan adiknya, Nurul Alia Maisarah, 9, Hanis Humaira Fadzli, 6, dan Atmizi Amin, 8.

Fadilah berkata, kehadiran Bistari diharapkan dapat meringankan bebanan yang ditanggung oleh semua mangsa yang terlibat.

Keluarga mangsa turut menerima sumbangan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan beras.

Dalam pada itu, Fadilah berkata, Bistari menyanjung tinggi usaha kerajaan negeri memasang tebing di Sungai Melaka sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian tidak diingini itu berulang kembali.

Peniaga diminta beri kerjasama

Posted: 25 Jul 2013 12:06 PM PDT

Oleh Nursuraya Zulkifli
utusanmelaka@utusan.com.my

Zainuddin Abdul Samad (dua dari kiri) memantau anggota SWM melakukan operasi pembersihan di Pasar Awam Merlimau, Jasin, Melaka, kelmarin.

JASIN 25 Julai - Peniaga Pasar Awam Merlimau diminta memberi kerjasama bagi memudahkan operasi pembersihan dilaksanakan berikutan tahap kebersihan di tempat itu yang tidak memuaskan selain didapati kotor dan tidak terurus.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) negeri, Ir. Zainuddin Abdul Samad berkata, memandangkan waktu urus niaga di pasar berkenaan dari pagi hingga petang menyebabkan pembersihan dalam pasar sukar untuk dijalankan.

Menurutnya, pembersihan tidak sesuai diadakan ketika waktu mereka berniaga kerana pihaknya tidak mempunyai ruang bagi mencuci lantai serta membersihkan dalam bangunan pasar selain dilihat akan mengganggu urusan peniaga dan pengunjung.

"Kita cadang kepada Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) untuk mengadakannya pada hari Isnin dengan mengarahkan peniaga di pasar ini berniaga separuh hari bagi memberi laluan operasi pencucian mingguan diadakan pada sebelah petang.

"Ini bagi memastikan tahap kebersihan di kawasan pasar basah ini lebih bersih dan selamat kerana keadaan lantai sebelum ini yang dipenuhi lumut serta licin dikhuatiri menyebabkan pengunjung terjatuh," katanya ketika ditemui selepas operasi pembersihan SWM di Pasar Awam Merlimau di sini semalam.

Yang hadir sama, Pengurus negeri, Hisham Hussin dan Penolong Pengurus Perkhidmatan kawasan, Halid Haron.

Zainuddin berkata, seramai 30 staf serta beberapa anggota MPJ akan menjalankan operasi pembersihan di pasar itu selain tiga jentera iaitu satu 'Ultra Whack' dan dua 'water jack'

"Pembersihan ini juga lanjutan daripada teguran oleh Exco Komunikasi, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Latiff Tamby Chik ketika mengadakan lawatan memantau pasar awam berkenaan awal minggu ini," katanya.

Perjuangan tentera wajar dihargai - MB

Posted: 25 Jul 2013 12:06 PM PDT

Mohamad Hasan (kiri) menyampaikan duit raya kepada lebih 4,000 orang di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rantau, Negeri Sembilan, semalam.

SEREMBAN 25 Julai - Masyarakat di negara ini wajar berterima kasih dan menghargai pengorbanan yang telah dicurahkan oleh pegawai dan anggota tentera dalam memastikan keamanan terus dinikmati.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, kemakmuran dan keamanan yang dinikmati tidak seharusnya diganggu-gugat dan sebarang cubaan untuk meruntuhkannya seharusnya ditentang habis-habisan dan dikenakan tindakan tegas.

Malah, Mohamad turut memuji kesungguhan pihak tentera yang dilihat menjadi tunjang utama bagi menggagalkan anasir tidak bertanggungjawab untuk memusnahkan negara daripada terjerumus dalam kancah kacau-bilau.

"Keamanan dan kesejahteraan negara yang dikecapi ketika ini bukanlah datang secara automatik tetapi diperoleh hasil daripada perjuangan suci para pejuang terdahulu dalam mempertahankan kedaulatan tanah air," katanya.

Mohamad berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Bersama Warga Tentera 1 Briged di Kem 1 Briged Rasah dekat sini hari ini yang turut dihadiri isteri beliau, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan; Panglima Markas 1 Briged Kem Rasah, Brigadier Jeneral Datuk Adnan Abu Bakar serta Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan negeri, Tun Hairudin Abu Bakar.

Dalam pada itu, Mohamad meminta anggota tentera di negeri ini supaya sentiasa bersemangat cekal menghadapi kehidupan, di samping menyuntik semangat anak-anak untuk berjaya dalam pelajaran.

Kata beliau, kerajaan negeri akan memastikan kebajikan keluarga anggota tentera yang terkorban atau meninggal dunia sewaktu bertugas sentiasa terbela.

''Jasa pegawai dan anggota tentera mempertahankan kemerdekaan negara tanpa mengira masa serta terpaksa meninggalkan keluarga, lebih-lebih lagi pada hari perayaan tidak sewajarnya kita lupakan," katanya.

Pada majlis berkenaan Mohamad dan Raja Salbiah turut menyampaikan bantuan kepada lebih 300 penerima yang terdiri daripada balu anggota tentera, bekas anggota tentera yang tercedera ketika melaksanakan tugas, anak yatim serta kanak-kanak istimewa.

Sementara itu, pada satu majlis berasingan di Rantau petang ini, Mohamad menyampaikan duit raya kepada lebih 4,000 orang penduduk di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rantau.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved