Jumaat, 26 Julai 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Jejaka 'sombong' pelengkap hidup Norshahida

Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

AHMAD Sani pernah mengadakan candle light dinner secara mengejut dalam usaha memikat hati wanita impiannya, Norshahida Azmi ketika mereka mengikuti pengajian di Institut Pendidikan Guru Sultan Abdul Halim Sungai Petani, Kedah.

SIFAT pemalu apabila berhadapan dengan wanita yang ada pada diri Pengerusi Kumpulan Al-Araby, Ahmad Sani Araby, 29, membuatkan dia pernah dianggap sombong oleh Norshahida Azmi,29.

Tanggapan itu muncul apabila setiap kali mereka berselisih menuju ke kelas ketika sama-sama menuntut di Institut Pendidikan Guru (IPG) Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah pada 2000, Ahmad Sani hanya tunduk tanpa memandang wajah wanita yang kini menjadi isterinya.

Menurutnya, biarpun ketika di kampus dia bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum serta mengenali hampir semua penuntut di IPG, namun sifat pemalu yang menebal dalam dirinya membuatkannya tidak mampu untuk mengangkat wajah melihat pelajar wanita yang berselisih dengannya.

Itulah sebabnya saya sering tunduk ketika berjalan. Walaupun saya sering berselisih dengan Norshahida yang sebenarnya adalah wanita yang saya minati, namun saya tetap tidak mahu memandangnya.

Malah saya juga tidak pernah perasan Norshahida berbaris di sebelah kelas saya sebelum memulakan kuliah pada setiap pagi," katanya ketika ditemui S2 di Restoran Araby di Seberang Jaya, Pulau Pinang baru-baru ini.

Ahmad Sani, berkata, perkenalannya dengan Norshahida cukup unik kerana dia terpikat melihat seorang gadis yang cukup ayu berbaju pengakap melintasi keretanya. Namun perasaan teruja untuk mengenali gadis itu hanya tersimpan di dalam hati.

Tambahnya, dia kemudiannya meminta bantuan rakan-rakan untuk mengenali Norshahida lebih mendalam.

Saya minta bantuan rakan-rakan tetapi alangkah kecewanya saya apabila saya dimaklumkan bahawa gadis itu (Norshahida) telah memiliki teman istimewa," ujarnya.

Namun dia tidak putus asa dan terus cuba mendekati Norshahida. Ahmad Sani bernasib baik kerana tindakan seorang pensyarah yang sering memberi peluang kepada mereka yang aktif dalam nasyid dan koir membuat persembahan bersama dalam majlis-majlis keramaian di IPG berjaya merapatkan silaturahim mereka.

Selepas enam bulan, barulah saya dapat mengenali hati budinya. Sungguhpun begitu, kami tidak pernah keluar berdua-duaan, malah hanya berhubung melalui perantaraan rakan-rakan.

Satu lagi cara kami berhubung adalah dengan menyelitkan surat di dalam novel yang akan dihantar oleh rakan-rakan sehingga suatu hari, saya merancang untuk membuat kejutan sempena hari jadinya.

Saya rancang untuk buat candle light dinner di kantin kampus dan ingin membuat kejutan kepada Norshahida dengan dibantu rakan-rakan," ceritanya yang turut menjadi imam di kampus IPG pada masa itu.

Menceritakan lagi, katanya, rakan-rakannya menjadi penyelamat majlis berkenaan kerana mereka sanggup bertindak sebagai pengawal sekiranya diserbu oleh pihak pengurusan IPG.

Norshahida yang sesekali menyampuk berkata, dia terharu apabila menerima kejutan daripada Ahmad Sani kerana selama ini, dia tidak menyangka jejaka itulah yang sering berselisih dengannya setiap hari.

Saya sebenarnya tidak percaya yang dia adalah Ahmad Sani yang sering menghantar surat kepada saya. Ini kerana saya tengok dia sombong dan tak pernah memandang saya yang sering tersenyum kepadanya setiap kali berselisih.

Lagipun, saya merasa rendah diri sebab Sani mengambil jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), manakala saya hanya mengambil jurusan Prasekolah," ujarnya.

Benarlah apa yang dikata. Kalau sudah jodoh tidak ke mana. Jika itulah jodoh yang sampai maka Norshahida menerimanya dengan reda.

Justeru, selepas hampir empat tahun menjalin hubungan, pasangan tersebut kemudiannya mengikat tali pertunangan pada 2006 sebelum diijabkabulkan pada 2 Oktober 2008.

Namun pasangan itu menunggu hampir empat tahun sebelum dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Allesanda Az-Zahra yang kini berusia setahun lima bulan.

Ditanya bagaimana dia membahagikan masa antara keluarga, perniagaan dan aktiviti dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pengarah Strategik Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) itu berkata, setiap kali masa terluang akan diisi sepenuhnya bersama keluarga.

Sekarang saya terpaksa berikan lebih masa kepada peniagaan, sebab saya jaga lapan anak syarikat di bawah Kumpulan Al-Araby, antaranya dalam bidang restoran, percetakan, pasar raya, perladangan dan penternakan yang sedang berkembang.

Pada masa sama, saya juga tidak lupakan aktiviti kemanusiaan termasuk ke Gaza, Syria, Mesir dan Myanmar, selain terbaru dilantik sebagai Pengarah Misi Kemanusiaan Mapim di Acheh, Indonesia," ujarnya.

Jelas Ahmad Sani, apa yang dilakukan dalam Mapim itu adalah hasrat yang harus ditunaikan kerana dia berazam selepas memiliki cahaya mata, isterinya harus memberikan masa selama tujuh tahun kepadanya untuk melakukan misi kemanusiaan serta menumpukan kepada perniagaan.

Selepas tujuh tahun, saya akan memperlahankan aktiviti luar dan tumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga," ujarnya mengakhiri pertemuan.

Air mata Ramadan seorang isteri yang menjeruk rasa

Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT

SECARA kebetulan atau memang takdir yang menentukan perkenalan saya dengan wanita ini yang membahasakan dirinya sebagai Balqis (bukan nama sebenar).

Semuanya bermula di Facebook. Namun hubungan itu berterusan dan Balqis sering meluahkan masalahnya kepada saya setiap kali ada masa terluang.

Banyak perkara yang kami kongsi bersama, tentang rumah tangga, kerjaya, masa depan dan anak-anak termasuk juga kisahnya yang digantung tidak bertali selama hampir 15 tahun.

Mengenalinya, Balqis seorang wanita yang hebat, tabah dan penyabar. Hinggalah kesabarannya itu telah tidak dapat dibendung lagi sehingga Balqis akhirnya mengalah pada keadaan kerana tidak lagi larat menanggung masalah rumah tangganya.

Saya meminta izin Balqis untuk berkongsi ceritanya dengan pembaca. Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.

Ini cerita Balqis.

"Salam Ramadan untuk pembaca semua. Saya pernah berjanji untuk menulis kisah hidup saya di ruangan ini kepada Puan Normala. Alhamdulillah, kini baru hajat saya tertunai. Maaflah sebab saya terpaksa berdepan dengan kelangsungan hidup yang amat menyulitkan.

"Nama saya Balqis, berusia lewat 40-an, berkahwin 22 tahun yang lalu dengan seorang lelaki yang bernama Izat (bukan nama sebenar).

"Kami dikurniakan tiga orang anak yang baik-baik tingkah lakunya. Anak sulung masih menuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan yang kedua serta ketiga di sekolah menengah.

"Selama usia perkahwinan kami, Izat memang tidak ambil kisah, nafkah, sara hidup, tempat tinggal dan lain-lain tidak diberikan. Semuanya saya yang tanggung.

"Saya mempunyai pekerjaan tetap. Tetapi saya juga buat kerja sambilan di sebuah kedai membantu kawan. Pada hujung minggu dan ada kelapangan saya buat kuih muih untuk jualan walaupun tidak pada musim raya.

"Semuanya saya lakukan untuk menambah pendapatan kami sekeluarga. Saya perlu kerja keras untuk menyara tiga orang anak saya kerana tidak mahu anak-anak tidak mendapat pembelaan. Saya mahu mereka hidup seperti anak-anak lain yang ada ayah dan ibu.

"Suami nampak bagaimana saya bekerja setiap hari. Ke sana sini saya mencari duit tetapi dia buat tak tahu sahaja. Dia dengan dunianya dan sedikit pun tidak rasa bersalah.

"Tapi saya tidak mahu berkeras dengan suami kerana bimbang dia akan mengapa-apakan saya dan anak-anak. Faham-faham sahajalah orang yang mengambil dadah, bagaimana sikap mereka kalau bekalan tidak ada.

"Pada masa yang sama, saya bagi tahu anak-anak buruk macam mana perangai ayah mereka, sebagai anak mereka perlu hormat, kasih dan menjaganya apabila mereka telah berjaya kelak.

"Tentu ramai yang tanya kenapa saya boleh bertahan lama? Sebabnya, saya tidak mahu ada kepincangan dalam kehidupan yang membabitkan masa depan anak-anak. Saya pendam segala perasaan, suka duka sepanjang berkongsi hidup dengan Izat.

"Saya tidak pernah putus berdoa agar dia berubah. Malah air mata saya sudah kering untuk menangisi masalah rumah tangga saya.

"Dari sehari ke sehari perangai Izat dan hidup kami tetap sama. Nafkah zahir batin saya entah di mana, sakit demam saya dan anak-anak kami sendiri yang uruskan. Walaupun suami bekerja, duit gajinya entah ke mana dihabiskan.

"Apabila saya tanya kena marah, tak tanya langsung tak merasa duitnya. Kadang-kadang saya juga mengalami kesempitan tetapi mujur wang simpanan hasil menjual kuih muih dan buat kerja sambilan menjadi penyelamat.

"Wang itulah yang membantu persekolahan anak-anak, bayar tuisyen, mengaji dan duit bas. Alhamdulillah kami belum pernah kelaparan.

"Pada hari raya pula, saya tidak pernah meminta pakaian sedondon seperti orang sekarang, anak-anak tidak merungut jika saya beli pakaian yang murah sebab mereka tahu bagaimana susahnya saya mencari duit dan perangai ayah mereka. Malah langsir dan keperluan lain untuk hari raya tidak pernah berganti.

"Sehingga kini, saya merasakan mereka memahami masalah yang saya hadapi dengan ayah mereka dan kenapa saya ingin berpisah dengan ayah mereka.

"Saya tidak berniat untuk mengaibkan sesiapa tetapi ingin berkongsi kisah saya agar ia menjadi teladan kepada pasangan suami isteri yang lain betapa tanggungjawab sebagai ketua keluarga itu sangat penting bagi seorang lelaki yang bergelar suami.

"Untuk makluman, suami saya seorang yang tidak pernah solat, tidak puasa, main nombor ekor dan mencari rezeki yang meragukan. Dia juga mempunyai hubungan dengan ramai wanita dan seorang penagih.

"Seingat saya sudah 20 tahun dia menagih. Dalam tempoh itu sekali pun saya tidak pernah melihat dia menunaikan solat tarawih.

"Saya bukan mahu dia jadi manusia yang sangat sempurna, memadai seadanya. Seorang lelaki yang boleh dijadikan ketua keluarga, suami dan bapa yang penyayang. Ketika catatan ini disiarkan, kita sudah 18 hari berpuasa tetapi suami saya rasanya hanya berpuasa pada hari pertama sahaja.

"Bukan nak tuduh tetapi kalau terjumpa puntung rokok di tandas pada pukul 9 pagi, siapa lagi yang punya? Sebab hanya dia seorang sahaja lelaki dalam rumah kami.

"Kak, saya sudah puas bersabar, berdoa agar dia berubah, sehingga kini Allah masih belum kabulkan, malah keajaiban yang saya tunggu-tunggu juga belum diizinkan oleh Allah.

"Hujung tahun lalu saya menjalani pembedahan. Ketika luka masih merah, saya mencuri-curi mengesan pelbagai mesej masuk ke telefon suami. Macam-macam sehinggakan saya tidak sanggup membacanya lagi.

"Dalam kesakitan hati menjadi tawar dan terus merentap kesabaran yang selama ini saya pertahankan. Saya ajak anak-anak berbincang dan meminta pandangan mereka.

"Setelah saya terangkan kenapa saya harus berpisah dengan ayah mereka, kesemuanya setuju kerana mereka amat berharap saya akan bahagia selepas ini dan dapat menjalani hidup seperti orang lain, tanpa derita dan memendam rasa dengan perbuatan suami.

"Namun begitu, bukan mudah untuk saya buat keputusan. Ini kali kedua saya naik mahkamah dan saya berharap kali ini semuanya akan selesai. Saya tidak peduli lagi apa yang akan berlaku. Saya mahu bebas. Bebas dalam erti kata sebenar untuk terus hidup. Anak-anak adalah segala-galanya bagi saya. Merekalah dunia dan kehidupan saya. Cukuplah saya digantung tidak bertali selama 15 tahun.

"Sebagai isteri saya juga kecewa dengan apa yang kami lalui. Kenapa kami tidak boleh bahagia seperti pasangan suami isteri lain? Kenapa saya ditemukan jodoh dengan lelaki seperti Izat?

"Sebagai manusia dan isteri, saya reda dengan takdir Allah. Saya terima dengan ikhlas ujian Allah untuk saya. Saya tidak pernah kesal dengan apa yang berlaku.

"Tetapi saya sedih. Jika takdirnya perpisahan ini terjadi, saya ralat kerana tidak sekali pun saya mencium tangan suami selepas solat kerana dia tidak pernah mengimamkan saya dan anak-anak sepanjang kami hidup bersama.

"Pada Ramadan yang mulia ini, ketika orang lain menghitung hari untuk menyambut hari raya, saya membilang hari untuk ke Mahkamah Syariah menyelesaikan masalah saya demi masa depan saya dan anak-anak.

"Aidilfitri tahun ini tidak bermakna buat saya dan anak-anak. Apa pun keputusan kes saya, kami anak-beranak tidak akan menyambut hari raya, memadai dengan persiapan ala kadar.

"Kepada Allah saya pasrah. Mohon dimudahkan segala urusan kes saya dan diberi kehidupan baharu yang lebih membahagiakan saya dan anak-anak selepas ini," Balqis menamatkan ceritanya dengan sebak dan air mata yang berlinangan.

Sepanjang perbualan, saya banyak mendiamkan diri. Sebak di dada tidak dapat saya kawal dan saya biarkan Balqis bercerita kerana tidak mahu mengganggu fokusnya.

Esakan, tangisan bertali arus namun apalah daya saya untuk membantu. Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat telinga mendengar, berat lagi bahu yang memikul.

Bertemankan pengalaman dan naluri seorang wanita tentunya saya amat memahami masalah yang Balqis hadapi. Saya minta dia bersabar, jangan putus berdoa dan mohon kepada Allah agar memberi petunjuk yang terbaik kepadanya dalam menangani masalah ini.

Pada saat kedukaan ini, anak-anak mungkin teman terbaik Balqis dan mereka juga adalah kekuatan hidupnya pada masa depan.

Menamatkan catatan, pesanan ikhlas saya, "Jika sudah tidak tertanggung akan rasa gundah itu, dekatkan dirimu kepada Allah kerana hanya Dia yang mampu memberi ketenangan dan kegembiraan dalam erti kata sebenar."

Salam

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved