Utusan Online - Mahkamah |
Amah mencuri, beri maklumat palsu dijel Posted: 31 Jul 2013 11:28 AM PDT JOHOR BAHRU 31 Julai - Seorang amah warga Indonesia bukan sahaja mencuri wang tunai dan barang-barang berharga bernilai hampir RM50,000 milik majikannya, malah turut memberi maklumat palsu semasa siasatan pihak polis. Namun perbuatan jenayah wanita itu tidak ke mana apabila dia akhirnya mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencuri dan memberi maklumat palsu pada pertengahan bulan ini. Dengan pengakuan tersebut, Majistret Salina Omar menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas Tutik Hernalia, 42. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi pertuduhan mencuri dan penjara dua tahun bagi pertuduhan memberi maklumat palsu. Kedua-dua hukuman itu diperintah berjalan serentak. Tutik mengaku mencuri wang tunai RM1,600 selain barangan berharga seperti dua utas jam tangan jenama Omega dan Cisco serta dua telefon bimbit jenis Samsung milik majikannya, yang kesemuanya bernilai kira-kira RM50,000. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di rumah No. 43, Jalan Utama 20, Taman Mutiara Rini di sini pada pukul 10.15 pagi, 18 Julai lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda. Bagi pertuduhan kedua, Tutik yang sudah tiga tahun bekerja dengan majikannya itu, didakwa telah memberi maklumat palsu semasa memberi keterangan mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah kepada pihak polis. Kesalahan tersebut dilakukan di pejabat pegawai penyiasatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya di sini kira-kira pukul 2.15 petang hari yang sama. Pertuduhan bagi kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 177 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, M. Vinodharan manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. |
Bekas peguam didakwa pecah amanah lebih RM400,000 Posted: 31 Jul 2013 11:28 AM PDT KUALA LUMPUR 31 Julai - Seorang bekas peguam sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, kali ini atas tuduhan pecah amanah melibatkan harta bernilai lebih RM400,000 milik sepasang suami isteri, tujuh tahun lalu. Lee Cheng Teng, 56, yang didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin lalu atas tuduhan sama melibatkan kerugian lebih RM200,000, membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan terbaharu itu. Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai peguam yang mewakili Yue Leong Siew, 60, dan Ong Chiu Gek, 54, dalam kapasiti tersebut telah melakukan pecah amanah terhadap harta bernilai RM426,200 yang diamanahkan oleh pasangan berkenaan. Perbuatan itu didakwa dilakukannya di RHB Bank Berhad cawangan Taman Midah Cheras, di sini pada 18 Oktober 2007. Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta denda. Di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 29 Julai lalu, dia didakwa atas tujuh pertuduhan pecah amanah melibatkan cek bernilai RM260,000 milik sebuah syarikat minyak sawit, enam tahun lalu Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Haderiah Siri menawarkan ikat jamin RM50,000 dengan syarat tambahan, tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah. Bagaimanapun peguam yang mewakili tertuduh, S. Ramesh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM30,000 dengan alasan anak guamnya yang pernah berkhidmat sebagai peguam sejak 22 tahun lalu kini tidak lagi bekerja. Katanya, anak guamnya menanggung isteri tidak bekerja dan dua anak masih bersekolah selain memberi kerjasama terhadap pihak polis sepanjang siasatan. Mengenai pasport, beliau berkata, dokumen itu telah tamat tempoh. Hakim Murtazadi Amran kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM30,000 dengan seorang penjamin. Beliau turut menetapkan 30 Ogos ini untuk sebutan semula kes. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan