Rabu, 31 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Cahaya cinta baharu

Posted: 31 Jul 2013 12:41 AM PDT

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN

Ilias menyarungkan cincin perkahwinan ke jari Ras Adiba sambil disaksikan Umar.

PERSONALITI televisyen yang tidak asing dalam dunia penyiaran tempatan, Ras Adiba Mohd. Radzi yang kini berusia 45 tahun akhirnya menamatkan zaman jandanya setelah bertemu dengan bekas rakan sekolah sewaktu menuntut di St. John's Institution.

Jelasnya, setelah lebih 14 tahun kembali solo, dia tidak pernah menyangka dirinya akan kembali menemui cinta, apatah lagi seterusnya melangsungkan perkahwinan dalam bulan Ramadan yang juga merupakan hari ulang tahun kelahiran dirinya.

"Sejujurnya saya tidak pernah terfikir akan kembali bergelar isteri, apatah lagi dengan situasi saya sekarang tetapi ternyata, jodoh dan pertemuan itu berada di tangan Tuhan dan hari ini, saya sudah berkahwin.

"Pastinya saya sangat bersyukur kerana majlis perkahwinan ini dijalankan serentak dengan sambutan tarikh lahir saya selain sewaktu umat Islam seluruh dunia menyambut bulan Ramadan yang mulia," katanya yang ditemui sejurus selesai majlis tersebut di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Tanggal 27 Julai lalu, tepat pada pukul 6.10 petang, personaliti televisyen itu melangsungkan pernikahan dengan individu seusia dengannya, iaitu Ilias Yaakop yang merupakan seorang instruktor penyelam dan juga penasihat kewangan.

Dengan tiga kali lafaz, pasangan tersebut sah menjadi suami isteri apabila ayah kepada Ras Adiba, Mohd. Radzi Wahab, 73, sendiri menikahkan anak perempuan sulungnya itu.

Dalam majlis tersebut, pihak lelaki memberi RM99 sebagai mas kahwin dan wang hantaran pula berjumlah RM10,000 selain turut memberi sejumlah lima dulang hantaran.

Pihak perempuan membalas dengan memberikan tujuh dulang hantaran yang antaranya merupakan senaskhah al-Quran, sepasang telekung, sebentuk cincin, jam tangan, minyak wangi, manisan, kasut dan juga sirih junjung.

Ras Adiba sebelum ini pernah mencipta nama sebagai salah seorang penyampai televisyen popular sebelum terlibat dalam kemalangan jalan raya sewaktu pulang daripada membuat liputan bola sepak Piala Malaysia 1996.

Kerana kemalangan tersebut juga, wanita yang mesra dengan panggilan Dib itu mengalami nasib yang lebih malang apabila pada pertengahan tahun 2002 yang lalu, dia menjadi lumpuh separuh badan dari pinggang ke kaki.

Tambah wanita ini lagi, setelah 14 tahun menyambut kedatangan Aidilfitri sebagai wanita solo, kini sambutan pada tahun ini pasti terasa lebih meriah dengan kehadiran suami di sisi, di samping anak tercinta, Umar Ras Engel Abdullah, 6.

"Saya gembira dengan kehidupan yang telah dilalui sebelum ini, tetapi pastinya dengan pernikahan ini suasana dan sambutan Syawal akan menjadi lebih meriah.

"Percaya atau tidak, perasaan saya kini tidak ubah seperti seorang gadis muda yang baru melangsungkan perkahwinan buat pertama kali," katanya yang bercadang untuk bercuti dengan suami dan anak mereka awal tahun hadapan.

Majlis pernikahan yang berlangsung sederhana itu dihadiri kira-kira 150 orang dan turut disertai oleh Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil serta rakan selebriti antaranya Abu Bakar Atan dan Zakiah Anas.

Terpikat dengan sifat dimiliki Ras Adiba

Sungguhpun kedua-dua individu ini pernah bersekolah bersama, tetapi mereka sebenarnya tidak pernah bertemu pada waktu itu sebaliknya mereka berdua berkenalan pada majlis pertemuan semula yang diadakan pada bulan April lalu.

Jelas Ilias, mereka sendiri tidak pernah kenal antara satu sama lain sebelum ini melainkan bertemu pada bulan empat lalu dan bermula daripada situ, hubungan mereka berdua menjadi semakin rapat.

"Pada mulanya kami berhubung hanya sebagai teman, tetapi setelah mengenali hati budinya dan melihat pada ketabahannya menjalani kehidupan seharian, hati saya terbuka untuk melamarnya sebagai isteri.

"Saya tertarik dengan sifatnya yang amat merendah diri walaupun dengan status dimiliki sebagai seorang selebriti, dia juga seorang wanita yang kelakar," katanya yang merupakan seorang duda anak satu.

Selain daripada tertarik dengan perwatakan dimiliki Ras Adiba, Ilias juga mengakui mereka mempunyai minat bersukan yang sama antaranya sukan menyelam.

"Perkara-perkara tersebut merupakan antara sebab mengapa saya tertarik dengannya dan saya bersyukur, majlis hari ini dapat berlangsung dengan lancar," katanya.

Pasangan tersebut juga tidak menolak sekiranya perkahwinan mereka dikurniakan cahaya mata tetapi tidak mahu terlalu memikirkan perkara tersebut kerana masing-masing selesa dengan kehidupan yang dijalani kini.

Nadeem selesa dengan Rayqal

Posted: 31 Jul 2013 12:41 AM PDT

WajaH Nadeem (kiri) sering menjadi penghias laman sosial Nora.

MELIHAT laman Instagram pelakon cantik ini mesti ramai yang sedar kebelakangan ini Nora Danish sering menyelitkan gambar seorang lelaki. Setelah diperhatikan, kebanyakan komen yang diberikan peminat berkisar apakah hubungan sebenar Nora dengan lelaki itu.

Menjawab persoalan tersebut, Nora sebenarnya langsung tidak menyalahkan sesiapa apabila kononnya kisah dia sedang dilamun cinta terus-terusan diperkatakan.

"Sebenarnya Nora tidak salahkan orang lain untuk bertanya. Memang benar lelaki bernama Nadeem itu rapat dengan Nora dan keluarga sejak akhir-akhir ini.

"Kami kenal sudah tujuh tahun. Memang dia seorang rakan lelaki yang rapat," katanya yang ditemui pada majlis Anugerah Syawal TV3 baru-baru ini.

Menjawab persoalan sama ada hubungan rapat ini menjurus kepada cinta, bagi Nora ia terlalu jauh untuk diperkatakan buat masa sekarang.

Bagaimanapun, sebagai wanita, Nora mengakui dia amat selesa ketika bersama Nadeem. Cuma barangkali belum sampai waktunya untuk dia beralih ke alam perkahwinan buat masa ini.

"Tidak nafikan jika suatu hari nanti hati saya sudah terbuka untuk berkahwin kembali, Nadeem memang ada ciri-ciri suami yang saya cari.

"Namun saya memang belum terfikir soal kahwin buat masa sekarang. Bagi saya menjadi isteri bukan soal mudah," katanya.

Sebenarnya sewaktu hubungan ini terus diperkatakan, ada juga komen-komen pedas yang terus dikeluarkan peminatnya yang tidak mahu Nora terlalu rapat dengan Nadeem.

Melalui komen-komen yang ditulis semuanya berkaitan dengan kononnya perangai sebenar lelaki muda itu. Mengenalnya dari sisi sebenar, Nora percaya Nadeem mempunyai nilai lelaki yang dicari.

"Benarlah kata orang, kalau kita tak kenal maka tak cinta. Apa yang ingin saya sampaikan disini, mengenali Nadeem dia bukan seperti yang dikatakan.

"Dia seorang yang baik , dan antara sifat Nadeem yang Nora suka adalah suka memberi nasihat," katanya.

Menurut Nora, memandangkan Nadeem juga merupakan seorang ayah menjadikan hubungannya dengan anak tunggal pelakon cantik itu rapat.

"Dia juga seorang ayah, jadi hubungannya dengan Rayqal memang tidak ada masalah. Rayqal juga selesa dengannya,"katanya yang dilihat semakin bijak dalam soal fesyen dan penampilan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved