Utusan Online - Utara |
- 70% peserta 1Azam berjaya
- Koperasi Majlis Belia Perlis Berhad dilancarkan
- Jalan baharu sukarkan penduduk
Posted: 31 Mar 2013 11:44 AM PDT Oleh AZELI ALI ABDULLAH Ahmad Badawi beramah mesra dengan salah seorang penerima bantuan Program Teman 1Azam selepas majlis Penyampaian Barangan Kar1sma 1Azam Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang, kelmarin. KEPALA BATAS 31 Mac - Hampir 70 peratus daripada 106,967 peserta 1Azam yang menyertai program itu sejak 2011 hingga Januari lalu, berjaya memperoleh tambahan pendapatan sekurang-kurangnya RM300 sebulan. Ketua Pejabat Pengurusan Pelaksanaan Bidang Keberhasilan Negara (NKRA) Meningkatkan Taraf Hidup Isi Rumah Berpendapatan Rendah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hazmi Samsudin berkata, pencapaian itu merupakan satu kejayaan ke arah memperbaiki taraf kehidupan golongan terbabit. Menurutnya, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM1.2 bilion untuk program 1Azam sepanjang tempoh itu melalui pemberian barangan permulaan perniagaan, kursus, tunjuk ajar, bimbingan dan usaha pemantauan. "Sejak Januari 2011 hingga Januari tahun ini, hampir 70 peratus daripada 106,967 peserta program 1Azam berjaya meningkatkan pendapatan mereka dan ini dianggap berjaya kerana mereka mampu memperbaiki taraf hidup. "Pada tahun ini sebanyak RM400 juta lagi diperuntukkan untuk program ini dan akan disalurkan kepada 35,000 peserta di seluruh negara yang akan menerima peralatan bagi memulakan perniagaan dengan nilai hampir RM4,000 seorang," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Barangan Kar1sma 1Azam Parlimen Kepala Batas di sini semalam. Majlis tersebut dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas. Tambah Hazmi, bagi menambah baik program 1Azam, terdapat 20 pakej baharu disediakan kepada para peserta antaranya adalah pakej nasi lemak kukus, air batu campur dan cendol, cucian kereta bergerak dan mesin rumput. Sementara itu Abdullah berkata, apa yang paling utama perlu ada kepada peserta adalah semangat untuk berjaya dalam perniagaan dilakukan. "Pada masa sama, mereka juga harus berusaha memanfaatkan segala bentuk bantuan diberikan kerajaan untuk memperoleh pendapatan yang mampu menjana ekonomi keluarga," ujarnya. Bagi peserta K. Saraswathy, dia bertuah kerana terpilih menyertai program itu dan berazam untuk menggunakan sebaiknya peralatan gerai makanan yang diterima bagi meningkatkan pendapatan. "Sekarang saya dapat berniaga dengan lebih selesa dan memiliki ruang niaga lebih sempurna berbanding di tepi jalan sebelum ini,'' katanya. |
Koperasi Majlis Belia Perlis Berhad dilancarkan Posted: 31 Mar 2013 11:44 AM PDT KANGAR 31 Mac - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu melancarkan penubuhan Koperasi Majlis Belia Perlis Berhad di sini malam tadi sambil menggesa golongan belia merebut segala peluang ekonomi yang ada. Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, kerajaan sentiasa membuka peluang seluas mungkin untuk generasi belia menceburi pelbagai bidang terutama berkaitan ekonomi dan berharap penubuhan koperasi itu akan menjadi simbol kegiatan ekonomi golongan belia. Katanya, kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan kepada golongan itu melalui pertubuhan belia bagi menyuntik semangat kepada mereka untuk memajukan diri dalam bidang kepimpinan dan ekonomi. Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Belia Negeri (MBN) Perlis, Saiful Munir Bidin ketika berucap di majlis itu berkata, Koperasi Majlis Belia Perlis Berhad diwujudkan bagi membina kekuatan ekonomi golongan belia. Beliau berharap koperasi yang diwujudkan itu akan membantu memikat semangat golongan belia untuk menceburi sektor ekonomi secara lebih berkesan dan berharap penubuhan koperasi itu akan mendapat sokongan badan-badan gabungan MBN Perlis bagi memperkukuhkan koperasi itu. Pada majlis itu, 13 badan gabungan MBN Perlis menerima bantuan pentadbiran berjumlah lebih RM40,000 yang disampaikan Menteri Besar. Selain itu, tiga persatuan belia menerima anugerah khas prestasi cemerlang persatuan 2012 iaitu Gerakan Belia 4B Malaysia Negeri Perlis, Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Perlis dan Persatuan Belia Wawasan Anak Nelayan Seberang Ramai. Bekas Yang Dipertua MBN Perlis, Datuk Wan Nordin Che Morat pula menerima anugerah tokoh jasa belia atas sumbangan besarnya terhadap pembangunan MBN Perlis. Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Perlis, La'anain Jamil. - BERNAMA |
Jalan baharu sukarkan penduduk Posted: 31 Mar 2013 11:44 AM PDT SUNGAI PETANI 31 Mac - Kira-Kira 500 penduduk dari beberapa taman perumahan di Jalan Hospital di sini, meminta kerajaan negeri Kedah segera melakukan sesuatu bagi menyelesaikan masalah mereka ketika ini yang terpaksa menggunakan laluan terlalu jauh hanya untuk menuju ke pusat bandar. Mereka mendakwa, sistem pembinaan jalan baharu di kawasan itu sejak beberapa bulan lalu amat menyusahkan mereka untuk menuju ke pusat bandar setiap hari. Seorang penduduk, M. Batmanathan, 60, berkata, sekiranya hendak ke pusat bandar, dia terpaksa buat pusingan U iaitu melalui Jalan Hospital, sejauh kira-kira 1 kilometer. "Sebelum ini, kami tidak ada masalah, sekarang pihak berkenaan memasang tembok khas dan kami tidak dibenar lagi menggunakan jalan lama," katanya. Menurutnya, pelbagai perbincangan telah dilakukan oleh penduduk tetapi tidak mendapat layanan daripada pihak-pihak berkenaan termasuk Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP). Tambahnya, pada masa lalu, jalan lama di situ banyak memberikan kemudahan kepada penduduk Taman Nuri, Taman Tiong, Kampung Bengali, Taman Wira dan Taman Desa Jaya untuk keluar ke pusat bandar. Seorang penduduk Taman Tiong, Abu Hassan Shaari, 60, berkata, sepatutnya, pihak berkuasa benarkan penduduk guna jalan lama dengan memasang tanda isyarat. "Perkara ini telah pun dibuat di Shah Alam, Selangor dan boleh dilaksanakan di sini," katanya. Menurutnya, sistem jalan baharu diperkenalkan oleh pihak berkenaan amat berbahaya kepada pengguna jalan raya. "Carilah kaedah terbaik bagi menangani masalah rayuan penduduk di kawasan ini," katanya. Pengguna jalan raya, Ong Siew Hwa, 65, dari Jalan Hospital berkata, pelbagai kes kemalangan kerap berlaku di kawasan pembinaan jalan baharu itu. "Sistem jalan dahulu lebih baik dan saya minta masalah jalan baharu dikaji semula," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan