Isnin, 1 April 2013

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


30 pemuda Pas Kampung Kubang Telaga sokong BN

Posted: 31 Mar 2013 11:44 AM PDT

AWANG Adek Hussin (dua dari kanan) menerima penyerahan borang keahlian UMNO daripada Mohd. Yaakub Mohamad dalam majlis Ceramah Perdana UMNO di Kampung Kubang Telaga, Bachok malam kelmarin.

BACHOK 31 Mac - Seramai 30 pemuda Pas di Kampung Kubang Telaga dekat sini, bertindak keluar parti itu malam semalam dan berikrar menyokong perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Mereka turut menyerahkan borang permohonan menyertai UMNO kepada Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Penyerahan borang itu diketuai oleh Mohd. Yaakub Mohamad, 42, dalam satu majlis di rumah salah seorang bekas penyokong Pas, Zakaria Talib, 76, sempena ceramah perdana UMNO di Kampung Kubang Telaga di sini malam semalam.

Ceramah perdana itu menampilkan Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar Terengganu, Kamalrudin Omar yang mengupas isu-isu semasa politik dan cabaran terhadap agama Islam yang dicetuskan oleh pembangkang.

Mohd. Yaakub ketika ditemui berkata, pendekatan yang ditonjolkan oeh pemimpin UMNO setempat dalam membantu penduduk miskin di peringkat akar umbi telah menyedarkannya dan rakan-rakan.

"Perkhidmatan berterusan menyelesaikan masalah rakyat sepatutnya dipikul wakil rakyat Pas yang dipilih sebelum ini namun tiada apa yang dinikmati penduduk selama Pas memerintah Kelantan lebih 20 tahun kecuali pelbagai bantuan Kerajaan Persekutuan yang diterima.

"Pemimpin UMNO yang kalah dalam pilihan raya umum lalu sering masuk kampung untuk membantu rakyat, tetapi wakil rakyat Pas yang menang hanya hebat dengan slogan, janji pembalasan pahala, jihad dan slogan," ujarnya.

Bekas Pemuda Pas kampung berkenaan, Mohd. Shahir Ibrahim, 27, pula mendakwa, selama ini dia percayakan cakap-cakap pemimpin Pas bahawa undi parti itu memperoleh pahala dan satu jihad.

Namun dakwanya, banyak isu seperti penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam gagal diselesaikan pemimpin Pas yang terlalu mudah diperkudakan DAP.

"Perkembangan ini tidak boleh dianggap sebagai gimik politik menjelang pilihan raya kerana kami nekad membawa lebih ramai lagi bilangan pemuda termasuk pengundi baharu menyokong UMNO dan BN," katanya.

Tegas bendung ceroboh tanah

Posted: 31 Mar 2013 11:44 AM PDT

Oleh Sapee Mat Junus
utusanterengganu@utusancom.my

KEMAMAN 31 Mac - Pihak berkuasa daerah ini akan membendung gejala pencerobohan tanah agar tidak terus berleluasa tanpa mengambil kira sama ada mereka merupakan penyokong kerajaan yang memerintah atau pihak pembangkang.

Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah, Mohamed Kamil Othman berkata, ini tidak harus dipolitikkan dan pihaknya tidak 'memilih bulu' dalam mengambil tindakan berdasarkan peraturan sedia ada di bawah Kanun Tanah Negara.

Katanya, penduduk menceroboh dan mengusahakan tanah kerajaan sewenang-wenangnya adalah satu kesalahan besar, apatah lagi mungkin menjelaskan segala perancangan pembangunan oleh kerajaan.

"Ini menunjukkan kita telus dalam menguatkuasakan peraturan dan tiada siapa yang merasa mereka boleh ketepikan peraturan semata-mata kerana menjadi penyokong parti untuk mencari kesempatan.

"Sedangkan masih ada golongan yang memerlukan pembelaan, jadi keadaan ini tidak harus dibiarkan dan tindakan akan dilakukan secara berperingkat," ujarnya di sini hari ini.

Justeru, menurut beliau, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dan mengadakan operasi pembersihan di seluruh daerah bagi menghalang mereka yang tidak bertanggungjawab daripada terus meneroka tanah haram untuk pelbagai tujuan termasuk peladangan.

Difahamkan berpuluh ribu hektar tanah di daerah ini telah diterokai secara haram termasuk oleh mereka yang dikatakan mempunyai pengaruh di kawasan setempat.

Beliau mengulas rungutan wakil penduduk Kampung Perasing Jaya, Jabor yang meneroka tanah kerajaan seluas kira-kira 24 hektar lebih dengan mengusahakan tanaman kelapa sawit.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Perasing Jaya, Jabor, Ghazali Ismail dilaporkan berkata, penduduk mengambil keputusan mengusahakan tanah itu atas nama JKKK dengan modal permulaan sebanyak RM100,000.

Menurutnya, sebanyak 30 penduduk dilibatkan dan setiap penduduk diagihkan tanah 0.8 hektar seorang untuk diusahakan dan mereka berpakat menanam pokok kelapa sawit dengan bantuan seorang kontraktor dan hasilnya akan dipotong sebagai bayaran balik.

Ghazali mendakwa baru-baru ini mereka menerima notis daripada pejabat tanah daerah seminggu lalu supaya mengosongkan tanah itu dan pada 27 Mac kawasan itu telah disita oleh pihak berkuasa dan tanaman dimusnahkan.

Bomba periksa keselamatan pusat mengundi

Posted: 31 Mar 2013 11:44 AM PDT

KOTA BHARU 31 Mac - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan menjalankan pemeriksaan di semua pusat pembuangan dan penjumlahan undi di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata, pemeriksaan tersebut bagi memastikan pusat pembuangan dan penjumlahan undi tersebut berada dalam keadaan selamat serta bebas daripada sebarang bahaya kebakaran.

"Kita akan memeriksa segala kemudahan yang ada di pusat berkenaan seperti alat pemadam api, punca bekalan air dan sebagainya bagi memudahkan kerja-kerja anggota bomba sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

"Kita juga akan menempatkan anggota di semua pusat pembuangan dan penjumlahan undi berdasarkan senarai yang diberikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memberikan perkhidmatan awal sekiranya berlaku kecemasan di pusat berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Negeri di Tunjong di sini hari ini.

Azmi memberitahu, pihaknya turut membuat rondaan menggunakan unit bermotosikal untuk meninjau keselamatan di pusat berkenaan dari semasa ke semasa.

Kata Azmi, untuk kawasan Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang, pihaknya akan menggunakan kenderaan utiliti untuk memudahkan bantuan dihulurkan.

"Untuk PRU-13, kita turut mendapat sokongan Pasukan Bomba Sukarela yang akan membantu dalam menjalankan tugas. Kita juga akan menjalin kerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Ikatan Relawan Rakyat dan polis," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Azmi memberitahu, cuti anggota dan pegawai bomba di negeri ini akan dibekukan sekiranya perlu, sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan pada pilihan raya umum nanti.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved