Ahad, 7 April 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Utamakan parti, bukan calon

Posted: 07 Apr 2013 11:16 AM PDT

DALAM wawancara Mingguan Malaysia bersama Perdana Menteri, TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD semalam yang bertajuk Pembangkang terlalu tamak antara perkara yang dibincangkan termasuklah tentang pembubaran Parlimen, perubahan sokongan rakyat, kecenderungan pengundi Cina, kawasan yang ditandingi oleh pemimpin pakatan pembangkang, kedudukan DAP, PKR dan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Berikut adalah sambungan wawancara beliau bersama wartawan, MARHAINI KAMARUDDIN, HAFIZAHRIL HAMID, BORHAN ABU SAMAH, dan MOHD. ASRON MUSTAPHA di Yayasan Al-Bukhary, petang Jumaat lalu.

UTUSAN: Perdana Menteri pada pilihan raya kali ini berjanji akan menampilkan elemen kejutan khususnya terhadap senarai calon itu sendiri dan ditambah manifesto berorientasikan 1Malaysia, sejauh mana elemen-elemen ini mampu memberi lonjakan berganda untuk meningkatkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN)?

DR. MAHATHIR: Kita menerima rungutan bahawa BN ini hanya memberi tempat kepada orang lama, tidak kepada muka- muka baru sehingga nak masukkan orang baru kepada parti pun susah. Tetapi Najib mungkin ingin memecah sangkaan ini bahawa kita terbuka kepada semua pihak iaitu baru dan lama. Saya fikir yang lama pun perlu ada, kalau buang langsung yang lama pun tak baik juga, kerana kita nak ada kesinambungan antara yang lama dengan yang baru.

Namun saya berpendapat bahawa pilihan raya kali ini lebih kepada parti bukan calon. Kita nak tentukan parti menang. BN kena menang. Pertandingan ini tertumpu kepada parti, kemenangan kepada parti, soal siapa jadi calon tidak sepenting parti perlu menang dalam pilihan raya ini kerana hanya parti sahaja yang boleh tubuhkan kerajaan, orang perseorangan tidak boleh.

Selepas pelbagai usaha transformasi dilakukan kerajaan dalam masa empat tahun ini dan disokong pula dengan kebangkitan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat, sejauh mana Tun optimis BN akan memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga?

DR. MAHATHIR: Setahun dahulu, bahkan enam bulan dahulu saya kurang yakin tetapi saya dapati sambutan terhadap lawatan Najib oleh seluruh rakyat termasuk masyarakat Cina jauh lebih baik berbanding Pilihan Raya Umum 2008. Sebab itu orang berkata ada peralihan sokongan ke arah BN dan dengan cara ini saya yakin BN akan menang lebih baik daripada 2008. Ada kemungkinan juga mendapat dua pertiga.

Antara masalah yang melanda UMNO dan BN pada 2008 adalah tindakan sabotaj daripada ahli sendiri. Bagaimana Tun melihat perkara itu adakah sudah selesai atau masih berlaku?

DR. MAHATHIR: Masa saya menjadi pemimpin UMNO ada berlaku keadaan cantas mencantas. Namun kemenangan kita adalah tinggi walaupun terdapat mereka yang tidak menyokong, kita masih berpeluang untuk menang. Namun ketika ini kelebihan undi kita adalah sekitar ratusan sahaja. Jadi kalau ada pihak yang mahu keluar dan mengheret 100 atau 200 penyokongnya, kita mungkin akan berhadapan masalah.

Perkara sabotaj pernah berlaku dahulu tetapi sekarang ia lebih berbahaya. Saya berpendapat ini disebabkan tentang perjuangan asas kita. Boleh dikatakan apabila seorang Melayu mendapat nikmat ia akan dikongsi bersama orang Melayu lain, jadi tidak ada mereka yang tercicir langsung.

Contohnya mungkin anak orang ini dapat biasiswa, masuk sekolah bekalan air dan elektrik dan sebagainya. Semua ini bukan hanya untuk orang tertentu sahaja tetapi untuk semua orang Melayu dan bangsa-bangsa lain. Inilah perjuangan UMNO yang sebenar untuk semua orang Melayu, bukan hanya nak menjadikan seseorang itu perdana menteri. Kepimpinan adalah sesuatu yang perlu tetapi perjuangan bukan untuk pemimpin tetapi untuk parti dan rakyat.

Kenapa masih terdapat pihak yang tidak percaya kegiatan Anwar dan tetap mempertahankan beliau walaupun terdapat banyak pendedahan dilakukan?

DR. MAHATHIR: Sebab itu dalam Islam, kita tidak boleh taksub atau menjadi puak assabiah. Pihak ini adalah orang yang taksub dengan sesuatu sehingga tidak dapat menerima kenyataan yang sebenar. Orang ini kita tidak boleh buat apa-apa dan hanya boleh menunggu balasan Tuhan jika segala kebenaran sudah terdedah kelak.

Kita perlu serahkan semua ini kepada Allah SWT kerana kita sendiri tidak boleh melakukan apa-apa melainkan berterusan membuat penerangan untuk pemahaman. Pada mulanya saya dapati ramai yang menolak tetapi setelah penerangan dilakukan serta bukti yang sah, saya lihat hari ini semakin ramai yang menerima. Saya yakin jika kita boleh tunjuk bukti, akhirnya mereka juga tidak dapat menutup mata dan menolak kebenaran dan akhirnya menerima kenyataan yang sebenar.

Mungkin di negara Barat pemimpin sebegini ditolak oleh masyarakat kerana perlakuan yang buruk?

DR. MAHATHIR: Tidak juga. Jika kita lihat bagaimana bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush dan Perdana Menteri Britain Tony Blair, walaupun mereka telah berbohong dalam menentang Iraq dan didedahkan kepada umum, namun dalam pilihan raya berikutnya mereka masih menang. Mereka ini adalah pembohong besar dan saya ada bukti mengenai dokumentari BBC tentang bagaimana Bush dan Blair berbohong hanya kerana nak menyerang Iraq.

Jadi maknanya rakyat mereka sama seperti rakyat kita juga kerana ada yang buta dan menolak kebenaran. Orang yang celik tetapi tidak mahu melihat, itu adalah lebih buta daripada orang buta.

Tun pernah menyatakan bahawa kesilapan paling besar pernah dilakukan adalah membawa masuk Anwar. Pada pandangan Tun apa akan berlaku pada negara jika Tun masih mengekalkan Anwar malah mungkin menjadi Perdana Menteri?

DR. MAHATHIR: Kita kadang-kadang tertipu dan saya tidak terfikir bahawa saya kebal daripada penipuan. Banyak orang yang menipu saya dan saya ambil pada permukaan tentang kebaikan seseorang. Saya tidak menyelam hanya untuk mencari keburukan orang, umpamanya Tun Abdullah Ahmad Badawi, ramai yang menganggap beliau seorang yang bersih dan saya terima. Malah saya bagi tempat kepadanya walaupun beliau pernah melawan saya.

Anwar menggambarkan dirinya sebagai seorang yang warak, boleh menjadi imam, membaca khutbah dan sebagainya. Ini yang kita nampak dan perkara dalam bilik, saya tidak nampak. Malah orang lain pun tak nampak, maka mereka pun tidak boleh kata dia ini ada kelakuan sebegitu.

Saya terima beliau kerana imej yang ditunjukkan Anwar cukup bersih dan ini baik untuk UMNO. Bahkan saya berharap Anwar akan mengganti saya kerana saya nampak beliau bijak, cakap cukup bagus tetapi apabila saya tidak dapat menolak tuduhan terhadapnya dan jika ketika itu saya masih nak jaga keaiban beliau atau kerana nak jaga imej saya dan membenarkan beliau berterusan, maka saya ingat saya bersalah kepada masyarakat dan Tuhan. Sebab itu saya terpaksa ambil tindakan dan saya memperingat kepada diri saya supaya jangan melakukan sesuatu yang akan menyebabkan orang benci kepada saya.

Saya cukup berhati-hati tentang ini dan tidak mahu menjatuhkan hukuman bunuh terhadap orang itu dan ini. Malah untuk menangkap orang pun saya tidak begitu berminat. Namun bila saya dapati Anwar sudah tidak sesuai lagi maka ia adalah tanggungjawab saya bukan sahaja kepada diri saya malah negara dan masyarakat. Sebab itu saya ambil tindakan dan saya tahu tindakan itu akan menimbulkan kebencian daripada pihak-pihak Anwar.

Pada mulanya saya fikir bila saya jelaskan sebab saya menolak Anwar saya sangka ramai yang akan bersetuju dengan saya seperti mana pemimpin-pemimpin UMNO sebelum itu yang bermasalah dan mereka menolak pemimpin sebegini. Namun ada di kalangan ahli UMNO yang berfikir saya cuba menganiaya Anwar terutama apabila berlaku kes mata lebam. Itu bukan salah saya dan saya telah beritahu kepada Ketua Polis ketika itu jangan guna gari dan kekasaran. Namun apabila beliau hantar pasukan untuk menangkap Anwar, pasukannya itu telah dilatih dengan cara sedemikian kerana ia adalah SOP yang telah ditetapkan. Jadi saya disalahkan dan kehilangan undi hampir 300,000 kerana kes mata lebam itu.

Tapi apa nak buat dan saya pula terpaksa menangguh keputusan untuk meletak jawatan sehingga 2002 baru saya umumkan. Pada awalnya niat saya untuk bersara pada 1998 tetapi kerana masalah kewangan dan krisis mata wang, Sukan Komanwel dan masalah Anwar, jadi saya terpaksa tunggu lagi. Sehinggalah saya berjaya memperbaiki masalah kewangan negara, pentadbiran kerajaan dan parti, barulah saya berfikir sudah sampai masa untuk berundur.

Satu ketika dahulu ramai yang marah dengan Tun malah ada yang mengambil keputusan mahu membunuh Tun. Tetapi kini semakin ramai yang sudah kembali ke pangkal jalan antaranya C.N Afghani dan Dr. Sidek Baba. Bagaimana Tun melihat perkara ini?

DR. MAHATHIR: Mereka marah dengan saya kerana mereka rapat dengan Anwar. Bila kita dekat dengan seseorang bak kata pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta. Tetapi bila sudah kenal dan rapat baru kita nampak kelemahan orang lain. Setelah segala yang buruk diketahui mereka, baru mereka berasa yakin saya bukan berniat mahu menganiaya Anwar. Saya cuma nak selamatkan orang Melayu dan negara daripada manusia semacam ini.

Bagaimana dengan telahan Tun mengenai negeri-negeri yang dikuasai pembangkang. Apakah boleh ditawan kembali?

DR. MAHATHIR: Saya melihat Kelantan kedudukannya agak 50-50 sama seperti Pulau Pinang. Kedah pula barangkali 55-45 sama seperti Selangor yang saya lihat di kedua-dua negeri ini penduduknya sudah sedar. Saya tidak mahu optimistik. Bagi negeri Sabah dan Sarawak, saya lihat kita masih boleh menang tetapi mungkin kita tidak dapat kemenangan seperti pada 2008. Bagi Negeri Sembilan saya lihat kedudukannya masih selamat kalau mereka tidak berkelahi sesama mereka. Masalah timbul jika mereka berkelahi sesama mereka tapi saya rasa tidak akan timbul masalah sedemikian. Manakala di Perak pula pada satu ketika orang Melayu pun sokong DAP tetapi saya lihat keadaan sudah berubah sekarang.

Mungkin Tun ada peringatan yang mahu di sampaikan kepada masyarakat di luar sana dan juga kepada calon yang tidak terpilih?

DR. MAHATHIR: Kita jangan kira siapa yang menjadi calon tetapi kira kepada parti yang bertanding. Jika BN yang bertanding jangan teragak-agak menyokong calonnya. Jangan sokong kerana calon itu orang kesayangan saya atau orang tertentu. Ini pertandingan parti dan bukan individu.

Bagi calon yang tidak terpilih nasihat saya kalau terpilih kita mahu orang sokong kita dan begitu juga jika orang lain terpilih, mereka juga mahu orang menyokong mereka. Jadi kalau kita tidak suka dicantas maka kita jangan mencantas orang. Seperti mana kita tak suka orang lakukan pada kita, begitu juga kita jangan buat perkara yang orang lain tak suka.

Masa semua ahli BN tebus kesilapan 2008

Posted: 07 Apr 2013 11:16 AM PDT

PENULIS pernah diberitahu tentang suasana suram apabila Tan Sri Mohd. Tajol Rosli Ghazali beberapa kali sebak dan menitiskan air mata ketika bekas Menteri Besar Perak itu mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 2008.

Ketika itu, bahana beban yang dipikul Mohd. Tajol cukup berat, bukan sahaja untuk menjaga hati pemimpin-pemimpin UMNO, tetapi juga untuk melayan permintaan parti-parti komponen yang masing-masing menuntut kuota kerusi.

"Ketika itu, Mohd. Tajol tak bagi orang tepuk tangan ketika calon-calon diumumkan kerana baginya keputusan yang dibuat amat sukar. Melihat suasana suram masa itu, sudah ada yang mengagak BN bakal berdepan masalah besar," cerita seorang rakan wartawan.

Jangkaan itu benar-benar terjadi. 'Masalah besar' itu akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan BN Perak yang pernah digelar sebagai antara 'simpanan tetap' BN.

Bedah siasat membuktikan kekalahan BN dibayangi perbuatan sabotaj, undi protes malah ada yang menghasut ahli tidak keluar mengundi - kebanyakannya berkisar rasa tidak puas hati dengan pemilihan calon.

Tsunami politik 2008 yang menyaksikan BN menang dan tewas tipis di banyak kawasan termasuk di kubu kuat parti itu sudah cukup untuk menceritakan hakikat tersebut.

Walaupun memerintah semula selepas empat pemimpin pembangkang keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas, pengalaman perit sepanjang 11 bulan pemerintahan pembangkang sepatutnya memberi keinsafan kepada BN khususnya UMNO yang menjadi tulang belakang di Perak.

Itu cerita lima tahun lalu. Mendepani cabaran PRU-13 yang bakal membuka tirainya tidak lama lagi, pemimpin dan jentera BN Perak perlu bermuhasabah dengan menjadikan episod hitam itu sebagai iktibar.

Pembubaran DUN Perak kelmarin sewajarnya disambut dengan tekad kuat dan menyedari betapa kesilapan 2008 perlu ditebus. Tempoh kritikal menunggu penamaan calon sehinggalah hari pengundian adalah waktu paling tepat untuk membetulkan kesilapan itu.

Gelombang sokongan rakyat yang semakin memihak kepada BN sejak empat tahun lalu ekoran pelbagai perubahan signifikan dalam pembangunan sosioekonomi di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir perlu diterjemahkan sepenuhnya dalam bentuk undi.

"Tiada keraguan mengenai kemampuan BN untuk pertahankan Perak, kita boleh memilih banyak analisis untuk menyokong hakikat itu. Tetapi itu akan bertukar menjadi sia-sia jika kesilapan 2008 diulang pada PRU-13," kata seorang pemerhati politik ketika dihubungi.

Tumpuan BN sekarang adalah untuk menentukan siapa juga calon yang dipilih bertanding di 24 kerusi Parlimen dan 59 DUN Perak mendapat sokongan di kawasan berkenaan. Itu hanya dapat dilakukan jika semua pemimpin dan jentera memahami betapa realiti politik sudah jauh berubah.

Keadaan tidak lagi sama seperti dahulu apabila siapa juga calon BN yang bertanding akan menang bergaya dengan kelebihan ribuan majoriti. Suasana dan sentimen di bawah sudah berubah, rakyat mahukan perubahan dan kelainan.

Rakyat mahu melihat sejauh mana BN benar-benar mahu berubah. Mereka mahu melihat calon BN yang lebih segar dan bertenaga. Kalau tidak semua pun, rakyat menaruh harapan tinggi untuk melihat pembaharuan.

Dalam keadaan pembangkang di Perak sedang bercakaran dalam soal agihan kerusi, BN sepatutnya mengambil masa dan peluang yang ada untuk memantapkan jentera dan tidak terbawa-bawa dalam isu-isu yang bersifat remeh-temeh.

''Ini bukan masa untuk pujuk memujuk, rajuk merajuk. BN tiada masa untuk semua itu. Tumpuan perlu terarah kepada menajamkan jentera kerana sama seperti pembangkang, pilihan raya kali ini akan berlangsung sengit. Sedikit kesilapan boleh membawa padah," kata pemerhati itu lagi.

Pengumuman beberapa pemimpin termasuk Datuk Najmudin Elias Al-Hafiz yang mengesahkan tidak bertanding semula bagi memberi peluang kepada muka baharu sepatutnya dijadikan contoh teladan.

Bagi orang politik, keputusan Najmudin itu satu pengorbanan yang besar apatah lagi beliau adalah antara calon BN yang berjaya melawan badai tsunami politik 2008 dengan kelebihan majoriti 2,400 undi di DUN Batu Kurau.

Dalam konteks sama, soal agihan kerusi BN Perak perlu memberi fokus kepada faktor 'boleh menang' dengan mengikis tanggapan bahawa sesuatu kawasan sebagai hak tradisi mana-mana parti komponen.

Oleh itu, pertukaran kerusi sesama parti komponen yang dilaksanakan perlu dilihat sebagai salah satu kunci kemenangan.

Bak kata Zambry dalam sidang akhbar baru-baru ini: "Yang penting kita (BN) mahu menang. Mungkin strategi kita itu di luar kebiasaan, tetapi jika ia mampu memberi kemenangan, maka kita mesti lakukan."

PENULIS ialah Ketua Biro Perak Utusan Malaysia.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved