Ahad, 7 April 2013

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Sekolah Asia bergabung jaga alam sekitar

Posted: 07 Apr 2013 11:16 AM PDT

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
pendidikan@utusan.com.my

Peserta Sri Aman Environmental Youth Leadership Summit (Saeyls 2013) bersama sukarelawan FRIM memerhati tumbuhan flora sempena program itu di Kepong, Kuala lumpur baru-baru ini.

GABUNGAN sekolah tempatan dan luar negara dalam program Sri Aman Environmental Youth Leadership Summit (Saeyls 2013) membuktikan keprihatinan dan peranan pelajar terhadap penjagaan alam sekitar adalah bersifat global.

Program Saeyls 2013 yang mementingkan usaha penjagaan alam sekitar itu dianjurkan kali kedua hasil inisiatif Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan (P) Sri Aman, Petaling Jaya bermula tahun lalu.

Menurut Penolong Kanan Kokurikulum SMK (P) Sri Aman, Dr. Teh Lah Hoong, Saeyls 2013 mengumpulkan pelajar sekolah menengah tempatan dan luar negara untuk berkongsi pendapat dan kaedah berkesan memastikan kehijauan bumi terpelihara.

"Usaha ini bertepatan dengan tema Saeyls tahun ini iaitu Youths-Leaders for a Greener Tomorrow.

"Program ini dapat menyemai dan membina sifat-sifat kepimpinan dan kebolehan remaja untuk memimpin masyarakat dunia kearah sebuah komuniti masa depan yang mesra alam,"katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam lawatan Saeyls 2013 di FRIM, Kepong baru-baru ini.

Beliau menambah, pengetahuan aspek ekosistem, botani dan panduan menjaga alam sekitar termasuk pemuliharaan ekosistem diterapkan sepanjang program berlangsung.

Saeyls yang berlangsung selama tiga hari itu disertai 40 pelajar daripada Sekolah Tun Fatimah, SMK Lembah Bidong, Sekolah Infant Jesus Convent, Malay College Kuala Kangsar dan SMK (P) St. George.

Sekolah luar negara yang mengambil bahagian pula ialah Al-Azhar Islamic Junior High School Indonesia dan MGD Girls School India.

Penglibatan itu merupakan kali kedua untuk Al-Azhar Islamic Junior High School dan MGD Girls School dalam menjayakan kempen alam sekitar melalui gabungan sekolah di peringkat Asia.

Peserta program diberi tugas dan pertandingan berkaitan penjagaan alam sekitar dalam usaha meningkatkan peranan pelajar memelihara alam sekitar.

Pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuklah taklimat mengenali tumbuhan, ceramah kesedaran penjagaan alam sekitar, gotong-royong menanam pokok di Taman Paya Indah Wetland, Semenyih dan menyusuri hutan rimba Universiti Malaya (UM).

Selain itu, peserta turut dibawa melawat ke Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong untuk melihat lebih dekat operasi mengurus ekosistem dan mengenali pelbagai jenis hidupan tumbuhan di situ.

Di FRIM, peserta bukan sahaja menimba pengetahuan mengenai tumbuhan dan pokok hutan yang ada di situ malah dibawa menyusuri denai bagi mendekati keindahan kehijauan alam semula jadi.

Melalui Saeyls 2013, kata Lah Hoong, SMK (P) Sri Aman dapat menepati misi sekolah iaitu menjadi sekolah berprestasi tinggi bertaraf dunia.

Sementara itu, seorang peserta, Wong Violet, 16, memberitahu, dia menyertai Saeyls kerana mahu meningkatkan pengetahuan dan pengalaman secara lebih dekat mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar.

"Ketika ini, pelbagai kecanggihan dan dunia semakin moden maka kesedaran menjaga alam sekitar tidak boleh dipinggirkan dan ia sudah pasti menjadi tanggungjawab pelajar dan remaja untuk memastikannya,'' katanya.

Rakannya, Masnizza Ramlan pula berpendapat, Saeyls memberi peluang kepadanya menikmati keindahan alam semula jadi melalui program lawatan ke hutan rimba.

"Kawasan di hutan rimba UM antara yang masih kaya dengan keindahan alam semula jadi sekali gus mendekatkan peserta dengan habitat dan pengurusan ekosistem'', ujarnya.

SMK Ledang kekal kecemerlangan selama 12 tahun

Posted: 07 Apr 2013 11:16 AM PDT

CALON-calon STPM 2012 SMK Ledang, Johor yang memperoleh keputusan cemerlang merakam kenangan bersama guru dan ibu bapa selepas menerima keputusan masing-masing di sekolah itu, baru-baru ini.

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Ledang, Johor terus mengekalkan kecemerlangannya dalam keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 dengan mencatatkan keputusan lulus 100 peratus selama 12 tahun berturut-turut.

Pengetuanya, Mohd. Ibrahim Adzrai berkata, SMK Ledang merupakan satu-satunya sekolah di daerah ini yang berjaya mengekalkan keputusan itu dan merupakan hasil usaha pelajar dan komitmen tinggi tenaga pengajar, selain kerjasama ibu bapa.

"Sekolah ini berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.85.

"Mata pelajaran Pengajian Am terus mengekalkan keputusan cemerlang 100 peratus dan mencatat PNGK 3.54, selain turut mencatatkan peningkatan termasuklah Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan," katanya ketika ditemui di sekolah tersebut baru-baru ini.

Katanya, tiga pelajar SMK Ledang memperoleh keputusan cemerlang 4A iaitu Ng Xin Yin dan Ng Chen Yong (3A+ 1A) manakala Tee Yong Kiat pula (2A+ 2A).

Pada tahun lalu katanya, sebanyak 53 calon menduduki peperiksaan STPM dan 40 pelajar atau 75.47 peratus daripadanya berjaya lulus prinsipal dalam semua mata pelajaran.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved