Utusan Online - Keluarga |
Posted: 16 Apr 2013 02:00 AM PDT Dr. Zainal Kling TUGAS sebagai seorang ahli politik bukan ringan. Politik juga tidak boleh dibuat secara 'suka-suka' atas dasar kecewa atau sebagainya. Sebaliknya, memerlukan komitmen, nilai kepimpinan yang tinggi, faham tanggungjawab dan berada di landasan yang betul. Penganalisis politik, Datuk Dr. Zainal Kling melihat penglibatan artis tempatan dalam dunia politik tidak membawa sebarang masalah jika mereka faham apa yang diperjuangkan. "Jika diselak kembali lipatan sejarah mengenai artis dan politik, ini bukan sesuatu yang baharu. "Sesiapa sahaja boleh menceburi dunia politik. Tetapi sama ada mereka boleh memikul tanggungjawab itu yang menjadi persoalan. "Di peringkat antarabangsa, sudah banyak artis yang terlibat dengan dunia politik dan memegang jawatan yang tinggi dalam pentadbiran negara. "Seperti pelakon Ronald Reagan. Dia masuk politik bukan sekadar suka-suka. Dia masuk dengan matlamat dan akhirnya memegang jawatan tertinggi dalam negara sebagai Presiden Amerika Syarikat," jelasnya. Tambah Zainal, dunia politik terbuka kepada sesiapa sahaja, tetapi haruslah dengan pemikiran dan sumbangan terbaik. "Jika artis itu mahu menceburi politik, pemikiran dan sumbangan perlu dilakukan. Malah, harus tahu selok belok, sebab di Parlimen, yang dibicarakan ialah soal undang-undang yang akan menentukan dasar negara," ujarnya. Namun, tambahnya, jika penglibatan artis itu adalah kerana sifat ingin membangkang atas sesuatu perkara yang tidak dipersetujui, itu yang perlu dinafikan penglibatan mereka. "Sifat yang harus ada untuk terlibat dengan dunia politik ialah untuk membawa kemajuan terhadap orang yang diwakilinya. "Tetapi jika masuk hanya kerana ingin membangkang tanpa membawa sebarang idea baharu, itu yang jadi tidak betul," ujarnya. Menurut Dr. Zainal, berdasarkan pemerhatiannya. kebanyakan artis di negara ini terlibat dengan dunia politik sebenarnya bukan kerana minat. "Kebanyakan artis ini dipengaruhi oleh pihak lain. "Pihak ini mahu menggunakan pengaruh yang ada pada artis itu untuk mengukuhkan parti mereka. "Seharusnya artis kita cukup pendidikan untuk berfikir. "Jika mereka masuk hanya untuk memenuhkan ahli sesebuah parti tanpa sebarang idea untuk membangunkan masyarakat, lebih baik tidak payah," katanya. Menurut Zainal, tiga perkara asas perlu ada dalam diri seseorang itu sebelum mereka layak terlibat dalam dunia politik. "Pertama, perlu ada keupayaan untuk mengawal dan sebagainya. "Kedua kebolehan untuk menyampaikan idea baharu. Bukan sekadar menghentam dan membangkang sahaja, tetapi tidak tahu melontarkan idea untuk menambah kemajuan. "Akhir sekali ialah nilai kepimpinan dalam diri. Ciri-ciri kepimpinan perlu ada kerana bila terlibat dengan politik, mereka mewakili rakyat. "Kalau bercakap pun tidak tahu, datang di Parlimen hanya diam dan memenuhkan kerusi sahaja, hendak buat apa," tegasnya. Katanya, sekarang banyak parti yang merekrut artis untuk menjadi ahli dan terlibat dengan program kerana mereka tidak cukup perwakilan. "Sedangkan artis itu sendiri hendak bercakap pun tidak tahu. Itu yang menjadi masalah di negara kita," jelasnya. Jelas Dr. Zainal, matang atau tidak bukan menjadi persoalan, sebaliknya sama ada mereka benar-benar mampu menggalas tanggungjawab atau tidak. Menjadi ahli politik bakal memberikan kesan yang besar dan ia hanya boleh dikawal oleh artis itu sendiri. Jika mereka tahu apa yang mahu dilakukan dan apa matlamat perjuangan, maka itu bakal memberikan kesan positif, "Namun, jika mereka bertindak sebaliknya dan hanya tahu mengikut telunjuk atau hanya membangkang sahaja, ia boleh menjadi negatif," ujarnya. |
Posted: 16 Apr 2013 02:00 AM PDT Keluarga peminat kucing...Norlizawaty bersama anak-anak dan suaminya, Mohd. Helmie Musa bermesra dengan kucing-kucing peliharaan mereka. BAGI pasangan Norlizawaty Baharin, 29, dan suaminya, Mohd. Helmie Musa, 31, memelihara kucing bukanlah perkara baru dalam kehidupan harian mereka malah bermula sebelum mereka mendirikan rumah tangga lagi. Hari ini, setelah hampir enam tahun memelihara kucing, minat tersebut telah diwarisi kedua-dua anak kembar mereka, Darwisya Adriana dan Darwisya Sophia, setahun empat bulan. Ternyata apa yang dilakukan oleh pasangan ini bukan sahaja bertujuan untuk menjadikan kucing sebagai binatang peliharaan tetapi secara tidak langsung ia turut memberi pendapatan sampingan buat pasangan suami isteri ini. Menurut Norlizawaty atau lebih mesra disapa Liza, asalnya mereka hanya memelihara sepasang kucing baka Parsi yang diimport dari Rusia. Bermula dari situ mereka menambah seekor demi seekor dengan mendapatkan baka-baka kucing terbaik dari dalam mahupun luar negara apabila berkemampuan. Katanya lagi, kucing Parsi pertama yang diperoleh itu juga dijadikan induk bagi membiakkan lagi baka yang baik. Hari ini, pasangan yang bertugas sebagai guru di Putrajaya itu mempunyai 11 ekor kucing, lapan ekor betina (induk), dua ekor jantan dan seekor anak kucing. Asalnya sebelum berkahwin lagi kami sememangnya suka dengan kucing dan telah pun memelihara kucing di kediaman masing-masing. Tapi sebaik sahaja mendirikan rumah tangga, kami sepakat untuk membeli sepasang kucing Parsi yang boleh dijadikan induk. Dari situlah ia membiak dan jika mempunyai rezeki lebih kami akan membeli kucing-kucing baru untuk menambah koleksi," ujarnya ketika ditemui di kediaman mereka di Dengkil, Selangor, baru-baru ini. Tambah Liza lagi, perancangan awal mereka membeli kucing induk tidak sia-sia kerana secara tidak langsung kini menjadikan mereka adalah salah seorang pembekal baka kucing terbaik. Ulas pasangan tersebut, pasaran untuk anak-anak kucing sentiasa ada malah kini mereka bukan sahaja mempunyai pelanggan tetap tetapi turut menjadi tempat bagi pelanggan-pelanggan baru mendapatkan anak kucing dari baka tersebut. Begitupun menurut Liza, pasaran untuk penjualan anak kucing tersebut ada pasang surutnya malah ada kalanya mereka mampu menjual sehingga lima ekor dalam sebulan dan ada kalanya cuma seekor. Liza turut memberitahu ada juga di mana bulan-bulan tertentu mereka tidak mempunyai stok (anak kucing) untuk dijual kerana kehabisan. Bercerita lanjut mengenai penjagaannya pula, pasangan tersebut menjelaskan, menjaga kucing tidaklah sesusah mana malah rutin harian bermula pada waktu pagi dan kucing hanya diberi makan dua kali sehari. Menurut Liza, sekiranya kucing-kucing tersebut tidak begitu kotor, mereka hanya dimandikan sebulan sekali ataupun dua minggu sekali dan hanya dibawa berjumpa doktor sekiranya sakit. Bagaimanapun menurut Liza, keperluan kucing bukan sahaja dari segi tempat tinggal dan makanan, malah binatang peliharaan itu juga perlu dibelai dengan penuh kasih sayang. Perlu diingatkan bahawa kucing-kucing ini perlu diberikan perhatian dari aspek makanan, kebersihan dan kesihatan mereka. Dan untuk bulunya pula, ia perlu kerap disikat agar bulu yang mati akan gugur dan digantikan dengan yang baru. Kucing-kucing ini juga perlu diajak bermain untuk menunjukkan kasih sayang kita kepada mereka," katanya lagi. Menghabiskan dalam lingkungan RM1,000 sebulan untuk membeli makanan, pasir serta kelengkapan lain, pasangan ini mengakui kos memelihara kucing agak tinggi tetapi ia cukup berbaloi. Walaupun pasangan ini dilihat menjadikan kucing sebahagian daripada ahli keluarga mereka, tetapi tidak sewenang-wenangnya membenarkan kedua-dua anak mereka mendekati haiwan tersebut. Ini kerana menurut Liza, bulu kucing boleh menyebabkan batuk dan asma kepada yang alah dengannya. Yang pasti, memelihara kucing memerlukan komitmen dan tanggung jawab seperti menjaga seorang manusia. - MARIATUL QATIAH ZAKARIA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan