Selasa, 16 April 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Pemberita sambilan Utusan di Baling meninggal dunia

Posted: 15 Apr 2013 06:52 PM PDT

BALING 16 April - Wartawan sambilan Utusan Malaysia, Azman Md. Noor, 46, meninggal dunia ketika bersiap sedia untuk membuat liputan pengumuman calon Barisan Nasional (BN) di Anak Bukit, Alor Setar pagi ini.

Menurut isterinya, Rogayah Yahya, arwah menghembus nafas terakhir semasa menunggu rakannya Zamri Yaakob di rumahnya di Taman Mesra di sini untuk ke Alor Setar bagi membuat liputan tugasan tersebut.

Katanya, ketika kejadian, arwah bersendirian di rumah kerana beliau telah keluar untuk mengajar di sebuah sekolah di sini.

Sementara itu Zamri berkata, dia tiba di rumah itu kira-kira pukul 7.30 pagi dan mendapati arwah sudah meninggal dunia.

Allahyarham dikatakan mengidap kencing manis, buah pinggang dan darah tinggi. - ONLINE UTUSAN

Tiga lapis pertahanan di Esscom

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

Oleh SOFIAN BAHAROM
sofian.baharom@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 15 April - Tiga lapisan pertahanan utama telah digariskan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sebagai langkah proaktif membanteras kemasukan puak militan terutama pengganas Kiram di kawasan perairan negara.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, lapisan pertama ialah pengawasan melalui udara dan radar yang memperuntukkan setiap aset TLDM yang terlibat sentiasa bersiap siaga dari lokasi pemantauan.

Menurut beliau, lapisan kedua pula ialah gerakan formasi kesemua kapal peronda dan friget TLDM yang terlibat sebagai benteng penyekat, mengesan dan menahan mana-mana kapal yang berjaya memasuki perairan negara.

"Sementara itu, lapisan ketiga ialah operasi menentukan kedaulatan kita dikawal dengan ketat dan rapi melalui kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk menumpaskan sebarang ancaman.

"Kita tentukan ketiga-tiga lapisan pertahanan ini sebelum membenarkan mana-mana militan mencerobohi perairan kita. Jadi, ini adalah tiga lapisan yang kita gunakan, insya-Allah, kita akan mempunyai perairan yang selamat dan kondusif kepada sektor ekonomi dan juga industri pelancongan," katanya kepada pemberita dalam Wawancara Khas Panglima TLDM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz menjelaskan, sekiranya perlu, sebuah Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) akan ditubuhkan bagi memperkasakan laluan keselamatan khas di kawasan tersebut yang dipantau pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Ops Pasir.

"Kita tentukan dalam Esscom ditempatkan CIQ, kalau nak ikutkan CIQ ditubuhkan, mereka tidak dapat memasuki perairan Sabah. Apa yang penting, kita kena pastikan pedagang 'barter' tradisional di sekitar kawasan tersebut diberi kemudahan," ujarnya.

Abdul Aziz berkata, TLDM harus diberi peranan lebih besar dalam Esscom kerana pasukan tersebut mempunyai keupayaan yang tinggi dalam menjamin kedaulatan perairan negara daripada diancam pihak asing.

"Dalam apa-apa keadaan sekalipun, apa yang patut ditentukan ialah kita menghalang sebarang kemasukan ancaman asing.

"TLDM memainkan peranan yang besar dalam menentukan kemasukan tidak berlaku, justeru, kita meminta diberi lebih peranan dalam sebarang operasi pemantauan perairan negara," ujarnya.

Operasi Daulat diteruskan sehingga Esscom ambil alih - PTD

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

LAHAD DATU 15 April — Operasi Daulat masih diteruskan sehingga penyeliaan dan pengawasan operasi itu diambil alih Kawasan Khas Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom), kata Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.

Beliau berkata, ketika ini pegawai tentera daripada Esscom sedang membuat pembelajaran dan mendapatkan maklumat mengenai bagaimana Operasi Daulat dilaksanakan.

"Operasi Daulat ini diteruskan... akan diserahkan penyeliaan dan pengawasan operasi ini kepada Esscom secara berperingkat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Zulkifeli memberitahu, jumlah anggota tentera di Lahad Datu akan dikurangkan dan akan mengatur gerak mereka ke kawasan lain seperti Semporna dan Sandakan secara beransur-ansur.

"Semasa Operasi Daulat berlangsung, seramai 3,500 anggota tentera ditugaskan di sini dan pada hari ini, kira-kira 2,500 masih ditempatkan di sini. Begitu juga dengan kereta perisai, kita akan kurangkan perlahan-lahan," katanya.

Zulkifeli berkata, beliau dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar akan meninjau tahap keselamatan di sekitar kawasan ini sebelum mengesyorkan kepada kerajaan bagi penyerahan rasmi Operasi Daulat kepada Esscom.

"Saya akan berbincang dengan Ketua Polis Negara dan kami bersama-sama akan membuat 'cadangan' kepada kerajaan mengenai perkara ini (syor penyerahan rasmi)," katanya sambil menambah satu perbarisan simbolik penamatan atau penyerahan rasmi operasi itu kepada Esscom akan diadakan.

Sementara itu, Zulkifeli berkata satu kem tetap akan diwujudkan di kawasan Felda Sahabat di sini dengan kerjasama Felda.

"Saya telah berbincang dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan telah mendapat persetujuan secara dasarnya bahawa kita akan bina satu kem tetap di sini. Saya dan Felda akan mengenal pasti beberapa lokasi yang sesuai untuk dirikan kem ini," katanya.

Mengenai Kampung Tanduo, antara lokasi pertempuran insiden pencerobohan pengganas Sulu, Zulkifeli berkata tentera masih berkawal di kawasan itu walaupun sudah tidak ada ancaman.

Mengenai Esscom, katanya penubuhan organisasi itu dilihat lebih fokus, struktur yang lebih mantap dan tersusun dan akan dapat menentukan kesinambungan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved