Utusan Online - Rencana |
Muhasabah akhir tahun, bina harapan pada tahun baru Posted: Muhasabah akhir tahun, bina harapan pada tahun baruDATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR TAHUN baharu menjelang tiba, namun rentetan peristiwa yang berlaku pada tahun 2011 meninggalkan banyak kenangan pahit dan manis. Semuanya adalah rencah dan rencam kehidupan yang perlu kita fahami bagi membolehkan menjadikannya sebagai ikhtibar untuk masa depan. Sejak permulaan 2011 lagi seluruh dunia dikejutkan dengan pelbagai bentuk bencana dan kerakusan moral manusia sehingga ke akhirnya masih tidak menunjukkan adanya tanda-tanda akan reda. Revolusi yang menimpa negara-negara Arab masih belum sepenuhnya kembali normal, bahkan gelora berontak rakyatnya semakin sukar untuk distabilkan kepada keadaan sebelumnya. Bencana alam yang menimpa beberapa negara turut meninggalkan trauma yang besar apatah lagi dalam tempoh kurang dari setahun berlaku gempa bumi berikutnya sebagaimana terjadi di Christchurch, New Zealand. Masyarakat yang menghuni kawasan terbabit sentiasa berada dalam ketakutan. Bencana berkembar yang menimpa Jepun turut menghimpitkan kehidupan sehingga sebahagian besar masyarakat Fukushima dan Niigata terpaksa membina semula dengan jerih payah. Kehilangan harta benda tidak dapat dilupa bahkan kehilangan sanak-saudara terus menjadi emosi sedih menyelubungi kenangan sepanjang hayat. Thailand terbelenggu dengan kemusnahan yang besar akibat banjir yang melanda kota Bangkok selama lebih sebulan menyebabkan kerugian melampaui ratusan juta dolar. Bahkan fenomena air pasang besar yang melanda Kelantan, Johor, Terengganu dan Pahang menjadikan penghuni sekitar pantai sentiasa cemas. Kini diramalkan kejadian yang sama bakal menimpa pesisir pantai Sarawak dan Sabah. Dalam perspektif Islam, setiap bencana yang melanda dilihat sebagai satu kaedah bagaimana Allah SWT menguji kesabaran dan sikap pasrah dirinya. Bencana boleh dinilai sebagai perencah yang boleh menambahkan keimanan seseorang malah malapetaka itu juga boleh ditinjau dalam persekitaran kealpaan manusia terhadap keharmonian alam sekitar. Lebih menyedihkan ialah bagaimana manusia turut melakarkan ke arah kehidupan yang serakah dan penuh kepalsuan sehingga sanggup melanggar nilai adat dan etika. Mereka yang berkuasa, sanggup melakukan "penjualan maklumat dari dalam" sehingga membolehkan kenalan atau kroninya membida sesuatu tender dengan tawaran yang lebih baik, sedangkan keupayaan fizikalnya amat terhad. Mereka yang melaksanakan urusan pemberian kontrak sanggup menerima tawaran daripada para pelobi dengan sedikit imbuhan manakala ada juga yang menubuhkan syarikat tertentu atas nama sanak saudaranya yang terdekat semata-mata inginkan projek terbabit. Bencana yang dimaksudkan itu menggambarkan betapa menipisnya moral seseorang, termasuk tokoh agama. Tokoh agama sanggup berbohong dan bahkan melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa. Dalam hal ini, ia bukan sahaja membantu membentuk imej buruk orang tertentu, bahkan organisasi yang berada di sekelilingnya. Institusi agama turut menerima tempias, kerana ada segelintir pemimpinnya sanggup menipu atas alasan kepentingan agama. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman: "Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa urusan harta itu kepada Hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan jalan dosa. Padahal kamu mengetahui. " (Al-Baqarah [2] : 188) Kita tidak mengharapkan sesetengah bencana itu berlaku ke atas diri mahupun keluarga kita, tetapi ia boleh berlaku juga atas kesilapan diri kita sendiri. Dengan menurunkan bencana, Allah SWT sebenarnya memberikan petunjuk bahawa atas kedegilan itulah dunia bakal musnah dan kehidupan berkecai. Namun, ketika ditimpa musibah, manusia begitu mengharapkan belas ihsan Allah SWT agar ia dihentikan secepat mungkin sebagaimana trauma manusia ketika dilanda tsunami tujuh tahun lalu. Musibah juga merupakan petanda akan datangnya limpahan rahmat Allah. Betapa pahit dan getirnya musibah yang menimpa, baik berupa kemiskinan, kesakitan, ketakutan, kegagalan mahupun semua bencana di dunia ini, Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi ad-Dansyaqi menjelaskan di dalam kitabnya Mau'idhatul Mu'minin bahawa di dalamnya mengandungi lima perkara yang sepatutnya disyukuri. Pertama, memberikan kita pengertian bahawa musibah itu adalah hakikat kebesaran Allah SWT. Kedua,musibah yang menimpanya itu tidak membabitkan urusan agama. Ketiga, musibah yang menimpanya pada ketika dia masih berada di dunia adalah lebih ringan berbanding ketika di akhirat. Semasa dilanda musibah di dunia, manusia masih mempunyai peluang untuk mengatasinya, tetapi di akhirat peluang itu tertutup sepenuhnya. Keempat, sejak azali lagi setiap musibah itu telah tertulis di lohmahfuz, jauh sebelum kelahiran seseorang itu lagi. Kelima, apabila kita dapat menerima musibah dengan sabar dan tenang, kita sebenarnya berupaya lahir sebagai orang kuat dan yakin dengan ketentuan Allah SWT, yakni menerima suratan takdir. Dalam meneruskan kehidupan ini, kita harus bersyukur kerana kita dilahirkan dalam sebuah negara (Baldatun Thoiyyibatun) yang dilimpahi nikmat kekayaan, jauh daripada malapetaka alam yang besar dan sentiasa dilingkari kedamaian. Secara lahiriah, kemakmuran boleh dilihat dengan jelas, namun tidak mampu melahirkan ketenangan dan kebahagiaan. Sebaliknya, mereka dilanda gelisah, cemas, bimbang dan takut. Ada juga manusia berpura-pura hidup dalam keadaan tenang dan makmur, tetapi dalam hati kecilnya penuh dengan kebimbangan, ketakutan dan rasa cemas. Bencana juga turut dikaitkan dengan aktiviti yang berkaitan dengan kemaksiatan, sehingga tidak ada yang mampu mencegahnya dan tidak ada pula yang mampu mengajaknya ke jalan yang benar. Amar makruf nahi mungkar adalah dua perkara yang harus dilakukan bersama. Amar makruf nahi mungkar yang dilakukan oleh pemerintahan itu berupaya membimbing atau mengajak rakyatnya bersungguh-sungguh dalam menegakkan peraturan dan undang-undang tersebut. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Selamatkan Madrasah SalihiahOleh ZULKIFLEE BAKARpengarang@utusan.com.my ESOK (Sabtu) isu penentangan terhadap cadangan merobohkan Madrasah Salihiah, Kanchut, Alor Setar untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah kompleks beli-belah akan sampai ke kemuncaknya. Ia berikutan satu himpunan yang turut diiringi dengan solat hajat akan diadakan oleh Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS) bermula pukul 12 tengah hari hingga 5 petang. Himpunan berkenaan bukanlah bertujuan untuk menentang apatah lagi membantah keputusan Majlsi Fatwa Kedah tetapi berusaha sedaya upaya memohon agar kerajaan Pas Kedah memikirkan kembali keputusan yang telah dibuat. Majoriti umat Islam Kedah percaya bahawa keputusan merobohkan madrasah tersebut masih boleh diubah, jika Kerajaan Pas Kedah bersedia bertolak-ansur dan lembut hati. Oleh kerana segala permintaan, rayuan dan desakan mereka seolah-olah tidak mahu didengari dan dipertimbangkan oleh kerajaan negeri, maka umat Islam yang menyokong madrasah berkenaan terus wujud tiada pilihan lain. Sebab itulah mereka mengadakan himpunan esok dan seterusnya diikuti oleh solat hajat bagi memohon pertolongan Allah SWT agar madrasah berkenaan diselamatkan daripada sebarang tindakan atas nama pembangunan. Sememangnya kita 'kagum' dengan ketegasan Dewan Pemuda Pas kawasan Alor Setar yang tampil membuat laporan polis bagi menghalang himpunan tersebut diadakan. Tetapi kita juga ingin bertanya, apakah Dewan Pemuda Pas berkenaan sudah bertemu dengan penduduk di kawasan madrasah itu bagi mendapatkan pandangan mereka? Tidak salah untuk Dewan Pemuda Pas menyokong keputusan Majlis Fatwa Kedah tetapi pernahkah mereka melahirkan cadangan kepada kerajaan negeri di bawah penguasaan pemimpin-pemimpin mereka untuk mengkaji semula cadangan merobohkan madrasah tersebut? Sebagai anak Kedah penulis juga ingin bertanya, di manakah suara Dewan Pemuda Pas apabila terdapat masjid, surau dan madrasah di negeri itu dicemari oleh syarahan, kuliah dan khutbah berbaur politik? Penulis bukan sahaja membaca berita mengenai perkara ini, malah mengalaminya sendiri apabila bersolat di sebuah masjid di kawasan Parlimen Merbok setiap kali pulang ke kampung. Di salah sebuah masjid di kawasan berkenaan, boleh dikatakan setiap minggu mereka menjemput ustaz-ustaz atau penceramah yang menyelitkan unsur politik menyokong pembangkang dalam ceramah atau kuliah mereka. Soalnya, di mana suara Dewan Pemuda Pas dalam perkara ini? Malahan penulis juga ingin tahu, bagaimana kalau Madrasah Salihiah ini jawatankuasanya terdiri daripada pemimpin dan penyokong Pas, apakah Dewan Pemuda Pas akan menyokong cadangan merobohkan premis tersebut. Dan sekali lagi, penulis juga ingin bertanya apakah Dewan Pemuda Pas akan duduk diam kalau cadangan merobohkan madrasah berkenaan datang daripada kerajaan negeri atau kerajaan pusat di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan UMNO. Adakah ketika itu Dewan Pemuda Pas akan meminta semua pihak menghormati keputusan Majlis Fatwa Kedah? Penulis percaya, Dewan Pemuda Pas begitu beria-ia dalam isu ini kerana merasakan cadangan merobohkan madrasah tersebut sudah mula memberi tamparan kepada kerajaan negeri pimpinan Pas. Mereka faham jika isu ini tidak dikendali dengan betul, ia boleh mendatangkan bahaya kepada kerajaan Pas yang sememangnya dilihat semakin tidak bermaya di Kedah. Justeru kita ingin berpesan kepada Dewan Pemuda Pas kawasan Alor Setar, janganlah hipokrit, kalau benar kalian adalah pejuang Islam dan begitu menghormati Majlis Fatwa Kedah maka bertindak adil dalam semua perkara termasuklah patuh kepada arahan agar masjid, surau dan madrasah tidak dipolitikkan. Kepada umat Islam di Kedah, janganlah tergugat dengan tindakan Dewan Pemuda Pas tersebut, dalam sebuah negara demokrasi mereka berhak membuat laporan polis tetapi dalam amalan demokrasi juga rakyat berhak melahirkan pendapat mereka. Tujuan perhimpunan itu bukan bertujuan membantah apatah lagi menentang Majlis Fatwa Kedah, semua umat Islam di negeri berkenaan sentiasa menghormati majlis tersebut. Namun begitu kita juga yakin bahawa majlis itu pasti akan menimbang semula keputusannya jika ada usaha bersungguh-sungguh oleh Kerajaan Pas Kedah untuk mengubah cadangan merobohkan madrasah tersebut. Tetapi malangnya, kita tidak nampak usaha itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abd. Razak tegas dengan pendirian beliau untuk meneruskan perancangan yang telah dibuat. Sebab itulah, dalam melahirkan pendapat dan penentangan terhadap cadangan tersebut tidak ada siapa pun menyalahkan Majlis Fatwa Kedah, sebaliknya merayu kepada Kerajaan Pas Kedah yang pasti mempunyai kuasa menghalang Madrasah Salihiah menjadi 'debu' dan tinggal nama sahaja. Atas sebab itulah, kepada umat Islam Kedah tanpa mengira apa juga fahaman politik mereka, ayuh! mari selamatkan Madrasah Salihiah. Jangan biarkan madrasah bersejarah tersebut menyembah bumi hanya disebabkan hasrat mewujudkan sebuah kompleks beli-belah. Mereka perlu menunjukkan muafakat dan kesatuan dalam soal ini kerana cadangan merobohkan madrasah berkenaan masih boleh dielakkan. Umat Islam perlu memberi isyarat kepada kerajaan negeri supaya jangan terlalu angkuh dengan kuasa yang ada sehingga tidak bersedia untuk menimbangkan bantahan yang semakin memuncak setiap hari. Pembinaan hanya sebuah kompleks beli-belah tidak akan mampu memberi apa-apa pun signifikan pembangunan di Kedah. Apatah lagi di negeri berkenaan sememangnya sudah bersepah kompleks seumpama itu. Pergi sahaja ke Sungai Petani yang merupakan bandar kedua terbesar di negeri jelapang padi tersebut, berlambak-lambak premis berkenaan diwujudkan bak kata orang Kedah, 'jenuh nak pi'. Oleh itu, kenapa perlu lagi kompleks beli-belah hendak didirikan? Banyak sangatkah pelancong atau pengunjung pergi ke kompleks-kompleks beli-belah di negeri tersebut sehinggakan terpaksa merobohkan madrasah bagi 'memenuhi permintaan pelanggan'. Mungkin umat Islam tidak akan membantah jika tapak madrasah itu mahu dibangunkan kompleks pusat Islam memandangkan Kedah diperintah oleh sebuah parti yang menguar-uarkan mereka memperjuangkan Islam. Tetapi apa yang hendak dilakukan ialah robohkan madrasah, bina kompleks beli-belah! Apakah mungkin inikah contoh konsep negara berkebajikan yang akan mula menjadi dasar baru perjuangan Pas? Sukar dipastikan, apa yang nyata umat Islam di Kedah tanpa mengira apa juga fahaman politik dan mempunyai kelapangan harus bersama-sama ke Madrasah Salihiah esok. Marilah tunjukkan kesatuan, perpaduan dan bantahan kita agar Madrasah Salihiah Kancot dapat diselamatkan daripada 'keghairahan' perancangan atas nama pembangunan. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan