Utusan Online - Keluarga |
Cabaran kreatif jeli acuan pewter Posted: Cabaran kreatif jeli acuan pewterOleh NOOR FAZRINA KAMAL Terri Ng (kanan) berkongsi pengetahuan membuat jeli yang menarik dengan para tetamu. BUKAN mudah menyiapkan hidangan enak untuk keluarga setiap hari apatah lagi menghasilkan sesuatu yang kreatif dan lazat selama 30 hari berturut-turut. Namun inilah cabaran yang telah disahut oleh 10 penulis blog dari Malaysia, Indonesia, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat dalam cabaran yang dinamakan Jelliryfic. Mereka menyahut cabaran mencipta pelbagai resipi baru dan kreatif menggunakan acuan jeli pewter dari Royal Selangor selama 30 hari berturut-turut. Acuan jeli tersebut direka eksklusif untuk syarikat pewter berprestij itu oleh pereka Inggeris, Nick Munro dengan tema Cinta, Kehidupan dan Jenaka. Cabaran yang diberi nama Siapkan Jeli Anda dalam 30 Hari telah diadakan sempena bulan kesedaran tentang kanser payu dara pada Oktober lalu. Penulis blog diberi hama Hunger Hunger yang juga ibu kepada tiga anak, Terri Ng muncul sebagai juara. Wanita berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu, telah mencipta resipi yang unik dan mempunyai sentuhan peribadinya sendiri. "Walaupun sibuk dengan urusan harian saya akan pastikan saya menghasilkan jeli yang cantik sempurna. Jika tidak berpuas hati saya akan menghasilkan cubaan kedua, ketiga sehingga saya benar-benar berpuas hati dengan rekaan yang dihasilkan," jelas suri rumah ini. Terri berkata, dia sungguh gembira dan sangat berterima kasih kepada pembaca dan pengikut setia blognya yang telah memberi banyak cadangan serta sokongan sepanjang pertandingan tersebut. "Walaupun kami tidak pernah bertemu, semangat dan kepercayaan yang para pembaca blog saya beri begitu meyakinkan dan saya sedaya upaya tidak mahu mengecewakan mereka," katanya. Menceritakan pengalamannya sepanjang pertandingan tersebut, Ng sentiasa mencabar dirinya untuk menghasilkan resipi yang bagus menggunakan acuan jeli dari Royal Selangor. Dua daripada 30 rekaan unik dan istimewanya adalah puding Krismas yang dihias menyerupai pokok krismas dan Dragon' s Jelly. Untuk Dragon's Jelly yang dicipta sempena sambutan Halloween, Ng telah menggunakan buah longan bagi mendapatkan efek biji mata. Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh Billy Law, seorang warga Australia yang dilahirkan di Malaysia dan bekas peserta Masterchef Australia. Law yang sememangnya pakar dalam penghasilan pencuci mulut, begitu teruja menghasilkan inovasi untuk jelinya. Untuk ciptaan pertamanya yang diberi nama Jeli Susu Kacang Soya, Law telah membuat sebuah video yang menunjukkan jeli tersebut menjalani 'ujian getar' dengan meletakkannya di atas sebuah penguat audio. Law cukup konsisten dengan mencipta sebuah pencuci mulut setiap hari dan kesemuanya menjalani 'ujian getar'. Kedua-dua pemenang ini hadir pada majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Royal Selangor, Kuala Lumpur. Pada majlis tersebut mereka turut berkesempatan berkongsi pengetahuan bersama para tetamu yang hadir dengan mengendalikan bengkel membuat jeli. Sementara itu, Pengurus Besar Royal Selangor International, Yong Yoon Li berkata, pihaknya cukup gembira dengan kempen cabaran melalui Internet yang pertama kali dilaksanakan itu. "Dengan kejayaan cabaran ini kami akan meneruskan lagi kempen menerusi Internet pada masa akan datang. "Setiap penulis blog telah menunjukkan dedikasi terhadap pertandingan ini. Mereka berjaya menggunakan acuan jeli tersebut untuk mencipta pelbagai jenis hidangan," ujarnya. Dalam pada itu Royal Selangor juga akan mendermakan sebanyak RM80 daripada setiap jualan acuan jeli yang berharga RM290 kepada Persatuan Kebajikan Kanser Payudara. Acuan jeli ini juga boleh dibeli di kedai jualan Royal Selangor dan juga di laman web www.royalselangor.com Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Buah tangan buat tetamuASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera kepada semua pembaca ruangan ini. Dua hari lagi kita akan melangkah ke tahun 2012. Apabila tiba hujung tahun sahaja pasti ada yang mengambil kesempatan untuk melakukan majlis keraian. Lebih-lebih lagi ketika ini kita masih lagi dalam suasana cuti sekolah dan keraian yang paling menonjol orang buat adalah majlis perkahwinan. Majlis yang diuruskan pasti meriah dengan acara menjamu makan dan memberi buah tangan. Sesetengah orang pasti akan berasa majlis tidak lengkap jika tidak dibekalkan tetamu dengan buah tangan, betul tak? Kali ini saya ingin bercerita tentang amalan menjamu dan memberi buah tangan kepada tetamu. Memang sudah menjadi kemestian tidak kira majlis itu kecil-kecilan atau besar orang akan bercakap tentang makanan yang disajikan. Tidak terkecuali topik buah tangan. Ia juga turut akan menjadi cerita jika ada buah tangan dibekalkan. Pelbagai jenis lauk pauk akan disajikan kepada tetamu dan sebagai tuan rumah yang meraikan majlis kita pasti mahukan makanan yang disajikan itu mendapat pujian daripada tetamu. Sedap telinga kita dengar jika ada tetamu yang memuji makanan dalam majlis kita itu sedap. Dalam memilih menu anda perlu memilih padanan menu yang lengkap dan sesuai. Jika anda memilih katering untuk menyediakan makanan lebih baik anda bertanya dan membuat kaji selidik tentang prestasi katering itu. Dengan itu tanyalah kepada rakan-rakan atau saudara mara kerana mungkin mereka ada beberapa katering yang bagus yang dapat menyediakan makanan yang sedap. Bermacam-macam buah tangan akan disediakan untuk diberikan kepada para tetamu yang hadir. Selalunya buah tangan ini akan diletakkan di dalam beg kertas atau plastik supaya mudah dipegang dan dibawa. Ia bergantung juga kepada kemampuan pasangan yang mendirikan rumah tangga. Sebenarnya tidak kira ia mahal atau pun murah apa yang penting keikhlasan untuk memberi. Makanan merupakan pilihan yang sering dipilih untuk diberikan sebagai cenderahati. Anda boleh memilih apa jenis sekali pun cenderahati sama ada makanan atau pun bukan makanan. Jika makanan yang dipilih anda boleh memberikan kuih-kuih tradisional seperti baulu, rempeyek atau aneka kek seperti kek buah yang dibungkus kecil-kecil. Walaubagaimanapun, saya sangat tertarik kepada kek cawan yang diberikan dalam bekas plastik tahan gelombang mikro. Ini adalah antara pemberian yang juga menjadi kegemaran pasangan mempelai di hari persandingan. Kek cawan dalam bekas plastik ini bukan sahaja dibuat untuk hari perkahwinan tetapi sesuai dibuat untuk kenduri-kenduri biasa seperti kenduri kesyukuran, berkhatan, cukur jambul dan sebagainya. Pertama kali melihat kek ini dalam fikiran saya bagaimana mereka boleh membuat kek dalam bekas plastik? Tidak cair ker bekas plastik itu ketika ia dibakar? Sebenarnya kek yang dimasak dalam bekas plastik itu tidak dibakar di dalam ketuhar tetapi ia dikukus jadi kebanyakan kek cawan plastik sebenarnya adalah kek kukus. Saiznya tidaklah sebesar mana. Kos membuatnya juga tidaklah mahal. Tetapi anda boleh membuat untung jika anda menjual kek cawan plastik. Jadi jika anda ingin membuat kek ini untuk dijadikan sebagai perniagaan untuk majlis keraian atau mungkin anda sendiri ingin membuatnya sebagai buah tangan kepada tetamu anda apa kata anda cuba resipi minggu ini. Tip paling penting membuat resipi minggu ini adalah jangan letakkan adunan lebih dari setengah bekas kerana kek cawan dalam bekas plastik ini perlu ditutup. Anda boleh menggunakan dua jenis topping yang saya kongsikan mengikut cita rasa anda. Dengan ini saya mengucapkan selamat mengadakan kenduri. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan