Utusan Online - Pahang |
- Empower lonjak akademik pelajar
- Bersama jayakan kempen penurunan harga
- Ibu tunggal terima rumah bantuan JKKK Kg. Penak, GiatMara
Empower lonjak akademik pelajar Posted: Empower lonjak akademik pelajarOleh SALEHUDIN MAT RASAD Ho Khai Mun (dua dari kanan); Toantowee Mohd. Lotfie (dua dari kiri), Zulkifli Yaacob (tengah) dan K. Suraindran bersama pelajar cemerlang UPSR daerah Bentong pada program Empower Bentong di Felda Lurah Bilut, Pahang, semalam. BENTONG 27 Dis. - Program latihan kemahiran akademik tajaan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) terbukti berjaya meningkatkan pencapaian akademik pelajar di luar bandar di negeri ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lurah Bilut, Datuk Ho Khai Mun berkata, ini dapat dilihat menerusi peningkatan pencapaian pelajar terlibat dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). ''ECERDC sangat bijak mengeksploitasi potensi diri pelajar di tiga daerah iaitu Temerloh, Bentong dan Lipis. Ini dibuktikan seramai 512 orang lulus dalam UPSR 2011. ''Daripada bilangan itu seramai 79 orang atau 15 peratus mendapat keputusan A dalam semua subjek yang diambil iaitu 38 orang di Temerloh, 24 pelajar di Lipis dan 17 pelajar di Bentong,'' katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penghargaan kepada pelajar cemerlang UPSR 2011 peringkat daerah Bentong tajaan ECERDC di Felda Lurah Bilut dekat sini, baru-baru ini. Hadir sama, Pegawai Daerah Bentong, Datuk Toantowee Mohd. Lotfie, Pengurus Besar Sosial ECER, Zulkifli Yaacob dan Pengarah Pertubuhan Kemajuan Sosial Malaysia (PKSM), K. Suraindran. Seramai enam pelajar yang memperolehi 5A dan 7A menerima barangan berupa peralatan sekolah, pakaian, buku dan sijil di samping wang tunai bagi perbelanjaan awal sesi persekolahan 2012. Mereka yang mendapat pengiktirafan ECERDC itu ialah Mohd. Sukri Irwan Sabri, Syakirah Maryanty Abdullah, Wong Jing Wen, Chap Lap Fooong, P. Lavanya Laksmi dan M. Kaarrtini. Sementara itu, Zulkifli berkata, program Empower terdiri daripada dua program utama iaitu latihan kemahiran akademik dan latihan kemahiran keusahawanan membabitkan 900 peserta. Katanya, kursus kemahiran yang dilaksanakan antaranya ialah solekan dan tatarias pengantin, pembuatan kek, jahitan dan rekaan fesyen, dandanan rambut, masakan, pendawaian dan kerja-kerja pemasangan paip. Jelasnya, penanda aras ditetapkan menerusi program ini ialah kejayaan 80 peratus peserta dapat memulakan perniagaan dengan pendapatan tambahan antara RM800 dan RM1,500 sebulan. ''Program Empower mempunyai dua misi iaitu mengajar kemahiran terbaru agar golongan sasaran dapat mencari pekerjaan lebih baik dan memenuhi keperluan modal insan," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
Bersama jayakan kempen penurunan harga Posted: Bersama jayakan kempen penurunan hargaJERANTUT 27 Dis. - Pengusaha pasar raya di negeri ini diminta memainkan peranan proaktif bersama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri bagi menjayakan kempen penurunan harga untuk keselesaan orang ramai berbelanja. Pengarah PPDNKK negeri, A. Aruwan Ab Aziz, berkata, sehingga kini 12 kempen penurunan harga telah dilaksanakan dengan program terakhir pada tahun ini berlangsung di sebuah pasar raya di Raub. Beliau berkata, kempen yang bermula akhir bulan November hingga Januari depan membabitkan pasar raya yang diberi sijil Kedai Harga Patut, iaitu sebuah di bandar Kuantan, Temerloh (lima), Raub (empat) dan masing-masing sebuah di Jerantut serta Bera. ''Kempen yang dilaksanakan ini untuk membantu pengguna berbelanja dengan harga berpatutan di samping bijak memilih barang yang berkualiti untuk keperluan keluarga. ''Kita berharap pasar raya terbabit memenuhi peraturan kawalan harga kementerian sekali gus membolehkan pengguna dan penduduk di kawasan berkenaan mendapat harga yang murah," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kedai Harga Patut dan Jualan Kembali Ke Sekolah di Pasar Raya TF Value-Mart, di Bandar Baru Inderapura, di sini baru-baru ini. Pada majlis itu, A. Aruwan juga menyampaikan pakaian seragam dan peralatan persekolahan sumbangan TF Value-Mart kepada seramai 80 pelajar miskin menerusi wakil Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Jerantut. Hadir sama Pengurus Pemasaran TF Value-Mart, Yeoh Kee Seng dan Ketua Cawangan PPDNKK Jerantut, Che Hanafi Mamat. Menurut beliau, konsep kedai harga patut di pasar raya terpilih negeri ini juga untuk membantu ibu bapa berjimat persiapan pakaian seragam sekolah dan peralatan belajar untuk anak masing-masing pada sesi persekolahan tahun depan. Terdahulu, A. Aruwan berkata, usaha Pasar Raya TF menyumbangkan pakaian seragam sekolah dan peralatan belajar kepada pelajar miskin amat dihargai. Tambahnya, semua pengusaha pasar raya di negeri ini sewajarnya meneladani usaha TF Value-Mart bandar ini menerusi program kebajikan dan kemanusiaan sejajar pengisian konsep 1Malaysia. Full content generated by Get Full RSS. |
Ibu tunggal terima rumah bantuan JKKK Kg. Penak, GiatMara Posted: Ibu tunggal terima rumah bantuan JKKK Kg. Penak, GiatMaraTEMERLOH 27 Dis. - Seorang ibu tunggal di Kampung Penak, Mentakab di sini tidak pernah bermimpi mendapatkan sebuah rumah yang selesa memandangkan kesempitan hidup yang dilaluinya sekeluarga. Namun, Siti Esah Mohamad, 53, kini boleh menarik nafas lega apabila menerima sebuah rumah baru hasil keprihatinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersama GiatMara yang membantu membina sebuah rumah baru di belakang rumah lamanya. Menurut Siti Esah, sebelum ini, jika hujan mereka sekeluarga tidak dapat duduk di dalam rumah lamanya kerana atap bocor dan strukturnya juga sangat uzur. "Selama ini memang saya tidak pernah bermimpi mendapat sebuah rumah baru kerana kehidupan kami sangat susah. Saya tidak bekerja dan hanya ditanggung oleh anak-anak lelaki saya selepas kematian suami. "Saya mempunyai sembilan orang anak dan dua orang anak perempuan saya sudah mendirikan rumah tangga. Saya tinggal bersama tujuh anak lelaki dan seorang daripadanya adalah orang kurang upaya (OKU)," katanya ketika ditemui di Mentakab dekat sini, baru-baru ini. Penyerahan kunci rumah tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong. Hadir sama, Pengurus GiatMara Temerloh, Lokman Awang dan Pengerusi JKKK kampung tersebut, Abdul Rahman Omar. Siti Esah berkata, anaknya yang tergolong sebagai OKU itu mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Menurutnya, dia bergantung hidup pada anak-anak lelakinya yang membuka bengkel di hadapan rumah secara kecil-kecilan. "Apa yang menyedihkan saya, semua anak-anak saya tidak pernah bersekolah kerana kesempitan hidup. Alhamdulillah, walaupun begitu mereka ada kemahiran dan membuka bengkel," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan