Jumaat, 30 Disember 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Bekas suami selalu kata tidak ada duit

Posted:

Bekas suami selalu kata tidak ada duit

Bekas suami selalu kata tidak ada duit

PERCERAIAN itu sebenarnya pahit tetapi ada manisnya bagi seorang wanita yang sepanjang hidup berumah tangga sering berendam air mata kerana perbuatan suami.

Biarpun mungkin gembira kerana bebas daripada cengkaman suami, tentunya masalah mengurus anak-anak juga menjadi beban.

Demi masa depan anak, isteri dan ibu tidak akan tergamak mengabaikan mereka walaupun kehidupan perit dan memerlukan pengorbanan yang cukup tinggi.

Berbeza dengan kebanyakan suami yang mengambil sikap lepas tangan dan tidak peduli kebajikan anak-anak terutama pelajaran mereka.

Begitulah luahan hati Farhana (bukan nama sebenar), ibu tunggal beranak tiga kepada saya menerusi e-mel.

Farhana amat kecewa dengan sikap bekas suaminya yang langsung tidak bertanya khabar dan mengambil tahu kebajikan anak mereka seramai dua orang dengan alasan dia sekarang sudah ada keluarga baru yang perlu diutamakan.

Jika dia ada anak-anak dengan keluarga baru, anak dengan bekas isteri bagaimana? Bukankah itu juga tanggungjawabnya?

Kita ikuti kisah Farhana yang dikirim melalui e-mel kepada saya:

"Saya seorang ibu tunggal berusia lewat 30-an dan mempunyai dua orang anak berusia 10, dan 8 tahun yang sedang bersekolah.

"Saya bernikah dengan Amin (bukan nama sebenar) atas dasar suka sama suka dan direstui keluarga. Sayangnya selepas anak kedua lahir, suami buat hal. Dia bermain kayu tiga dengan saya dan menjalin hubungan cinta dengan seorang GRO.

"Sejak berkenalan dengan GRO itu, Amir berubah menjadi panas baran dan selalu memukul saya dan anak-anak.

"Saya cuba bersabar dan berdoa agar dia berubah, malangnya keadaan semakin teruk. Amin tidak lagi menghormati saya sebagai isteri. Tutur katanya juga berubah menjadi kasar.

"Saya masih bertahan sehingga anak kedua kami lahir dengan harapan dia akan berubah. Setiap malam dia balik lewat, hujung minggu pula jarang melekat di rumah.

"Ketika anak kedua kami berusia 5 tahun, kesabaran saya sampai ke kemuncak. Amin tidak pulang ke rumah berminggu-minggu kerana melayan kekasih hatinya itu.

"Kehidupan saya mula terjejas. Anak-anak terbiar dan saya tidak dapat menampung hidup hanya dengan duduk di rumah. Lalu saya minta kerja di sebuah kedai menjual pakaian untuk menampung hidup kami.

"Apabila Amin mendapat tahu, dia marah dan mengamuk. Katanya saya ingin mencabar dia untuk bebas keluar rumah sedangkan tujuan saya hanya untuk mencari rezeki untuk kami tiga beranak kerana dia tidak memberi duit nafkah untuk anak-anak.

"Saya tidak lagi boleh harapkan dia untuk menyuap nasi ke mulut anak-anak saya. Biarpun susah saya tidak pernah beritahu keluarga dan mentua sebab tidak mahu kecoh.

"Dengan gaji yang saya peroleh, dapatlah saya tampung belanja rumah dan perbelanjaan sekolah anak-anak.

"Apabila Amin balik dia marah kerana saya tidak ada di rumah, anak-anak dibiarkan sendiri katanya sedangkan saya telah siap memasak makanan untuk mereka sebelum pergi kerja. Lagipun anak-anak sudah besar.

"Satu hari dia datang mengamuk di kedai tempat saya kerja. Malunya saya Allah sahaja yang tahu. Dia maki hamun saya, hina saya depan orang ramai.

"Dalam keadaan marah itu, dia telah menjatuhkan talak satu terhadap saya. Terkejut saya bukan kepalang tetapi saya reda dengan keputusannya itu.

"Saya menangis sepanjang hari. Tuan punya kedai itu faham dan memberi saya cuti untuk saya mencari ketenangan. Keluarga saya terkejut, begitu juga keluarga mentua, tetapi semuanya sudah terlambat.

"Sejak itu bermula kehidupan saya sebagai janda dan ibu tunggal. Anak-anak mahu tinggal bersama saya. Saya fail kes ini di mahkamah syariah. Saya tuntut semua keperluan untuk anak-anak termasuk harta sepencarian.

"Apa yang mahkamah putuskan suami tidak ikut, dia ingkar dan mencari kesilapan saya. Rumah yang kami duduk atas nama dia, saya disuruh keluar sedangkan dia patut sediakan tempat tinggal untuk anak-anak.

"Saya tidak mahu bergaduh panjang lalu keluar dan kembali menetap bersama orang tua yang amat memahami masalah saya. Saya menunggu empat tahun untuk mendapatkan penyelesaian terhadap tuntutan untuk anak-anak. Hingga kini hampa belaka.

"Suami langsung tidak respons walaupun maklumat lengkap tentang tempat kerja dan majikannya saya sudah serahkan kepada pihak berkenaan.

"Saya tidak kisah tentang makan minum sekurang-kurangnya dia tahu tanggungjawab untuk perbelanjaan sekolah anak-anak. Itu yang perlu diutamakan.

"Sekarang kami hidup hanya dengan pendapatan saya dan bantuan keluarga kerana mereka amat faham masalah saya.

"Baru-baru ini saya menyuruh anak sulung saya menelefon bapa mereka minta duit untuk membeli peralatan dan pakaian sekolah. Jawapannya mengecewakan, "Bapa tidak ada duit.'' Sedangkan saya tahu dia boleh berbelanja sakan untuk keluarga barunya.

"Sikapnya menjadikan anak-anak saya marah dan membenci bapa mereka. Saya bersyukur kerana anak-anak tidak meminta yang bukan-bukan daripada saya. Syukur juga kerana mereka berjaya dalam pelajaran.

"Saya telah melakukan yang terbaik untuk masa depan mereka. Pada saya ilmu adalah perkara terbaik yang harus saya berikan untuk mereka.

"Saya tidak kesal dengan perbuatan bekas suami. Di dunia mungkin dia terlepas tapi di akhirat, ada habuan yang menunggu.

"Dia tahu sekolah akan dibuka. Sepatutnya dia bertanya khabar tentang persiapan anak-anak ke sekolah, ini tidak. Dia selalu kata tidak ada duit apabila anak-anak meminta.

"Dia ingat anak-anak bodoh, dia dapat bonus, kerja dapat komisyen dan sebagainya, masakan untuk hulur RM1,000 buat anak-anak setahun sekali pun susah.

"Saya harap jika dia terbaca catatan ini jangan salahkan saya kerana berkongsi masalah ini dengan orang luar. Ada kalanya suami-suami yang degil dan angkuh seperti ini perlu diberi pengajaran supaya mereka sedar dan faham akan dosa pahala, takut pada Tuhan kerana melepaskan tanggungjawab sebagai bapa kepada anak-anak.

"Saya berdoa anak-anak saya akan berjaya dalam pelajaran mereka dan menjadi manusia berguna di dunia dan akhirat.

"Saya selalu pesan supaya mereka menghormati bapa mereka dan tidak berdendam dengannya. Saya beritahu mereka, satu hari nanti, pasti bapa mereka akan insaf dan mencari anak-anaknya walaupun ketika itu sudah terlambat.

"Saya pula berjanji selagi hidup dan ada kudrat, insya-Allah saya akan berusaha mencari wang untuk perbelanjaan pelajaran dan hidup mereka. Bahagia mereka bahagialah saya. Mudah-mudahan Allah makbulkan permintaan saya ini,'' kata Farhana menutup cerita.

Kisah suami melepaskan tanggungjawab terhadap anak-anak selepas bercerai memang ketara pada masa ini.

Malah pihak berkenaan sama ada Pejabat Agama atau Mahkamah Syariah juga telah melakukan yang terbaik untuk membawa suami-suami degil ini ke muka pengadilan supaya mereka melaksanakan tanggungjawab mereka. Malangnya ramai yang ingkar dan buat-buat tidak tahu.

Saya kagum dengan Farhana yang bertindak bijak mencari kerja untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anaknya.

Saya juga terkilan dengan sikap bekas suaminya yang tidak melayan anak-anak dengan sewajarnya. Semoga Allah membuka pintu hatinya untuk kembali memikul tanggungjawab terhadap anak-anaknya.

Kepada Farhana, anda seorang ibu yang baik dan bijak, semoga Allah pelihara anda dan anak-anak serta memberi taufik dan hidayahnya untuk anda sekeluarga.

Menutup kata, air yang dipegang biasanya tidak lama dalam genggaman tetapi sejuknya pasti meresap ke jiwa kerana di situ ada pintu hatinya yang akan terbuka.

Salam

Full content generated by Get Full RSS.

Tenteram dengar suara isteri

Posted:

Tenteram dengar suara isteri

Tenteram dengar suara isteri

Oleh MERAN ABU BAKAR


PASANGAN bahagia ini dikurnia empat cahaya mata lelaki.


"KEBAHAGIAAN isteri merupakan perkara paling penting bagi saya. Saya tidak akan bahagia jika isteri tidak bahagia. Ketenangan fikirannya menjadi keutamaan bagi saya kerana apabila isteri bahagia dan tenang, dia dapat menjaga rumah tangga dan anak-anak dengan baik,'' demikian kata Chef Abdul Muluk Rambli, 48, atau dikenali sebagai Chef Muluk sahaja.

Menurut Chef Eksekutif Maggi yang pernah diundang dalam program realiti televisyen Masterchef ini, hubungannya bersama isteri sangat rapat seperti pasangan yang baru berkahwin.

Katanya, setiap hari, beliau perlu mendengar suara isterinya, Maimunah Bol Hassan, 47, walau di mana sahaja dia berada baik di dalam negara mahupun apabila bertugas di luar negara.

Walau macam mana tekanan yang dihadapi, tambah Chef Muluk, jika mendengar suara isteri, jiwanya akan tenteram dan tenang.

Chef Muluk yang berasal dari Bintulu, Sarawak bertemu jodoh dengan Maimunah yang berasal dari Kuching pada 4 Mac 1990. Pada waktu itu, beliau baru berumur 21 tahun, manakala isteri 20 tahun.

Pertemuan ketika sama-sama menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuching, Sarawak membuahkan bibit cinta di antara mereka.

Chef Muluk mengikuti bidang Diploma dalam Latihan Chef sementara Maimunah pula Diploma Pengurusan Hotel dan Katering.

''Isteri saya adalah cinta pertama dan terakhir saya. Kami telah banyak mengalami asam garam kehidupan.

''Hubungan kami tidak banyak perbalahan kerana berlaku atas dasar kesetiaan, saling mempercayai dan cinta yang mendalam,'' ujar Chef Muluk lagi.

Sementara itu, kata Maimunah, suaminya itu merupakan seorang lelaki yang bertanggungjawab dan pandai mengambil hati keluarganya.

Sejak berkawan, jelasnya, Chef Muluk amat rapat dengan kedua-dua ibu bapanya dan berperangai matang sehingga kedua-dua ibu bapanya amat menyayangi suaminya itu.

Hubungan mereka tidak banyak menghadapi cabaran cuma apabila berjauhan timbul perasaan cemburu, namun perasaan tersebut ditolak jauh-jauh kerana tidak mahu mengeruhkan suasana.

Menurut Chef Muluk lagi, mereka berdua akan cuba mengelakkan daripada perbualan yang boleh menyentuh perasaan kedua-dua pihak dan boleh menyebabkan perbalahan.

''Semasa baru-baru berkahwin dahulu, isteri tidak bekerja. Masanya banyak di rumah dan saya pula sibuk. Dia rasa terabai kerana apabila saya balik, saya dah letih. Sering kali juga dia merajuk.

''Daripada situ saya belajar memahami perasaannya. Kini kalau di rumah, saya akan fokus pada isteri sahaja. Kawan-kawan pun jarang datang ke rumah. Kalau saya hendak keluar jumpa kawan-kawan, masa kerja sahaja kerana bila balik ke rumah, saya tidak akan keluar lagi.

''Sungguhpun demikian ini bukan bermakna saya kena queen control kerana ini adalah kehendak saya sendiri dan kerana kasih saya kepada isteri,'' ujar Chef Muluk yang telah bertugas di Maggi selama tujuh tahun.

Tugasnya banyak membawanya ke luar negara membuat promosi dan mewakili Maggi sehingga ke Switzerland, Belanda, Jerman, Los Angeles dan banyak lagi.

Beliau menambah, walaupun semasa berada di luar negara, mereka saling berhubung melalui khidmat pesanan ringkas. Beliau akan memberitahu setiap pergerakan dan di mana beliau berada.

Setiap pagi semasa di luar negara pula, isterinya akan mengejutkannya daripada tidur dengan memberikan 'wake up call.' Baginya apa yang penting ialah walau berjauhan, namun mereka tetap dekat di hati.

''Saya mempunyai ramai kawan tetapi saya paling suka berkawan dengan isteri saya dan bercakap dengannya.

''Doa saya adalah untuk bersama isteri hingga ke akhir hayat. Saya sukakan kehidupan yang ringkas, rumah yang mempunyai kawasan untuk bercucuk tanam, ada sungai, ingin melihat anak-anak berjaya dan sempurna dalam hidup,'' ujar Chef Muluk lagi.

Pasangan bahagia ini dikurniakan empat cahaya mata lelaki, iaitu Feerdaus, 20 tahun, Faezal, 17 tahun, Farouq, 15 tahun dan Faris, 11 tahun.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved