Jumaat, 11 November 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Bot berhias di Sungai Nerus

Posted:

Bot berhias di Sungai Nerus

Bot berhias di Sungai Nerus

Oleh FAUZI MOHD.
utusanterengganu@utusan.com,my


Sebahagian daripada bot yang menyertai pertandingan Bot Berhias 2011 di Sungai Nerus, Kuala Terengganu, baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU 10 Nov. – Tepian tebing Sungai Nerus di Kampung Jeram Manir, dekat sini lazimnya agak sunyi. Namun ia bertukar menjadi pesta, sesak dengan ribuan pengunjung dan diterangi dengan lampu beraneka warna serta deruan enjin bot, baru-baru ini.

Buat julung kalinya, sungai yang suatu ketika pernah menjadi nadi kehidupan penduduk di sekitarnya dimanfaatkan bagi pertandingan bot penambang berhias sebagai acara kemuncak memeriahkan penutupan Sukan Rakyat Mega Dewan Undangan Negeri Teluk Pasu.

Pertandingan kelolaan Pejabat ADUN Teluk Pasu itu merupakan acara kemuncak program Sukan Rakyat Mega, yang paling meriah pernah diadakan di peringkat DUN.

Program Sukan Rakyat Mega digerakkan bagi menarik penglibatan seramai mungkin penduduk dan lebih menjurus ke arah mengeratkan hubungan pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat usia.

Melalui program itu, ia juga boleh menjadi wadah mengeratkan kerjasama berpasukan antara kepimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, pertubuhan belia, jabatan kerajaan, agensi awam serta syarikat swasta.

Selain pertandingan bot berhias yang nyata mencuri tumpuan, acara sukan rakyat dimeriahkan dengan pelbagai pertandingan termasuk tarik tali, anyam ketupat, rakit darat, sepak raga bulat, boling kelapa, baling telur dan teka biji nangka.

ADUN Teluk Pasu, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said berkata, acara dianjurkan bukan semata-mata mahu meraih hadiah dan mempamerkan kreativiti, tetapi lebih daripada itu, ia adalah platform untuk menghidupkan tradisi sukan rakyat.

Katanya, ia dilakukan dalam usaha menyuburkan sukan dan kegiatan lain yang dikaitkan dengan tradisi dan menarik penglibatan generasi muda agar mereka menghargai dan merasai pengalaman bersama.

"Contohnya perarakan bot berhias. Tradisi ini sudah lama dan begitu tersohor dalam kalangan penduduk Terengganu satu ketika dahulu terutama pada perayaan tertentu atau hari kebesaran.


Pasukan Teluk Pasu yang menjuarai Pertandingan Perarakan Bot Berhias 2011 di Sungai Nerus, Kuala Terengganu, baru-baru ini.


"Bot pernah menjadi pengangkutan penting di Terengganu. Perarakan bot berhias adalah acara orang kita, bukan ditiru dari negeri atau negara lain walaupun tidak sehebat perarakan bot berhias di Putrajaya atau Sungai Melaka," katanya.

Upacara penutup program itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang jelas teruja dengan sambutan luar biasa masyarakat terhadap acara itu.

Turut menyaksikan perarakan tersebut ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri dan ADUN Tepuh, Muhammad Ramli Nuh.

Abdul Rahin mengakui program itu memerlukan perbelanjaan yang tinggi dan idea kreatif untuk menghasilkan sebuah bot berhias yang mampu memukau kehadiran pengunjung.

Sebab itulah katanya, pihak penganjur mendapatkan kerjasama agensi kerajaan dan swasta bagi menampung sebahagian perbelanjaan serta bersepakat untuk tonjolkan persembahan untuk tontonan umum.

Agensi yang terlibat termasuklah Muzium Terengganu, Jabatan Perikanan, Jabatan Pertanian, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Pusat Giat Mara Kuala Nerus dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

MCA Kuala Nerus turut serta dalam pertandingan dengan rekaan bot berhias bertemakan naga dan tanglung serta pertunjukan perahu berlampu daripada Persatuan Perahu Panjang Kuala Terengganu.

Mempertaruhkan tema ayam dan pasu warna emas telah membawa tuah kepada pasukan Teluk Pasu pada pertandingan perarakan itu yang muncul sebagai juara dan membawa pulang wang tunai RM5,000.

Sentuhan penduduk dua kampung iaitu Teluk Pasu dan Sekati itu dibuat selepas mengambil kira tema asal usul kedua-dua kampung itu yang berkait dengan penemuan pasu emas dan tempat ayam bertelur.

Dengan kerjasama jabatan angkat, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Petanian Malaysia (Mardi), kreativiti limpahan lampu warna-warni yang melingkari replika ayam betina yang bertenggek atas pasu besar menarik perhatian juri.

Pengurus pasukan Teluk Pasu, Mohd. Zali Zakaria berkata, pasukannya mengambil masa kira-kira seminggu untuk menyiapkan bot berkenaan termasuk hiasannya sekali dengan kos paling minimum.

"Untuk menghias, kami perlukan masa tiga hari iaitu melibatkan replika empat ekor ayam dan sebuah pasu besar. Kami bekerja keras menyiapkan bot berhias ini dengan bantuan Mardi," katanya.

Tempat kedua dimenangi pasukan Kebor Besar dan Jabatan Perikanan yang membawa pulang hadiah RM4,000 manakala pasukan Jeram dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di tempat ketiga (RM3,000) dan keempat menjadi milik Bukit Petiti dan Pusat Giat Mara (RM2,000).

Turut memberi saingan ialah pasukan Kampung Kebor Air, Kebor Besar, Kesom, Petai Bubus, Tanjung Bunut, Bukit Petiti, Jeram dan Banggol Peradong.

Full content generated by Get Full RSS.

SME Bank sedia RM4.5j bantu usahawan

Posted:

SME Bank sedia RM4.5j bantu usahawan

SME Bank sedia RM4.5j bantu usahawan

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
utusankelantan@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 10 Nov. - Bank Perusahaan Kecil Dan Sederhana Malaysia Bhd. (SME Bank) telah meluluskan peruntukan RM4.5 juta bagi pembiayaan 83 projek di bawah Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) di negeri ini sejak Januari lalu.

Pengarah Urusan SME Bank, Datuk Mohd. Radzif Mohd. Yunus berkata, ia merupakan perkembangan positif dan terkehadapan berbanding dengan kebanyakan negeri lain.

Katanya, ia membuktikan keupayaan golongan usahawan negeri ini meyakinkan pihak bank bahawa mereka merupakan golongan peniaga yang berdaya saing dan banyak mendapat sokongan kerajaan negeri.

"Oleh itu, kami melaksanakan banyak program khas dengan negeri ini antaranya Dana Usahawan Negeri Terengganu (DUNT) dan Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) selain Program Keusahawan yang ditandatangani hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan SME Bank di Wisma Darul Iman di sini semalam.

MoU tersebut merupakan jalinan kerjasama strategik YPU dan SME Bank dalam membangunkan rangkaian kedai T-Shoppe, T-Craft, T-Cafe dan T-Lodge di samping inisiatif lain ke arah pembangunan keusahawanan di negeri ini melalui Program Flagsip Keusahawanan (PFK).

YPU diwakili oleh Pengurus Besarnya, Azmi Razik manakala SME Bank oleh Pengarah Enterprise Banking, Kamaludidin Ismail dan Pengarah Urusan Stakeholder, Asbullah Adnan dengan disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Kata Mohd. Radzif, selain pembiayaan, usahawan juga akan diberikan khidmat nasihat dan perundingan kewangan bagi melancarkan perniagaan mereka.

Jelasnya, sehingga September lalu, SME Bank memperuntukkan RM1.3 bilion untuk dana SPED melibatkan kira-kira 1,000 projek yang dilaksanakan di seluruh negara.

Sementara itu pada sidang akhbar berkenaan, Menteri Besar memberitahu, kerajaan negeri melalui YPU telah menyusun dan menggerakkan pelbagai program dan projek keusahawanan termasuk PFK.

Katanya, peruntukan RM1 juta setahun bermula 2009 disalurkan sebagai pinjaman mudah kepada usahawan terpilih bagi menjalankan perniagaan.

"Sehingga hari ini 19 T-Shoppe, enam T-Kafe dan sebuah butik T-Kraf telah berjaya menjalankan operasi di negeri," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Ceburi industri prosesan sarang burung walet

Posted:

Ceburi industri prosesan sarang burung walet

Ceburi industri prosesan sarang burung walet


Mohd. Zairi Serlan (depan, kiri) bersama Presiden Persatuan Pedagang Sarang Burung Negeri Kelantan (PPSBNK), Ooi Siong Hwa (dua dari kanan) menunjukkan contoh sarang burung yang belum diproses dan telah diproses di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 10 Nov. – Tidak sampai satu peratus daripada pengusaha sarang burung walet di negeri ini terlibat dalam usaha pemprosesan sarang mentah bersih yang boleh memberi keuntungan lebih sekali ganda berbanding penghasilan sarang mentah tidak bersih.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Datuk Dr. Mohd. Zairi Serlan berkata, pengusaha tidak sepatutnya berpuas hati dengan perusahaan burung walet sahaja.

Sebaliknya, kata beliau, mereka mesti cuba memproses sendiri sarang mentah dan perlu mengambil peluang daripada kedudukan negeri ini yang diiktiraf antara pengeluar sarang burung walet paling bermutu berikutan persekitarannya masih terpelihara selain iklim dan topografi yang sangat sesuai.

"Berdasarkan maklumat Persatuan Pedagang Sarang Burung Negeri Kelantan (PPSBNK), terdapat lebih 1,000 premis burung walet yang dimiliki 700 pengusaha di negeri ini.

"Kelantan pada ketika ini adalah pengeluar kedua terbesar di Semenanjung selepas Perak, namun ia sekadar tertumpu kepada penghasilan sarang burung walet mentah yang belum diproses.

"Potensi yang sangat besar pada industri pemprosesan sarang burung mentah dan pengeluaran produk hiliran sepatutnya tidak dilepaskan, kerajaan sendiri sangat menggalakkan penglibatan lebih ramai pengusaha dalam bidang ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai Kursus Asas Pemprosesan Sarang Burung Walet anjuran jabatan itu dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Veterinar Kelantan (Kesuvek) dan PPSBNK di sini, hari ini.

Kursus julung kali itu akan diadakan di Bilik Seminar, Terminal Agrobisnes Negara (Teman), Tunjong dari 23 hingga 24 November ini dengan sasaran 50 peserta terdiri daripada pengeksport sarang burung proses; pengimport sarang burung mentah; pengusaha premis perladangan burung walet dan pengusaha produk hiliran.

Mohd. Zairi berkata, sebagai agensi utama mengawal selia industri sarang burung walet, pihaknya mahu memastikan premis pemprosesan sedia ada dan baharu mematuhi piawaian ditetapkan dalam Amalan Pengeluaran Baik (GMP) dan kualiti sarang mentah yang diproses mencapai tahap ditetapkan negara pengimport.

"Penganjuran kursus sebegini perlu kerana kita mahu menjamin tahap kualiti keluaran negara ini selamat untuk dimakan di samping mencetuskan minat serta menggalakkan bidang pemprosesan dan industri hiliran," katanya lagi.

Beliau berkata, pendaftaran kursus boleh dibuat di semua pejabat perkhidmatan veterinar jajahan dan ibu pejabat negeri sebelum 21 November ini dan setiap penyertaan dikenakan yuran RM500.

Setiap peserta akan diberikan peralatan praktikal bagi pemprosesan sarang burung walet termasuk sesi praktikal selama enam jam.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved