Utusan Online - Muka Hadapan |
- Bantuan RM100 mula diagih
- Tiada had umur asalkan calon boleh menang - PM
- 24,000 rakyat hadir Rumah Terbuka Deepavali Malaysia 2011
Posted: Bantuan RM100 mula diagihOleh AZIAN AZIZ KUALA LANGAT 10 Nov. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 kepada 5.5 juta pelajar sekolah mula disalurkan hari ini melalui akaun sekolah masing-masing. Katanya, bantuan itu akan disalurkan kepada pelajar tahun satu hingga tahun lima dan dari tingkatan satu hingga empat bagi sesi persekolahan 2011. Bagi pelajar tahun satu dan tingkatan satu sesi persekolahan 2012, pembayaran akan dibuat pada Januari tahun depan. Sementara itu, pelajar di Sabah dan Sarawak akan menerima bantuan itu dalam tempoh seminggu. ''Wang itu akan dimasukkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) pihak sekolah dan bagi yang tidak mempunyai akaun BSN, mereka perlu membuka akaun sementara. ''Ia akan diagihkan kepada 5,532,650 pelajar atau ibu bapa mereka yang terdiri daripada 5,061,574 pelajar sekolah kebangsaan dan bantuan kerajaan, sekolah agama rakyat dan negeri (313,373), sekolah persendirian (125,465) dan Maktab Sains Mara dan Maktab Tentera Diraja (32,238)," kata beliau. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama lebih 1,000 orang terdiri daripada pensyarah dan pelajar matrikulasi seluruh negara di Kolej Matrikulasi Selangor, Jugra di sini hari ini. Menurut Muhyiddin, wang bantuan tersebut diberikan tanpa mengira status pendapatan keluarga pelajar terlibat. Katanya, ia diharap dapat meringankan beban keluarga terutama mereka yang berpendapatan rendah bagi membuat persediaan bagi sesi persekolahan tahun depan. Sementara itu, Muhyiddin memberitahu, kerajaan sedang mengkaji untuk menambah jumlah elaun bulanan pelajar matrikulasi di seluruh negara. Beliau yang juga Menteri Pelajaran menyatakan, perkara itu sedang dibincangkan agar jumlah elaun RM250 yang diberikan sekarang dapat ditambah sedikit. ''Kita tahu ada pelajar pra universiti lain yang mendapat elaun sehingga RM400. Jadi berdasarkan permintaan pelajar dan keadaan semasa sekarang kita akan kaji untuk menambah elaun pelajar matrikulasi. ''Jika tidak dapat sama banyak (RM400) pun kita akan cuba tambah jumlahnya sedikit," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
Tiada had umur asalkan calon boleh menang - PM Posted: Tiada had umur asalkan calon boleh menang - PMNajib Tun Razak memenuhi permintaan ahli-ahli Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia untuk menandatangani autograf pada buku yang bertajuk Pewaris Kepimpinan Pemacu Perubahan di Seri Perdana, Putrajaya, semalam. - BERNAMA PUTRAJAYA 10 Nov. - Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan had umur dan juga tanpa mengira berapa kali menjadi wakil rakyat bagi calonnya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 asalkan calon berkenaan boleh menang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Sambil mengakui pilihan raya umum akan datang sebagai sengit, Perdana Menteri berkata, apa yang penting ialah individu berkenaan adalah calon terbaik untuk Barisan Nasional (BN). "Calon boleh menang ini boleh merangkumi semua, tidak kira muda atau tua, tidak ada had umur, tidak ada had berapa kali menjadi wakil rakyat. Kesimpulannya, calon boleh menang. "Tidak kira umur, tidak kira berapa kali jadi wakil rakyat, tidak kira jika orang kata kitar semula, yang penting sekali ialah calon boleh menang, sebab kita nak BN menang dengan cemerlang dalam pilihan raya umum nanti," katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada majlis bersama ahli Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) di Seri Perdana di sini, hari ini. Turut hadir Presiden Mubarak, Datuk Seri Abdul Aziz Rahman dan Ketua Penerangan Mubarak yang juga Pengerusi Bernama, Datuk Abdul Rahman Sulaiman. Menurut Najib, beliau memerlukan semua tenaga yang ada dan ia merupakan gandingan antara yang baru dan lama bagi sama-sama bergabung tenaga berjuang pada pilihan raya nanti. Beliau menambah, yang penting sekali ialah mendokong calon boleh menang yang ditentukan oleh parti kerana pilihan raya umum akan datang dianggap sebagai sengit. "Dulu mereka takde (tiada) negeri, sekarang ada empat buat negeri, ada tapak, ada pangkalan. Dulu mereka takde (tiada) tapak, bila ada tapak, macam-macam boleh buat. "Dari segi kemampuan pun lebih berbanding dulu, sebab itu kita jangan pandang mudah pada pilihan raya ini," katanya. Sehubungan itu, tambahnya, beliau amat mengalu-alukan peranan Mubarak bagi menguatkan kepimpinan parti berikutan perubahan landskap sosial politik pada masa ini yang berubah dengan pantas. Najib berkata, perubahan itu berlaku berdasarkan tiga faktor iaitu taraf pendidikan yang semakin meningkat, revolusi teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan fenomena globalisasi atau dunia tanpa sempadan. Katanya, ini bermakna generasi yang baru pada hari ini adalah generasi yang berbeza dan anggota parti diingatkan supaya tidak mendabik dada ketika turun padang, sebaliknya meyakinkan mereka bahawa kerajaan sekarang adalah yang terbaik untuk rakyat. Selain itu, Najib seterusnya memberitahu, anggota parti mesti membawa label atau jenama bahawa BN merupakan pemangkin dan pencetus kepada pembaharuan dan perubahan yang telah dilaksanakan sejak dahulu lagi. "Kita dah buat banyak perkara yang mendahului zaman, kitalah parti sebenarnya yang berhak untuk dinamakan sebagai parti yang mencetus pembaharuan dan perubahan dalam negara," katanya. - BERNAMA Full content generated by Get Full RSS. |
24,000 rakyat hadir Rumah Terbuka Deepavali Malaysia 2011 Posted: 24,000 rakyat hadir Rumah Terbuka Deepavali Malaysia 2011KLANG 10 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak meraikan lebih 24,000 rakyat pelbagai kaum terutama masyarakat berketurunan India pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2011 yang diadakan dalam suasana penuh warna-warni di pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Jawa di sini malam ini. Perdana Menteri yang melahirkan rasa gembira dengan sambutan hangat rakyat terhadap majlis tersebut berkata, perayaan Deepavali bertambah meriah ketika negara melalui transformasi menerusi kejayaan demi kejayaan yang dicatatkan. "Deepavali dianggap oleh rakan-rakan kita yang beragama Hindu sebagai perayaan yang membawa cahaya. "Sinaran cahaya itu membawa semua kaum berhimpun di kawasan ini untuk menyambut Deepavali. Ia boleh diibaratkan cahaya menerangi yang gelap, yang benar menafikan yang batil dan hak menidakkan yang tidak benar," katanya ketika berucap melancarkan majlis tersebut. Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk G. Palanivel merangkap Presiden MIC. Terdahulu, ketibaan Perdana Menteri bersama isteri ke majlis itu disambut oleh ribuan rakyat pelbagai kaum yang beratur panjang dari simpang jalan menuju ke SMK Kampung Jawa. Majlis tersebut diserikan dengan nyanyian dan persembahan kebudayaan pelbagai etnik. Perdana Menteri turut meluangkan waktu membuat kunjungan mesra ke rumah penduduk. Najib ketika berkongsi perkembangan memberangsangkan pelan transformasi kerajaan berkata, ia berjaya melonjakkan pelaburan negara kepada 76 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas dan mengajak rakyat membandingkannya dengan keadaan di negara lain. "Buka televisyen kita tengok rakyat di Eropah dan negara-negara lain berdemonstrasi kerana kehilangan pekerjaan, gaji dipotong, pencen dikurangkan dan peruntukan untuk pendidikan dipotong selain yuran pendidikan dinaikkan. Ini gambaran saban hari," katanya. "Tetapi kalau dengar berita tentang Malaysia didapati bilangan pekerjaan bertambah, peruntukan untuk rakyat terus ditambah oleh kerajaan," katanya. Dalam hal itu beliau berkata, banyak lagi perkara dilakukan oleh kerajaan antaranya pendidikan percuma akan diberikan kepada semua rakyat pada tahun depan. "Akhir bulan ini setiap pelajar sekolah akan mendapat RM100, awal tahun depan semua isi rumah yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dapat wang tunai RM500 daripada kerajaan," katanya. Sambil menegaskan bahawa Bajet 2012 yang dibentangkan oleh beliau baru-baru ini adalah bajet untuk rakyat, tiada sebab rakyat harus berasa hiba sebaliknya mereka perlu bersyukur kerana negara berada dalam keadaan aman dan makmur meskipun ekonomi dunia masih tidak menentu. Perdana Menteri berkata, kerajaan berazam untuk melakukan yang terbaik dan tahun ini banyak masalah yang dihadapi oleh masyarakat berketurunan India dapat diselesaikan dalam tempoh singkat. Katanya, kerajaan juga menyediakan tambahan RM100 juta bagi membaik pulih Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), pinjaman melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk kaum India berniaga dan menyelesaikan 3,300 masalah kewarganegaraan dan kad pengenalan. "Banyak lagi yang akan kita selesaikan dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Kita ada jawatankuasa yang akan turun padang untuk selesaikan masalah ini, jadi tiada sebab masyarakat India tidak mahu menyokong kerajaan. "Kita mungkin buat silap sedikit pada masa dahulu tetapi kita sudah pelajari kesilapan itu, hari ini pemimpin kita amat memahami kehendak kaum India, kita akan lakukan yang terbaik. "Kami tidak akan memandang remeh sokongan masyarakat India. Untuk itu, kami akan terus bekerja keras bagi memastikan masyarakat India terus menyokong kerajaan. Kita akan menentukan 'nambikei' (kepercayaan) masyarakat India, kita akan bantu," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan