Utusan Online - Jenayah |
Mangsa dera ditemui 4 bulan selepas ditanam Posted: Mangsa dera ditemui 4 bulan selepas ditanamSEREMBAN 11 Nov. - Perbuatan kejam seorang lelaki mendera anak teman wanitanya berusia dua tahun sehingga mati sebelum menanam mayatnya di belakang rumah sewa mereka, empat bulan lalu, terbongkar apabila wanita itu melaporkannya kepada polis. Dalam kejadian di Taman Kuang Tong di sini, Julai lalu, suspek bertindak demikian bertujuan menghapuskan bukti kekejaman yang dilakukan terhadap mangsa. Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, rangka kanak-kanak malang itu ditemui pada Sabtu lalu iaitu kira-kira empat bulan selepas mayatnya ditanam. Katanya, ibu mangsa tidak mampu menghalang perlakuan teman lelakinya selepas diugut malah dia juga dikurung di dalam rumah berkenaan. "Namun segalanya terbongkar selepas wanita itu berjaya melarikan diri dari rumah tersebut, Jumaat lalu, sebelum membuat laporan polis. "Bertindak hasil laporan itu, polis menyerbu rumah terbabit sebelum menemui rangka kanak-kanak di dalam lubang sedalam dua kaki (0.6 meter) di belakang rumah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Osman memberitahu namun ketika serbuan, suspek Khalid Redza Shuaib, 30, yang beralamat terakhir di No. 98, Taman Kwang Tong Off Jalan Cambell, telah melarikan diri. Menurutnya, pasangan berkenaan menyewa di rumah itu sejak beberapa bulan lalu dan wanita itu mendakwa anaknya sering didera lelaki terbabit. "Pada 3 Julai lalu, wanita itu mendakwa anaknya tiba-tiba nazak selepas didera sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. "Panik dengan keadaan itu, suspek menanam mayat kanak-kanak tersebut di belakang rumah yang disewa mereka pada waktu tengah malam hari yang sama," jelasnya. Difahamkan, wanita itu tidak dapat meminta bantuan kerana dikurung di dalam rumah malah telefon bimbitnya juga dirampas oleh lelaki terbabit. "Rangka kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) untuk bedah siasat dan kita menunggu laporan bedah siasat berkenaan. "Kita juga sedang mengesan teman lelaki wanita itu yang disyaki terlibat dalam kejadian ini," katanya. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan dan mengesan di mana suspek berada diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk tujuan siasatan. Full content generated by Get Full RSS. |
Wanita bersuami jutawan Jepun ketakutan diugut bekas kekasih Posted: Wanita bersuami jutawan Jepun ketakutan diugut bekas kekasihKUALA LUMPUR 11 Nov. - Disebabkan selesa menetap di tanah air sendiri, seorang surirumah, Ooi Choon Yean, 45, enggan berhijrah ke Jepun setelah berkahwin dengan suami yang berasal dari negara matahari terbit itu sejak 16 tahun lalu. Dalam tempoh tersebut, pasangan suami isteri yang tidak dikurniakan cahaya mata itu sepakat untuk bergilir-gilir berulang-alik antara Malaysia dan Jepun sekurang-kurangnya sekali setahun bagi melepaskan rindu. Pada mulanya, Choon Yean tiada masalah untuk setia terhadap suami yang merupakan bekas seorang pemaju hartanah yang kaya raya kerana lelaki itu memenuhi semua permintaan dan memanjakannya dengan wang ringgit. Di kampung halamannya di Kulim, Kedah, Choon Yean tinggal bersama tiga anak hasil perkahwinan dengan suami pertama iaitu dua perempuan dan seorang lelaki masing-masing berusia 21, 25, dan 26 tahun. Namun pada 2000, akibat sering berjauhan dengan suami, dia yang kesunyian akhirnya jatuh cinta dengan seorang lelaki sudah beristeri dua juga berasal dari Kulim. Hubungan sulit terjalin selama 10 tahun itu membawa padah kepada Choon Yean kerana lelaki dicintai rupa-rupanya adalah seorang kasanova yang hanya mahu mengikis wangnya menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM700,000 termasuk kehilangan rumah apabila terpaksa digadaikan untuk mendapatkan wang bagi diserahkan kepada kekasihnya. Lebih malang lagi, Choon Yean kini hidup dalam ketakutan kerana teman lelaki yang terkenal dengan gelaran '48' iaitu bermaksud penipu dalam bahasa Cina merupakan seorang ahli sindiket judi atau bookie mengugut mahu mencederakannya dan mendedahkan hubungan sulit mereka kepada suami jika enggan menyerahkan wang selepas dia bertindak memutuskan hubungan sejak empat bulan lalu. Menurut Choon Yean, dia terjebak menjalin hubungan terlarang dengan lelaki terbabit kerana sikapnya yang pandai mengambil hati dan bermulut manis. "Bekas teman lelaki mengambil kesempatan memikat saya apabila mendapat tahu saya bersuamikan lelaki kaya tetapi kesunyian kerana tinggal berjauhan dengan suami. "Sepanjang 10 tahun bercinta, saya selalu memberi wang kepadanya, malah dia tanpa segan silu mencari rakan-rakan yang ada berhutang dengan saya dan menagih hutang tersebut untuk mendapatkan wang bagi kegunaannya sendiri," katanya pada sidang akhbar di pejabat Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Gerakan di Menara PGRM di sini hari ini. Choon Yean berkata, dia mula menyedari tembelang kekasihnya itu pada tahun lalu apabila lelaki terbabit memintanya menjalani rawatan permanian beradas bersamanya untuk mendapatkan seorang anak bagi membolehkan mereka membolot harta suaminya. "Dia tahu suami saya adalah orang kaya, manakala seorang abang dan adik lelaki suami yang tidak berkahwin juga mempunyai banyak harta. "Jika mempunyai anak bersamanya, semua harta mereka akan diwariskan kepada anak tersebut yang kononnya hasil hubungan dengan suami," katanya sambil memberitahu dia menolak cadangan itu kerana menyedari ia berniat jahat. Menurut Choon Yean, dia akhirnya hilang kepercayaan lalu bertindak memutuskan hubungan apabila lelaki terbabit sekali lagi menipu wangnya sebanyak RM38,000 pada empat bulan lalu apabila berjanji mahu membantu membebaskan anak perempuan bongsunya yang ditangkap polis kerana didakwa mengedar dadah. Katanya, dia sudah empat kali membuat laporan polis meminta perlindungan dan siasatan dijalankan terhadap bekas teman lelakinya tetapi suspek masih lagi bebas dan mengugutnya sehingga kini. "Sehubungan itu, saya minta pihak polis segera bertindak menyiasat laporan saya dan mengambil tindakan terhadap bekas teman lelaki yang mendakwa dirinya mempunyai rakan-rakan kongsi gelap dan kenal beberapa pegawai polis'," ujarnya. Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Gerakan, Wilson Lau Hoi Keong berkata, pihaknya akan menulis surat kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Kulim dan Bukit Aman untuk memaklum serta mendapatkan perkembangan lanjut siasatan kes tersebut. Beliau turut menasihatkan golongan wanita yang kesunyian agar jangan mudah terpedaya dengan lelaki kasanova seperti '48' kerana kes menimpa Choon Yean sudah banyak kali dilaporkan kepada biro tersebut sejak kebelakangan ini. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan