Selasa, 1 November 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Masalah dalaman duri kepada parti

Posted:

Masalah dalaman duri kepada parti

Masalah dalaman duri kepada parti

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my


Sebahagian daripada ahli dan pemimpin Barisan Nasional yang hadir pada Konvensyen Barisan Nasional 2011 peringkat Negeri Sembilan di Seremban, baru-baru ini.


PADA bulan lalu sahaja Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dua kali memperingatkan kepada semua parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya menyelesaikan segera masalah dalaman yang dihadapi oleh parti masing-masing.

Pertama ketika mengadakan sidang media selepas menghadiri majlis 'Penerangan Perdana Nurani Rakyat Sayangi Selangor bersama Timbalan Perdana Menteri' di Serdang pada 22 Oktober lalu.

Kedua ketika berucap merasmikan Kongres Parti Liberal Demokratik (LDP) Ke-22 di Dewan Sekolah Menengah Yu Yuan, Sandakan, Sabah, kelmarin.

Dalam majlis itu juga Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN mahu setiap masalah dalaman diselesaikan secara berhemah supaya persiapan BN menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak terjejas.

Dua mesej yang disampaikan oleh Muhyiddin dalam tempoh lapan hari itu memberikan gambaran jelas mengenai kebimbangan pucuk pimpinan terhadap persediaan UMNO dan parti-parti komponen menghadapi PRU13 yang boleh diadakan pada bila-bila.

Walaupun tidak semua parti komponen berhadapan dengan masalah tersebut namun ia tetap memberi kesan kepada prestasi BN secara keseluruhan sekiranya masalah dalaman tidak diselesaikan dengan baik.

Apa yang pasti mesej Muhyiddin itu boleh disifatkan sebagai luahan hati pucuk pimpinan tertinggi. Di hati kecil baik Muhyiddin mahu pun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah pasti mereka mahu BN terus diterima oleh rakyat, BN sentiasa relevan dalam usaha membela nasib rakyat.

Di saat PRU13 semakin hampir, sudah pasti kedua-dua pemimpin ini berusaha memastikan kepimpinan negara tidak berpindah kepada pembangkang kerana ia boleh diumpamakan menggadai masa depan rakyat. Contoh-contoh yang berlaku di negeri-negeri diperintah oleh pembangkang menceritakan segala-galanya.

Bagaimanapun mereka sedar bahawa masalah dalaman yang disebabkan oleh pelbagai punca antaranya pemimpin tertentu enggan bekerjasama, berebut jawatan dan enggan menjadi pengikut yang baik boleh mengakibatkan BN ditolak oleh rakyat.

Ini ditambah lagi dengan sikap sesetengah pemimpin yang jelas mempunyai sifat-sifat buruk seperti ego, tamak, terlalu cintakan kuasa dan pengaruh sehingga sanggup berbuat apa sahaja termasuk memecah belahkan parti asalkan kehendak nafsunya dipenuhi.

Persoalannya sekarang, adakah pemimpin-pemimpin sama ada di peringkat perhubungan, bahagian mahupun cawangan sedia menerima saranan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri itu.

Terutama di kalangan mereka yang terang-terangan dikaitkan dengan puncanya berlaku masalah dalaman tersebut. Penulis yakin Perdana Menteri mahu pun Timbalan Perdana Menteri tahu siapa yang dimaksudkan.

Di hadapan kedua-dua pemimpin tertinggi negara itu mereka akan berkata yes sir atau no problem sir apabila diminta berdamai tetapi di belakang siapa yang tahu. Hanya Allah yang tahu apakah isi hati mereka. Sama ada ikhlas atau tidak, tuan punya tubuh sahaja yang mengetahuinya.

Menurut sumber dalaman parti kebanyakan individu yang sering dikaitkan sebagai punca masalah dalaman itu ialah di kalangan pemimpin sedia ada serta bekas pemimpin sama ada di peringkat pusat atau negeri.

Mereka terlalu tamakkan kuasa sehingga mengetepikan kepentingan lain. Akhirnya timbul masalah dalaman parti. Perkara itu jelas dan bukannya menjadi satu rahsia lagi. Semua orang tahu termasuk rakyat di peringkat akar umbi.

Pemimpin A tidak mahu berbaik dengan pemimpin B, pemimpin C memburukkan pemimpin D dan tidak cukup dengan itu pengikut masing-masing akan membenci antara satu sama lain, mencari salah lawan mereka supaya senang untuk dihentam.

Inilah senario yang berlaku. Penulis sendiri pernah bercakap dengan salah seorang pengikut setia seorang bekas pemimpin dan lidahnya sentiasa mengkritik 'musuh politik' kepada bosnya itu. Ada sahaja yang tidak kena.

Itu belum lagi dikira persaingan atau lebih tepat lagi permusuhan di kalangan para pemimpin untuk melebarkan pengaruh di kawasan atau negeri masing-masing sedangkan pemimpin-pemimpin terlibat mempunyai kedudukan sama ada di peringkat pusat mahu pun negeri.

Tidak terkecuali bekas-bekas pemimpin yang tidak boleh menerima hakikat bahawa kepimpinan mereka tidak lagi relevan. Mereka cuba terus menonjolkan diri untuk dipilih semula sebagai pemimpin.

Jika tidak terpilih mulalah bekas pemimpin ini cari jalan untuk memecah belahkan parti. Dengan kata lain "kalau aku tak dapat dengan engkau juga pun tidak dapat". Mereka menanam kebencian di kalangan pengikut.

Apabila berlaku sedemikian sudah pasti rakyat berpecah belah. Perpaduan bukan lagi menjadi keutamaan sebaliknya pengaruh dan kuasa menjadi buruan. Lebih memilukan pemimpin-pemimpin yang terbabit dalam isu tersebut sebahagian besarnya beragama Islam.

Lupakah mereka kedudukan sebagai pemimpin sebagai amanah? Tahukah mereka kedudukan pemimpin sebagai tanggungjawab? Amanah dan tanggungjawab ini akan dipersoalkan sebaik sahaja jasad disemadikan di dalam kubur.

Hendak dikatakan tidak pernah merasa (sebagai pemimpin) mereka telah pun diberikan peluang beberapa penggal untuk menjadi pemimpin dan perkara ini pernah dibangkitkan oleh Perdana Menteri ketika berucap pada majlis penutup Konvensyen BN 2011 peringkat Negeri Sembilan, 16 Oktober lalu.

Hakikatnya, masalah dalaman jika tidak ditangani dengan bijak ia hanya akan menghancurkan parti. Cuba hayati kisah pelucutan jawatan panglima perang yang juga seorang sahabat besar Rasulullah (SAW) iaitu Khalid Al-Walid.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq beliau dilantik sebagai panglima perang kerajaan Islam tetapi ketika era pemerintahan Saidina Umar al-Khattab, Khalid telah dilucutkan jawatan daripada memegang jawatan itu.

Tempat Panglima Perang kemudiannya digantikan oleh Abu Ubaidah al-Jarrah. Meskipun dilucutkan jawatan Khalid tanpa rasa kecewa telah menanggalkan serban yang melambangkan panglima perang dan menyerahkan kepada Abu Ubaidah.

Beliau sedikit pun tidak berkecil hati malah dengan semangat yang tinggi terus berjuang dan berjihad bersama-sama pasukan tentera Islam diketuai oleh Abu Ubaidah demi menegakkan Islam tercinta.

Ketika Khalid sedang uzur, Saidina Umar datang padanya dan berkata ''Khalid Saifullah, aku sesekali tidak pernah berdendam dengan mu, jauh sekali dari hatiku untuk menjatuhkan kedudukanmu.

''Aku turunkan jawatanmu semasa kamu menjadi panglima perang bukan sebab aku cemburu dengan mu wahai sahabat tetapi engkau tidak tahu tatkala engkau keluar berperang sebagai panglima perang, penduduk Madinah tersenyum gembira dan ada di antara mereka seakan-akan mengagungkanmu,

''Jika kau pimpin pasti kemenangan milik Islam, kata sesetengah dari mereka. Aku tidak ingin engkau menjadi sebab mereka syirik kepada Allah lalu aku turunkan jawatanmu wahai sahabat,'' ujar Saidina Umar.

Mereka yang terdengar ucapan ini terus menangis. Mungkin tulisan ini tidak meninggalkan sebarang bekas, tetapi ingatlah apa jua tindakan kita di dunia ini akan dipertanggungjawabkan di akhirat walaupun sekecil zarah.

Jangan disebabkan ketamakan mengejar kuasa dan pengaruh kita sanggup melakukan apa sahaja hingga menyebabkan BN menjadi lemah sekali gus memberi kekuatan kepada pihak pembangkang.

Bersatulah semula, taatlah kepada pemimpin, jalinkanlah kerjasama, contohilah sifat terpuji sahabat Rasulullah (SAW), Khalid al-Walid demi kelangsungan BN dalam mendepani cabaran mendatang terutama PRU13.

Full content generated by Get Full RSS.

Punca bantahan daftar pemilih

Posted:

Punca bantahan daftar pemilih

Punca bantahan daftar pemilih

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

HARI INI, pameran sejumlah 42,051 senarai nama pemilih yang rekodnya meragukan sejak 27 Oktober lalu akan ditutup.

Mengenai maklum balas yang diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hasil pengamatan orang ramai ke atas senarai nama di 987 tempat pameran di seluruh negara itu serta tindakan selanjutnya, akan diputuskan dalam waktu terdekat.

Namun yang nyata, khususnya selepas Hari Raya Puasa lepas, kritikan terhadap SPR oleh pihak-pihak tertentu tidak kedengaran lagi. Ia senyap sunyi lagi setelah SPR mengambil keputusan meletakkan senarai 42,051 nama itu ke 'folder' di luar daftar pemilih sah.

Senarai nama pemilih yang rekodnya meragukan itu bukannya untuk tujuan tuntutan atau bantahan. Sebaliknya, ia untuk pengesahan daripada pemilih berkenaan atau waris kepada nama-nama yang dipamerkan.

Sungguhpun begitu, hal yang paling rumit dan dihadapi SPR ketika ini adalah meningkatnya tindakan bantahan terhadap kemasukan nama atau pengeluaran nama pemilih dalam daftar pemilih tambahan. Ini bagi kawasan pendaftaran berkenaan yang sedang dipamerkan.

Utusan Malaysia difahamkan, untuk suku tahun kedua 2011 iaitu pada April, Mei dan Jun, sejumlah 2,466 kes melibatkan 31 bahagian Parlimen masih belum selesai proses bantahannya. Hanya 13 bahagian Parlimen sahaja berjaya dimuktamadkan.

Daripada 31 bahagian pilihan raya Parlimen terbabit, yang tertinggi dicatatkan di Selangor iaitu 1,475 kes, Kelantan (686), Kedah (276), Terengganu (17), Perak (6) manakala Pulau Pinang dan Pahang masing-masing 3 kes.

Daripada keseluruhan 2,466 kes itu melibatkan 110,242 orang yang kena bantah. Daripada kesemua mereka itu, sejumlah 89,193 orang adalah pemohon pendaftaran pengundi baru manakala bakinya, 21,049 orang melibatkan permohonan pertukaran alamat tempat mengundi.

Penulis difahamkan, minat rakyat negara ini termasuk golongan muda untuk mengambil bahagian dalam pengundian Pilihan Raya Umum ke-13 semakin meningkat. Statistik bagi tempoh Julai hingga September sahaja merekodkan sejumlah 264,404 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baharu dan 52,215 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi.

Tetapi masalahnya sekarang ialah tindakan membantah nama-nama yang dipamerkan sehinggakan mereka yang tidak terpalit sama pun menjadi mangsa - namanya akan tergantung sehingga proses bantahan dalam bahagian pilihan raya Parlimen itu selesai.

Mengikut prosedur ini, pembantah perlu mengemukakan bayaran RM10.00 bagi setiap orang yang dibantahkannya dan hanya dibenarkan membantah sebanyak 10 nama sahaja.

Sekiranya permohonan diterima, Pendaftar akan terus membuat keputusan sekiranya terdapat bukti yang mencukupi atau menjalankan siasatan awam bagi menyiasat kebenaran bantahan tersebut. Siasatan awam kemudian dijalankan bagi menyiasat kebenaran bantahan .

Dalam siasatan awam, Pendaftar boleh memanggil pembantah, orang yang kena bantah atau saksi-saksi lain bagi membantu beliau membuat keputusan. Dan jika bantahan itu ditolak, pembantah akan dikenakan denda antara RM50 hingga RM200.

Dipercayai, bilangan bahagian Parlimen yang menyaksikan bantahan terhadap pemilih-pemilih baru didaftarkan kian bertambah berbanding enam bulan pertama 2010. Ia diyakini dipengaruhi demam spekulasi PRU 13. Dikatakan kira-kira setengah juta pendaftar baru pemilih tidak dapat mengundi pada PRU 2008 gara-gara kerana proses bantahan ini.

Mengikut sistem semasa, SPR memproses dan mewartakan permohonan baru setiap suku tahun, yang lazimnya akan dilakukan dalam tempoh satu hingga dua bulan selepas tempoh pendaftaran setiap suku tahun berakhir.

Ia kemudian diikuti dengan pameran selama tujuh hari di hampir 1,000 tempat pameran di seluruh negara untuk disemak oleh orang ramai bagi tujuan tuntutan dan bantahan.

Rekod SPR menunjukkan tiada bahagian menerima bantahan pada suku pertama 2010 iaitu antara Januari dan Mac 2010. Namun penerimaan bantahan semakin meningkat kebelakangan ini.

Trend bantahan sekarang bukannya tulen tetapi lebih kepada strategi politik. Adalah wajar pihak pembantah berhati-hati dan prihatin akan insiden ini.

Daftar pemilih tambahan bagi kawasan pendaftaran ini hanya boleh diperakukan setelah selesainya urusan siasatan awam ini.

Jangan kerana persaingan politik, yang teraniaya nanti adalah pengundi sendiri.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved