Selasa, 1 November 2011

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Yassin, Didie dan Enot selamba

Posted:

Yassin, Didie dan Enot selamba

Yassin, Didie dan Enot selamba

Oleh MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANNUAR
Gambar HAFIZ JOHARI


3G berharap peminat terhibur dengan persembahan mereka.


BERHADAPAN dengan 16 lagi kumpulan yang bertanding bagi merebut gelaran juara Maharaja Lawak Mega (MLM) bukanlah sesuatu yang mudah.

Pun begitu, bagi pasukan yang terdiri daripada dua kuntum bunga dan seekor kumbang ini, keserasian merupakan senjata utama untuk meneruskan langkah. Kalau boleh, sehingga ke peringkat akhir.

Menamakan kumpulan mereka sebagai 3G, Yassin Yahya, Enot dan Didie Alias membuka langkah persembahan pertama mereka dalam MLM Jumaat lalu, dengan penuh keyakinan.

Telatah bersahaja dan ekspresi muka Yassin sudah cukup untuk mengundang penonton tidak kering gusi.

Ini kerana trademark wajah yang selamba milik Yassin merupakan bahan gelak penonton di rumah dan di Royal Theater Selangor di Shah Alam yang mengikuti MLM secara langsung di Astro Warna.

Tidak cukup dengan penampilan Yassin, kebecokan mulut Didie dan Enot turut membuatkan keadaan bertambah bingit apabila ketiga-tiga mereka beraksi di pentas MLM.

Ternyata, ungkapan serasi yang diucapkan oleh mereka dalam persembahan pada malam itu, bukanlah sesuatu yang dibuat-buat tetapi ia benar-benar dapat dirasai oleh penonton.

Bagi Yassin, apa yang dipersembahkan oleh 3G pada malam itu adalah hasil perbincangan dan persetujuan yang dicapai sesama sendiri.

Mendengarkan kata-kata yang terpacul daripada mulut Yassin, Didie atau nama sebenarnya, Fadzilah Mohammad @ Ali mengangguk-anggukan kepalanya tanda bersetuju dengan pendapat Yassin.

"Jadi, dengan masa yang sangat terhad, kami gunakan dengan sebaik mungkin bagi memastikan apa yang dirancang untuk dipersembahkan kepada penonton, berjalan lancar," kata Didie bersungguh.

Bagi Alliza Abdullah atau lebih dikenali sebagai Enot, masa yang diberikan oleh penganjur (tiga minit 30 saat) untuk persembahan merupakan satu cabaran.

Jelasnya, dalam tempoh sesingkat itu, ketiga-tiga ahli 3G perlu menonjolkan diri masing-masing sambil mengekalkan elemen lucu.

3G dengan rendah dirinya memberitahu Hits, mereka tidak meletakkan harapan yang menggunung tinggi untuk bergelar juara MLM sebaliknya lebih senang hadir sebagai peserta berkumpulan yang mampu menggeletek hati penonton.

Yassin muncul kembali

Memulakan langkah sebagai anak seni selepas menyertai pertandingan realiti televisyen Sinaran Passport Kegemilangan pada tahun 1997, nama Yassin lebih sinonim dengan kumpulan lawak nombor satu negara, Senario.

Bertahan hampir 10 tahun di bawah payung Senario, zaman kegemilangan Yassin dilihat berakhir apabila dirinya terpalit dengan gejala negatif.

Agak lama juga, pelakon filem Aku Kaya The Movie (2003) ini berdiam diri namun hari ini, Yassin bangkit di atas pentas MLM bersama kumpulan 3G.

"Saya bersyukur kerana MLM adalah platform untuk saya beraksi bersama Didie dan Enot menghiburkan penonton.

"Terus terang saya katakan di sini bahawa inilah kali pertama kami bergandingan. Oleh itu, kualiti persembahan harus dipertingkatkan dari minggu ke minggu.

"Saya amat berharap peminat dan juga penonton di rumah terhibur dengan persembahan kami dan ingin menyaksikan aksi 3G pada minggu kedua dan seterusnya," kata Yassin yang juga muncul sebagai side kick kepada Apek dalam filem Duyung (2008).

Yassin mengakui tidak mahu bersikap hipokrit dengan mengatakan kumpulan 3G tidak mensasar salah satu tempat di peringkat akhir.

Katanya, walaupun MLM baru sahaja bermula namun mereka berpandangan jauh.

Katanya, jika 3G dapat mengekalkan momentum persembahan dan muncul pada setiap minggu, itu merupakan satu bonus bagi kumpulan mereka.

Didie bijak bahagi masa

Walaupun baru sahaja pulang dari Korea kerana terbabit dengan rancangan travelog yang dikendalikan oleh Awal Ashaari dan juga Scha Alyahya, Didie bijak mengatur jadual seninya dan mencuri masa untuk menyertai MLM.

Bagi Didie yang terkenal sebagai artis wanita yang kuat bekerja, setiap peluang dan ruang yang datang akan digunakan sebaiknya kerana bidang seni merupakan punca pendapatan beliau selama ini.

Biarpun tidak pernah mengeluh penat namun dia mengakui, perlu pandai mengatur masa agar tidak terlalu terkejar-kejar.

Kata Didie, rezeki pemberian Tuhan kepadanya dan keluarga tidak akan disia-siakan.

"Saya sebenarnya baru sahaja selesai menjalani penggambaran telemovie Biar Mimpi Sampai ke Bintang.

"Dalam pada itu, saya juga terlibat dengan penggambaran drama bersiri, Peah Gossip bersama Fasha Sandha.

"Memanglah kalau diikutkan terasa penat tetapi saya suka dengan apa yang saya lakukan sekarang ini. Ia sudah menjadi darah daging saya," katanya ketika ditemui selepas siaran langsung MLM selesai.

Kata Didie, tumpuannya kini lebih kepada 3G kerana menyedari, saingan daripada peserta-peserta lain tidak kurang hebatnya.

Justeru, katanya, 3G memerlukan momentum terbaik kerana selain mahu menghiburkan peminat, biarlah persembahan 3G mendapat tempat di hati penonton dan para juri.

MLM dunia Enot

Seluruh tenaga dan minda Enot difokuskan kepada 3G walaupun dalam masa yang sama, pelakon comel ini menjalankan perniagaan keknya.

Kata Enot, apabila dia tidak menerima sebarang tawaran berlakon sekarang ini, masanya memang sesuai untuk tumpuan sepenuh masa kepada 3G.

"Menyertai MLM bersama Didie dan Yassin adalah suatu langkah yang tidak pernah terlintas di fikiran saya.

"Apatah lagi beraksi dan bersaing dengan 16 peserta termasuk dari negara-negara jiran kita.

"Maka itulah, bagi saya mahupun dua lagi rakan dalam 3G, kami akan cuba untuk memberikan persembahan terbaik," katanya yang belum merasa puas menghiburkan penonton MLM.

Kata Enot, walaupun kehadiran 3G dalam MLM sebagai peserta underdog namun mereka serius dalam memberikan persembahan pada minggu hadapan.

"3G akan mencari idea yang lebih bernas dengan lawak yang lebih bersahaja untuk penonton. Apabila penonton ketawa, itulah kejayaan bagi kami," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Segar dan baharu untuk tv9

Posted:

Segar dan baharu untuk tv9

Segar dan baharu untuk tv9

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar NOOR ASREKUZAIREY SALIM


IDOLA Kecil akan diteruskan untuk tahun keempat


SELEPAS mencatat rekod sebagai stesen nombor dua negara sepanjang tahun 2011 seperti mana yang dikeluarkan oleh AC Nielsen, TV9 tidak mahu terus duduk diam dan menikmati kejayaan tersebut.

Sebaliknya, stesen televisyen yang terkenal dengan kata pengenalan, Di Hatiku itu mahu memberikan santapan terbaik untuk penonton setia mereka menerusi pelbagai program menarik sepanjang tahun 2012.

Sudah pasti, TV9 sudah pun mengatur strategi terbaik bagi memastikan mereka akan terus mendekatkan diri dengan penonton setia mereka khususnya golongan remaja dari 15 hingga 29 tahun.

"Ternyata percubaan kami dalam memperbanyakkan program untuk remaja sepanjang tahun 2011 telah membuahkan hasil.

"Bukan hanya menerusi program televisyen, tetapi TV9 sendiri telah turun padang dengan menganjurkan pelbagai acara padang yang melibatkan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi seperti Ekspresi Remaja, Jam Session dan Gig TV9.

"Lalu, kami sudah bersedia untuk memberikan lebih banyak program menarik khusus untuk golongan ini selain mengekalkan kandungan sedia ada dengan pendekatan baharu dan segar," jelas Pengurus Besar Kumpulan Penjenamaan TV9, Sherina Mohamed Nordin penuh optimis dalam satu pertemuan dengan pihak media di Hotel One World, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Hebat

Untuk tahun 2011, kata Sherina, antara program yang mendapat tempat di kalangan penonton remaja termasuklah Remaja, Remaja Ekstrem, Hujan di Paris dan Bunkface di Hong Kong.

Bagi meneruskan kesinambungan kejayaan itu, Sherina menjelaskan TV9 akan tampil dengan dua program baru iaitu Soundcheck dan program realiti, Versus (VS).

"Apa yang boleh kami katakan dua program ini merupakan yang terbesar untuk tahun 2012. Rancangan VS misalnya, merupakan program pencarian bakat baru secara berkumpulan yang kami percaya akan mendapat perhatian kelak.

"Untuk VS, kami akan bekerjasama dengan stesen radio Hot FM dan menariknya tentang rancangan ini apabila kandungan untuk televisyen dan radio adalah berbeza.

"Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada penonton dan pendengar radio dapat menikmati program ini dengan lebih meluas," jelas Sherina lagi.

Bagi Soundcheck pula, ia diinspirasikan daripada program Live From Abbey Road yang akan menampilkan temu bual bersama artis tempatan yang baru dan lama selain persembahan mini daripada mereka.

Kekal

Sementara itu, Sherina turut mengumumkan program realiti Idola Kecil juga akan diteruskan untuk musim keempat kerana ia terus mendapat tempat di kalangan masyarakat terutama ibu bapa.

Namun begitu, Akademi Al-Quran (AQ) yang sudah lima musim bersiaran di TV9 nampaknya akan direhatkan buat sementara waktu.

"Kami fikir adalah lebih baik untuk AQ dianjurkan selang setahun agar kami sendiri dapat memperbaiki dan memantapkan lagi kandungannya," terangnya lagi.

Menyedari persaingan yang harus dihadapi daripada stesen televisyen lain, TV9 mengorak setapak langkah lagi dengan memperkenalkan program bual bicara bola sepak, Gila Bola.

Menampilkan Seelan Paul dan penyampai radio Hot FM, Kieran sebagai pengacaranya, Gila Bola bakal menjadi program bual bicara sukan percuma pertama yang ditayangkan pada waktu perdana.

Untuk tahun 2012, rezeki juga terus berpihak kepada penyampai radio dan pengacara popular, Faizal Ismail apabila rancangan bual bicaranya, Apa Saja FBI akan kembali untuk tahun kedua.

"Selain Faizal, kami juga akan menampilkan Awal Ashaari dalam program bual bicaranya yang pertama. Namun, buat masa ini, kami tidak boleh lagi mendedahkan konsep rancangan itu.

"Ternyata, Awal begitu teruja sewaktu kami melamarnya untuk mengendalikan programnya sendiri. Kami memilihnya kerana percaya dengan kredibilitinya sebagai seorang pengacara," kata Sherina yang memberitahu rancangan hiburan seperti Hip TV, Galaksi dan Chopp!! akan terus dikekalkan.

Sebagai pembaharuan untuk TV9 selain mahu menarik perhatian remaja, stesen itu juga akan menayangkan dua siri drama Hollywood iaitu Teen Wolf dan The Nine Lives of Chloe King.

Mantap

Dalam masa yang sama, kata Sherina, TV9 tidak akan sama sekali mengabaikan kandungan untuk slot Raudhah yang menampilkan rancangan berbentuk keagamaan kerana ia mempunyai kelompok penonton tersendiri.

Jelasnya, program-program seperti Halaqah, Semanis Kurma, Usrah, Saffiya, Tanyalah Ustaz, Tanyalah Ustazah serta Adik & Al-Quran akan dikekalkan malah kandungan mereka juga dimantapkan.

"Malah, kami sendiri mempunyai perancangan untuk menambah sebuah lagi program dalam siri Tanyalah. Insya-Allah dan jika semuanya berjalan lancar, ia akan menampilkan seorang tokoh agama tersohor," kata Sherina yang mengunci rapat mulutnya ketika diminta untuk memberitahu siapakah tokoh agama yang dimaksudkan.

Peluang

Tidak melupakan penggemar setia drama tempatan, tahun 2012 bakal menyaksikan pelbagai drama hebat yang akan menghiasi saluran yang juga boleh ditonton menerusi saluran 119, Astro itu.

Untuk slot Aurora dan Ratu, ia bakal diisi dengan drama bersiri menarik yang pastinya akan menggamit penonton untuk menontonnya kelak. Semuanya adalah untuk menguatkan lagi jenama slot tayangan pada pukul 8.30 malam itu.

Antara yang akan menjadi perhatian adalah drama bersiri Cinta Jangan Pergi arahan Kabir Bhatia manakala skripnya pula oleh Mira Mustaffa.

Bagaikan mahu mengulangi fenomena Nur Kasih, Cinta Jangan Pergi sekali lagi menggandingkan Remy Ishak dan Tiz Zaqyah sebagai teraju utama.

"Bukan itu sahaja, kami juga akan bekerjasama dengan penerbit dan pengarah muda yang mempunyai minat mendalam terhadap dunia pengarahan serta penerbitan.

"Jangan terkejut kalau saya katakan ada di antara mereka merupakan nama-nama popular dalam bidang lakonan yang bakal menyaksikan mereka bertukar portfolio selepas ini.

"Kami memang mahu memberi peluang kepada mereka dan ada juga yang mahu bekerjasama dengan kami," ujar Sherina yang memberitahu drama bersiri seperti Bulan, Bintang dan Kita serta Pulau juga akan ditayangkan nanti.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved