Selasa, 1 November 2011

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Tingkat minat berkhidmat di pedalaman

Posted:

Tingkat minat berkhidmat di pedalaman

Tingkat minat berkhidmat di pedalaman

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my


WALAINI ABU BAKAR (berdiri, empat dari kanan) dan Zulkarnaim Jamaluddin (berdiri, enam dari kanan) bersama sebahagian peserta Program Bina Insan Guru membersihkan tapak perkuburan Islam di Kampung Sungai Mun, Padang Tengku, Kuala Lipis, baru-baru ini.


KUALA LIPIS 1 Nov. - Seramai 182 penuntut Institut Pendidikan Guru Malaysia Tengku Ampuan Afzan (IPGMTAA) Lipis menyertai Program Bina Insan Guru yang dianjurkan di beberapa buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku baru-baru ini.

Para peserta yang terdiri daripada penuntut semester dua Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) menyifatkan program itu memberi banyak pengetahuan dan pengalaman mengenai kehidupan penduduk di pedalaman Pahang.

Penyelaras program berkenaan, Walaini Abu Bakar berkata, projek bakti siswa di Kampung Sungai Mun, Padang Tengku merupakan julung-julung kali diadakan dalam mendekatkan penuntut PISMP dengan masyarakat setempat.

"Kegiatan ini bersesuaian untuk membina sahsiah dan nilai kepimpinan di kalangan bakal guru khususnya pengalaman yang dicanai apabila menyelami denyut nadi masyarakat di kawasan pedalaman.

"Sebagai bakal guru, mereka perlu didedahkan lebih awal mengenai budaya masyarakat Melayu tradisional Pahang dan pembangunan pelajaran di kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita di Kampung Sungai Mun dekat sini, baru-baru ini.

Sempena program itu, guru pelatih IPGMTAA Lipis telah bergotong-royong membersihkan Masjid Sungai Mun dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung dan Gerakan Belia 4B cawangan kampung tersebut.

Hadir sama, Ketua Kampung Sungai Mun, Zulkarnaim Jamaluddin dan Pengerusi Gerakan Belia 4B Cawangan Sungai Mun, Ahmad Zahari Mahmud.

Menurutnya, pendedahan menerusi kegiatan turun padang dapat melatih bakal guru agar tidak kekok apabila diarahkan bertugas di kawasan pedalaman.

Sementara itu, seorang peserta, Nurul Shahida Lukman, 21, berkata, kunjungannya ke kampung berkenaan telah membangkitkan kesedaran untuk menabur bakti di kawasan pedalaman selepas tamat pengajian nanti.

Dia yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, berkata, sebagai bakal guru, program berkenaan antara platform untuknya mempelajari selok-belok kehidupan masyarakat pedalaman daerah Lipis selain mendapat maklumat mengenai pembangunan pendidikan di situ.

Rakannya, Mohd. Fazri Rahim, 20, berkata, kegiatan itu antara usaha murni menerusi perkhidmatan komuniti di kalangan penuntut kepada masyarakat pedalaman.

"Saya bangga kerana pengetahuan yang diperoleh daripada pensyarah dapat diterapkan untuk manfaat penduduk pedalaman sekali gus dapat memartabatkan imej IPGM menerusi kegiatan kemasyarakatan dengan komuniti," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Briged Yes semai semangat sukarelawan pelajar

Posted:

Briged Yes semai semangat sukarelawan pelajar

Briged Yes semai semangat sukarelawan pelajar


ABDUL Manan Ismail (empat dari kiri) merasmikan Briged Yayasan Sukarelawan Polisas pada program Bersama Masyarakat Perkampungan Bukit Goh di Kuantan, baru-baru ini. – Ikhsan Unit Komunikasi Polisas


KUANTAN 1 Nov. - Seramai 80 pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) Kuantan mengikuti program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama masyarakat Perkampungan Bukit Goh melibatkan 21 keluarga angkat di kampung itu di sini baru-baru ini.

Program tiga hari bermula 14 Oktober lalu menyaksikan pelbagai aktiviti diadakan bersama keluarga angkat dan penduduk kampung seperti membersihkan masjid, sukaneka, kuliah agama dan gotong-royong.

Pada program tersebut, pengurusan Polisas turut menyumbang seekor lembu untuk tujuan akikah.

Pegawai Jabatan Hal Ehwal Pelajar Polisas, Zulkifli Mat Nasir berkata, program sedemikian julung-julung kali diadakan di bawah Briged Yayasan Sukarelawan Politeknik (Briged Yes).

Menurutnya, Briged tersebut dilancarkan bertujuan memastikan pelajar melibatkan diri dengan kerja kesukarelaan bagi melahirkan graduan berkualiti dan mempunyai nilai tambah yang diperlukan pasaran.

"Ia selaras dengan Pelan Transformasi Politeknik yang menyasarkan sekurang-kurangnya 85 peratus lepasan politeknik mendapat peluang pekerjaan dalam tempoh enam bulan setelah tamat pengajian," katanya kepada pemberita pada majlis penutup program tersebut di Dewan Orang Ramai Perkampungan Bukit Goh di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Briged Yes turut dilancarkan oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Mohd. Shohaimi Mohamed Shah, Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam Polisas, Sulaiman Abdul Kadir dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Goh, Zahari Mat Deraman.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, program sedemikian memberi pendedahan kepada pelajar tentang kehidupan bermasyarakat, meningkatkan semangat kesukarelaan dan amalan bergotong-royong serta saling membantu antara satu sama lain.

Full content generated by Get Full RSS.

IPT pemangkin pembangunan kecemerlangan sukan

Posted:

IPT pemangkin pembangunan kecemerlangan sukan

IPT pemangkin pembangunan kecemerlangan sukan


Pemenang Karnival Bola Keranjang tiga lawan tiga bergambar di Kompleks Sukan UMP di Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN 1 Nov. - Kementerian Pengajian Tinggi berhasrat menjadikan institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai pemangkin dalam pembangunan kecemerlangan sukan di negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, program itu menetapkan sasaran melahirkan sekurang-kurangnya 30 peratus atlet negara dari kalangan atlet IPT.

"Penglibatan mahasiswa bagi pembudayaan sukan dilihat bukan sahaja mendedahkan diri mereka dengan gaya hidup berkualiti, malah mampu menerapkan sifat positif dalam diri mereka," katanya selepas merasmikan Karnival Bola Keranjang tiga lawan tiga di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim.

Sebanyak 102 pasukan dari 29 IPT seluruh negara menyertai karnival tersebut yang diadakan selama dua hari bagi merebut Piala Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Kejohanan anjuran Pusat Sukan UMP bersama kementerian dengan kerjasama Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) itu disertai 20 IPT.

Mengenai kejohanan tersebut, Saifuddin berkata, penganjuran akan mencungkil bakat baru dan melahirkan lebih ramai atlet di kalangan mahasiswa bagi mewakili sukan tersebut.

Dalam pada itu Daing Nasir berkata, UMP turut memikul tanggungjawab untuk mencari dan menggilap bakat baharu dalam sukan tersebut.

Menurutnya, kepercayaan itu menuntut suatu perancangan rapi dan strategik bagi memperkasa sukan bola keranjang sebagai sukan tumpuan.

Beliau juga mengharapkan karnival itu menjadi pendorong dalam memartabatkan UMP sebagai Pusat Sukan Tumpuan Bola Keranjang dan sokongan orang ramai diperlukan bagi memajukan sukan itu ke peringkat lebih tinggi.

Pada kejohanan tersebut, pasukan Universiti Sains Malaysia (USM) B muncul johan kategori lelaki diikuti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) C di tempat kedua, manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam B di tangga ketiga.

Bagi kategori wanita pula dimenangi pasukan Universiti Putra Malaysia (UPM) A diikuti USM A di tangga kedua.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved