Sabtu, 1 Oktober 2011

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


SPRM terima 600 aduan rasuah

Posted:

SPRM terima 600 aduan rasuah

SPRM terima 600 aduan rasuah

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

ALOR SETAR 30 Sept. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Kedah menerima 600 laporan daripada pelbagai pihak mengenai dakwaan rasuah sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, Mohamad Yusoff Akope memberitahu, daripada jumlah itu, hanya 339 atau 56 peratus daripada aduan tersebut didapati terdapat unsur rasuah manakala selebihnya melibatkan kesalahan dalaman pihak tertentu.

"Kes berkaitan jabatan tertentu yang melibatkan kesalahan dalaman, memerlukan tindakan wajar daripada ketua jabatan.

"Pihak kami berharap ketua jabatan dapat memberi perhatian terhadap kesalahan dan tohmahan yang diserahkan bagi meningkatkan keyakinan masyarakat dan kecekapan jabatan itu sendiri," katanya kepada pemberita pada majlis gerak mesra Hari Raya Aidilfitri SPRM negeri di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pihaknya telah menahan 12 individu yang melibatkan rasuah berjumlah RM92,506 dan telah membuka 26 kertas siasatan melibatkan kes yang mempunyai unsur rasuah.

"Dua tangkapan melibatkan golongan profesional dan pengurusan manakala masing-masing lima tangkapan membabitkan kakitangan kerajaan bahagian sokongan serta orang awam dan pekerja swasta.

"Salah satu tangkapan adalah kesalahan di bawah Seksyen 17B Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 melibatkan aduan daripada penjawat awam cubaan rasuah daripada orang awam," katanya.

Mohamad Yusoff berkata, kes yang didakwa di mahkamah pula melibatkan 10 individu membabitkan 14 pertuduhan.

"Ia melibatkan lapan pertuduhan di bawah Seksyen 17B, empat pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah dan masing-masing satu kes di bawah Seksyen 16A dan 17A kerana menerima dan memberi rasuah," katanya.

Jelasnya, bagi keputusan pula terdapat 19 keputusan di mahkamah dengan 12 kes memihak kepada SPRM masing-masing enam menang kes dan tertuduh mengaku salah.

''Enam keputusan lagi dilepas dan dibebaskan tanpa bela diri manakala satu keputusan dilepas dan dibebaskan selepas bela diri," katanya.

Unimap cipta motosikal roda tiga

Posted:

Unimap cipta motosikal roda tiga

Unimap cipta motosikal roda tiga


Dr. Kamaruddin Hussin (dua dari kiri) menunjukkan fasiliti Prototaip Motosikal Bazar kepada Dr. Zainul Arif Haji Hussain (tiga dari kanan) di Kuala Lumpur, kelmarin.


KUALA LUMPUR 30 Sept. - Universiti Malaysia Perlis (Unimap) melancarkan prototaip motosikal roda tiga yang dicipta khas untuk mewujudkan kawasan perniagaan berkonsepkan Uptown.

Motosikal itu akan ditempatkan di Masjid Al-Hussin, Kuala Perlis sebagai perintis bagi menjayakan program Intech Biz On Wheel Bazaar.

Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, projek terbaru itu bakal memberi peluang kepada graduan menjalankan perniagaan setelah menamatkan pengajian.

"Program yang akan memodenkan sektor peruncitan dan pemborong itu juga sebahagian sokongan Unimap untuk menyokong Pelan Transformasi Ekonomi yang menyasarkan 60,000 peniaga bergerak di negara ini.

"Projek ini juga adalah alternatif kepada graduan yang lebih cenderung menjalankan perniagaan berbanding berkhidmat sebagai jurutera," katanya pada majlis Tautan Kasih 1Malaysia Anjung Unimap di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis yang diadakan serentak dengan sambutan Aidilfitri itu ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Unimap, Tan Sri Dr. Zainul Arif Hussain.

Menurut Kamarudin, reka bentuk motor yang merupakan cetusan idea Profesor Kunjungan Unimap, Prof. Datuk Dr. Abdul Razak Omar itu dilaksanakan sepenuhnya oleh pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan.

"Kita berhasrat melatih pelajar untuk membuat rekaan, mengenal pasti jenis perniagaan dan menguruskan promosi.

"Pada masa sama, kita juga berhasrat melatih lepasan universiti menjadi usahawan produk-produk berjenama menggunakan kenderaan bergerak secara berteknologi," katanya.

Raja Muda arah turunkan gambar tokoh di kedai makan

Posted:

Raja Muda arah turunkan gambar tokoh di kedai makan

Raja Muda arah turunkan gambar tokoh di kedai makan


Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melawat Agrobank Cawangan Simpang Empat sambil diiringi Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman (kiri) di Kangar, semalam.


KANGAR 30 Sept. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar para peniaga terutama peniaga kedai makan menurunkan gambar-gambar tokoh tertentu di kedai masing-masing yang bertujuan untuk melariskan jualan.

Baginda bertitah, tindakan para peniaga itu adalah haram dan merupakan perkara karut yang harus dihapuskan.

"Saya dapati masih ada peniaga menggantung gambar tokoh-tokoh tertentu dengan niat untuk melariskan jualan dan menolak sial, sedangkan perkara tersebut adalah haram, justeru saya harap mereka faham dengan perkara ini," titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan 2010 oleh Agrobank di Simpang Empat, dekat sini, hari ini.

Titah baginda, larangan menggantung gambar bertujuan untuk melariskan jualan telah dikeluarkan oleh Majlis Hal Ehwal Agama Islam Perlis (MAIPs), malah Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 2008 telah memutuskan perkara tersebut sebagai haram.

"Banyak cara lain untuk meraih keuntungan, sama ada berdoa dan kerja kuat selain para peniaga harus lebih kreatif untuk berjaya," titah baginda.

Dalam pada itu baginda bertitah, sumbangan oleh sektor korporat merupakan kerjasama yang diberikan kepada kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

"Kita tidak perlu berkira tentang jumlah disumbangkan, yang penting adalah keberkatan terhadap sumbangan yang diberi," titah baginda.

Pada majlis tersebut Agrobank diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman menyerahkan zakat sebanyak RM36,159 kepada Baitulmal Perlis dan RM40,000 kepada Yayasan Tuanku Syed Putra.

Selain itu, Agrobank turut menyumbang zakat yang diagihkan kepada asnaf anak yatim dan asnaf fakir miskin berjumlah RM34,622.

Menurut Wan Mohd. Fadzmi, sumbangan itu adalah selaras prinsip Agrobank sebagai sebuah bank prihatin.

"Agrobank berhasrat membantu golongan fakir miskin yang tidak bernasib baik termasuk ibu tunggal dengan membuka peluang kepada mereka memajukan diri dalam bidang ekonomi," katanya.

Pada majlis yang turut dihadiri oleh Pengerusi Agrobank, Tan Sri Faizah Mohd. Tahir dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi Perlis, Sabry Ahmad, Agrobank turut menyerahkan komputer kepada 10 buah sekolah di negeri ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved