Sabtu, 1 Oktober 2011

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Jejak kelah Royal Belum

Posted:

Jejak kelah Royal Belum

Jejak kelah Royal Belum

Oleh AHMED SYAHRIL ZULKEPLY
rekreasi@utusan.com.my


Antara peserta yang juga kaki pancing bergambar kenangan di Royal Belum.


LOKASI Hutan Simpan Negeri Perak, Royal Belum ibarat lubuk idaman buat kaki pancing ikan air tawar dan pencinta alam.

Landskap alam semula jadi hutan hujan tropika tertua, terbesar dan terkaya ini kaya dengan kepelbagaian spesies yang masih kekal setelah 130 juta tahun.

Jika mengunjungi destinasi tersebut, pengunjung pasti akan tertarik melihat panorama permukaan hutan yang dipenuhi flora dan fauna seluas 117,500 hektar.

Memandangkan lokasi tersebut amat cantik dan sesuai untuk dijadikan lokasi pelbagai aktiviti riadah, penulis dan beberapa rakan baru-baru ini berpeluang meredah belantara tersebut bagi mencari lubuk yang diidamkan.

Matlamat kumpulan kami yang terdiri daripada 29 orang dengan iringan pemandu pelancong, adalah untuk menjejak lubuk ikan air tawar yang telah lama diidamkan terutamanya ikan kelah di kawasan utara Hutan Simpan Temenggor.

Kepenatan yang dirasai semasa perjalanan hilang begitu sahaja apabila tiba di lokasi berkenaan, lebih-lebih lagi setelah terpandang kawasan lubuk Sungai Laho yang kaya dengan pelbagai spesies ikan air tawar.

Berbeza dengan lokasi lubuk yang lain, Sungai Laho amat jernih airnya sehingga menampakkan segala isi perut sungai berkenaan. Melihat batu-batu sungai pelbagai bentuk dan anak-anak ikan yang bermain di tepi tebing menyemarakkan lagi semangat kami untuk memulakan aktiviti memancing.

Bagaimanapun, untuk sampai ke sana pengunjung perlu mengharungi perjalanan selama lima jam dari Jeti Tapak Perkemahan Sungai Kejar melalui Sungai Ketir, Berting, Sanghur hingga ke Sungai Laho.

Jika mampu berjalan lagi dua jam maka anda akan tiba ke kampung lama di Kebeng yang terkenal sebagai kawasan simpanan gajah liar.

Di sana, anda juga boleh melihat tapak perkampungan orang Melayu dahulu kala. Antara peninggalan yang terdapat di sana ialah seperti dusun buah-buahan, bendang dan tapak perkuburan lama.

Lubuk kaki pancing

Dengan ciri-ciri yang luar biasa, Royal Belum bukanlah destinasi pelancongan biasa. Ia lebih tepat dianggap lokasi lubuk idaman buat kaki pancing dan pencinta alam mengenal diri dan menghayati keagungan ciptaan Allah.

Setelah melabuhkan tirai di Sungai Laho, destinasi itu merupakan lokasi yang wajib dilawati buat kaki pancing dan mereka yang mencintai alam semula jadi.

Tetapi jika anda bukan jenis yang kurang tahan lasak dan takut kepada pacat serta serangga eksotik pelbagai warna dan rupa, maka rimba Royal Belum bukanlah destinasi pilihan

Apatah lagi buat mereka yang tidak boleh lekang dengan tilam empuk, televisyen flat skrin leper dan bilik tidur berhawa dingin di rumah.

Ini kerana, untuk tiba ke sana, anda sudah pasti diancam dengan serangan pacat dan pelbagai macam serangga termasuk haiwan liar.

Pendek kata, anda perlu meredah hutan belantara yang tebal, turun naik bukit, mengharungi sungai deras ataupun berbatu dan bakal ditemani kegelapan serta bunyi-bunyi rimba penuh mistik.

Pemandu Pelancong, Samsul Anuar Sanusi, 35, berkata, Royal Belum sesuai dijadikan lokasi buat mereka yang berminat dengan aktiviti memancing.

"Kebanyakkan kaki pancing mula menjejak ikan air tawar di sini bermula pada bulan Januari hingga Oktober manakala untuk menjejak ikan Kelah pula waktu paling sesuai ialah pada bulan Ogos hingga Disember.

"Antara spesies ikan yang terdapat di Royal Belum ialah seperti ikan Sebarau, Kelah, Baung, Balong, Kemolah, Kenalan, Tangkas, Kejor dan Toman.

"Lagi jauh anda merentasi hutan maka saiz ikan yang terdapat di sini juga semakin besar lebih-lebih lagi jika memancing di Kebeng.

"Di Kuala Tasik Banding, kebiasaannya saiz ikan di sana hanya satu hingga dua kilogram tetapi di Sungai Ketir hingga ke Kebeng, saiz ikannya melebihi empat kilogram ke atas," katanya.

Menurutnya, selain spesies ikan air tawar, Royal Belum juga kaya dengan pelbagai spesies hidupan haiwan liar seperti gajah, kijang,

rusa, seladang, pelanduk, tapir, harimau dan badak.

Bagaimanapun, Samsul berkata, haiwan-haiwan tersebut tidak mengganggu manusia selagi ia tidak diancam.

Fotografi malam makin digilai

Posted:

Fotografi malam makin digilai

Fotografi malam makin digilai

Oleh HAKIMI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my


Abdul Yazid Muslimin (kanan) dan Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Usuldin mengambil kesempatan pada detik 12 tengah malam untuk merakamkan panorama menarik sekitar Putrajaya, baru-baru ini. - utusan/Zaki Amiruddin


BIDANG fotografi semakin mendapat perhatian di kalangan masyarakat bagi merakamkan gambar atau detik-detik kenangan, sama ada melibatkan aktiviti kehidupan seharian mahupun keindahan alam semula jadi.

Tidak kira waktu - malam atau siang - aktiviti tersebut terus rancak bagi mereka yang betul-betul meminatinya.

Selalunya menjelang tengah malam, pasti merupakan noktah kepada rutin harian seseorang individu mencari rezeki.

Pada waktu itu juga semua ahli keluarga berkumpul dan berehat di rumah masing-masing sebelum menyambung semula tugas dan aktiviti pada keesokan harinya.

Namun bagi sesetengah individu, detik 12 malam menandakan bermulanya 'kerja' merakam suasana yang tidak sempat dilakukan di siang hari.

Tambahan pula bidang fotografi kini menjadi lebih mudah dengan adanya pelbagai teknologi canggih yang membantu individu untuk merakam detik-detik indah yang sukar diperolehi.

Fenomena ini disokong lagi dengan adanya pelbagai institusi pendidikan swasta yang menawarkan kursus dalam bidang fotografi khususnya bagi mereka yang memiliki kamera digital lensa refleks tunggal (DSLR).

Ia bukan sahaja menarik golongan belia dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tetapi juga pelajar sekolah bagi mendalami teknik-teknik fotografi.

Kebiasaannya, tempat-tempat menarik menjadi tumpuan kepada golongan yang mengagumi keindahan ini. Antara yang menjadi pilihan ialah suasana waktu malam di sekitar Putrajaya.

Tinjauan S2 pada detik 12 malam di Putrajaya mendapati, terdapat individu tertentu mengambil kesempatan untuk merakamkan suasana malam yang diterangi sinaran lampu di bandar tersebut.

Antara individu yang ditemui ialah Abdul Yazid Muslimin, 24. Dia seorang penyunting video di sebuah syarikat penyiaran swasta dan kebiasaannya menghabiskan sisa-sisa malam dengan mengambil gambar di merata tempat.

Menurut Abdul Yazid, mengambil gambar pada waktu malam mempunyai keistimewaan tersendiri kerana gambar yang diambil lebih cantik berbanding pada waktu siang kerana boleh mempelbagaikan kesan cahaya.

Katanya, suasana juga memainkan peranan ketika mengambil gambar. Ini kerana pada waktu malam, tekanan dan bahang persekitaran lebih menyenangkan.

"Selalunya gambar yang diambil akan disimpan untuk kenangan dan juga rujukan. Namun, jika ada yang berminat, saya tidak lokek untuk berkongsi dengan rakan-rakan.

"Setakat ini, sudah banyak tempat saya jelajah untuk mengambil gambar pada waktu malam," katanya kepada S2 ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu, Abdul Yazid menjelaskan, faktor harga DSLR kini yang semakin murah menyebabkan bidang fotografi kian berkembang.

"Kini boleh dikatakan hampir semua individu yang meminati bidang fotografi mempunyai DSLR tidak kira daripada jenama apa kerana ia kini menjadi barang mampu milik," katanya yang mengunakan kamera jenis Nikon D90.

Selain itu, katanya, walaupun bekerja pada siang hari menuntut tidur yang mencukupi, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus merakamkan gambar kerana merasakan kepuasan yang sukar diperoleh.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Usuldin, 26, berkata, selain dapat menikmati keindahan flora dan fauna pada waktu malam, dia juga dapat menimba ilmu paling berguna iaitu bagaimana untuk merakamkan keindahan tersebut supaya dapat diabadikan dan ditatap oleh orang lain.

Katanya, pengalaman seumpama itu tidak diperoleh semua individu, lebih-lebih lagi mengambil gambar pada detik 12 malam menuntut komitmen yang tinggi daripada penggemarnya.

"Bagaimanapun, saya terlebih dahulu memastikan tahap keselamatan saya terjamin sebelum bergerak ke sesuatu kawasan untuk mengambil gambar.

"Ini kerana dengan membawa barangan berharga seperti kamera DSLR, akan mengundang minat kumpulan yang mahu mengambil kesempatan," katanya.

Bagaimanapun katanya, ancaman tersebut tidak sekalipun menggentarkan beliau untuk terus menjadikan waktu tengah malam sebagai masa mengurangkan tekanan kerja dengan mengambil gambar pemandangan indah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved