Khamis, 13 Oktober 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Melepas tuntung di Sg. Kemaman

Posted:

Melepas tuntung di Sg. Kemaman

Melepas tuntung di Sg. Kemaman

Oleh SAPPE MAT JUNUS
utusanterengganu@utusan.com.my


Kanak-kanak asyik menyaksikan sebahagian daripada tuntung yang berusia kira-kira tiga bulan pada majlis pelepasan haiwan itu di Kampung Pasir Gajah, Kemaman, baru-baru ini.


KEMAMAN 12 Okt. - Sebanyak 84 ekor anak tuntung sungai berusia tiga bulan dilepaskan ke dalam Sungai Kemaman baru-baru ini yang menyajikan satu pengalaman menarik bagi golongan muda apabila dapat menatap, memegang dan melepaskan haiwan eksotik yang kian diancam kepupusan itu ke dalam air.

Pelepasan tuntung ini adalah kali kedua dilakukan di Kampung Pasir Gajah, selepas 100 ekor dilepaskan Jun lalu dan lapan ekor lagi di Kampung Dadong sebulan kemudian di bawah program pemuliharaan yang pertama kali dilakukan di daerah ini dengan penglibatan penduduk setempat.

Kesemua anak tuntung yang dilepaskan itu telah ditimbang, diukur dan dimasukkan mikrocip yang berfungsi sebagai tanda pengenalan bagi tujuan penyelidikan di sungai tersebut yang selama ini terlepas daripada perhatian para penyelidik dan pencinta alam.

Program pemuliharaan itu dimulakan Februari lalu melalui usaha bersama Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-Kura dan Penyu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pasir Gajah, penduduk setempat dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Chen Pelf Nyok, selaku pengurus projek pemuliharaan itu berbangga dan berterima kasih kepada penduduk Kampung Pasir Gajah kerana begitu cakna dan sepakat menjayakan usaha itu.

''Mereka sedar tentang tuntung yang semakin lama semakin jarang kelihatan. Mereka ingin memastikan haiwan itu terus dapat dilihat oleh generasi akan datang.

''Cuma mereka tidak tahu bagaimana memulakan projek pemuliharaan, lalu kami mencadangkan dan mereka bersetuju serta memberikan sepenuh kerjasama," ujarnya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau menarik perhatian seramai tujuh penduduk kampung yang digelarkannya sebagai 'geng tuntung' secara sukarela menjalankan pemerhatian di pinggir sungai dan mengumpulkan telor untuk pengeraman.

Malah, katanya, mereka menolak upah yang ditawarkan kerana bagi mereka ia sebagai satu sumbangan untuk memastikan tuntung terus naik bersarang di kampung mereka.

''Musim tuntung bersarang di kampung itu adalah dari Januari ke Mac setiap tahun. Sebanyak 420 butir telur dieramkan dengan sebanyak 198 ekor anak tuntung telah berjaya ditetaskan. Kadar penetasan adalah sebanyak 47 peratus,'' katanya.

Menurutnya, daripada 198 anak tuntung itu, lebih daripada separuh telah dilepaskan ke dalam Sungai Kemaman seminggu selepas penetasan dan ketika itu purata berat seekor adalah 118 gram, manakala purata panjang adalah 8.7 sentimeter dan lebar cengkerang 8.2 sentimeter.

''Selebihnya telah dipelihara oleh penduduk setempat sebelum turut dilepaskan baru-baru ini. Ketika itu purata beratnya 468 gram, panjang cengkerang 14.2 sentimeter dan lebar 12.2 sentimeter," ujarnya.

Majlis pelepasan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar bersama dengan Pengerusi JKKK Pasir Gajah, Mohd. Nor Jusoh, penduduk kampung dan penuntut Kolej Universiti Antarabangsa Sedaya (UCSI).

Beliau juga berharap projek tersebut akan dilanjutkan pada tahun-tahun akan datang dan diperluaskan ke sungai lain yang menjadi kawasan habitat spesies itu.

Katanya, di negeri ini, usaha pemuliharaan tuntung telah dimulakan di Sungai Setiu sejak 2004 dan perkembangannya agak memberangsangkan.

Full content generated by Get Full RSS.

Dua juta liter air bersih sehari

Posted:

Dua juta liter air bersih sehari

Dua juta liter air bersih sehari

Oleh FAUZI MOHD.
utusanterengganu@utusan.com.my


DR. Hasnul Mohamad Salleh (kiri) bersalaman ketika menyerahkan dokumen Projek Bekalan Air Pulau Perhentian kepada Husain Embong sambil disaksikan Mat Razali Kassim (tengah) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU 12 Okt. - Projek bekalan air bersih ke Pulau Perhentian yang telah siap sepenuhnya Mei lalu menelan kos terbesar bagi penyaluran bekalan ke pulau-pulau di negara ini.

Projek bagi kemudahan penduduk tempatan dan pengunjung di pulau peranginan itu menelan kos sebanyak RM60.75 juta dan mengambil masa lebih empat tahun.

Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Razali Kassim berkata, Syarikat Air Terengganu (SATU) kini mampu membekalkan dua juta liter air bersih sehari kepada kira-kira 1,600 penduduk.

''Ia turut memberi manfaat kepada lebih 40 pengusaha pusat pelancongan di pulau yang menerima kedatangan pelancongan hampir 90,000 setahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Bekalan Air Pulau Perhentian daripada Jabatan Bekalan Air Malaysia kepada SATU di Wisma Darul Iman di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bekalan Air, Ir. Dr. Hasnul Mohamad Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Husain Embong.

Menurutnya, projek yang bermula Februari 2006 itu melibatkan pemasangan paip di dasar laut sepanjang 22 kilometer dari Bukit Bubus, ke Pulau Perhentian Besar dan pembinaan tangki air berkapasiti 1.82 juta liter di pulau itu.

"Selain pembinaan tangki air berkapasiti 0.75 juta liter di Bukit Bubus, termasuk dalam projek berkenaan pemasangan paip kepada pengguna sepanjang 4 kilometer di Pulau Perhentian Kecil dan 1 kilometer di Pulau Perhentian Besar," katanya.

Mat Razali berkata, projek berkenaan memakan masa berikutan pihak pemaju melaksanakan pembinaan mesra alam bagi menjaga terumbu karang di taman laut serta kawasan hutan berbukit di kedua-dua pulau itu.

"Pihak kementerian memaklumkan, projek bekalan air bersih di Pulau Perhentian ini adalah yang terbesar di Malaysia pernah dilaksanakan dan ia mampu membekalkan air terawat untuk generasi akan datang," katanya.

Sebelum ini, katanya, penduduk dan pengusaha pelancongan di pulau berkenaan menggunakan bekalan air melalui loji air bawah tanah yang dibina oleh SATU di Pulau Perhentian Besar.

"Bagaimanapun, loji itu tidak dapat menampung keperluan penduduk terutama pada musim kemarau selain airnya yang berasa payau dan penggunaan minyak diesel turut mendedahkan kepada faktor pencemaran di taman laut," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

PPWK bantu wanita berdikari, tingkat ekonomi

Posted:

PPWK bantu wanita berdikari, tingkat ekonomi

PPWK bantu wanita berdikari, tingkat ekonomi


GURU jahitan PPWK Chempaka, Rashidah Darus (tengah) bersama Norina Mat Essa (kiri) dan Noraiza Hassan pada Majlis Graduasi PPWK Kali Ke-6 di Kompleks Islam Lundang, Kota Bharu. semalam.


KOTA BHARU 12 Okt. - Kalau dahulu, dia hanya boleh menjahit seluar anak yang koyak, kini Norina Mat Essa, 37, dari Pengkalan Chepa dekat sini, boleh tersenyum lebar melihat tiga anaknya memakai baju jahitannya sendiri pada sambutan Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.

Malah, wanita itu yang hanya mula memijak 'pedal' mesin jahit pada awal tahun, sudah boleh menghasilkan pelbagai rekaan baju hasil daripada kursus jahitan selama tujuh bulan di Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) Chempaka bermula Januari lalu.

"Saya pun tidak sangka boleh jahit baju untuk keluarga sendiri, tetapi seperti mana orang kata, rajin berusaha tangga kejayaan, saya mencabar diri sendiri untuk belajar sesuatu yang baru demi kebaikan keluarga," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Graduasi PPWK Ke-6 di Kompleks Islam Lundang di sini, kelmarin.

Norina merupakan salah seorang penerima anugerah pelajar terbaik PPWK yang disampaikan oleh isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Surirumah yang berasal dari Ipoh, Perak itu sudah bermastautin lebih 12 tahun di Kelantan dan bercita-cita membuka sebuah kedai jahitan dan butik suatu hari nanti bagi menambah pendapatan keluarga.

Seorang lagi pelajar terbaik, Noraiza Hassan, 40, dari Padang Tembak, pula berkata, walaupun dia sendiri sudah pandai menjahit baju sejak 15 tahun lalu, input yang diterima apabila mengikuti kursus PPWK amat berguna bagi meningkatkan kemahiran.

Katanya, kelas jahitan lima hari seminggu yang terbuka kepada semua wanita tanpa had umur itu membolehkannya belajar pelbagai jenis potongan dan fesyen baharu termasuk sulaman.

"Kita tidak rugi apa-apa bila belajar, malah, ada sahabat sekelas yang berusia lebih tua daripada saya turut serta walaupun tidak ada apa-apa asas menjahit," katanya.

Seramai 187 pelajar dari seluruh negeri yang lulus peperiksaan teori dan praktikal jahitan PPWK pada hujung Julai lalu menerima sijil masing-masing pada majlis itu.

PPWK Wakaf Bharu telah dipilih sebagai PPWK Terbaik; PPWK Tanjung Emas dan Kelaboran bagi kategori PPWK Dinamik dan Guru Jahitan Terbaik pula disandang oleh Fatimah Mamat.

Sementara itu, Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar berkata, sejak program itu dimulakan pada 2006, seramai 1,701 pelajar telah mengikuti kursus jahitan dan 932 daripadanya lulus peperiksaan dengan cemerlang.

"Kelas PPWK disediakan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) namun, hanya 26 sahaja pusat yang aktif, kita akan banyakkan promosi agar lebih ramai wanita turut serta kerana ia memberi peluang kepada mereka belajar kemahiran menjahit yang boleh dijadikan sumber pendapatan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved