Ahad, 2 Oktober 2011

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Sapura hambat KLHC

Posted:

Sapura hambat KLHC

Sapura hambat KLHC

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my


Pemain Sapura, Jiwa Mohan (tengah) diasak dua pemain lawan dalam saingan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN


KUALA LUMPUR - Kemenangan 5-2 ke atas Universiti Teknologi Mara (UiTM) semalam membolehkan Sapura melonjak ke tangga kedua Liga Hoki Malaysia (LHM dan berkongsi mata dengan pendahulu liga, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC).

Hanya kelebihan enam jaringan memisahkan KLHC dan Sapura selepas kedua-duanya memungut 15 mata daripada lima perlawanan.

Dalam perlawanan semalam, Sapura terlebih dahulu membuka jaringan melalui gol padang Muhammad Marhan Mohd. Jali pada minit ke-12.

Tiga minit kemudian, Mohd. Noor Khairul Azraain Adnan memberikan jaringan kedua melalui pukulan sudut penalti.

Sebaik sahaja babak kedua bermula, Sapura tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol ketiga pada minit ke-37 melalui pukulan kencang Azreen Rizal Nasir, manakala M.Jiwa (ke-39) dan bekas pemain kebangsaan S. Kuhan (ke-52) menjadikan kedudukan 5-0.

Skuad UiTM sekadar memperoleh dua jaringan melalui Sheraz Ali Rafaqat Ali minit ke-62 dan Ahmad Amirul Alias pada minit ke-67.

Sementara itu, impian Nur Insafi yang berada di tangga kelima untuk memintas kedudukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di tempat keempat liga tidak kesampaian apabila terikat 3-3.

Keputusan tersebut menyaksikan kedua-dua pasukan itu berkongsi tujuh mata dengan perbezaan jaringan.

Keputusan lain menyaksikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mudah menjinakkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan keputusan 5-0 manakala Yayasan Negeri Sembilan (YNS) menang tipis 2-1 ke atas Maybank semalam.

Olimpik jadi sasaran terbaru

Posted:

Olimpik jadi sasaran terbaru

Olimpik jadi sasaran terbaru

Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Peningkatan hebat yang dipamer beregu muda negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei tiba di kemuncaknya semalam, apabila merangkul kejuaraan pertama selepas lima bulan digandingkan pada Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Indonesia di Kalimantan Timur.

Semalam, Vivian-Khe Wei mempamer pertahanan mantap dan permainan bijak ketika menewaskan pasangan pilihan dari China yang juga juara Terbuka Jepun, Yixin Bao-Zhong Qianxin 19-21, 21-19, 21-18 dalam pertarungan sengit satu jam, 15 minit.

Selepas berterusan menunjukkan aksi konsisten - merangkul satu gelaran, melangkah dalam dua separuh akhir dan satu suku akhir daripada lima kejohanan yang disertai tahun ini, pasangan wanita negara itu mula melancarkan misi mencari tiket Sukan Olimpik 2012.

Biarpun sedar ia tidak mudah, apatah lagi dengan hanya menghuni ranking ke-60 dunia ketika ini, namun Khe Wei-Vivian percaya slot ke London boleh diraih andai terus bermain konsisten dan berjaya menambah koleksi kejuaraan.

"Saya terhutang budi kepada semua jurulatih yang membantu saya dan Vivian menjadi satu kombinasi mantap, bermula dari Pang Cheh Chang, Rexy Mainaky dan Chong Kien Ling.

"Saya tidak sangka gelaran akan diraih dalam tempoh lima bulan pertama kami digandingkan tetapi saya dapat rasakan ia akan tiba kerana menunjukkan prestasi yang baik sepanjang bersama.

"Ramai yang kata kami mempunyai potensi besar untuk mempertahankan emas yang dimenangi senior kami, (Wong) Pei Tty-(Chin) Eei Hui pada Sukan SEA nanti. Saya tidak mahu menetapkan sasaran untuk satu kejohanan, sebaliknya mahu beraksi konsisten selama beberapa bulan ini dan mencari tiket Olimpik 2012,'' kata Khe Wei ketika dihubungi di Kalimantan Timur, semalam.

Selepas membuktikan kemampuan dalam empat kejohanan berstatus Grand Prix Emas, Vivian-Khe Wei kini bakal berdepan ujian sebenar apabila bertanding pada kejohanan Siri Super Premier dan Siri Super di Terbuka Denmark (18-23 Oktober) serta Terbuka Perancis di Paris, 25-30 Oktober ini.

Kedua-dua kejohanan itu bakal menampilkan lawan yang sukar dan mencabar, terutama pasangan utama dari China, Jepun dan Korea.

Bagaimanapun, Vivian-Khe Wei menegaskan, mereka cukup teruja untuk menguji sejauh mana keupayaan.

Menurut Khe Wei, 22, dia dan Vivian menunjukkan pertahanan mantap dan mampu bermain dengan sabar ketika berdepan serangan hebat, Yixin Bao-Zhong Qianxin, pilihan kelapan kejohanan. Ia adalah taktik sama yang digunakan ketika mengejutkan satu lagi pasangan China, yang juga pilihan keenam, Cheng Shu-Pan Pan 21-15, 18-21, 21-18 di suku akhir.

Justeru, Vivian-Khe Wei yang turut melangkah ke separuh akhir Terbuka Thailand dan Taiwan, selain suku akhir Terbuka Vietnam, percaya permainan tersebut mampu menjadi kunci utama mereka untuk berdepan lawan yang bermain pantas.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved