Khamis, 15 September 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


TM rugi RM14j kecurian kabel

Posted:

TM rugi RM14j kecurian kabel

TM rugi RM14j kecurian kabel

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my


Mohd. Shafie Harun (dua dari kiri) melawat pameran selepas merasmikan Seminar Hak Pengguna Dalam Perkhidmatan Komunakasi dan Multimedia di Kota Bharu, Kelantan, semalam.


KOTA BHARU 14 Sept. - Telekom Malaysia (TM) kerugian sebanyak RM4 juta dari Januari sehingga Ogos tahun ini akibat kecurian kabel yang semakin berleluasa di negeri ini.

Pengurus Besar TM Kelantan, Ab. Rashid Che Othman berkata, kesan daripada kecurian itu, sekurang-kurangnya 30,000 pengguna talian telefon dan Internet di seluruh negeri mengalami gangguan dan perkhidmatan yang tidak memuaskan.

Menurut beliau, mengikut statistik, sebanyak tiga kes kecurian kabel dilaporkan setiap hari menunjukkan masalah itu semakin serius dan perlu dibendung dengan segera.

"TM terpaksa membelanjakan sehingga RM4 juta setakat ini untuk mengganti semula kabel yang dicuri dan kalau diukur panjang kabel yang dicuri itu mencecah 100 kilometer.

"Sehingga Ogos ini sebanyak 800 kes kecurian kabel telah direkodkan dan ia hampir menyamai jumlah keseluruhan 900 kes yang dilaporkan sepanjang tahun lalu," katanya pada sidang akhbar selepas Seminar Hak Pengguna Dalam Perkhidmatan Komunikasi dan Multimedia di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Timur, Mohd. Shafie Harun; Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Agensi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Kelantan, Ramly Yusoff; Pengarah Jabatan Pematuhan SKMM, Sharizan Abdul Aziz dan Pengarah Eksekutif, Forum Pengguna SKMM, Azizan Affandi.

Seramai 200 wakil daripada pelbagai agensi berkaitan komunikasi di negeri ini serta beberapa usahawan telekomunikasi turut hadir pada seminar tersebut.

Ab. Rashid berkata, Pasir Mas menjadi daerah yang paling teruk terjejas dengan kecurian kabel termasuk beberapa penempatan di pinggir bandar Kota Bharu.

Menurut beliau, kecurian kabel yang biasanya dilakukan oleh golongan penagih dadah bukan sahaja meningkatkan kos TM, malah turut menjejaskan pengguna memandangkan proses penggantian mengambil masa kira-kira seminggu.

"Bagaimanapun, kabel telefon berkenaan tidak akan diganti jika terlalu kerap dicuri kerana kita terpaksa menanggung kos yang tinggi setiap kali baik pulih dilakukan. Oleh itu TM akan mencari alternatif yang difikirkan sesuai di kawasan terbabit," jelasnya.

Tambahnya, TM bekerjasama dengan polis dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di setiap kampung untuk mengekang kecurian berkenaan daripada terus berulang.

Tambahan RM10j indahkan tebing Sungai Kelantan

Posted:

Tambahan RM10j indahkan tebing Sungai Kelantan

Tambahan RM10j indahkan tebing Sungai Kelantan

KOTA BHARU 14 Sept. - Kementerian Pelancongan memberi peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta untuk mengindahkan tebing Sungai Kelantan dengan projek pembinaan laluan pejalan kaki, kawasan rehat serta kemudahan asas yang lain.

Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Mohd. Anis Hussein berkata, sebaik sahaja projek tersebut siap, kawasan berkenaan dijangka menjadi produk pelancongan baru di negeri ini.

"Proses untuk mengeluarkan tender projek pembinaan pejalan kaki yang bermula dari Tambatan Di Raja sehingga ke Istana Kota Lama telah dilakukan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR)

"Sebaik sahaja selesai proses tender, barulah projek ini akan dimulakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Anis memberitahu pihaknya dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur akan menganjurkan sambutan bulan kemerdekaan bertempat di Menara Tambatan Di Raja dekat sini Sabtu ini.

Menurutnya, sambutan tersebut diadakan bertujuan menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam diri masyarakat serta mempromosikan menara tersebut.

"Ini merupakan mercu tanda baru di bandar Kota Bharu. Menara setinggi 47 meter ini siap dibina pada 15 Februari lalu yang menelan belanja sebanyak RM4.9 juta di bawah peruntukkan Kementerian Pelancongan.

"Selain itu, pelbagai acara menarik telah disediakan bagi memeriahkan sambutan tersebut antaranya pertandingan mewarna dan malam apresiasi seni merdeka melibatkan persembahan dikir barat, puisi, pantomin kemerdekaan serta pertunjukan bunga api," ujarnya.

Tambahnya, program tersebut akan bermula pada pukul 8 pagi, manakala persembahan malam apresiasi seni merdeka akan bermula pada pukul 9 malam.

Sehubungan dengan itu, laluan di depan menara ini akan ditutup kepada semua lalu lintas bermula pukul 3 petang sehingga 12 malam.

"Saya harap pengguna laluan tersebut dapat menggunakan laluan alternatif yang lain bagi mengelakkan berlakunya kesesakan," jelasnya.

Pack aktif promosi kegiatan kayak

Posted:

Pack aktif promosi kegiatan kayak

Pack aktif promosi kegiatan kayak

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my


Peserta gembira berkayak sambil melihat keindahan rumah-rumah kampung di sepanjang Sungai Pengkalan Datu, Kota Bharu.


KOTA BHARU 14 Sept. - Siapa sangka, di sebalik hiruk-pikuk Kota Bharu, sungai-sungai yang mengalir di pinggir bandar dan dalam kawasan kampung berdekatan dimanfaatkan segolongan insan berhati waja dengan kegiatan berkayak sejak 28 tahun lalu.

Persatuan Kenu Kelantan (PKK) telah sekian lama giat menjalankan aktiviti untuk ahli dan orang ramai bagi menikmati keindahan alam sekitar di sepanjang sungai di sini dan juga di daerah lain seperti kawasan jeram Sungai Nenggiri di Gua Musang.

Setiap petang, Pusat Aktiviti Kenu Kelantan (Pack) di bawah Jambatan Pulau Melaka di Panji akan dipenuhi tidak kurang 20 anak muda, lelaki dan perempuan, menunggu giliran menaiki kayak yang disediakan pihak persatuan.

Mereka tidak sabar untuk turun berada dalam cockpit kayak dan mendayung menyelusuri Sungai Pengkalan Datu dengan gigi air berada tidak sampai sekaki dari badan, seolah-olah bersatu dengan aliran sungai yang mengalir tenang.

Deretan pokok nipah yang menghijau dan kicauan burung sesekali menerjah suasana selain pemandangan rumah-rumah kampung yang masih tersergam mewujudkan landskap indah.

Secara jujurnya, mungkin tidak seindah pemandangan sepanjang sungai terkenal lain, namun keadaannya yang belum tercemar teruk memberi bonus kepada peminat untuk merasai ketenangan apabila berada di tengah sungai.

Presiden PKK, Johary Idris, 58, bertanggungjawab menubuhkan persatuan itu sejak 1983 adalah seorang pesara guru pendidikan jasmani yang meminati sukan air dan aktif berkongsi minatnya itu bersama generasi muda.

Beliau yang terkenal dengan panggilan 'Cikgu Jo', pernah mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, SMK Kubang Kerian (1), SMK Dato' Ahmad Maher, Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Jedok dan terakhir di SK Sultan Ismail (1) sebagai Penolong Kanan (Pentadbiran).

Johary berkata, pihaknya gembira kerana usaha mereka menumpukan aktiviti persatuan di bawah Jambatan Pulau Melaka telah sedikit sebanyak membantu mempromosikan kawasan yang dahulunya semak samun menjadi sibuk dengan aktiviti kayak.

Menurutnya, aktiviti kayak bukan sahaja boleh menyihatkan badan tetapi juga memupuk rasa cintakan sungai dan alam sekitar di kalangan ahli yang rata-rata terdiri daripada golongan remaja semuda usia 15 tahun dan juga dewasa bekerjaya seperti ahli perniagaan, guru, doktor, jurutera dan sebagainya.

Beliau memberitahu, pada awal penubuhan PKK, mereka hanya mempunyai tiga buah kayak gentian kaca yang lebih dikenali dengan nama kayak 'tongkang' untuk kegunaan ahli persatuan berkayak di Sungai Demit, Kubang Kerian.

"Dahulunya, kami berpengkalan di Sungai Demit tetapi sejak 10 tahun lalu kami berpindah ke tempat yang lebih sesuai iaitu di bawah Jambatan Pulau Melaka yang merentangi Sungai Pengkalan Datu.

"Kami ambil inisiatif sendiri bersihkan kawasan semak di bawah jambatan dan membina pelantar kayu dan stor untuk menyimpan kelengkapan kayak persatuan.

"PKK bukanlah satu organisasi mencari untung tapi kami hidup dengan semangat dan tenaga sukarela ahli lebih 100 orang dengan 30 daripadanya aktif membantu kegiatan persatuan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Bermodalkan sedikit yuran yang dikenakan kepada peminat yang menyewa kelengkapan mereka dan juga kursus serta ekspedisi yang dianjurkan setiap bulan, mereka mengumpul dana sendiri untuk membeli kayak, pendayung dan kelengkapan lain.

Pada hari ini, mereka mempunyai 21 kayak dancer yang khusus digunakan untuk berkayak di kawasan cerun dan jeram, 37 kayak tongkang dan 14 kayak lumba.

Beliau berkata, tidak kurang RM10,000 setahun dibelanjakan untuk membeli kelengkapan baru serta penyelenggaraan dan mereka berusaha mengurangkan kos dengan membaiki sendiri kayak yang bocor.

"Harga setiap kayak adalah berlainan mengikut jenis masing-masing; kayak dancer yang diimport dari Australia misalnya agak mahal iaitu melebihi RM3,000 setiap satu kerana diperbuat daripada material yang kukuh tetapi ringan.

"Kayak lumba dan kayak tongkang pula berharga antara RM1,500 hingga lebih RM2,000 setiap satu dan didapati daripada pembuat bot dan kayak tempatan di Pahang dan Johor.

"Peralatan yang kita guna sudah ketinggalan zaman tetapi atas penjagaan yang betul kayak yang dibeli sejak tahun 1980-an masih dapat digunakan dengan selamat," katanya.

Justeru beliau berharap, pihak seperti Jabatan Belia dan Sukan negeri serta Majlis Sukan Negeri (MSN) dapat membantu persatuan dalam pembelian peralatan berkayak dan sebagainya.

Johary yang menggemari selam skuba berkata, aktiviti kayak untuk ahli dan peminat diadakan pada setiap petang selepas waktu asar hingga maghrib kecuali pada hari Jumaat.

Jelasnya, tiada halangan untuk sesiapa pun merasai pengalaman berkayak meskipun mereka tidak tahu berenang kerana latihan dan jaket keselamatan akan diberi.

"Kami akan selitkan slot di mana pendayung yang baru pertama kali mahu berkayak akan dipastikan tidak panik dengan air dan berasa yakin dengan jaket keselamatan mereka. Setiap orang akan diajar cara menggunakan alatan dengan betul seperti gerakan pendayung yang sesuai untuk masa dan keadaan tertentu," katanya.

Dengan bantuan kewangan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, mereka berusaha menyertai pertandingan kayak di luar Kelantan seperti di Sungai Sedim, Kedah; Danga Bay, Johor; Labuan Round Island Kayak Race, Labuan dan yang terbaru ke Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya pada Mei lalu apabila menghantar wakil seramai 45 orang.

"Ekspedisi terpanjang pernah kita lakukan adalah dari Jeli ke Pantai Seri Tujuh, Tumpat selama lima hari dan empat malam pada tahun 1990 melibatkan 20 peserta.

"Paling mencabar pula adalah pada tahun 2008 sejauh 60 kilometer (km) dari Kota Bharu ke Panji melalui bandar Tumpat dan Laut China Selatan di mana kami berhadapan dengan ombak laut ganas sehingga ada peserta wanita pengsan dalam kayak kerana mabuk laut," katanya.

Selain berkayak, PKK juga aktif mengadakan ekspedisi mendaki gunung, jungle treking, berkhemah dan sebagainya dan sering menjadi pilihan pelbagai pihak termasuk institut pengajian tinggi awam dan swasta, untuk bekerjasama mengadakan program.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved