Utusan Online - Jenayah |
Posted: Komando ATM sekat seranganOleh HAMDEN RAMLI KAPAL MT Eagle Stealth yang cuba dirampas lanun ketika melalui perairan Bab Al-Mandeb, 30 batu nautika dari Al-Mukha, Yaman. IPOH 15 Sept. - Sebuah Pasukan Perlindungan Khas (PPK) Bunga Mas 5 terdiri daripada enam anggota komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya mematahkan cubaan lanun merampas kapal dagang MT Eagle Stealth milik syarikat perkapalan negara, MISC. Dalam kejadian pukul 6 petang, 11 September lalu itu, lima bot laju dinaiki antara 10 hingga 15 lanun dipercayai dari Somalia cuba merapati kapal tersebut ketika belayar merentasi Bab Al-Mandeb, 30 batu nautika dari Al-Mukha, Yaman. Menurut kenyataan akhbar Bahagian Perhubungan Awam, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), semua bot tersebut berpatah balik selepas menyedari kehadiran anggota pasukan keselamatan negara di atas kapal berkenaan. "Pasukan PKK yang diketuai Leftenan Aswad Zakareya melepaskan satu das tembakan amaran dan memperagakan kehadiran mereka bagi menakutkan kumpulan bot-bot tersebut. "Tembakan tersebut dan kelibat anggota PPK di geladak atas telah berjaya mengusir bot-bot itu daripada terus mengekori dan merapati kapal," kata kenyataan itu. Pada 22 Januari lalu, pasukan PKK Bunga Mas 5 telah berjaya menyelamatkan kapal dagang MT Bunga Laurel selepas dua jam ditawan lanun, kira-kira 300 batu nautika di timur Oman. Selain kapal Bunga Mas 5, keselamatan kapal-kapal negara ketika melalui perairan Somalia turut dilindungi kapal auxiliary TLDM, Bunga Mas 6. Menurut kenyataan itu lagi, ketika kejadian, MT Eagle Stealth yang merupakan kapal tangki pengangkut minyak jenis Low Sulphur Fuel Oil, sedang membawa 56,000 metrik tan minyak bernilai kira-kira RM200 juta. Sebanyak 26 krew berada di atas kapal ketika kejadian termasuk seorang kapten warganegara Filipina. Krew kapal terdiri daripada warganegara Singapura, India, China, Bangladesh, Ukraine, Ghana dan dua dari Malaysia. "Nyata kehadiran pasukan PPK di atas Kapal Auxiliary TLDM Bunga Mas 5 dan Bunga Mas 6 serta penempatan pasukan itu di atas kapal dagang bagi melakukan perlindungan secara terus telah mencapai objektifnya dan secara langsung menyelamatkan hasil dagangan negara yang amat tinggi nilainya," kata kenyataan itu. |
Pemuda gemar curi motosikal selama 14 tahun ditangkap Posted: Pemuda gemar curi motosikal selama 14 tahun ditangkapKUALA LUMPUR 15 Sept. - Walaupun sedar perbuatan mencuri salah di sisi undang-undang, seorang pemuda gagal menahan diri daripada melakukan jenayah itu gara- gara mempunyai hobi pelik iaitu gemar mencuri motosikal. Disebabkan hobi pelik itu, dia akhirnya menerima padah apabila dicekup polis semasa sedang menunggang motosikal curi di Taman Serdang Perdana, Serdang dekat sini, Isnin lalu. Suspek berusia 27 tahun semasa disiasat mengaku terlibat dalam kegiatan curi motosikal sejak berusia 13 tahun dan dalam tempoh 14 tahun sudah mencuri beratus motosikal di sekitar kawasan Seri Kembangan, Serdang, Puchong, Cheras dan Dang Wangi dekat sini. Malah, suspek yang tinggal di Cheras sanggup pergi ke Kuantan, Pahang untuk melarikan motosikal di daerah itu. Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, penjenayah pelik itu diberkas oleh sepasukan anggota polis diketuai Ketua Balai Polis Seri Kembangan, Cif Inspektor Chai Chee Boon semasa menjalankan rondaan cegah jenayah di hadapan Pusat Beli-belah Plaza South City, Seksyen 1, Taman Serdang Perdana pada pukul 5 petang, Isnin lalu. "Dia yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan enggan berhenti apabila diarahkan oleh polis untuk diperiksa, malah bertindak memecut laju untuk melarikan diri. "Namun, suspek berjaya ditangkap selepas terlanggar belakang sebuah teksi yang berhenti di bahu jalan dan terjatuh," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini. Abd. Razak berkata, siasatan mendapati suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu curi motosikal pada 2005 dan 2008, menunggang motosikal yang dicuri dari Kuantan. Beliau berkata, suspek yang tidak bekerja dan berhenti sekolah sejak berusia 13 tahun mengaku mencuri motosikal adalah hobinya dan tabiat buruk itu sukar dibuang. Menurutnya, demi memenuhi hobinya itu, suspek sanggup menaiki bas atau komuter ke beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang dan negeri-negeri lain semata-mata mahu mencari motosikal untuk dicuri. "Motosikal yang dicuri akan digunakan sendiri atau diberikan kepada rakan-rakan secara percuma jika mereka berminat. "Jika sudah bosan menggunakan motosikal itu, ia akan ditinggalkan di mana-mana bangunan pangsapuri atau tepi jalan," katanya sambil memberitahu ada juga motosikal dijual dengan harga RM250 hingga RM450 jika suspek terdesak memerlukan wang. Abd. Razak berkata, hasil siasatan lanjut terhadap suspek, polis berjaya menemui enam motosikal bernilai RM30,000 yang dicuri lelaki terbabit sebelum ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan