Khamis, 15 September 2011

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Terdapat komunikasi tertuduh di Banting

Posted:

Terdapat komunikasi tertuduh di Banting

Terdapat komunikasi tertuduh di Banting

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 15 Sept. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa terdapat beberapa transaksi pada telefon bimbit yang didaftarkan atas nama dua tertuduh, R. Matan dan R. Kathavarayan di sekitar kawasan Banting pada 30 Ogos tahun lalu.

Pengurus Besar Bahagian Bil, Celcom Axiata Bhd., Abdul Latif Mohamad berkata, kedua-duanya berkomunikasi antara satu sama lain selepas pukul 8.30 malam pada hari jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dibunuh di Ladang Gadong pada tarikh tersebut.

"Transaksi telefon bimbit itu menunjukkan terdapat komunikasi antara kedua-duanya menggunakan stesen pemancar Batu Laut di Banting," katanya semasa ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimul Azami Mohamad Nor.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu

Semasa disoal balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan, Abdul Latif mengakui keterangannya itu semata-mata berdasarkan rekod transaksi yang tidak dicetak oleh beliau sendiri.

Saksi itu juga mengaku baru pertama kali melihat rekod transaksi bagi nombor yang didaftarkan atas nama Matan dan Kathavarayan dan diserahkan kepada pihak polis oleh Eksekutif Kanan Unit Perantara, Jabatan Siasatan dan Pencegahan Penipuan, Nor Azlina Ahmad.

Sementara itu, pakar bahagian teknikal dalam telekomunikasi dan teknologi Celcom, Haizal Hambali pula memberitahu transaksi telefon bimbit yang didaftarkan atas nama Sosilawati, Ahmad Kamil dan Noorhisham berlaku di sekitar Banting selepas pukul 5 petang, 30 Ogos 2010.

Katanya, ia berdasarkan lokasi stesen pemancar yang tertulis di dalam rekod terperinci transaksi tersebut seperti Kanchung Laut, TM Banting, Telok Panglima Garang dan lain-lain lagi.

"Berdasarkan rekod transaksi yang menggunakan stesen pemancar Johan Setia, diikuti Jenjarom dan Banting, pengguna telefon bimbit 019-2266222 (Ahmad Kamil) bergerak dari Lebuhraya Kesas ke Banting.

"Sementara rekod transaksi nombor 019-2295153 (Sosilawati) menunjukkan pergerakan berlaku dari Telok Panglima Garang ke Banting antara pukul 4 sehingga 6 petang, 30 Ogos 2010," jelas beliau.

Seorang lagi saksi, Haslin Mohamad Baharudin yang merupakan Pengurus Teknikal Celcom pula mengesahkan nombor telefon bimbit 019-2266222 didaftarkan atas nama beliau.

Bagaimanapun jelas beliau, nombor tersebut diberikan kepada Ahmad Kamil dan ia digunakan oleh peguam itu pada Ogos 2010.

"Saya serahkan nombor itu atas dasar kepercayaan kepada rakan saya. Masa itu dia masih belajar. Nombor tersebut tidak dikenakan bayaran perkhidmatan," jelasnya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-31 bersambung pada Khamis dan Jumaat ini.

KDSB enggan runding semula beli tanah

Posted:

KDSB enggan runding semula beli tanah

KDSB enggan runding semula beli tanah

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) enggan berunding semula dengan kerajaan berhubung pembelian tanah di Pulau Indah bagi projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Bekas Setiausaha Bahagian Maritim, Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Zakaria Bahari, 59, berkata, terdapat cadangan untuk rundingan semula urusan pembelian tanah itu pada mesyuarat yang dipengerusikan Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan Kementerian Pengangkutan, Datuk Abdul Rahman Mohd. Noor pada 17 April 2002.

"Bagaimanapun, dalam mesyuarat itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif KDSB Datuk Seri Tiong King Sing tidak mahu mengadakan rundingan semula dengan kerajaan, dan masih berkeras supaya terma dan syarat yang dipersetujui mengenai urusan itu sebelum ini diterima," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abd. Majid Tun Hamzah.

Selain itu, saksi ketujuh pendakwaan pada perbicaraan kes bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr. Ling Liong Sik berkata, beliau menyedari perjanjian mengenai pembelian tanah itu telah dibuat bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) O.C. Phang bersama KDSB sebelum surat yang ditulisnya mengenai perjanjian pembelian bertarikh 20 November 2002 diberikan kepada Phang.

"Saya sedar perjanjian dibuat sebelum surat saya dikeluarkan kepada O.C Phang... semasa keputusan Kabinet pada 6 November 2002, O.C Phang ada bertanya kepada Dr. Ling boleh diteruskan ke tidak pembelian tanah tersebut, dan Dr. Ling menjawab teruskan sebab Kabinet, pada tarikh berkenaan (6 November 2002) telah membuat keputusan (untuk beli tanah itu)," katanya.

Terdahulu, saksi keenam pendakwaan, Datuk Zaharah Shaari, 62, yang menyambung keterangan hari ini berkata Datuk Seri Dr. Rais Yatim ada memberi pandangan kepada Kementerian Pengangkutan mengenai cara perolehan tanah di Pulau Indah bagi projek PKFZ.

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan itu berkata, Rais, yang ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berpendapat cara memperoleh tanah melalui pengambilan balik tidak wajar diteruskan kerana kementerian berkenaan terikat dengan surat tawaran kepada penjual tanah iaitu KDSB.

"Setahu saya, pada mesyuarat yang turut saya hadiri sebelum April 2002, Dr. Rais memberikan pandangan terhadap surat tawaran yang dikeluarkan oleh kementerian ini kepada KDSB, bahawa telah wujud satu ikatan perjanjian, maka tidak wajar diteruskan melalui cara pengambilan balik tanah," katanya.

Selain itu, Zaharah berkata, idea menjadikan Pulau Indah sebagai Pusat Distripark Serantau merupakan idea sebuah konsultan berdasarkan kajian yang dilakukan.

Bagaimanapun, beliau tidak ingat sama ada konsultan itu dilantik oleh Kementerian Kewangan atau LPK.

Dr. Ling, 68, didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894, yang berasaskan RM25 sekaki persegi iaitu RM1,088,456,000, sedangkan dia tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dia juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr. Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 September dan 6 November 2002. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved