Sabtu, 24 September 2011

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Di sebalik nama DR.Campsite

Posted:

Di sebalik nama DR.Campsite

Di sebalik nama DR.Campsite

rohana.man@utusan.com.my
Gambar WAN NAQIUDDIN WAN YAACOB


AKTIVITI berakit diadakan di Sungai Langat yang terletak di hadapan deretan chalet DR. Campsite.


Memandangkan bulan Syawal masih hangat dengan sambutan rumah terbuka, maka saya mencadangkan supaya sesi temu bual dengan Azman Haron, 44, dilakukan dalam suasana hari raya.

Justeru, berbekalkan kerjasama rakan-rakan rekreasi yang lain, majlis beraya sambil memperkenalkan DR. Campsite kepada kami diadakan pada Sabtu minggu lalu.

Tatkala jentera Kembara yang dipandu penulis menghampiri DR. Campsite yang terletak di dalam kebun buah-buahan dan belantara di Kampung Lubok Kelubi, Hulu Langat, Selangor, mata penulis terus terhenti pada tulisan yang jelas dapat dibaca di halamannya.

"Damai, tenang, segar & selamat" adalah motto yang digunakan untuk menjual pelbagai pakej latihan dan motivasi di DR. Campsite.

Tentang keunikan namanya, Azman memberitahu idea menamakan lokasi itu diilhamkan oleh rakan kongsinya yang merupakan seorang pensyarah.

"Nama tempat ini dicadangkan oleh rakan kongsi saya yang berpangkat doktor falsafah di Universiti Malaya," ujarnya yang menganggap nama itu membawa tuah kerana ia lain daripada yang lain.

Berada sehari suntuk di DR. Campsite dan mengintai semula motto tempat rekreasi ini, maka memang benar apa yang diwar-warkan itu.

Segalanya mengujakan. Bunyi aliran sungai yang mendamaikan jiwa, desiran angin yang menenangkan dan kehijauan belantara yang menyegarkan. Kehadiran sejumlah jurulatih rekreasi pula menjanjikan keselamatan peserta sepanjang beraktiviti di sini.

"Tidak seperti pusat rekreasi lain yang memiliki trainer sambilan, kami memiliki 20 orang trainer termasuk lulusan universiti yang bekerja sepenuh masa.

"Selain mengendalikan pakej latihan dan motivasi di sini, kesemua trainer kami juga terlibat dalam program yang diadakan di sekolah seperti kemahiran hidup atau bijak Matematik," ujarnya yang merupakan bekas guru cemerlang Matematik.

Beliau yang juga pengasas program Smart & Easy Math berkata, pada tahun lalu sahaja, DR. Campsite mengendalikan lebih 100 program di sekolah.

"Jumlah ini tidak termasuk program yang diadakan di DR. Campsite sendiri. Untuk memastikan setiap program berjalan lancar, pihak kami melantik dua konsultan iaitu Wirajaya Excellence Consultancy dan Man Team Resources yang berpejabat di Taman Ukay Perdana, Ampang," tambahnya.

Ketika asyik menemubual Azman, mata penulis melirik ke arah aliran sungai yang jernih dan deras.

"Ini Sungai Langat. Biasanya selepas hujan, paras air meningkat sedikit dan mengalir lebih deras daripada biasa. Namun, bah tidak pernah sampai ke halaman DR. Campsite," katanya.

Nampaknya, sungai itu menjadi antara aset paling berharga di DR. Campsite. Apatah lagi, kehadiran sederet chalet kayu dan buluh yang membarisi tebing sungai yang sentiasa melambai kedatangan pengunjung.

"Sungai inilah yang menjadi tarikan utama pencinta alam dan penganjur program latihan dan kem motivasi untuk mengadakan aktiviti di sini," kata Azman.

Beliau bercerita bagaimana peserta yang masuk sahaja ke kawasan DR. Campsite akan memperoleh kedamaian yang dicari.

"Masuk sahaja ke sini, tiada langsung kedengaran bunyi lalu lintas kenderaan. Ini kerana lokasi DR. Campsite terletak jauh dari jalan raya.

"Pada malamnya pula, halwa telinga kita akan dihiburkan oleh bunyi unggas rimba seperti cengkerik, selain desiran aliran sungai yang mendamaikan," katanya.

Menurutnya, sungai yang mengalir dari Gunung Nuang itu juga kaya dengan siput etok dan ikan seperti kelah dan jelawat.

Mengenai perancangan masa depan, Azman memberitahu, pelbagai cabang bisnes kini sedang dan akan dimulakan secara berperingkat. Antara program yang telah dijalankan adalah insurans, sewa bas, katering dan percetakan.

Sementara itu, jurulatih rekreasi, Mohd Khairul Ramli, 26, merangkap Pengurus Pejabat DR. Campsite berkata, pakej yang ditawarkan adalah 2 hari 1 malam atau 3 hari 2 malam dan terbahagi kepada dua kategori harga.

"Harga pakej tanpa konsultan untuk pakej 3 hari 2 malam adalah RM65 hingga RM90 seorang, manakala dengan konsultan, antara RM95 hingga RM120 bagi setiap peserta.

"Untuk pakej 2 hari 1 malam pula, harga bermula daripada RM45 hingga RM55 seorang (pakej tanpa konsultan), atau RM75 hingga RM85 seorang (pakej dengan konsultan)," katanya.

Rakannya yang juga seorang jurulatih rekreasi merangkap Ketua Pegawai Pemasaran DR. Campsite, Syed Alwi Syed Hussin, 26, pula berkata, pihaknya kini sedang menawarkan harga promosi untuk aktiviti yang akan diadakan pada Januari 2012.

"Untuk menikmati harga promosi dengan diskaun 20 peratus itu, tempahan boleh dibuat sekarang," ujarnya sambil memberitahu jumlah minimum peserta adalah 80 orang.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved