Isnin, 22 Ogos 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Cabaran baru Majlis Raja-Raja

Posted:

Cabaran baru Majlis Raja-Raja

Cabaran baru Majlis Raja-Raja

TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN ialah Karyawan Tamu Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir, Universiti Utara Malaysia

MAJLIS Raja-Raja Melayu sewajarnya memberikan perhatian berat dan membincangkan tentang kebangkitan dakwah Kristian secara halus, bijak, berani, agresif dan provokatif yang telah terdedah di negara ini sejak akhir-akhir ini.

Pembongkaran perkara ini telah dipertahankan secara putar-belit dan tohmahan buruk kepada institusi agama Islam dan pihak berkuasa yang seumpamanya tidak pernah berlaku sebelum ini. Ia telah dimanipulasikan sebagai serbuan terhadap gereja oleh sebuah akhbar walaupun berita mengenainya belum sah.

Matlamat mereka ialah untuk menghapuskan imej bahawa " Melayu Malaysia Satu Agama" atau Melayu Malaysia semestinya Islam dan mereka mahu Malaysia menjadi seperti Indonesia "Satu Bangsa bukan Satu Agama".

Orang Melayu di negara ini telah berkurun beragama Islam tanpa diganggu gugat oleh agama lain kecuali ajaran-ajaran sesat. Apa yang berlaku sekarang adalah suatu percubaan untuk menceroboh hak kebebasan beragama orang Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

Bukanlah semua mazhab Kristian yang bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya ke atas orang Islam. Malah ada beberapa orang paderi Kristian sendiri yang melihat pendekatan untuk memurtadkan orang Islam itu sebagai bahaya kepada keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Kerajaan Singapura juga pernah mengambil tindakan terhadap suatu gerakan Kristian yang agresif dan tidak disenangi oleh masyarakat Singapura bukan Islam dan sejak itu mereka telah pun menyepi.

Bagaimanapun apa yang berlaku sewajarnya menyedarkan semua pihak yang bertanggungjawab terhadap kesucian Islam dan pengembangan agama Islam di negara ini untuk menyiasat dan mempelajari taktik dan strategi bervisi dakwah Kristian terhadap bukan kristian dan melihat kelemahan diri dalam pendekatan dakwah kita yang lebih bersifat terus terang, secara langsung atau tidak secara penyamaran.

Yang lebih banyak tertonjol adalah cara kita menekankan kepada pengajaran Islam yang menyusahkan terutama dari segi berpakaian dan pergaulan berbanding pendekatan mereka yang mengambil kira keperluan semasa, menceriakan kehidupan dan praktikal yang lebih mudah untuk menarik kanak-kanak dan golongan remaja.

Khabarnya, gerakan mazhab Kristian tertentu di negara ini sekarang mempunyai tabung yang sangat besar dengan bantuan beberapa orang profesional yang berjaya, jutawan-jutawan terkemuka dan sebuah media Inggeris yang popular. Tetapi ini bukanlah merupakan suatu masalah kepada kita yang telah pun mempunyai simpanan wang zakat beratus juta ringgit untuk disalurkan bagi merangka dan membina usaha pengembangan agama Islam secara profesional.

Masalah yang kita hadapi bukan wang tetapi pengetahuan untuk menggunakan wang bagi menyampai dakwah secara berkesan selari dengan pemodenan dan peningkatan pengetahuan.

Bagi tujuan ini, perubahan besar mesti dilakukan terlebih dahulu terhadap seluruh pentadbiran agama Islam di negara ini untuk memberikan imej dinamik dan progresif supaya dihormati oleh orang Islam sendiri dan juga bukan Islam.

Masalah yang dihadapi adalah kelemahan Jabatan-jabatan Agama Islam atau Majlis-majlis Agama Islam negeri di seluruh negara yang pentadbirannya tidak mencapai taraf profesional. Pentadbiran kebanyakan jabatan ini boleh menghilangkan keyakinan umat Islam terhadap Islam sebagai agama yang berdisiplin, amanah, bertimbang rasa dan prihatin dan lain-lain sifat terpuji.

Majlis Raja-Raja Melayu harus melihat dan mengkaji dengan serius tentang banyak aspek yang menyebabkan pejabat-pejabat agama ketinggalan dari segi kualiti pentadbiran sedangkan perubahan telah berlaku di kebanyakan jabatan kerajaan lain.

Kelesuan dalam pentadbiran agama di negara ini jika dibiarkan akan melibatkan imej agama Islam dan Islam dilihat sebagai agama yang ketinggalan. Imej ini akan menggugat akidah umat Islam sendiri terutama generasi muda yang pantas membuat perbandingan dengan pihak lain yang dapat menunjukkan kecekapan dan daya profesionalisme.

Inilah yang berlaku dalam usaha pengembangan agama Kristian di negara ini sekarang di mana kita dapat melihat pendekatan dakwah agama Kristian secara dinamik dan progresif berbanding dengan pendekatan dakwah Islam secara jumud, tidak kreatif dan tidak prihatin terhadap kehendak semasa sesuatu kelompok atau sasaran.

Keadaan ini perlu diatasi segera oleh Majlis Raja-Raja Melayu oleh kerana persekitaran yang berbeza telah memberikan cabaran baru kepada umat Islam yang sekiranya tidak disaingi dengan kepakaran dan kebijaksanaan pastinya akan mempengaruhi orang Islam.

Akidah tidak boleh dikawal atau dipaksakan dengan undang-undang tetapi dengan pendekatan yang menunjukkan nilai-nilai Islam yang berfaedah yang akan menanamkan akidah dan keimanan ke dalam jiwa dan pemikiran manusia.

Oleh kerana isu ini adalah suatu perkara yang memerlukan kajian mendalam dan meluas maka sebuah badan haruslah dibentuk yang diletakkan di bawah Majlis Raja-Raja sendiri untuk secara jujur mengenali kelemahan yang wujud dalam pentadbiran agama di seluruh negara dengan matlamat untuk meyakinkan orang Islam terhadap keupayaan Islam dan bagi mengatur penggunaan wang zakat ke arah pembangunan dakwah.

Kita seharusnya dapat melihat perancangan bervisi dan strategi pengembangan agama Kristian yang dijalankan secara samaran, tidak menonjolkan pendekatan keagamaan tetapi berselindung di sebalik kerja sosial, bantuan perubatan, kerja kebajikan, kelas tuisyen percuma, pendidikan muzik dan sebagainya.

Sesungguhnya dengan wang zakat yang beratus juta ringgit tersimpan beku, tidak ada masalah untuk membiayai sebuah pusat " Pengembangan Agama" untuk melatih dan melahirkan pendakwah-pendakwah yang berwibawa, bersifat universal, bervisi, berdiplomasi, berhemah dan berstrategi yang berupaya untuk menanam dinamisme Islam kepada jiwa orang Islam dan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Ini yang harus difikirkan oleh Majlis Raja-Raja Melayu dengan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku terhadap beberapa orang Islam di Gereja Methodist Damansara Utama dan terhadap anak-anak Islam di Jalan Kucai Lama yang bertabirkan pertemuan komuniti, berbuka puasa, kelas tuisyen, kelas muzik, perkelahan dan lawatan sambil belajar.

Kebenaran atau kejahilan

Posted:

Kebenaran atau kejahilan

Kebenaran atau kejahilan

PADA hujung minggu lalu, saya menerima pesanan melalui rakan saya, Kori bahawa seorang rakan lama yang mengikuti siri tulisan saya di Utusan Malaysia mencadangkan supaya menulis mengenai tradisi ilmu Islam bagi menentukan ketepatan sesuatu maklumat yang sekufu dengan kaedah saintifik moden.

Rakan yang saya maksudkan ialah Wahab Jusoh, seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang sekarang diletakkan di Jabatan Perkhidmatan Awam setelah ditukar serta-merta dari sebuah jabatan lain.

Saya kenali Wahab sebagai pegawai PTD yang sangat berdedikasi, jujur, setia kepada pemerintah dan tahap kesedaran tentang kesejahteraan negara adalah tinggi melampaui keghairahan rakan-rakan PTD lain yang saya pernah temui.

Ini diakui oleh bukan sahaja ketua-ketua beliau yang saya pernah berbual tetapi juga oleh rakan-rakan sebaya beliau. Demikian juga pengakuan mereka yang pernah bekerja di bawahnya. Jika beliau melalui Ujian Prestasi 360 Darjah yang saya pernah lalui di Universiti Harvard, saya yakin skor beliau akan lebih tinggi daripada skor saya.

Namun, Wahab seperti tidak dianugerahi pelbagai nikmat atas wibawanya itu dan pendakian kerjayanya seperti melalui jalan sukar. Mungkin nasib beliau sama dengan gagalnya kami semasa remaja mendaki puncak Tahan di Banjaran Titiwangsa tetapi dengan mudah menakluk puncak Kinabalu yang jauh lebih tinggi.

Demikianlah iktibar kehidupan yang perlu direnung: Bukan semua usaha mendapatkan yang rendah itu mudah dan semua yang tinggi itu pula susah. Suatu paradoks tentang kebenaran.

Panjang saya bercakap mengenai Wahab. Penting sangatkah beliau? Mungkin tidak penting kepada kebanyakan orang tetapi penting kepada saya dalam konteks isu yang beliau bawa dan kebolehpercayaan tubuh yang membawa isu itu.

Wahab bimbang dengan keadaan semasa segolongan rakyat Malaysia yang begitu mengambil ringan tentang kesahihan maklumat, rumusan dan kesudahannya membina pendirian tentang sesuatu kebenaran. Wahab risau adakah golongan itu mempunyai apa-apa kaedah dalam memastikan apa yang mereka percayai sebagai benar itu memang betul-betul benar? Atau, 'kebenaran' mereka itu hanyalah suatu elusi, delusi atau tahyul.

Tidakkah mereka takut nanti akan menjadi perosak, bukan pejuang kebaikan di muka bumi? Tidakkah mereka takut bahawa kebebasan abadi yang mereka perjuangkan itu rupa-rupanya suatu perjuangan menjerumuskan diri menjadi abdi kepada kuasa kezaliman yang jauh menyimpang dari pengabdian suci kepada Tuhan. Demikian fikiran Wahab yang saya dapat baca.

Golongan yang dimaksudkan oleh Wahab ini selalu pula menyeru bahawa kebenaran hanya boleh ditegakkan jika semua orang kembali kepada Quran dan Sunnah. Namun sangat sedikit yang rajin meneliti bagaimanakah tradisi ilmu mengumpul himpunan Sunnah itu sendiri.

Pemimpin mereka pula seperti dengan sengaja tidak mendorong ahli yang dipimpin mempelajari dan menyemak bagaimana cara mencari kebenaran. Mungkin mereka pun tidak pernah mendengar bagaimana hadis Bukhari dikumpul selama 16 tahun oleh seorang manusia dengan menapis kira-kira 600,000 riwayat, yang kesudahannya hanya tinggal kira-kira 2,600 riwayat sahaja.

Demikianlah rapinya tradisi mencari kebenaran hadis walaupun yang diriwayatkan itu berkaitan dengan perbuatan dan kata-kata seorang manusia yang maksum. Sudah tentu daripada 600,000 riwayat itu terdapat ribuan riwayat yang baik-baik mengenai Nabi tetapi ditolak.

Adakah tradisi ini dipegang oleh golongan ini, termasuk oleh ilmuwan mereka yang terdiri daripada ahli-ahli teologi dan saintis? Atau, adakah mereka hanya fasih menyebut prinsip dan metodologi teologi dan sains di makmal atau semasa menghadap kitab, sebaliknya apabila berada di jalan raya atau di pasar mereka menjadi bomoh yang terikat dengan tradisi pasaran perbomohan dan perdukunan yang berminat dengan cerita hantu dan tahyul bagi mengikat pelanggan-pelanggan.

Sains menekankan tentang pentingnya metodologi yang tepat dan boleh dipercayai bagi memastikan sesuatu rumusan, kesimpulan dan dapatan itu diterima sebagai betul dan benar. Sama ada kaedah kualitatif atau kuantitatif dalam sains, kedua-duanya meletakkan kepentingan bukti sesuatu penemuan itu melalui proses yang rigor, tepat dan boleh dipercayai. Juga, ada prinsip-prinsip yang ketat untuk menolak atau menerima sesuatu anggapan kebenaran.

Dalam hal ini, saya selalu bercakap mengenai ketepatan ukuran statistik di dalam sains yang kadangkala gagal dilihat dalam sesuatu konteks. Seorang penyelidik sains sosial misalnya sudah cukup berpuas hati jika darjah kemungkinan salah (degree of error) berada pada tahap hanya lima peratus. Maksudnya dalam 100 kejadian, 95 daripadanya adalah benar seperti diramal.

Namun, saya kerap menyoal, jika di KLIA itu degree of error yang dipakai ialah 95 peratus tepat, saya pasti tidak akan ada sesiapa lagi yang berani berangkat terbang dari lapangan terbang itu. Maksud saya, dalam 100 keberangkatan terbang, lima kapal terbang akan kebarangkalian jatuh. Demikian pentingnya kebenaran dan ketepatan tafsiran statistik dilihat dalam konteks walaupun angka-angka yang dikemukakan seperti amat meyakinkan.

Tradisi mencari kebenaran dalam dunia Islam biasanya merujuk tradisi pengumpulan hadis kerana ia dikumpul oleh manusia biasa sedangkan al-Quran itu pula disampaikan oleh manusia yang maksum. Prinsipnya menyamai atau melebihi daripada tradisi sains yang saya ketengahkan secara ringkas sebentar tadi.

Pengumpulan hadis Bukhari, misalnya dikatakan mempunyai sifat 'al-jamil' kerana himpunan itu meliputi pelbagai perkara atau mengikut bahasa ilmu sekarang dipanggil sebagai komprehensif. Dalam konteks ini kita perhatikan bagaimana ahli ilmu di Malaysia sanggup bertegang urat, bahkan ada kalanya menjulang lengan ke udara, untuk menegakkan pendapat yang dianggapnya benar.

Pada hal, kebenaran yang dimilikinya itu sangat terhad kepada disiplin kecil ilmu yang dikuasainya, bukan kebenaran memenuhi ciri ilmu komprehensif. Dia pula dengan berani memetik cebisan hadis atau ayat-ayat Quran yang dipilih-pilih bagi memenangkan hujahnya.

Jika tradisi sains menekankan tentang ketepatan atau validity, tradisi hadis juga ada istilah yang dipanggil 'sahih'. Menentukan 'sahih' dalam tradisi hadis bermaksud bahawa sesuatu riwayat itu telah melalui tapisan yang sangat ketat dari segi dokumen, periwayat, konteks riwayat itu dicatat atau didengar dan pelbagai lagi.

Dalam kaedah kualitatif sains sosial kesahihan dilakukan dengan kaedah seperti analisis kandungan, analisis dokumen, pengesanan tarikh, saksi-saksi kejadian dan triangulasi atau proses saling melengkapi antara dapatan dengan menggunakan pelbagai sumber dan kaedah pengumpulan dan analisis data bagi memastikan sesuatu itu benar-benar sahih.

Tepat semata-mata masih belum mencukupi di dalam tradisi hadis, sebaliknya riwayat itu ditapis lagi dengan apa yang dipanggil sebagai 'al-musnad'. Di dalam sains istilah itu boleh disamakan dengan ukuran reliability. 'Al-musnad' melengkapkan ketepatan sesuatu riwayat dengan memastikan susur galur riwayat itu benar-benar rantaiannya sampai kepada Nabi. Jika putus, maka riwayat itu ditolak. Selepas dipastikan rantaian itu sampai kepada Nabi, disemak pula peribadi periwayat.

Jika periwayat itu biasa bercakap bohong dan kerap meninggalkan tanggungjawabnya kepada Tuhan, maka riwayat itu ditolak. Demikian ketatnya mencari kebenaran di dalam tradisi ilmu Islam, sedangkan dalam dunia sains sosial peribadi setiap responden daripada sesuatu sampel yang dipilih daripada sesuatu populasi yang besar tidaklah disemak sebegitu rapi dari satu individu ke satu individu.

Jika ada pun kaedah statistik untuk mengesan 'pembohongan,' ukuran itu hanya dibuat setakat mengukur kemungkinan pembohongan berdasarkan 'respons' pada suatu ketika dan pada lokasi itu sahaja. Statistik sains sosial biasanya tidak melakukan penyiasatan terperinci mengenai peribadi seseorang responden dalam konteks keseluruhan sejarah kehidupannya.

Demikianlah kebimbangan seorang bernama Wahab terhadap masa depan negara yang dicintainya. Dia bimbang melihat rakyat Malaysia yang mendabik dada hendak menegakkan kebenaran di tanah tumpah darahnya tetapi hanya merujuk sumber peperangan blog atau laman-laman sosial yang tidak mengetengahkan bagaimana sesuatu pendirian itu dibina.

Wahab tidak pernah takut dengan perubahan sebaliknya dia bimbang perubahan dibawa tidak ditegakkan di atas lantai kukuh dan dengan itu panji-panji kebenaran yang akan ditegakkan akan mudah rebah. Setelah rebah, panji-panji lain dicari lagi dalam kegelapan yang panjang dan tidak berkesudahan.

Sambil terkenangkan nasib kerjaya Wahab, teringat saya dan beliau dulu selalu berbincang untuk memahami maksud Wawasan 2020 Dr. Mahathir Mohamad yang menyebutkan, antara lain, 'Malaysia hendaklah melahirkan masyarakat saintifik' dan 'maju dengan acuan sendiri'.

Apakah masyarakat saintifik memadai jika ditafsir sebagai melahirkan sebanyak mungkin graduan dalam bidang sains dan bolehkah Malaysia maju dengan acuan sendiri yang ditegakkan di luar konteksnya melalui tafsiran kebenaran dan kebebasan yang diimport? Atau, dia lebih dari itu.

Adakah nasib Wahab ditentukan oleh proses saintifik atau oleh kebenaran mengikut tradisi ilmu dan dalam konteksnya? Biarlah begitu kerana Wahab tidak penting.

TAN SRI DR. NORDIN KARDI

Penyandang Kursi Za'ba,

Universiti Pendidikan Sultan Idris

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved