Utusan Online - Hiburan |
Posted: Harus tebal jiwa MelayuOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
BAGAIKAN tidak lengkap sambutan Aidilfitri tanpa lagu-lagu raya yang berkumandang dan melatari kesibukan menyambut Syawal. Kuasa lagu raya memang cukup dahsyat. Ia mampu membangkitkan mood dan semangat dalam diri sebahagian besar umat Islam di negara ini yang teruja menghitung menjelangnya hari kebesaran itu. Biar masa berlalu, ternyata lagu-lagu raya lama terus mendapat tempat walaupun ada karya baru yang dihasilkan setiap tahun. Barangkali ada yang tidak bersetuju dengan pendapat ini. Bukan bermaksud hendak menidakkan keupayaan komposer baru tetapi sudah terbukti sentuhan komposer terdahulu lebih digemari. Ada sesetengah lagu yang dihasilkan berusia lebih daripada empat dekad. Namun, ia terus relevan dan segar sehingga ke hari ini. Malah, generasi baru juga lebih menggemari karya-karya klasik walaupun sebahagian besar daripadanya dicipta lama sebelum mereka dilahirkan. "Mengapa lagu lama lebih diminati adalah kerana liriknya yang sudah cukup untuk menceritakan suasana raya itu sendiri. "Kata kunci untuk setiap lagu mudah sahaja iaitu menggunakan perkataan Selamat Hari Raya. Contoh terbaik yang boleh kita lihat adalah menerusi tiga lagu Selamat Hari Raya yang berlainan melodi nyanyian Allahyarham Puan Sri Saloma, Datuk Ahmad Jais dan Allahyarham Fazidah Joned. "Permainan kata-katanya begitu ringkas, jelas dan mudah difahami lalu terus melekat dalam jiwa pendengar. Dalam erti kata lain, liriknya adalah straight forward tanpa perlu menggunakan laras bahasa yang berbunga-bunga. "Pada hemat saya, itu adalah kekurangan yang saya dapat lihat dalam penghasilan lagu-lagu baru masa kini. "Kerana itu, lagu lama tetap menjadi pilihan termasuk kepada generasi muda," ujar komposer terkenal, S. Atan panjang lebar kepada Mega dalam satu sesi fotografi khas di ibu pejabat Utusan Malaysia, di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Apabila memperkatakan tentang S. Atan, siapa yang dapat lupa akan kehebatan lagu-lagu raya ciptaannya termasuklah Dari Jauh Ku Pohon Maaf nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone), Menjelang Hari Raya (Datuk D.J. Dave), Joget Hari Raya (Herman Tino dan Zaleha Hamid), Inang di Aidilfitri (Sudirman dan Zaleha Hamid) serta Indahnya Beraya Di Desa (Azlina Aziz). Sekadar menyingkap sejarah, S. Atan atau nama sebenarnya, Hashim Said menjelaskan penglibatannya dalam menghasilkan lagu-lagu raya bermula sewaktu berkhidmat dengan syarikat rakaman EMI sekitar tahun 70-an dan 80-an. Menjadi seorang komposer, S. Atan memberitahu kreativiti perlu menjadi tunjang utama dalam penghasilan lagu-lagu raya. Selain lirik, melodi juga memainkan peranan penting dalam memastikan jangka hayat sesebuah lagu itu berpanjangan. Malah, S. Atan sendiri tidak pernah menyangka dan membayangkan kesemua lagu-lagunya terus kekal dan menjadi kegemaran biarpun berdekad-dekad sudah berlalu. "Seperti mana yang saya katakan tadi, melodi dan lirik itu perlu seiring dalam membangkitkan mood raya agar ia dapat dirasai oleh pendengar. "Saya kagum dan tertarik dengan beberapa komposer yang tidak banyak melahirkan lagu-lagu raya. Tetapi ia berjaya mendapat sambutan lalu kekal sehingga ke hari ini. "Itu membuktikan gabungan melodi dan liriknya perlu ada keserasian untuk muncul sebagai sebuah karya malar segar," katanya sambil memberikan contoh terbaik lagu Satu Hari Di Hari Raya ciptaan dan nyanyian Datuk M. Nasir. Bukan itu sahaja, S. Atan turut mengagumi karya ciptaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham Ahmad Jaafar, Datuk Dr. Ahmad Nawab, Syed Haron, Omar Taib dan Kassim Masdor yang semuanya sudah bertaraf klasik. Dalam pertemuan itu, S. Atan tidak keseorangan sebaliknya fotografi itu turut disertai oleh komposer yang cukup sinonim dengan lagu-lagu tradisional iaitu Datuk Suhaimi Mohd. Zain. Lebih mesra dan dikenali ramai sebagai Pak Ngah, komposer terkenal itu sudah mampu berdiri setanding dengan komposer terdahulu yang telah menghasilkan lagu-lagu raya. Pak Ngah telah dianggap sebagai komposer alaf baru yang berjaya menghasilkan lagu raya bertaraf malar segar dalam tempoh yang singkat. Bagaikan tidak wajib sambutan raya seandainya lagu-lagu ciptaannya seperti Sesuci Lebaran, Nazam Lebaran, Airmata Syawal dan Anugerah Aidilfitri yang mana kesemuanya dinyanyikan oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza tidak diputarkan. "Sama seperti S. Atan, saya sendiri tidak pernah menyangka lagu-lagu ciptaan saya berjaya mencapai taraf malar segar seperti yang diperkatakan itu. "Resipi saya cukup mudah iaitu setiap karya itu perlu tebal dengan jiwa Melayu. Barulah ia boleh diterima dengan baik. "Ini kerana sambutan Aidilfitri sudah cukup menggambarkan budaya Melayu itu sendiri dan bagaimana kita menyambutnya. "Jadi, elemen-elemen itu perlu ada dalam setiap lagu sekali gus untuk membangkitkan semangat Syawal itu sendiri," kata Pak Ngah yang berusia 53 tahun itu lagi sambil dipersetujui S. Atan di sebelahnya. Mungkin ramai yang menyangka lagu Sesuci Lebaran adalah lagu raya ciptaan pertamanya. Tetapi sebenarnya lagu Nostalgia Aidilfitri nyanyian Datuk Sharifah Aini adalah permulaan segala-galanya. Ketika itu, S. Atan merupakan penerbit album Nostalgia Aidilfitri milik Biduanita Negara itu yang diterbitkan pada 1996. Lalu, peluang itu dibuka untuk Pak Ngah mencuba nasibnya dalam menghasilkan lagu tersebut yang juga sudah mencapai taraf malar segar. "Dari situ, saya mula mendapat peluang dan ketika itu pula, nama Siti Nurhaliza cukup popular. "Jadi, apabila saya mencipta Sesuci Lebaran pada 1999, ia hadir tepat pada waktunya dan kebetulan pula lagu-lagu etnik juga sedang diminati ramai. "Dalam menghasilkan lagu-lagu raya, saya perlu mengucapkan terima kasih kepada komposer terdahulu kerana mereka yang menjadi sumber inspirasi buat saya. "Secara tidak langsung, saya telah meneruskan kelangsungan tradisi lagu raya itu dan Alhamdulillah, ia diterima dengan cukup baik," ujar anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu lagi yang turut mendapat pujian S. Atan. Sempat juga komposer lagu Cindai dan Nirmala itu memberikan buah fikirannya tentang lagu raya baru yang kurang menyengat dan meninggalkan kesan di kalangan pendengar. Jelas Pak Ngah, semuanya perlu memakan masa yang agak lama untuk sesebuah lagu baru diterima dengan baik dan kekal menjadi sebuah lagu bertaraf klasik. Mengambil contoh dirinya sendiri yang pernah menghasilkan lagu Gema Lebaran dan Sinar Lebaran yang masing-masing dinyanyikan oleh Erra Fazira dan Noryn Aziz, Pak Ngah memberitahu tidak mustahil lagu itu mampu mendapat tempat kelak. "Setiap tahun lagu raya semakin banyak dihasilkan dan kalau ia mendapat tempat di corong radio serta kerap diputarkan, saya percaya ia dapat bertahan," jelasnya yang akan membuat persembahan di London selama 10 hari bermula 4 September ini. | ||
Posted: Selesa jalani hidup sendiriOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
SUDAH menjadi resmi setiap umat Islam yang menyambut Aidilfitri apabila mahu meraikan bulan kemenangan itu dengan insan tersayang. Bagaikan tidak lengkap sambutan itu seandainya tanpa mereka yang disayangi untuk meraikan bersama-sama bulan yang penuh kemakmuran itu. Namun, tidak semua insan bertuah berpeluang menikmati detik-detik terindah terutama mereka yang kehilangan ayah dan ibu tercinta. Pastinya, kerinduan akan menggamit perasaan di kala takbir dan tahmid berkumandang lalu dengan pantas akan mengimbas kembali segala memori indah yang pernah tercipta. Ketika itulah, air mata yang mengalir deras tanpa dipaksa itu sudah cukup untuk menggambarkan betapa luluh dan pilu perasaan yang datang itu. Hanya mereka yang berdepan dengan situasi sama sahaja mampu berkongsi dengan insan senasib yang pernah merasai kehilangan itu. Bagi penyanyi jelita, Fauziah Latiff yang kehilangan arwah ayahnya, Allahyarham Sheikh Abdul Latiff Sheikh Omar Bajrai sekitar tujuh tahun lalu, kerinduan itu tetap dirasai. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila setiap kali menjelangnya Syawal, hati wanita penyanyi jelita yang lebih mesra disapa Jee itu pasti akan terusik. Masih segar dalam ingatannya apabila terkenangkan kekecohan arwah ayahnya itu dalam membuat persiapan menjelang hari raya. "Semua kelengkapan dan persiapan dia yang akan sediakan. Malah, kalau dia ada di dapur, kesibukannya mengalahkan ibu sehinggakan ibu saya sering memarahinya kerana mengganggu kerja-kerjanya. "Seperkara yang membuatkan saya tidak boleh melupakan arwah adalah air tangannya yang cukup istimewa terutama kuah lodeh. Itu sudah semestinya santapan wajib saya setiap kali pagi raya. "Kerana itulah, Syawal meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat saya. Selepas arwah pergi, semuanya sudah tidak sama lagi. Semangat untuk menyambut Hari Raya itu seolah-olah turut dibawa pergi oleh arwah," ujar Jee atau nama sebenarnya, Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff ini dalam nada perlahan. Begitu juga dengan kemeriahan Syawal itu sendiri yang pada hematnya, seolah-olah tidak lagi dirasai kini jika hendak dibandingkan sewaktu zaman bujangnya ketika di kampung halamannya di Johor. Bagi Jee, nostalgia Syawal pada ketika itu adalah antara yang terindah dan ia akan menjadi kenangan yang akan terus terpahat dalam kotak ingatannya. Lalu, apabila sesekali bicaranya disulami tawa kecil kerana teringatkan nostalgia indah itu, sudah cukup untuk merumuskan bahawa ia telah meninggalkan kesan yang bukan sedikit untuk Jee. "Saya memang seorang yang sangat tradisional apabila menyambut Aidilfitri dalam pelbagai aspek. Memang cukup seronok apabila kita dapat mengacau dodol dalam kawah yang besar. Begitu juga dengan penyediaan rendang di luar rumah yang mengundang kemeriahan luar biasa. "Ibu saya, Ngaisah Ahmad bersama kaum ibu yang lain akan sibuk memasak dan kemudiannya membahagikan dengan jiran tetangga. "Budak-budak pula akan bermain bunga api dan mercun dengan penuh keriangan di samping memasang pelita di keliling kampung. "Disebabkan itu, kalau beraya di kampung ketika itu, saya akan menyambutnya dengan penuh semangat. Segala momen indah itu tidak dapat lagi dimiliki oleh generasi baru lebih-lebih lagi untuk mereka yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur," ujar wanita berusia 40 tahun ini sambil mengukir senyuman manis mengimbau kenangan tersebut. Bercerita lanjut tentang persiapan raya tahun ini pula, ibu kepada dua orang cahaya mata, Jeffri Joaquim Indot, 13, dan Jeremy Jay Indot, 11, itu lebih selesa untuk bersederhana. Seperti mana tahun-tahun sebelum ini, dia akan menyediakan kelengkapan untuk ibu dan anak-anaknya terlebih dahulu sebelum menyiapkan untuk dirinya. Apatah lagi, dia dan bekas suaminya, Johan Indot tidak mempunyai sebarang masalah dalam hak penjagaan anak-anak lalu membuatkan mereka senang untuk bertolak-ansur dalam penyediaan kelengkapan anak-anak. "Kalau kuih raya, saya lebih selesa membelinya manakala juadah wajib seperti rendang, ketupat, lontong dan sayur lodeh, ibu saya akan menyediakannya. "Buat masa ini, saya sendiri sukar untuk memberikan jawapan di manakah saya akan menyambut raya tahun ini. Sama ada saya akan pulang ke kampung atau ibu saya yang datang ke KL. "Semuanya belum dapat dipastikan lagi. Selalunya keputusan akan saya lakukan dalam saat-saat akhir," kata penyanyi yang mula menempa kemasyhuran menerusi lagu Digamit Memori pada tahun 1988 ini lagi. Sekadar mengusik Jee yang terkenal dengan kelembutannya ketika berbicara, tidakkah dia rindu untuk beraya dengan seorang lelaki bernama suami? Sementelah sudah lebih empat tahun dia menjanda, pasti ramai yang mahu tahu apakah hati Jee sudah dimiliki oleh mana-mana lelaki. Tidak melatah mahupun melenting, Jee yang sudah lebih 20 tahun menjadi penyanyi itu hanya mampu tersenyum sebelum memberikan jawapannya. "Jujurnya, saya memang tidak mempunyai sebarang perhubungan dengan mana-mana lelaki buat masa ini. "Saya selesa dengan kehidupan solo saya dan saya bahagia melaluinya dengan aktiviti harian. Lagipun dalam usia begini, soal jodoh bukan lagi satu keutamaan buat saya. "Kebahagiaan saya kini adalah bersama dua orang anak lelaki saya yang semakin membesar. Untuk melihat perkembangan mereka di depan mata adalah proses yang cukup istimewa dan membanggakan saya sebagai seorang ibu," kata Jee yang pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali ini penuh terbuka. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan