Khamis, 28 Julai 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Mengejar politik matang

Posted:

Mengejar politik matang

Mengejar politik matang

Oleh KHAIRUDDIN MOHD ZAIN
PENULIS ialah pemerhati sosio-politik.


Seorang petugas program (dua dari kanan) cuba menenangkan keadaan yang menjadi sedikit kecoh sewaktu majlis wacana ilmu yang membincangkan 'Apa Selepas 9 Julai?' yang diadakan di Shah Alam, baru-baru ini.


BERDASARKAN apa yang berlaku dalam wacana 'Apa Selepas 9 Julai'? di Shah Alam Selasa lalu, nampaknya perjalanan kita untuk mencapai 'politik matang' masih lagi jauh. Kebanyakan daripada kita masih terkongkong dengan pandangan kepartian dan gagal melihat isu secara objektif dan tidak memihak.

Kita enggan memberikan ruang penjelasan seluas-luasnya, malahan pantas mengejek, mencemuh dan mengeji seorang yang luar biasa berani berdepan dengan khalayak yang masih 'sentimental' dengan kononnya kejayaan membawa aspirasi rakyat ke jalanan. Penerangan dan penjelasan yang dikemukakan oleh pihak lain dianggap sebagai tidak benar dan tidak perlu didengar.

Ironi, Selasa lalu khalayak yang 'objektif' membenarkan Datuk S.Ambiga membentangkan kes dan pandangannya dengan tenang. Walaupun kebanyakan 'kehendak dan kemahuan' Bersih sudah pun kita ketahui - namun Ambiga masih diberikan ruang secukupnya untuk memberikan pandangan.

Apa yang nyata, ada juga khalayak yang marah dan tidak berpuas hati. Malahan, seorang peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang berdekatan dengan penulis memang datang dengan perasaan marah dan mahu memaki hamun Ambiga. Namun, dia tidak diberikan ruang bercakap oleh penganjur.

Ambiga dan mereka yang bersama dengan Bersih 2.0 mestilah menjadi kumpulan yang lebih objektif dan bijaksana. Mengejek seorang wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mahu memberikan penjelasan mengenai limitasi peruntukan undang-undang dalam melakukan perubahan - dicemuh. Perangai dan fiil kita pantas menjadi kanak-kanak. Kita datang dengan sentimen dan niat melakukan kekacauan dan menampilkan kekuatan politik. Inilah yang menjadi penghalang kepada amalan politik matang.

Secara perbandingan, jika apa yang berlaku di wacana itu dibandingkan dengan satu acara lain yang dinamakan 'Debat Remaja Perhimpunan BERSIH 2.0 - SALAH SIAPA?' yang sudah pun dimuat naikkan di media baru - kita wajar berasa malu dan tercabar.

Empat orang anak muda lebih mampu membicarakan isu dengan lebih terbuka tanpa diganggu gugat oleh hadirin yang terlalu emosional. Apakah ini membawa makna kelompok anak muda lebih mampu mendokong 'politik baru' dan 'politik ilmu' daripada generasi lebih dewasa?

Sebagai rakyat biasa, ramai juga yang mahu SPR diberi ruang menjawab. Sama ada SPR bersifat defensif atau tidak itu bukan soalnya. Mereka harus diberikan ruang luas dan tenang dalam memberikan jawapan yang sepatutnya. Ini tidak berlaku petang 26 Julai itu.

Penulis beranggapan, usaha membawa gelombang 'politik baru' atau 'politik ilmu' yang banyak diperkatakan masih lagi jauh. Kita adalah bangsa yang sangat emosi dan sentimental. Walaupun emosi dan sentimen itu tidak semestinya negatif - namun jika ia menutup ruang kebenaran; maka dengan sendirinya ia menjadi sesuatu yang tidak wajar.

Pimpinan politik, tidak kira di pihak kerajaan mahupun pembangkang mesti komited memperteguh politik ilmu. Literasi politik, sosialisasi politik yang positif dan lebih membuka ruang membicara dan mengartikulasi ketidakpuasan hati mesti diperluaskan.

Pengamalan politik matang ini memerlukan kefahaman isu dan ilmu yang sedikit tinggi. Kita tidak boleh berbicara dan mengambil amalan politik zaman jurasik dan terlalu jelas 'mengampu'. Ia amat membosankan dan mampu membuatkan orang menyampah.

Antara contoh mutakhir mengenai amalan ini adalah memperbesarkan isu kononnya ada pihak yang mendapat hampir 1.2 juta tandatangan menyokong kepimpinan. Bukannya kita tidak membenarkan ruang ekspresi dan sokongan - namun apakah ia perlu pada ketika kita masih lagi berdepan masalah inflasi, ekonomi tidak menentu, kenaikan harga barang dan sebagainya.

Apakah 1.2 juta tandatangan benar-benar mewakili 'suara rakyat Malaysia'? Elemen sokongan yang bersifat beginilah sebenarnya membuatkan ramai rakyat di luar sana muak dan malas untuk berada di garis perdana bidang politik.

Antara ciri utama pengamalan politik ilmu adalah mengetepikan amalan sokongan bersifat lampau dan tidak menyelesaikan isu yang ada. Mana-mana parti politik mestilah lebih bijak dalam mencari isu yang mampu membuka mata rakyat. Istilah 'berjuang untuk rakyat' mestilah dimaknai dengan sikap, amalan dasar yang menjurus kepada hasrat itu.

Apakah Barisan Nasional (BN) terlalu lemah dalam bab ini? Jawapannya tidak. Sebagai generasi muda, saya mengikuti dengan penuh minat bagaimana Pemuda BN bersungguh-sungguh dengan usaha 'BN Youth Job Fair' yang berlangsung baru-baru ini; bukan sahaja di Lembah Klang malahan di Kedah dan Kuantan.

Ini adalah contoh bagaimana 'politik' boleh dan mampu dijuruskan kepada menyelesaikan masalah anak muda dan rakyat. Pemikiran dan amalan politik beginilah yang mampu menjadi 'pemberat' dalam pada kita rakyat membuat keputusan parti mana yang perlu dipilih kelak.

Rakyat menantikan pengzahiran amalan politik yang lebih matang dan bijak. Amalan politik yang tidak membangkang hanya kerana mahu mengisi niat 'membangkang'. Amalan politik baru dan berasaskan ilmu, turut meletakkan beban memperbaiki dan memberikan cadangan yang lebih baik dan positif. Itu lebih membawa makna dan digemari oleh rakyat.

Benar, kita boleh menggunakan sentimen dan emosi rakyat demi keuntungan politik. Bersih 1.0 telah pun berjaya mengisi matlamat ini. Maka, tidak hairanlah jika Bersih 2.0 mempunyai matlamat politik yang sama. Ia perlu diulang tayang bagi memberikan impak dan matlamat politik yang diinginkan.

Secara umum, kebanyakan rakyat mengharapkan amalan politik yang lebih bertanggungjawab dan proaktif. Ini perlu digalas oleh semua parti daripada kumpulan politik mana sekalipun.

Beban untuk memperoleh keyakinan rakyat bukan lagi tugas mudah. Kebergantungan berlebihan kepada 'kehebatan politik lampau' dan 'sentimen amarah rakyat' belum tentu menjamin sokongan dan dokongan rakyat yang positif.

Maaf kata, rakyat sudah bertukar daripada kumpulan 'pengguna politik pasif' kepada 'pengguna politik aktif dan kritis'. Kita perlu berdepan dengan kelompok rakyat dan pemilih yang lebih terdidik dan terdedah dengan maklumat. Hakikat ini wujud apabila kita mempunyai jumlah kelas pertengahan yang semakin tinggi dan berpengaruh.

SPR sememangnya menggalas beban yang bukan mudah. Mengurus pilihan raya ketika mana 'suhu' politik berada di tahap yang tinggi sememangnya amat mencabar. Bersesuaian dengan keadaan itu, SPR tidak boleh lagi menggunakan 'suara, platform dan kaedah' lama dalam mendepani persepsi rakyat.

Penulis tidak setuju bahawa SPR berada dalam fasa 'krisis kepercayaan'. Ia tidak sampai ke peringkat itu. Apa yang diperlukan oleh SPR adalah peneguhan elemen komunikasi dan pertemuan berkualiti dengan pihak berkepentingan yang tepat. SPR tidak boleh lagi menikmati zaman 'tenang dan sifar tribulasi' yang dinikmatinya selama ini. Para pegawai SPR mestilah di kalangan mereka yang berintegriti tinggi dan tidak terlalu membawa imej 'kerajaan'.

Penulis sedar bahawa ini bukanlah mudah dan boleh dibuat sekelip mata - namun ia wajar menjadi jalan ke hadapan yang perlu difikirkan. SPR perlu bersikap proaktif dan mencadangkan perubahan peruntukan undang-undang yang mampu menzahirkan SPR yang lebih dihormati dan dihargai oleh rakyat. Sampai bila kita mahu menyalahkan sistem dalam memastikan daftar pemilih menjadi 'suci' dan tidak dicemari dengan data yang boleh mendatangkan keraguan.

Tidak ada mana-mana parti politik pun yang boleh menerima bahawa wujudnya elemen keraguan dalam sebuah daftar yang menjadi asas kepada pembentukan sebuah kerajaan. Dalam pada mencari jalan menyelesaikan isu asas seperti daftar pemilih, SPR juga perlu mencari jalan menyelesaikan isu yang lebih besar seperti 'Penggunaan Dana Asing' dalam pilihan raya.

Negara seperti Singapura sudah mengesan bagaimana wujudnya kumpulan tertentu yang menerima peruntukan luar dalam membantu urusan pilihan raya. Perkara seperti ini lebih bahaya sehinggakan Singapura mewujudkan 'Political Donations Act' dalam memastikan perkara seperti ini tidak berlaku.

Dalam menjawab soalan 'Apa selepas 9 Julai?' memerlukan iltizam, semangat dan komitmen perubahan yang tinggi daripada semua pihak.

Beban ini bukan beban SPR sahaja. SPR yang dicemuh, dikeji, diejek dan dimalukan akan membayangkan amalan politik yang kumpulan 'kurang ilmu' dan terdesak mengejar kuasa. Semuanya boleh diselesaikan dengan tenang dan menggunakan medium yang lebih molek.

Dalam sebuah wacana, tidak ada yang menang dan kalah. Namun, ia secara jelas memberikan gambaran mengenai tahap kematangan dan kesediaan kita berbicara isu politik dengan lapang dada dan pemikiran.

Sayangnya, itu tidak berlaku kelmarin kerana kita meletakkan SPR sebagai bahan ejekan dan cemuhan. Kita harus cepat berkejar mencapai amalan politik matang atau kita terus dibebani dengan amalan politik sentimen dan taksub.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Karnival kerjaya untuk semua

Posted:

Karnival kerjaya untuk semua

Karnival kerjaya untuk semua

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Seorang remaja, Nor Azra Suhada Md Azam gembira menerima risalah BN Youth Job Fair 2011 yang disampaikan oleh Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Nazir Hussin Akhtar Husin di sekitar Kuantan, Pahang, baru-baru ini.


PELUANG kerja atau pengangguran merupakan antara perkara paling utama dalam kehidupan rakyat mana-mana negara sekalipun, terutamanya bagi golongan muda yang baru memulakan hidup berdikari.

Bukan sahaja mencari sumber pendapatan untuk membayar hutang ketika melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang, kerjaya pertama merupakan langkah besar dalam memulakan hidup dan keluarga sendiri.

Tidak ketinggalan juga di kalangan pekerja yang mahu meningkatkan prospek kerjaya masing-masing melalui tawaran kerja lebih lumayan dan bersesuaian dengan kepakaran serta keperluan semasa kehidupan mereka.

Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) 2011 yang bergerak dari Kedah, Pahang dan Melaka, kini berkunjung pula ke Sabah di Pusat Perdagangan Sabah (STC) bermula 29 Julai 2011 (Jumaat) melibatkan penyertaan beratus syarikat yang menawarkan beribu-ribu jawatan.

Peserta dari negeri-negeri jiran sebelum ini dilaporkan mengambil peluang datang dari jauh untuk mencuba nasib di karnival tersebut seperti dari Pulau Pinang, Perlis dan Perak di karnival kerjaya Kedah; dari Kelantan dan Terengganu di Pahang; serta dari Johor dan Negeri Sembilan di Melaka.

Ketua Penyelarasnya, Nazir Hussin Akhtar Hussin menjelaskan, karnival di Sabah dari Jumaat hingga Ahad ini melibatkan lebih 100 syarikat yang menawarkan lebih 7,000 peluang pekerjaan.

"Sebanyak 31 syarikat datang dari Semenanjung Malaysia sementara bakinya adalah syarikat tempatan Sabah.

"Siri karnival kerjaya ini diadakan bagi memenuhi tuntutan dan keinginan rakyat Malaysia khususnya golongan muda di luar Lembah Klang untuk mencari pekerjaan yang baik dan bersesuaian dengan kepakaran mereka seterusnya menjamin sosioekonomi dan masa depan," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata, karnival itu bukan sekadar menawarkan jawatan kosong tetapi dipenuhi program sampingan dalam membantu menyediakan graduan mencari kerja. Ini termasuk klinik resume, ceramah kerjaya, khidmat nasihat menghadapi temuduga dan sebagainya.

Menurut beliau, berdasarkan pemerhatian ahli jawatankuasa, sebahagian besar pengunjung adalah graduan berkelulusan Diploma dan Ijazah Sarjana Muda yang belum mendapat pekerjaan sesuai memandangkan banyak peluang kerja adalah dalam bidang kejuruteraan dan teknikal.

"Kita akan cuba menjemput lebih ramai majikan yang boleh menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang termasuk pentadbiran, pengurusan dan perbankan," ujarnya.

Nazir Hussin menambah, para pencari kerja bagaimanapun dinasihatkan agar mempersiapkan diri sebelum mengunjungi karnival tersebut memandangkan terdapat sebilangan syarikat yang akan menjalankan temuduga secara terus di tapak karnival.

"Pastikan dokumen penting termasuk resume dibawa bersama selain mengenakan pakaian sesuai untuk ditemuduga. Kita bukan nak bersaing dengan agensi atau pihak lain sebaliknya cuma mahu membantu golongan muda mencari kerja yang sesuai dengan kelayakan dan kepakaran mereka," jelasnya.

Tegasnya, karnival itu juga diharap dapat mengubah persepsi buruk rakyat bahawa kadar pengangguran di Malaysia sangat teruk sedangkan ia cuma berada pada kadar tiga peratus sahaja.

"Bagi pekerja yang menghadapi masalah berkaitan Akta Buruh dan Akta Industri, kami turut menyediakan kaunter aduanpekerja.my bagi memberi khidmat nasihat dan bimbingan guaman percuma.

"Antara permasalahan yang banyak diajukan sebelum ini adalah berkenaan gaji yang terlalu rendah dan tidak bersesuaian dengan jawatan serta masalah-masalah pemberhentian kerja tanpa pembayaran gaji oleh pihak majikan," ujarnya.

Tambahnya, karnival itu turut menawarkan program atau Skim Latihan 1Malaysia yang dikendalikan oleh syarikat milik kerajaan (GLC).

Beliau memberitahu, Skim Latihan 1Malaysia itu melibatkan tempoh latihan selama satu tahun yang diberikan kepada graduan berkelayakan.

"Sekiranya syarikat GLC terbabit berpuas hati dengan prestasi pemohon itu, mereka mungkin akan diserapkan terus sebagai pekerja tetap kelak.

"Mereka juga akan diberikan elaun dengan graduan yang berkelulusan diploma menerima elaun latihan sebanyak RM900 sebulan manakala bagi ijazah pula sebanyak RM1,200 sebulan," katanya.

Nazir Hussin juga mendorong bakal graduan yang akan menamatkan pengajian dalam tempoh terdekat agar mendaftar untuk skim latihan 1Malaysia itu.

Sehubungan itu, beliau mengajak penduduk dari seluruh Sabah terutama yang masih menganggur menghadiri karnival itu yang membuka pintu tawaran pekerjaan kepada semua peringkat pendidikan hingga lepasan universiti.

"Kita akan terus pantau sambutan berpuluh ribu peserta karnival dan beribu-ribu jawatan kosong yang berjaya diisi dalam siri jelajah tahun ini agar tahun depan kita dapat teruskan program ini dengan lebih baik lagi.

"Saya juga mahu menegaskan karnival ini adalah untuk membantu semua rakyat Malaysia tanpa mengambil kira ideologi politik, bangsa atau agama kerana kita mahu semua warganegara membantu dalam membangunkan dan mencapai hasrat negara maju menjelang 2020," tegasnya.

Oleh itu, para graduan yang mencari kerja pertama mahupun pekerja yang merancang meningkatkan prospek kerjaya perlu menggunakan platform dan peluang yang ditawarkan karnival kerjaya ini.

Sekalipun tidak mendapat tempat dan jawatan yang diharapkan, gunakan program sokongan ini untuk menyediakan diri sebaiknya untuk alam pekerjaan dan peluang yang mungkin kunjung tiba kelak.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved