Utusan Online - Kota |
Posted: Rumah retak membimbangkanOleh NUR NAZLINA NADZARI
PUCHONG 27 Julai – Walaupun baru kira-kira enam tahun siap dan dihuni, namun pelbagai masalah sudah dikesan di Blok D, Pangsapuri Jati, Taman Mas di sini sehingga menyebabkan ramai penduduk yang bimbang terhadap keselamatan mereka. Malah, ada di antara pembeli unit pangsapuri tersebut tidak berani untuk tinggal atau menyewakan rumah mereka berikutan keretakan teruk yang dialami di unit-unit tertentu kerana bimbang sesuatu buruk akan berlaku. Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Jati, Shamsuhaimi Abdul Razak, 33, berkata, pangsapuri yang mula didiami sejak tahun 2005 itu dikesan mulai retak sejak setahun lalu. Katanya, sudah banyak kali pihaknya membuat aduan mengenai perkara itu, namun tidak ada pihak yang mahu mengambil berat sehinggalah semalam apabila Majlis Perbandaran Sepang, pihak pemaju, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan bomba datang melawat. "Sebelum ini, hanya pihak bomba sahaja yang datang melawat. Pangsapuri ini mempunyai banyak masalah selain dinding retak, tangki air juga tidak diselenggara," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Sementara itu, seorang penduduk, Muliyadi Halim, 36, berkata, rumahnya retak teruk terutamanya pada dinding bilik dan juga balkoni. "Pada mulanya dinding bilik dan balkoni itu hanya retak sedikit sahaja tetapi lama-kelamaan kesan retakan makin banyak dan saya pun sudah tidak berani untuk tinggal atau menyewakan kepada orang kerana bimbang akan membahayakan. "Saya yang rugi apabila perkara ini berlaku kerana duit pinjaman rumah tetap perlu dibayar tetapi kami tidak dapat tinggal atau sewakan rumah ini," ujarnya. Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Normah Abdul Manan, 38, berkata, kesan retakan pada rumahnya semakin banyak sejak satu projek pembinaan mula dilaksanakan di sebelah blok pangsapuri itu. "Saya bimbang dan risau terhadap keselamatan keluarga saya kerana adalah tidak mustahil keretakan itu menjadi lebih teruk jika tiada usaha membaikinya diambil segera. "Saya berharap pihak pemaju dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memainkan peranan mereka untuk membantu kami," jelasnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
MPSepang akan berbincang dengan pemaju Posted: MPSepang akan berbincang dengan pemajuPUCHONG 27 Julai - Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan mengadakan perbincangan dengan pemaju Pangsapuri Jati, Taman Mas di sini berkenaan masalah rumah atau dinding retak yang dialami oleh penduduk di Blok D. Ahli Majlis MPSepang, M. Phulanthran berkata, perbincangan itu akan diadakan bagi membantu menyelesaikan masalah berkaitan keretakan yang dihadapi oleh penduduk tersebut dan juga masalah melibatkan jabatan lain seperti bomba dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). "Kebanyakan masalah yang berkaitan bomba dan TNB sudah pun selesai. Bagi masalah rumah retak pula, ia akan diuruskan oleh pemaju. "Semasa lawatan dilakukan, kami juga mendapat aduan mengenai tangki air yang kelihatan tidak selamat dan pihak kami akan berbincang dengan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) untuk memastikan tahap keselamatannya," katanya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke pangsapuri tersebut di sini baru-baru ini. Dalam pada itu, wakil pemaju, Mohamad Shahrul Nizam Mat Isa berkata, pihak pemaju tidak akan lepas tangan, sebaliknya akan membantu membaiki keretakan yang berlaku di pangsapuri itu. "Pihak pemaju akan membaiki rumah-rumah yang didapati retak, malah sebelum ini pun, jika ada masalah keretakan kami sudah membaikinya," jelasnya. | ||
Posted: MPPPKWP martabatkan penjajaOleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB KUALA LUMPUR 27 Julai – Majlis Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan (MPPPKWP) akan ditubuhkan pada hujung tahun ini bagi memartabat golongan tersebut dan membantu melonjakkan sektor tersebut. Majlis yang akan diletakkan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu akan bertindak sebagai jawatankuasa tertinggi berkaitan pembangunan penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan. Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, MPPPKWP akan berfungsi sebagai platform dan forum bagi membantu usaha-usaha pembangunan sektor penjajaan dan perniagaan kecil. Ujarnya, usaha itu meliputi pelbagai aspek perancangan dan penggubalan sebarang bentuk dasar, strategi, peraturan mahupun garis panduan. "MPPKWP turut dilihat sebagai ruang bagi meningkatkan kerjasama di antara kementerian, pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi kerajaan, persatuan penjaja dan individu yang berpengetahuan dalam bidang perniagaan kecil," katanya. Beliau berkata, MPPPKWP akan melantik dua orang sebagai wakil penjaja dan peniaga kecil dari setiap kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan dalam organisasi itu nanti. Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Dasar dan Majlis Pembangunan Penjaja dan Penjaja Kecil Wilayah Persekutuan di sini semalam. Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fuad Ismail, Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Ahmad Phesal Talib serta Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff. Sementara itu, Raja Nong Chik berkata, Dasar Penjaja dan Peniaga Wilayah Persekutuan pula akan menyediakan panduan berkaitan prinsip dalam perniagaan dan perancangan kepada penjaja dan peniaga. Ujarnya, panduan itu digubal untuk menterjemahkan hasrat, matlamat dan prinsip pelan strategik kementerian itu terutamanya dalam aspek sosio-ekonomi bagi penjaja dan peniaga kecil. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan