Ahad, 26 Jun 2011

Utusan Online - Megabait


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Ekspo Global Canon 2011

Posted:

Ekspo Global Canon 2011

Ekspo Global Canon 2011

Oleh ABD. HALIM HADI
halim.hadi@utusan.com.my


SEBAHAGIAN daripada teknologi realiti maya yang dipertontonkan.


PERKEMBANGAN dunia visual dan multimedia yang rancak pada masa kini seringkali membuatkan kita tertanya-tanya apakah bentuk teknologi yang menanti pada masa hadapan.

Peluang berkunjung ke Ekspo Global Canon 2011 di Shanghai, China baru-baru ini memberi peluang kepada penulis untuk merasai sebahagian daripada gambaran 'piksel dan warna' yang bakal mewarnai kehidupan hari esok.

Ekspo yang berlangsung dari 19 hingga 22 Mei lalu di Pusat Persidangan Antarabangsa Shanghai (SICC) itu merupakan pentas terbesar Canon untuk memperagakan produk dan teknologi terkini.

Pameran lima tahun sekali itu juga merupakan lokasi terakhir bagi siri jelajah ekspo global yang sebelum ini diadakan di New York, Paris dan Tokyo.

Pengembaraan ke alam futuristik Canon di Ekspo Global Canon 2011 bermula selepas perasmian disempurnakan oleh Jackie Chan, bintang filem antarabangsa yang dilantik sebagai duta pameran selama empat hari itu.

Di SICC, tirai acara dibuka dengan penuh bergaya di atas pentas berbentuk kapal yang dinamakan 'Canon Imaging Voyage'. Di dek utama, sebuah memorial menceritakan perjalanan syarikat itu dari 1937 hingga sekarang.

Kemeriahan pameran produk-produk Canon yang menanti pengunjung di dewan utama dibahagikan mengikut tema dan bahagian.

Bermula dengan segmen kamera kompak, pelawat disajikan dengan himpunan kamera kegemaran ramai dari model versatil seperti IXUS dan Powershot.

Untuk kepuasan peminat-peminat fotografi, pameran peralatan bukan sekadar untuk tontonan bahkan setiap satu daripadanya boleh diuji sendiri. Selain mencuba puluhan kamera DSLR dan lensa-lensa mewah, peluang merakam gambar juga disediakan di dalam persekitaran penuh interaktif, siap dengan model dan penari.

Selain memenuhi kehendak kelengkapan fotografi peringkat amatur dan profesional, penganjur turut menyediakan gerai penyuntingan gambar, galeri fotografi dan studio potret bagi menambah keintiman pengguna dengan produk.

Semua itu bagaimanapun bukan lagi kemuncak pameran kerana apa yang menunggu di tingkat bawah SICC jauh lebih menarik.

Video 4K

Ditanda sebagai segmen masa depan, galeri yang bertema 'Imaging Future' mempamerkan sebuah kamera prototaip yang dipertontonkan kepada umum buat pertama kali.

Kamera pelbagai guna yang kini berfungsi sepenuhnya mampu merakam video pada kualiti 60 bingkai sesaat iaitu video generasi baru yang dinamakan 'video 4K'.

Dengan kualiti empat kali ganda lebih baik berbanding resolusi definisi penuh (HD) video 4K itu mampu 'dihentikan' untuk memperolehi sekeping gambar pegun yang berdefinisi tinggi.

Namun sasaran kegunaan kamera yang tidak akan dipasarkan dalam masa terdekat itu adalah untuk industri profesional seperti penerbitan, pengiklanan dan televisyen.

Bagi membuktikan kehebatan video 4K itu, rakaman secara langsung ditayangkan pada skrin berdefinisi tinggi (lapan megapiksel), keluaran Canon sendiri. Pengalaman menonton kualiti rakaman itu seolah-olah melihat dari pandangan mata sendiri.

Selain paparan pada skrin berukuran 30 inci itu, rakaman juga ditayangkan melalui skrin projector gergasi yang dinamakan Teater 4K.

Selain itu, Canon turut membuktikan keupayaan yang bukan sahaja terhad kepada dunia pengimejan tetapi diperhebat dengan variasi produk yang berkebolehan interaksi secara bersepadu.

Pameran segmen Stesyen Media Bersimpang misalnya menghubungkan fungsi peralatan seperti kamera, komputer, televisyen dan mesin cetak.

Teknologi yang akan terus diperkembangkan itu membolehkan pengguna mencetak gambar dari kamera tanpa penyambungan.

Penguasaan masa depan yang dijanjikan Canon kepada pelanggan turut disokong oleh teknologi yang dipamerkan melalui segmen Realiti Campuran, bahagian yang dipenuhi gajet-gajet pandang telus yang cukup futuristik.

Sebagai sebahagian daripada pengalaman 'Menggembirakan Anda Selalu', pelawat juga diberi peluang mencuba alat paparan kepala (cermin mata HMD) yang menggabungkan visual maya dengan keadaan sebenar. Cukup hebat!

Pembangunan teknologi 3D yang semakin rancak itu dijangka membawa anjakan di dalam dunia perisian reka bentuk (AutoCAD) dan teknologi berkaitan industri pembangunan rekaan secara maya dan grafik.

Selain kelengkapan fotografi, peralatan lain yang dipamerkan Canon pada pameran itu termasuk mesin pencetak, pengimbas, kamera pemantauan dan kelengkapan perubatan.

Agak mengejutkan kerana sepanjang pameran di wilayah komersial Lujiazui itu tiada produk baru diperkenalkan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd., Melvyn Ho ketika ditemui berkata, teknologi yang dipamerkan pada ekspo itu merupakan gambaran awal kepada teknologi pengimejan masa depan Canon.

Bagi Presiden Kumpulan Pemasaran Canon Asia, Hideki Ozawa, pemilihan Shanghai sebagai tuan rumah pameran tersebut amat bertepatan dengan matlamat Canon memperluaskan pengaruh dan pasaran di China dan Asia.

"Untuk jualan rantau ini kita telah mencabar diri sendiri dengan sasaran jualan AS$20 bilion menjelang 2015," katanya pada pembentangan 'Strategi Pertengahan Bagi Tahun 2011-2015'.

Dalam pada itu, Pengerusi Canon Inc, Fujio Mitarai berkata, syarikat kini dalam usaha untuk mengembangkan potensi perniagaan di rantau ini bagi menyaingi pasaran di Eropah.

"Langkah utama yang akan diperkukuhkan adalah strategi berteraskan globalisasi dan kepelbagaian," katanya yang menggelarkan China sebagai 'enjin ekonomi dunia' yang baru.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Canon mantapkan rangkaian produk

Posted:

Canon mantapkan rangkaian produk

Canon mantapkan rangkaian produk


PENGUASAAN industri percetakan Canon kini diperkukuhkan melalui penggabungan dengan syarikat Océ.


PENGALAMAN dalam teknologi pengimejan bukan sahaja menjadikan Canon sebagai syarikat terulung di dalam industri namun Canon kini tidak mahu lagi dikenali sebagai pengeluar kamera semata-mata.

Sebaliknya, syarikat gergasi Jepun itu meletakkan cita-cita yang jauh lebih besar sebagai jenama yang bakal menguasai teknologi pada masa depan.

Selain kemajuan teknologi pengimejan, Ekspo Global Canon 2011 baru-baru ini turut mengetengahkan produk-produk terkini seperti mesin pencetak, pengimbas dan kelengkapan perubatan yang mungkin masih tidak diketahui umum.

Di dalam bidang perubatan, kecanggihan teknologi kamera DSLR dimanfaatkan sepenuhnya tujuan pengimbasan organ dan retina mata.

Bukan itu sahaja, Canon sebagai penyedia produk penyelesaian percetakan profesional juga yakin untuk menguasai pasaran percetakan nombor satu di China dan Asia tidak lama lagi.

Perkembangan itu diumumkan oleh Presiden Kumpulan Pemasaran Canon Asia, Hideki Ozawa melalui gabungan teknologi percetakan bersama syarikat percetakan terkemuka Belanda, Océ.

"Pasaran percetakan di China merupakan yang terbesar di dunia dan kita amat positif untuk menguasainya," katanya pada ucapan kepada lebih 300 wartawan dan jurugambar dari rantau ini.

Canon kini memiliki kira-kira 90 peratus daripada saham Océ yang menerajui teknologi percetakan format besar. Pada pameran itu, Océ turut melancarkan Océ ColorStream 3500, pencetak inkjet berkelajuan tinggi buat pertama kali di China.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved