Utusan Online - Hiburan |
Sepah hampir berpecah kerana ML Posted: Sepah hampir berpecah kerana MLOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
SEBELUM pertandingan bermula, saya sendiri memberitahu dua sahabat saya yang lain bahawa saya mahu membubarkan Sepah. Saya berkata kepada mereka biarlah kita berpecah agar senang semua membawa haluan masing-masing. "Bayangkan kata-kata itu saya luahkan dalam beberapa jam sebelum gelanggang akhir dibuka. Tetapi sebagai manusia, kita hanya boleh berkata apa sahaja. "Namun, kuasa yang lebih besar untuk menentukan segala-galanya adalah Allah SWT. Dia jugalah yang menentukan kemenangan kami pada malam ini. "Kami hanya mampu bersyukur dengan rezeki yang diberikan olehNya," jelas Mohd. Nazdri Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Jep dalam nada terharu. Demikian luahan ikhlas ketua kumpulan Sepah itu sewaktu ditanya reaksinya selepas menjuarai pertandingan akhir Maharaja Lawak (ML) yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, malam Jumaat lalu. Dengan markah keseluruhan sebanyak 64 peratus, telah melayakkan Sepah membawa pulang hadiah yang cukup lumayan berupa wang tunai berjumlah RM350,000 dan sebuah trofi sumbangan Astro. Ternyata Sepah mengejutkan ramai pihak terutama peminat fanatik kumpulan Jozan yang telah diramal dari awal lagi untuk menjulang gelaran sulung program realiti terbitan Astro Warna itu. Namun, apabila melihat persembahan Sepah yang cukup mencuit hati dan bersahaja pada pentas akhir itu, memang tidak dapat dinafikan lagi mereka layak untuk menjunjung pengiktirafan tertinggi itu. Menyambung bicara, Jep mengakui mereka berdepan dengan tekanan yang bukan calang-calang sepanjang menyertai ML. Ini kerana kumpulan Sepah cukup sedar, mereka harus memberikan persembahan yang segar dan yang paling penting, dapat membuat penonton ketawa. Tekanan itu bertambah kata Jep, apabila dia membuka cerita tentang bagaimana dia dan dua anggota kumpulan Sepah yang lain iaitu Shuib dan Mamat, kekeringan idea hanya dalam beberapa jam sebelum pertandingan akhir bermula. "Sehinggakan kami terpaksa meminta pelepasan selama satu jam daripada Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani semata-mata untuk keluar dari stadium demi mencari idea. "Malah, sewaktu latihan pun kami tidak dapat melakukannya kerana kami tiada cerita menarik untuk dipersembahkan. Kami hanya sempat menyiapkan satu cerita sahaja tetapi itupun hanya separuh jalan. "Bayangkanlah, kami duduk di kedai mamak dari pukul 12 tengah malam sehingga 5 pagi sehari sebelum pertandingan, tetapi satu idea pun tidak datang. "Apa yang membuatkan saya bersyukur dan terharu apabila peluang itu diberikan sekali oleh Allah. "Jika bukan kerana Dia, tidak mungkin kami boleh membuat persembahan pada malam pertandingan akhir ini," kata Jep yang berusia 26 tahun itu dalam nada syukur. Selain Jep, kumpulan Sepah yang pernah menjadi juara Raja Lawak musim ketiga itu turut dianggotai oleh Shahmira Muhammad atau Shuib dan Mohd. Noor Murad (Mamat). Dalam masa yang sama, Jep dengan penuh terbuka memberitahu, perbalahan dan perselisihan pendapat memang sering berlaku dalam kumpulannya. Dia sendiri menjelaskan betapa sukarnya untuk menanggung beban yang ada kalanya ditimbulkan oleh ahli anggota Sepah sendiri yang bagaikan tidak serius dengan kerja mereka. "Kalau semuanya hendak ditegur setiap kali, memang ia cukup memenatkan. Masing-masing sudah dewasa dan tahu apa yang terbaik untuk diri sendiri. "Percaya atau tidak, sebelum persembahan kedua pun, kami sempat lagi bergaduh dan bertekak. "Jadi mahu atau tidak, kami perlu bersatu untuk mempersembahkan idea yang menarik biarpun perlu bermasam muka dan berselisih faham," katanya yang mahu anggota Sepah ubah diri masing-masing seandainya serius mahu meneruskan perjuangan dalam bidang seni. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Hunny Madu 'pikat' Anuar ZainOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
BARANGKALI kejayaan personaliti popular, Hunny Madu mencipta lagu khusus untuk penyanyi lelaki tersohor negara, Anuar Zain pasti menjadi mangsa cemburu ramai pihak terutama komposer muda sepertinya. Manakan tidak. Seperti mana yang diketahui, Anuar memang cukup cerewet dan begitu teliti dalam soal pemilihan lagu yang mahu dirakamkan. Jadi, apabila Hunny Madu atau lebih mesra disapa Hunny ini berjaya mencipta lagu Kisah Kita dan seterusnya berduet dengan penyanyi pujaan ramai itu, ia boleh dianggap sebagai satu pencapaian besar untuk artis muda seperti Hunny. Kata Hunny, dia memang sudah lama merancang untuk mencipta lagu dengan Anuar yang disifatkannya sebagai penyanyi yang memiliki suara luar biasa. "Saya juga tidak malu untuk mengatakan bahawa saya memang pemuja suaranya yang bagi saya begitu mengasyikkan apabila didengar. "Kalau diikutkan, saya sendiri sudah mencipta sebuah lagu untuk Anuar sejak dua tahun lalu selepas diminta oleh pengurusnya, Rohila Tahir. "Tetapi, ketika itu saya tidak begitu yakin dengan kemampuan saya sehinggalah saya sudah siapkan sebuah lagu penuh lalu saya berikan kepada Anuar untuk dia dengar sendiri dan menilainya. "Alhamdulillah, dia menyukainya lalu kami tidak menunggu lama untuk merakamkan lagu tersebut. Apa yang boleh saya katakan, proses rakaman lagu Kisah Kita memang bukan sesuatu yang mudah," jelas Hunny yang berusia 27 tahun in tanpa selindung. Hunny ditemui usai pelancaran album sulungnya, Pulau Janji di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPac), Jalan Strachan, Sentul, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Menyambung bicara tentang proses rakaman lagu Kisah Kita itu, Hunny menjelaskan ia memakan masa hampir tujuh bulan untuk disiapkan. Katanya lagi, semuanya adalah kerana dia sendiri mahukan kualiti yang terbaik untuk lagu tersebut terutama dari aspek vokal. "Kami merakamkan vokal secara berasingan dan demi memastikan lagu ini mencapai piawaian saya sebagai komposer dan penerbit album ini, saya sendiri sanggup belajar vokal bersama Lah Ahmad. "Julat vokal (vocal range) antara saya dengan Anuar memang cukup berbeza dan untuk itu, kami perlu memastikan rakamannya berjalan lancar untuk mendapatkan hasil yang baik. "Setidak-tidaknya juga ia memberi satu pengalaman baharu kepada saya. Apa yang penting, saya dan Anuar sama-sama puas hati dengan penghasilannya," ujar Hunny atau nama sebenarnya Hani Farhana Mohd. Hatim ini panjang lebar. Apabila Hunny membuat keputusan untuk berduet dengan Anuar, ada pula suara sumbang mengatakan dia cuba untuk menumpang populariti penyanyi lelaki popular itu. Apatah lagi untuk seorang penyanyi dan komposer baru seperti Hunny, secara tidak langsung dia pasti akan terkena tempiasnya. "Hanya mereka yang berfikiran cetek sahaja yang akan berfikir begitu. Semua itu tidak pernah terlintas di fikiran saya. "Niat saya hanya satu iaitu mahu menghasilkan muzik yang berkualiti dan rasanya semua itu sudah terbukti apabila Anuar sudi untuk merakamkan lagu ciptaan saya itu," katanya dalam nada sedikit tegas namun penuh diplomasi. Selain Anuar, Hunny juga berduet dengan seorang lagi penyanyi dan komposer berbakat besar, Najwa Mahiaddin menerusi lagu Hey R. Berbicara lanjut tentang album Pulau Janji, Hunny memberitahu dia kini boleh menarik nafas lega apabila akhirnya album tersebut berada di pasaran. Walaupun mengambil masa selama empat tahun untuk disiapkan, bagi Hunny, dia bersyukur kerana segala yang dirancangkannya selama ini akhirnya menjadi kenyataan. Mengenai kelewatan album itu berada di pasaran dan memakan masa yang lama untuk disiapkan, jelas Hunny, ia berpunca daripada kesibukannya sebagai seorang penyampai radio dan juga isteri. "Alhamdulillah, suami saya, Khairul Azhar Abdul Wahid memberikan sokongan padu dan memberikan restu untuk saya meneruskan karier saya dalam bidang seni. "Menerusi Pulau Janji, tiada lain yang saya harapkan agar ia dapat membuka jalan untuk saya lebih dikenali sebagai seorang penyanyi dan komposer," katanya yang mempertaruhkan lagu Dari Masa Hadapan sebagai single Melayunya yang pertama. Album yang memuatkan 12 buah lagu itu turut menyaksikan Hunny berkolaborasi dengan empat penerbit iaitu Rafikoncept, Bo Amir Luqman, Mohd. Hazri Shihabuddin dan Selvam Gana. Ketika ditanya tentang pemilihan Pulau Janji sebagai judul albumnya, ini jawapan yang diberikan Hunny. "Pulau Janji merupakan sebuah destinasi imaginasi saya di mana ia merupakan sebuah lokasi untuk saya menumpahkan segala kreativiti saya dalam menghasilkan karya-karya saya. "Saya pasti akan lari seketika daripada kehidupan realiti saya dan menghabiskan masa di Pulau Janji selama mana yang saya mampu untuk saya fikirkan tentang muzik serta ceritera diri saya. "Kerana itulah juga saya tidak meletakkan sebarang genre untuk album saya ini kerana ia merupakan manifestasi saya terhadap muzik yang saya gemar. Terpulang kepada peminat untuk mengklasifikasikan saya dalam mana-mana genre," ujar Hunny memberikan hujahnya. Sempat ditanya tentang kehidupan peribadinya, Hunny yang sudah setahun mendirikan rumah tangga bersama Khairul Azhar Abdul Wahid itu dengan secara terbuka memberitahu dia sudah bersedia untuk bergelar ibu. Sama sekali tidak merancang untuk memiliki keluarga sendiri, Hunny memberitahu soal cahaya mata adalah tugas Yang Maha Esa. Bagi peminat Hunny Madu, pastikan anda tidak ketinggalan untuk memiliki Pulau Janji yang memiliki rangkaian lagu-lagu yang mampu menepati jiwa anak muda masa kini. Selain Kisah Kita, Hey R dan Dari Masa Hadapan, lagu-lagu lain yang terkandung dalam album Pulau Janji termasuklah 3 Perkara, Bayangkanlah, Ting Ting, Shake, Miss Strong, Pulau dan Berlari (Tolstoy). Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan