Utusan Online - Sukan |
Jalur Gemilang berkibar di Jerman Posted: Jalur Gemilang berkibar di JermanOleh TAN MING WAI
KUALA LUMPUR - Gandingan Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee melakar sejarah apabila merangkul pingat emas acara 10 meter platform berirama pada hari terakhir saingan Grand Prix Terjun FINA di Rostock, Jerman, kelmarin. Kejayaan manis itu membuktikan gandingan mereka kian serasi, sekali gus mencerahkan peluang Malaysia meraih pingat pertama menerusi sukan terjun pada Sukan Olimpik di London tahun depan. Sekalipun tanpa kehadiran tiga pasangan ranking teratas dunia, emas yang diraih tetap bermakna bagi kedua-dua mereka kerana masing-masing belum pernah mengecapinya di peringkat dunia, terutamanya Mun Yee yang sudah menjangkau penghujung karier. Lebih penting, ia hadir tepat pada masanya bagi menyuntik keyakinan mereka menjelang Kejohanan Dunia di Shanghai, China yang pastinya jauh lebih sukar daripada saingan mereka hadapi di Rostock. Tanpa kelibat pemenang pingat emas Olimpik, Chen Ruolin mahupun juara dunia Hu Yadan, serta ketidakhadiran pasangan Kanada, Roseline Filion-Meaghan Benfeito dan Alexandra Croak-Melissa Wu dari Australia, Mun Yee-Pandelela, ranking No. 4 dunia, memanfaatkan peluang untuk menyerlah kali ini. Mereka meraih 312.96 mata daripada lima terjunan untuk mengatasi pasangan pelapis China, Xing Yiying-Si Yajie (309.00) dan pasangan tuan rumah, Nora Subschinski-Christin Steuer (300.54). Lebih manis buat Pandelela, dia menebus kekecewaan tewas kepada Yiying dalam acara individu dua hari sebelumnya. Gandingan Pandelela-Mun Yee sebelum ini sering berpuas hati dengan pingat perak termasuk pada Sukan Asia Guangzhou dan Sukan Komanwel New Delhi, penghujung tahun lalu. Kedua-duanya sebelum ini juga cemerlang meraih perak pada pusingan kedua Siri Terjun Dunia FINA; pertandingan elit dunia di Beijing, Mac lalu. Sementara itu, Mun Yee yang turut bertanding dalam acara 3m papan anjal berirama berganding dengan Wendy Ng Yan Yee, gagal menambah pungutan pingat acara itu setelah mengakhiri saingan di tempat keempat. Mereka yang mencatatkan 260.70 mata, hanya dipisahkan 20 mata daripada kedudukan pingat gangsa yang diraih pasangan Ukraine, Olena Fedorova-Anna Pysmenska (280.50). Acara itu diungguli Ye Chen-Qu Lin dengan catatan 308.40 dan pasangan Jerman, Tina Punzel-Nora Subchinski (291.00) merangkul perak. Dalam aksi 10m platform lelaki, Bryan Nickson Lomas dan Ooi Tze Liang terkandas di separuh akhir. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Safee lepas rindu
PETALING JAYA - Penyerang sensasi, Safee Sali yang turun berlatih bersama skuad kebangsaan buat kali pertama selepas lebih tiga bulan menyepi, yakin pengalaman beraksi di Liga Super Indonesia telah meningkatkan mutu permainannya sekali gus dapat membantu menghadapi kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan nanti. Safee yang telah meledak enam gol dalam 10 penampilan bersama Pelita Jaya, tiba ke tanah air kelmarin sejurus selesai beraksi dalam perlawanan liga menentang PSPS Pekan Baru. Pelita Jaya bagaimanapun tewas 0-1. Turun berlatih di Wisma FAM petang ini, Safee langsung tidak menunjukkan sebarang tanda keletihan, sebaliknya berlatih penuh semangat. Mungkin rindunya terhadap menyarung jersi kuning hitam terlalu mendalam, dia tidak sabar untuk turun aksi persahabatan menentang Hong Kong, Jumaat ini. "Saya gembira untuk kembali bersama skuad kebangsaan dan keyakinan saya bertambah selama tiga bulan bermain di Indonesia. "Saya harap ia dapat memberi manfaat dan membantu pasukan mencatat keputusan positif dalam perlawanan-perlawanan akan datang, bermula di Hong Kong," katanya sebelum memulakan sesi latihan. Ditanya sama ada dia berasa janggal selepas lama tidak bermain bersama rakan-rakan, jelas Safee, dia tidak merasakan demikian. "Tidak, saya tak rasa kekok kerana sebelum ini pernah lebih lama lagi tidak dipanggil... saya sudah biasa dengan keadaan ini," ujarnya. Bekas penyerang Selangor itu juga sedar harapan tinggi yang disandarkan kepadanya oleh jurulatih, K. Rajagobal dan dia sudah cukup bersedia menghadapi tekanan itu. Sementara itu, Rajagobal mengalu-alukan kepulangan Safee dan percaya dia tidak berdepan masalah menyesuaikan diri semula dalam skuad kendaliannya. "Safee ialah seorang pemain profesional, jadi tidak timbul masalah seperti dia tidak dapat menyesuaikan diri atau sebagainya," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan