Utusan Online - Pendidikan |
Atasi obesiti dari peringkat kanak-kanak Posted: Atasi obesiti dari peringkat kanak-kanakOleh MOHD. FADZLY MOHD. IZAB Makanan berkolesterol tinggi seperti roti canai, nasi lemak, makanan dan minuman ringan, jeruk dan sebagainya dicadang supaya tidak lagi dijual di kantin-kantin sekolah dan ditukarkan dengan menu-menu lain yang lebih berkhasiat serta sesuai untuk pemakanan kanak-kanak. Pensyarah Fakulti Farmasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Wan Iryani Wan Ismail berkata, isu ini telah membuka mata banyak pihak bermula daripada ibu bapa sehingga pihak kerajaan kerana menyedari bahaya yang bakal timbul daripada obesiti kepada individu dan masyarakat. Menurut beliau, masalah obesiti atau kegemukan ini mampu untuk diatasi jika masyarakat menyedari puncanya dan seterusnya melatih kanak-kanak seawal di bangku sekolah untuk mengamalkan gaya hidup serta pengambilan makanan yang sihat. "Antara faktor utama yang dikenal pasti menjadi penyumbang kepada masalah ini ialah pengambilan diet yang tidak seimbang seperti makanan yang tinggi kandungan lemak, garam dan gula serta rendah kandungan zat mineral, vitamin dan nutrisi penting untuk tubuh seperti vitamin A, D, C dan kalsium. "Tidak dinafikan kebanyakan makanan seperti roti canai, nasi lemak dan makanan berkari mempunyai kandungan lemak, garam dan gula yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini. Ujarnya, ini diburukkan lagi dengan pengambilan makanan seperti burger, kentang goreng, gula-gula dan sebagainya yang mempunyai kandungan lemak trans. "Lemak trans yang biasanya terdapat dalam makanan yang diproses atau penggunaan minyak masak sama berulang kali mudah diperoleh melalui penyediaan makanan terutama makanan segera di mana proses berkenaan mampu mengubah struktur asal kimia lemak makanan daripada lemak cis yang mudah dihadam kepada lemak trans yang sukar diurai. "Jadi, cubalah beralih kepada makanan-makanan yang segar dan direbus ataupun yang menggunakan proses wap atau steam serta makanan seperti bijirin dan yang mengandungi omega-3 seperti ikan," terangnya. Tambah Wan Iryani, gula juga merupakan faktor penyumbang ke arah obesiti bahkan boleh menjurus kepada penyakit kencing manis atau diabetis. "Selain gula, masyarakat di negara ini juga sinonim dengan peng gunaan monoglutamate sodium (MSG) yang berleluasa di dalam makanan ringan, masakan restoran dan masakan harian yang turut boleh menyebabkan obesiti. "Kandungan ion sodium yang tinggi akan menyukarkan proses perkumuhan dalam badan kerana ia akan mengurangkan kandungan air di dalam sel badan seterusnya menjejaskan hormon adeponektin yang penting bagi merangsang metabolisme lemak di dalam badan manusia. "Perubahan hormon ini akan menjurus kepada obesiti," jelasnya. Selain itu katanya, masalah obesiti ini berlaku disebabkan perubahan gaya hidup masyarakat kini seperti gaya kerja dan perubahan kemudahan infrastruktur yang semakin maju serta kurangnya aktiviti fizikal seharian. "Masyarakat dulu, walaupun mengambil makanan yang tinggi kandungan lemak tetapi kadar penggunaan tenaga yang diperoleh daripada makanan tersebut adalah seimbang. Berbeza dengan masyarakat hari ini yang hanya duduk dan lebih menggunakan otak dalam kerja seharian mereka. "Hal ini menyebabkan makanan yang berlebihan terutama lemak di dalam badan yang tidak ditukar ke pada tenaga akan disimpan di dalam sel lemak yang menyebabkan obesiti," jelasnya. Terangnya lagi, faktor seterusnya adalah genetik di mana kanak-kanak boleh mewarisi bilangan sel yang banyak daripada generasi sebelumnya. "Jadi tidak hairan jika ibu bapa yang obes biasanya akan melahir kan anak yang berpotensi tinggi untuk obes juga. "Walau bagaimanapun, perkara ini boleh dielak jika gaya hidup dan pemakanan dapat dijaga dari peringkat awal lagi," katanya. Wan Iryani memberitahu, masalah obesiti boleh diatasi dengan pengambilan ubat-ubatan tradisional dan moden, pembedahan (liposuction), mengamalkan diet yang seimbang hinggalah mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam atau hanya sekadar mengemas rumah. "Namun, pengguna perlu berhati-hati dalam pengambilannya kerana ubat-ubatan moden sekarang ini mempunyai kesan sampingan yang boleh merangsang pembentukan lemak yang berlebihan dengan mengganggu fungsi normal hormon badan. "Terdapat juga beberapa pendekatan baru yang telah diperkenalkan dalam mengatasi obesiti seperti rawatan akupuntur dan mengamalkan pergerakan yoga," jelasnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Cabaran mendidik pesalah juvana Posted: Cabaran mendidik pesalah juvanaTUGAS guru bukan setakat mendidik malah turut menjadi pembimbing serta contoh atau teladan yang baik kepada anak-anak didiknya agar dapat membentuk insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Cabaran yang lebih besar tentunya kepada guru yang mendidik golongan pelajar di luar norma masyarakat seperti banduan muda atau pesalah juvana di sekolah-sekolah integriti dan Sekolah Henry Gurney. Berbanding guru di sekolah harian biasa, ia memerlukan komitmen yang tinggi dan tidak mungkin mampu untuk dilakukan oleh semua orang. Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Asariah Mior Shaharuddin berkata, komitmen dan pengorbanan warga guru dalam meningkatkan kualiti pendidikan di kalangan pelajar sekolah kawalan Jabatan Penjara Malaysia amat dihargai. Menurut beliau, iltizam dan komitmen yang ditunjukkan oleh warga pendidik dalam membantu juvana atau banduan muda telah membuka satu dimensi baru bagi mengangkat martabat profesion keguruan bersesuaian dengan tema Hari Guru tahun ini iaitu Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara. "Guru juga berperanan sebagai pemangkin kepada amalan pendidikan sepanjang hayat dan sekolah sebagai organisasi pendidikan," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Guru Peringkat Jabatan Penjara Malaysia di Dewan Kelab Penjara Kajang, Selangor, baru-baru ini. Jelasnya, walaupun golongan pelajar ini berada dalam proses pemulihan kerana kesalahan yang telah dilakukan, namun mereka tetap memerlukan pendidikan agar tidak ketinggalan apabila tamat menjalani hukuman kelak. "Guru memainkan peranan penting dalam usaha memberi didikan sebaik mungkin kepada penghuni tirai besi ini dan tanpa bimbingan guru, tidak mustahil apabila bebas kelak mereka akan mengulangi kesilapan sama," jelasnya. Beliau menyarankan guru-guru menjalankan tugas dengan gigih dan menganggap pengalaman mendidik golongan pelajar ini sebagai sesuatu yang istimewa seterusnya berusaha memantapkan lagi kemahiran demi memartabatkan profesionalisme keguruan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pendidikan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan