Utusan Online - Selatan |
- Pengetua bersara dibawa naiki kereta kuda
- Pelihara bahasa ibunda - MB
- Ibrahim Abu Shah Tokoh Melayu Terbilang
Pengetua bersara dibawa naiki kereta kuda Posted: Pengetua bersara dibawa naiki kereta kudaTELUK KEMANG 30 Mei - Rasa sedih yang wujud dalam diri seseorang pengetua kerana terpaksa meninggalkan dunia pendidikan formal akan terubat sekiranya amanat yang dititipkan dijulang dengan sebaik mungkin oleh guru-guru dan pelajar yang ditinggalkan. Itulah sebahagian luahan rasa Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Saujana dekat sini, Johara Nawawi, 58 pada hari persaraannya di Port Dickson, baru-baru ini. Katanya, biarpun guru mahupun pengetua sepertinya telah meninggalkan sekolah, semangat mengajar itu akan terus membuak-buak dalam menyaksikan anak didiknya terus meningkat jaya sehingga bergelar pemimpin negara kelak. ''Bimbinglah generasi sedia ada tanpa perasaan jemu kerana pelajar dan ibu bapa sentiasa percaya perubahan sikap dan masa hadapan bermula dari zaman persekolahan. ''Walaupun ada masalah, tanganilah dengan bijak tanpa menjejaskan hubungan baik dengan masyarakat sekeliling," katanya di sini, baru-baru ini. Johara berkata, era pendidikan ini terlalu pantas berubah dan jika pendidik dan pelajar terleka, ia akan menjurus kepada kegagalan. ''Pelajar juga akan berhadapan cabaran sengit apabila keluar kelak sekiranya tidak diiringi dengan kecemerlangan dalam pendidikan. ''Kepada yang masih berkhidmat, saya ingatkan supaya teruslah membantu anak didik kita ke jalan yang betul dan bawalah mereka berhadapan cabaran di luar sana dengan penuh ketabahan," kata Johara. Pada majlis berkenaan, Johara menerima kejutan apabila dibawa menaiki kereta kuda di pekarangan sekolah sebagai menghargai sumbangan beliau sebagai pendidik dan pengetua cemerlang di situ. | ||
Posted: Pelihara bahasa ibunda - MB
SEREMBAN 30 Mei - Bahasa ibunda mengikut kaum perlu dijaga supaya generasi akan datang tidak terlalu leka dengan bahasa antarabangsa, sekali gus mencemar corak kehidupan yang diamalkan sebelum ini. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, aspek bahasa, budaya dan agama merupakan sesuatu yang berkait rapat dan wajar dipelihara dengan baik. "Identiti kita akan hilang dengan kealpaan ini. Saya bimbang apabila berlaku ancaman ini, generasi akan datang tidak akan mengetahui dari mana asal usul kita, budaya kita dan anutan agama kita kerana corak kehidupan yang semakin bebas," katanya. Mohamad berkata demikian pada majlis perasmian Kursus Pembangunan Guru Pengajian Bahasa Punjabi anjuran Pusat Pendidikan Punjabi Negeri Sembilan di Klana Resort, di sini malam tadi. Hadir sama Presiden Khalsa Diwan Malaysia yang juga Pengerusi Amanah Pendidikan Punjabi Malaysia, Santokh Singh Randhawa. Kata Mohamad lagi, jika bahasa ibunda ini terabai, maka kita akan dapat saksikan masyarakat zaman moden ini, tidak lagi mengenang tamadun mereka sendiri dan hilanglah jati diri mereka. Justeru itu, beliau menghargai apa yang dilakukan oleh pendukung bahasa Punjabi dalam memastikan generasi akan datang terus menghayatinya. "Anak kita tidak akan bersaing sesama kaum di negara ini kerana kita sedang berhadapan saingan celik akal dan pemikiran generasi seusia mereka dari negara luar. "Inilah yang hendak kita sediakan supaya anak generasi masa hadapan lebih bijak dari mereka yang berada di peringkat antarabangsa," katanya. | ||
Ibrahim Abu Shah Tokoh Melayu Terbilang Posted: Ibrahim Abu Shah Tokoh Melayu Terbilang
JASIN 30 Mei - Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah dipilih sebagai Tokoh Melayu Terbilang 2011 oleh UMNO Bahagian Jasin sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-65 di Masjid At-Taqwa di sini malam tadi. Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Ahmad Hamzah berkata, pemilihan Ibrahim dibuat berdasarkan pencapaian dan sumbangan beliau dalam memperjuangkan nasib anak Melayu dalam bidang akademik. Menurutnya, selain berperanan sebagai tokoh akademik selaku bekas Naib Canselor UiTM, Ibrahim telah berjaya membawa perubahan dalam membangunkan pemikiran kaum Melayu. "Pemilihan Ibrahim merupakan sebahagian daripada tanda penghormatan UMNO Bahagian Jasin kepada beliau bagi mengenang sumbangan dan jasanya dalam bidang pendidikan selain turut menabur bakti di peringkat antarabangsa," katanya pada majlis berkenaan. Ibrahim anak jati kelahiran Kampung Pulai, Serkam merupakan ahli UMNO sejak 1968 dan pernah menjawat beberapa jawatan dalam UMNO termasuk menjadi pengasas dan Pengerusi Kelab UMNO Carbondale, Amerika Syarikat pada 1983. Menurut Ahmad, Ibrahim bukan sahaja menyumbang bakti membangunkan pendidikan anak Melayu sewaktu bertugas sebagai Naib Canselor UiTM, malah turut membina jati diri pelajar Melayu agar terus kukuh dan mantap. Sementara itu, Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut menyifatkan pemberian anugerah tersebut sebagai penguat semangat untuknya terus berbakti membangunkan pendidikan bangsa Melayu. Terdahulu, sebelum majlis penyampaian anugerah berlangsung, turut diadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil sempena sambutan berkenaan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan