Rabu, 21 Mei 2014

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Lima agensi atasi kesesakan KL

Posted: 20 May 2014 12:27 PM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Ahmad Phesal Talib (tiga dari kiri) beramah mesra dengan (dari kiri) Ir. Ismail Md. Salleh, Mohmad Salleh, Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz, Khiruddin Drahman dan Kudsia Kahar pada majlis menandatangani MoU pengurusan lalu lintas di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 20 Mei - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bekerjasama dengan empat agensi di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBos) bagi meningkatkan sistem pengurusan lalu lintas di ibu negara yang menerima kemasukan kira-kira 2.4 juta kenderaan setahun.

Agensi yang akan membantu dalam mencari penyelesaian terbaik dalam mengatasi masalah kesesakan di Kuala Lumpur itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Star Radio Group.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, kerjasama itu dibuat susulan daripada Bengkel NBos yang dijalankan pada September tahun lalu bertujuan mencari idea-idea baharu yang boleh membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu negara.

Jelasnya, dalam bengkel tersebut, empat prosedur operasi standard (SOP) yang menjurus kepada aspek pengurusan lalu lintas telah diwujudkan iaitu Pengurusan Insiden, Penyebaran Maklumat, Perkongsian Logistik dan Pengurusan Trafik.

Pengurusan Insiden melibatkan langkah-langkah dalam menguruskan insiden seperti kemalangan, bencana alam dan kerosakan di jalan raya. Aspek Penyebaran Maklumat pula bertujuan memastikan maklumat trafik atau insiden dihebahkan secara cepat dan berkesan.

Selain itu, Perkongsian Logistik melibatkan pemberian bantuan logistik dan sumber kepada sebarang insiden manakala Pengurusan Trafik membabitkan langkah merancang, melancar dan mengurangkan kesesakan trafik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili DBKL dalam upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan agensi-agensi tersebut di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohmad Salleh; Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman; Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir. Ismail Salleh dan Ketua Pegawai Operasi Star Radio Group, Kudsia Kahar.

Turut sama pada majlis itu ialah Ketua Pengarah DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.

Dalam pada itu, Ahmad Phesal memberitahu, DBKL telahpun melaksanakan salah satu projek NBos iaitu Sistem Maklumat Panduan Meletak Kenderaan (PGIS) bagi membekalkan dan menyalurkan maklumat status kekosongan tempat letak kenderaan di sekitar Bukit Bintang.

Dalam projek tersebut, DBKL telah bekerjasama dengan tujuh pusat beli-belah iaitu Sungei Wang, Plaza Low Yat, Lot 10, Fahrenheit, Pavilion, Starhill dan KLCC.

Kerjasama antara mereka menjadi rangsangan kepada usaha-usaha pentadbiran DBKL dalam meneruskan projek pengurusan lalu lintas," ujarnya.

'Bagai mencurah air ke daun keladi'

Posted: 20 May 2014 12:27 PM PDT

Sebahagian daripada penduduk mengadakan bantahan bagi mendesak MPKj dan pemaju supaya menghentikan kerja-kerja meletupkan batu di kuari berhampiran kawasan perumahan mereka di Taman Kajang Perdana 2, Kajang, Selangor baru-baru ini. - UTUSAN/MOHD. NOOR MAT AMIN

KAJANG 20 Mei - Penduduk Taman Kajang Perdana 2, dekat sini semakin resah apabila aduan berhubung aktiviti letupan batu di kuari yang terletak kira-kira 500 meter dari kawasan perumahan mereka kepada pihak berkuasa tempatan dan pemaju sehingga kini tidak dihiraukan.

Bukan sekali, tetapi sudah puluhan aduan dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan pihak pemaju, namun semuanya tiada tindakan.

Ini sekali gus memaksa penduduk membuat bantahan secara aman di hadapan kuari tersebut baru-baru ini.

Ini bagi mendesak pihak berkuasa tempatan itu mengambil perhatian dan tindakan serius agar kuari tersebut segera ditutup demi keselamatan dan keselesaan.

Setiausaha Persatuan Penduduk Jalan Kajang Perdana 2/34 hingga 2/20, Zainul Akramin Mohd Drus berkata, penduduk berasa terkilan dan tertipu dengan pemaju perumahan dan MPKj yang masih membenarkan kuari di situ terus beroperasi.

Katanya, lebih mengecewakan segala aduan yang dikemukakan sebelum ini seolah-olah bagai mencurah air ke daun keladi, segala-galanya sia-sia sahaja.

Nilai rumah kami semakin susut ekoran keretakan yang berlaku di bahagian dinding akibat kerja-kerja letupan di kuari.

Adakah mereka akan bertanggungjawab terhadap semua ini?," katanya ketika ditemui selepas mengetuai bantahan di hadapan kuari berkenaan bagi mendesak pihak berkuasa tempatan dan pemaju menghentikan kerja-kerja di kuari berkenaan dengan segera.

Utusan Malaysia sebelum ini pernah melaporkan kira-kira 1,000 keluarga di Taman Kajang Perdana 2, Kajang dekat sini hidup dalam kebimbangan sejak beberapa tahun lalu ekoran sebuah kuari beroperasi berhampiran kawasan kediaman mereka.

Penduduk mendakwa, kesan gegaran bahan letupan daripada kuari tersebut yang diibaratkan gempa bumi yang kuat, bukan sahaja merosakkan harta benda, bahkan mengancam keselamatan dan kesihatan mereka.

Difahamkan, kuari itu telah wujud kira-kira 23 tahun lalu sebelum kawasan perumahan teres dua tingkat itu dibangunkan pada penghujung 90-an.

Zainul Akramin berkata, kewujudan kuari itu turut mengundang masalah kebanjiran warga asing yang menjadi pekerja di kuari berkenaan.

Katanya, sejak warga asing bekerja dan tinggal di kuari berkenaan berlaku beberapa kejadian pecah rumah di kawasan itu.

Keadaan ini benar-benar membuat kehidupan kami sudah tidak selamat dan selesa. Sudahlah apa yang kami bimbangkan mengenai kegiatan di kuari berhampiran masih belum diselesaikan, timbul pula isu kebanjiran warga asing," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri Selangor juga wajar memantau aktiviti kuari tersebut yang dipercayai beroperasi di atas tanah kerajaan.

Saya percaya status kuari tersebut sebagai menceroboh tanah kerajaan negeri yang mesti diambil tindakan dengan tegas.

Jika tanah tersebut milik individu tertentu, tindakan sama perlu diambil kerana kuari tersebut beroperasi tanpa mengikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Dakwanya lagi, kerja-kerja letupan batu di kuari tersebut turut menyebabkan pencemaran terhadap aliran anak sungai berhampiran.

DBKL jamin pengagihan tapak bazar Ramadan telus

Posted: 20 May 2014 12:27 PM PDT

SUASANA pengagihan tapak bazar Ramadan di Jalan Masjid India dan Lorong Tuanku Abdul Rahman anjuran DBKL di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur tahun lalu.

KUALA LUMPUR 20 Mei - Pengagihan tapak bazar Ramadan melibatkan dua lokasi tumpuan iaitu Jalan Masjid India dan Lorong Tuanku Abdul Rahman pada Khamis dan Jumaat ini di Stadium Titiwangsa dijamin telus dan adil.

Pengurus Perancangan Korporat DBKL, Dr. Ismail Stapa berkata, keyakinan ini berdasarkan maklum balas diterima daripada peniaga dan penjaja sejak sistem undian itu diperkenalkan tahun lalu.

Menurutnya, pemantauan bagi sistem agihan tersebut turut dilakukan bersama-sama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta wakil-wakil persatuan peniaga dan penjaja.

Jika sebelum ini sesetengah pihak mendakwa wujudnya penyelewengan dalam pengagihan tapak bazar, selepas sistem undian itu diperkenalkan rasa tidak puas hati yang dibangkitkan berkurangan.

Berdasarkan pengalaman, jika ada sekalipun rasa tidak berpuas hati ia hanya melibatkan lokasi petak.

Kemungkinan lokasi petak agak tersorok dari kawasan tumpuan dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau berkata, setakat hari ini pengagihan kesemua tapak melibatkan dua lokasi iaitu Setapak Jaya dan Taman Datuk Senu juga berjalan lancar.

Tahun ini sebanyak 121 petak ditawarkan di Jalan Masjid India, manakala Lorong Tuanku Abdul Rahman pula sebanyak 609 petak.

Ia meliputi barang perhiasan, aksesori, juadah dan sebagainya," katanya.

Tambahnya, undian tapak akan bermula pada pukul 9 pagi sehingga 11.30 pagi, manakala pada sebelah petang dari pukul 2 hingga 4 petang.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Fesyen hijab ilham Faezah

Posted: 20 May 2014 11:30 PM PDT

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar JEFRI IRAN

Mengenalinya secara lebih dekat ternyata dia seorang yang penuh berkeyakinan dan tahu apa yang dimahukan dalam hidup.

Justeru tidak hairan apabila Faezah Ahmad Fadzil, 30, atau lebih dikenali sebagai E, berani untuk memasarkan secara lebih komersial turban rekaannya yang sudah tentu agak berbeza daripada arus pasaran hijab semasa.

Dia percaya percaturannya menghasilkan turban sebagai pelengkap gaya wanita adalah sesuatu yang tepat dan dapat diterima oleh penggemar fesyen hijab.

Saya akui rekaan saya agak berbeza dengan kelaziman fesyen hijab di pasaran, tetapi sekurang-kurangnya saya memberi mereka pilihan dan kepelbagaian.

Saya percaya fesyen turban ini mempunyai peminatnya tersendiri," katanya.

Wanita kelahiran Melaka ini juga bertuah kerana dianugerahkan bakat serta kreativiti dalam menghasilkan turban yang mudah digaya dan penuh inovasi.

Pastinya pemilik ijazah sarjana muda multimedia dari Universiti Multimedia ini juga mempunyai visi dan misi tertentu dalam mengembangkan perniagaannya hingga ke peringkat antarabangsa.

Bagi E, segalanya bermula dengan aktiviti menulis blog dan cintanya dalam bidang fotografi.

Idea untuk menghasilkan turban itu pula timbul sewaktu mengandungkan anak sulungnya pada tahun 2007.

Ketika mengandung saya memang tidak bertenaga, saya hanya mampu duduk di depan komputer dan dari situ saya dapat ilham untuk menjual pakaian menerusi blog saya.

Nama blog saya Ilham Echenta dan nama itu juga saya gunakan untuk butik saya sehinggalah ke hari ini," kata Faezah yang ditemui di Studio Utusan Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagaimanapun dia tetap mahu mencari kelainan dalam produk jualannya dan memikirkan tentang itu maka dia menghasilkan turban dan telah dibantu oleh kakaknya yang pandai menjahit.

Sebelum ini saya tidak bertudung sepenuhnya, jadi saya fikir turban sebagai cara paling praktikal dan mengikut cita rasa sendiri.

Kebetulan kakak saya memang pandai menjahit, jadi turban yang pertama keluaran Ilham Echenta memang kerjasama antara sayadan kakak.

Kalau diikutkan saya memang langsung tidak tahu menjahit, tetapi setelah memuat naik gambar dalam blog tak sangka ramai bertanya dan menempah.

Mahu tak mahu saya terpaksa juga belajar menjahit untuk menghasilkan turban yang ditempah rakan-rakan.

Alhamdulillah turban pertama saya dijual pada harga RM110 dan dari situ semakin banyak tempahan hingga pernah dalam satu hari saya dapat 20 tempahan," imbas Faezah tentang kisah awal perniagaannya.

Selepas berniaga, dia mencipta falsafahnya sendiri iaitu tidak mahu menghampakan orang lain terutama pelanggan setianya.

Baginya, kualiti merupakan sesuatu yang penting dan dia sendiri memantapkan lagi skil jahitannya turbannya dengan ilmu yang secara tidak langsung diperolehi dari internet.

Ibu kepada Ilham Rizky dan Tiara Aulia ini mula merangka strategi pemasaran sendiri.

Bagi memberikan lebih impak, Faezah bekerjasama dengan suaminya yang juga seorang jurugambar untuk merakam potret bersama turbannya di sekitar Eropah.

Perancangan ini nyata memberikan impak positif apabila turban saya bukan sahaja menjadi perhatian masyarakat di negara ini malah di luar negara.

Ketika sesi fotografi di London sahaja, ramai yang tertarik dan ingin mengetahui tentang turban tersebut. Melalui akaun instrgram, saya juga tunjukkan tentang versatiliti turban saya yang boleh dipakai setiap hari dalam apa juga suasana.

Sebenarnya turban ini jika betul gaya pemakaiannya memang akan menghasilkan gaya yang menarik dan ada kelainan," katanya.

Pilihan artis

Signatur turban Ilham Echenta nyata bukan sahaja memberikan satu dimensi baru dalam dunia penggayaan tutup kepala, malah mencetus satu trend di kalangan artis tempatan yang turut memilih turban Faesah bagi digayakan pada majlis formal atau ketika persembahan mereka.

Antara yang pernah mencuba penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, Datin Noryn Aziz, Aliyah dan pelakon Natasha Hudson.

Perkembangan positif ini membuatkan saya mencari kepelbagaian dalam penampilan turban. Terkini saya telah berinovasi menghasilkan turban jenis veil crown, jenis getah dan selendang turban.

Secara peribadi, saya memang sukakan sesuatu yang ringkas. Walaupun dahulu saya tidak memakai tudung, tetapi saya memang suka bergaya, bila sesekali jumpa pelanggan E mahukan sesuatu yang ringkas, mudah dan pada masa yang sama tetap bergaya.

Walau ramai orang mengatakan payah lilit turban, tapi inilah yang saya hasilkan, turban yang mudah hanya lekat sahaja siap dipakai, sama seperti memakai serkup kepala.

Sekarang saya turut meletakkan nilai tambah pada turban dengan reben, bow dan sebagainya," kata E yang baru pulang dari Istanbul, Turki untuk bercuti dan pada masa sama melakukan sesi fotografi turbannya.

Dia menggayakan dua koleksi daripada keluaran Ilham Echenta iaitu Bow Turban dan Aulia Hijab bagi menggambarkan kepada peminat turban bagaimana gaya ringkas turban boleh disuai padan dengan percutian yang memerlukan seseorang itu bergaya ringkas tetapi tetap stylo.

Untuk gaya harian, turban rekaan Faezah nyata menepati citarasa mereka yang sukakan gaya classy, chic, edgy dan kasual. Di samping itu, ia boleh disambungkan dengan shawl bagi mereka yang ingin bergaya turban tetapi menutup leher.

YODA platform pereka muda

Posted: 20 May 2014 11:30 PM PDT

Oleh NURSYAMIMI SAIDI
Gambar JEFFRI IRAN

Dua dari kiri, Kashfi Zulkufli Baizura Tazri, Andy Yap dan Krishnan Bahadur Darji (paling kanan) bersama model yang mengayakan rekaan masing-masing.

Sememangnya industri fesyen negara sama rancaknya dengan perkembangan fesyen luar khususnya di rantau Asia kalau pun tidak dunia.

Begitupun, sehingga kini senario dunia fesyen tempatan masih didominasi oleh pereka-pereka terkenal yang telah lama membina nama terutama di pentas-pentas peragaan besar, sehingga sukar untuk ditembusi pereka-pereka muda.

Akibatnya pereka-pereka muda ini bukan saja sukar kurang mendapat tempat, malah tiada hala tuju kerana ketiadaan ruang untuk mereka menonjolkan bakat.

Dilihat dari segi jangka panjang, keadaan ini sudah tentunya akan merugikan industri fesyen tanah air itu sendiri.

Justeru, bagi memberi ruang kepada pereka-pereka muda mengetengahkan hasil rekaan mereka dalam industri fesyen tanah air, Young Designer Arena (YODA), sebuah persatuan untuk mempromosikan rekaan pereka muda ditubuhkan pada 2009.

Pengasasnya, Baizura Tazri, 33, berjaya menghimpunkan barisan pereka muda sebagai salah satu inisiatif untuk menonjolkan bakat sekali gus mewarnai lagi dunia fesyen tanah air.

Pada setiap tahun, kami akan mengadakan pertunjukan fesyen untuk mempromosi rekaan pereka-pereka muda yang boleh dibanggakan.

Walaupun masih baru dalam industri fesyen tanah air, YODA diharap mampu menjadi platfom kepada pereka-pereka ini bergerak lebih jauh," katanya.

Menurut Baizura, YODA mempunyai penanda aras untuk melihat pencapaian seseorang pereka dengan membahagikan mereka kepada tiga kategori iaitu, pereka baharu(fresh designer), pereka muda (young designer), dan pereka telah mencipta nama (establish Designer).

Fresh designer ialah kategori bagi pereka yang masih hijau dalam industri dan tidak pernah mempersembahkan rekaan mereka kepada umum, manakala young designer pula ialah pereka yang telah mempunyai butik talian tetapi belum mencapai tahap dikenali ramai.

Establish designer pula adalah pereka yang sudah mempunyai jenama dan butik sendiri, serta mempunyai profile lebih daripada dua tahun pengalaman dalam industri fesyen. Mereka ini yang akan memberi inspirasi kepada pereka-pereka baru di YODA," ujarnya.

Menurutnya, YODA sendiri telah bekerjasama dengan negara-negara Asia seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina, dan Myanmar untuk mempromosi pereka-pereka muda ini.

Melalui kerjasama tersebut, kami buat cross over di mana apabila kita menganjurkan pertunjukan fesyen di sini, kami akan memanggil mereka masuk dan begitu sebaliknya.

Selalunya, kami akan hantar pereka-pereka muda ke sana untuk memberi mengenai perspektif fesyen dan idea yang boleh diperoleh dari negara luar," jelasnya.

Minggu Fesyen Remaja Asia

Dalam pada itu, YODA telah diberi tanggungjawab sempena sambutan Hari Belia Malaysia untuk mengendalikan acara Minggu Fesyen Remaja Asia 2014 (AYFW).

Acara yang akam berlangsung dari 23 hingga 25 Mei ini di Menara Usahawan di Persiaran Perdana, bakal menampilkan lebih 47 orang pereka muda dari Vietnam, Filipina, Thailand, Myanmar dan Indonesia.

YODA sendiri akan menampilkan 35 pereka muda tempatan yang datang dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta seperti Universiti Teknlonogi Mara (UiTM), politeknik, Kolej Komuniti dan sebagainya.

Acara ini bagi memberi peluang kepada pereka-pereka muda mengetengahkan hasil rekaan mereka dalam industri fesyen tanah air.

Ia juga diharap akan menjadi platfom yang berguna bagi pereka-pereka muda itu sebagai pendedahan awal dan lebih dikenali ramai," katanya.

Wanita sumber inspirasi

Bagi pereka muda yang lahir dari YODA, Kashfi Zulkufli, menjadikan kekuatan yang ada pada seseorang wanita sebagai sumber inspirasi untuk setiap rekaan bagi menjadikan lebih bermakna serta memberi impak yang besar ketika dipersembahkan di atas pentas.

Dalam setiap koleksi yang saya banyak melihat kepada aspek perwatakan seorang wanita. Saya menjadikan wanita sebagai sumber inspirasi kerana wanita jiwanya halus.

Saya melihat mereka dari sudut pandang seorang lelaki, bagaimana mahu memperlihatkan keistimewaan seorang wanita dan perkara itulah saya tampilkan dalam setiap rekaan saya sehingga dapat menyampaikan sesuatu yang dramatik," katanya.

Untuk AYFW, Kashfi akan mempersembahkan koleksi Yell'ov dan Isabelle yang memperlihatkan dua gaya berbeza sekaligus menggambarkan dirinya sebagai seorang pereka yang fleksibel boleh mereka apa sahaja gaya.

Koleksi Yell'ov menampilkan watak wanita moden yang bekerjaya yang sentiasa mahukan penampilan kemas dan kasual, manakala Isabelle pula lebih bersifat mewah untuk golongan wanita kelas atasan.

Saya banyak bermain dengan corak dan penggunaan warna hitam serta kuning untuk menampilkan ciri-ciri wanita. Saya turut memperincikan corak terkini bersama blok abstrak sebagai gambaran bahawa wanita ini terlalu teliti dengan setiap apa yang mereka buat berbanding lelaki," katanya.

Manakala untuk koleksi Isabelle pula, dia mempersembahkan pakaian gaun malam yang mewah dengan menggunakan berlian dan kristal swaroski sebagai perincian untuk tampak lebih mewah dan menyegarkan.

Menyentuh tentang penglibatannya dalam YODA, Kashfi menyertai persatuan itu sejak setahun lalu selepas tamat belajar di UiTM dalam jurusan Seni Persembahan.

Kursus Seni Persembahan banyak membabitkan penyertaan artis di pentas, yang mana mereka perlu tampil dengan pakaian dan imej sesuai.

Saya sebagai penggerak perlu mempersiapkan mereka dari segi penampilan supaya nampak sempurna. Jadi dari situ saya nampak kaitannya tentang bidang fesyen.

Saya gabungkan ilmu yang saya ada sebagai pelajar seni persembahan selama enam tahun dan menyelami sendiri bidang fesyen dengan lebih terperinci bagi menampilkan rekaan saya dalam setiap pertunjukan," ujarnya.

Antara artis terkenal yang pernah menggayakan rekaanya seperti Datuk Siti Nurhaliza, Rozita Che Wan, Adira, Stacy, Emma Maembong, Awal Ashaari, Zahnita, Nina Iskandar, Lisa Surihani, dan sebagainya.

Dari kampung ke kota raya

Berbeza pula dengan Andy Yap, 25, yang berasal dari sebuah kampung kecil di Kuala Terengganu, berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menimba ilmu tentang dunia fesyen yang begitu diminatinya sejak kecil.

Dahulu, saya tidak banyak pendedahan dengan sesuatu yang glamor kerana hanya bergantung kepada televisyen dan majalah-majalah sahaja.

Saya pula seorang yang sukakan benda yang cantik dan sebab itu, saya membuat keputusan untuk menyambung pelajaran dalam bidang rekaan fesyen di Universiti Limkokwing.

Dalam tempoh tiga tahun pengajian, saya pernah memenangi anugerah yang boleh dibanggakan termasuk menyertai pertunjukan fesyen Mercedes-Benz STYLO 2009," katanya.

Andy yang memulakan kerjaya sebagai pereka kasut, mendapat banyak pendedahan tentang fesyen apabila sering ke luar negara seperti China, Hong Kong dan Itali.

Hasil daripada pengalaman tersebut, dia merasakan telah bersedia untuk memiliki jenama sendiri.

Kini, dia boleh berbangga dengan jenama Andy Bandy dan rekaannya pernah digayakan selebriti seperti Soo Winci, Hunny Madu, Keda Aziz, dan Yoon(One FM).

Melibatkan diri dalam YODA pada penghujung tahun 2010, Andy akan tampil dengan koleksi musim sejuk yang diinspirasikan daripada golongan bangsawan Perancis, di pentas AYFW nanti.

Saya banyak menggunakan perincian ala Perancis yang digabungkan dengan stail saya iaitu moden dan dramatik bersama-sama dengan motif volume yang amat saya gemari untuk menampilkan ciri-ciri unik dalam rekaan," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Lima prinsip perlu diamalkan

Posted: 20 May 2014 12:27 PM PDT

Oleh Farik Salleh
utusanjohor@utusan.com.my

Mohamed Khaled Nordin bersama 37 warga kerja Kejora cemerlang sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kejora Tahun 2013 di Dewan Bandaran Kejora, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini. - UTUSAN/ Farik Salleh

KOTA TINGGI 20 Mei - Penjawat awam di negeri ini perlu mempunyai lima prinsip utama iaitu berilmu, kebolehpercayaan, mengamalkan budaya kerja terbaik, bersemangat patriotik dan budaya keberhasilan seperti yang diperkatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha transformasi penjawat awam dapat diperkukuhkan bagi tahun-tahun yang mendatang jika kelima-lima prinsip tersebut diamalkan.

Malah, jika penjawat awam dapat memegang prinsip itu, sudah tentulah segala bentuk kelemahan seperti ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa dalam kerajaan dapat diatasi. Tambahan pula setiap penjawat awam memegang tanggungjawab untuk memastikan setiap persepsi negatif rakyat terhadap rakyat dapat ditangkis," katanya.

Beliau berkata ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) Tahun 2013 di Dewan Bandaran Bandar Penawar, Kota Tinggi di sini kelmarin.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Ismail Karim; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Pengurus Besar Kejora, Datuk Azizan Md Rais dan Pegawai Daerah Kota Tinggi, Mohad Noorazam Osman.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut menyampaikan sijil anugerah perkhidmatan cemerlang kepada 37 warga kerja Kejora dan menyatakan harapan agar anugerah dan penghargaan ini menjadi pemangkin dan pendorong dalam usaha untuk meneruskan kecemerlangan dalam bidang tugas masing-masing.

Menurut beliau, sebagai pelaksana dasar serta tiang seri negara, penjawat awam diingatkan untuk menumpukan segala usaha dan tenaga ke arah matlamat negara yang maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Penjawat awam perlu menongkah arus dan menerima realiti bahawa zaman telah berubah dengan begitu cepat kerana hanya tinggal beberapa tahun sahaja lagi untuk sama-sama menggandakan usaha agar hasrat itu tercapai. Kini adalah zaman perkongsian idea dan meraikan pendapat antara kerajaan serta rakyat.

Penjawat awam perlu sentiasa bergerak mengikut peredaran zaman supaya kerajaan yang ada pada hari ini terus kekal relevan selain mampu untuk menjadi komponen penting dalam memastikan wawasan 2020 itu dapat dicapai," katanya lagi.

Tarik pelancong ke Melaka melawat Muar

Posted: 20 May 2014 12:27 PM PDT

TEE Siew Kiong (tiga dari kiri) melawat pusat pengeluaran perencah mi bandung Mak Pon ketika lawatan meninjau potensi pelancongan daerah Muar di Johor, kelmarin. - Utusan/Ishak Rahmad

MUAR 20 Mei - Pengusaha pelancongan perlu memanfaatkan kelebihan kedudukan daerah ini yang bersempadan dengan Melaka untuk menarik pelancong dari negeri itu mengunjungi destinasi pelancongan di Muar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, pengusaha pelancongan di sini boleh bekerjasama dengan pemain industri pelancongan di Melaka sebagai satu strategi menarik kedatangan mereka.

Antara Muar dan Melaka banyak persamaannya. Ciri-ciri utama persamaan tersebut ialah dari segi bangunan bersejarah iaitu peninggalan zaman kolonial.

Muar mempunyai sejarah yang panjang sejak dibuka sekitar tahun 1884 dan secara keseluruhannya, bangunan lama seperti Masjid Sultan Abu Bakar, Bangunan Kastam dan Pejabat Polis Trafik dan Sekolah Tinggi Muar selain Kubu Bentayan masih dikekalkan," katanya dalam sidang akhbar semasa melakukan lawatan kerja di daerah ini di sini semalam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Zaiton Ismail dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Dr. Badrul Hisham Kassim.

Beliau berkata, makanan tradisi Muar antaranya asam pedas, mi bandung dan sate yang dihidangkan pada waktu pagi merupakan keunikan dan kepelbagaian menu di sini.

Tambahnya, daerah ini yang diisytiharkan sebagai Bandar Diraja pada 2012 juga memberi kelebihan untuk menjadi satu destinasi pelancongan terkenal di Johor dan pelancong boleh menggunakan Lebuh Raya Air Keroh-Melaka-Jasin (AMJ) yang hanya mengambil masa selama 30 minit dari Melaka berbanding penggunaan Tol Ayer Keroh.

Pihak terbabit katanya, boleh mewujudkan satu pakej pelancongan istimewa contohnya selama empat hari tiga malam atau tiga hari dua malam yang membolehkan pelancong bermalam di Melaka, Muar dan Ledang yang membolehkan lebih banyak masa diperuntukkan untuk melawat tempat-tempat menarik.

Siew Kiong berkata, pemilihan Melaka disebabkan kejayaan pelancongan negeri itu yang menjadi destinasi pelancongan terkenal dan pada tahun lalu menerima kunjungan 13.5 juta pelancong termasuk luar negara.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Najib ucap takziah kepada keluarga Tunku Annuar

Posted: 21 May 2014 03:27 AM PDT

KUALA LUMPUR 21 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Almarhum Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah atas kemangkatan baginda tengah malam tadi.

``Takziah kepada keluarga Tengku Bendahara Kedah, Tunku Annuar. Semoga roh Almarhum ditempatkan dalam golongan yang beriman. Al-Fatihah,'' kata Najib dalam catatan Twitter beliau hari ini.

Almarhum mangkat di Hospital Pantai Ipoh, Perak pada pukul 12.20 tengah malam.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir mengumumkan tempoh perkabungan negeri itu selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 27 Mei dan sepanjang tempoh itu, semua bentuk hiburan, keramaian serta perayaan dibatalkan.

Sebagai penghormatan ke atas kemangkatan Tunku Bendahara Kedah itu, hari ini diisytiharkan sebagai hari kelepasan am bagi seluruh negeri Kedah.

- BERNAMA

Risikan SPRM dapati penyelewengan diesel di tahap serius

Posted: 21 May 2014 03:18 AM PDT

KANGAR 21 Mei - Risikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi melibatkan sindiket di negara ini dengan negara jiran kini berada di tahap serius.

Pengarah Bahagian Risikan SPRM, Datuk Azam Baki yang tidak menyebut negara jiran itu berkata, operasi sindiket terbabit berjalan dengan terancang dan bukan dilakukan oleh individu.

``Penyelewengan ini sampai tahap serius kerana unsur-unsur rasuah membabitkan penjawat awam dari pelbagai agensi sangat jelas manakala syarikat pembekal tidak terbabit,'' katanya.

Beliau bercakap dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis serah-terima tugas jawatan Pengarah SPRM Perlis oleh Alias Darus kepada Yaakop Angah di sini, hari ini.

Alias ditukarkan ke Kedah sebagai timbalan pengarah mulai 15 Februari lepas manakala Yaakop sebelum ini merupakan ketua cawangan SPRM Seberang Prai, Pulau Pinang.

Menurut Azam, ketirisan bermula di lapangan akibat sistem dan prosedur yang longgar selain harga bahan bakar itu antara yang termurah dalam kalangan negara Asean menyebabkan banyak pihak ingin mencari keuntungan mudah.

Katanya, pemantauan ketat di tempat-tempat yang dikenalpasti telah dilaksanakan sejak isu terbongkar malah SPRM bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kerajaan yang lain untuk membanteras terus penyelewengan itu.

Pengarah-pengarah SPRM negeri akan turut dilibatkan jika timbul isu berkaitan di negeri terbabit, kata Azam.

Sebelum itu, Yaakop berkata, pihaknya menerima 29 maklumat dakwaan rasuah sehingga semalam dan telah membuka tujuh kertas siasatan membabitkan tuntutan palsu dan penyalahgunaan kuasa dan satu kes telahpun didakwa di mahkamah.

Katanya, 37 kertas siasatan dibuka hasil 184 maklumat diterima tahun lepas kebanyakannya membabitkan masalah disiplin penjawat awam.

SPRM Perlis mengesyorkan tindakan tatatertib dan teguran dibuat terhadap mereka. - BERNAMA

Tiada rombakan Exco Terengganu - Ahmad Razif

Posted: 21 May 2014 02:00 AM PDT

KUALA TERENGGANU 21 Mei - Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman hari ini berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kekal dengan sembilan anggota yang ada sekarang.

Beliau berkata ketika ini, tidak ada keperluan untuk membuat rombakan Exco sebab apa yang ada sekarang berjalan dengan baik.

``Setakat ini tidak ada pertambahan Exco. Kita tidak bercadang untuk buat perubahan terhadap Exco yang ada sekarang kerana ia tidak ada keperluan ketika ini.

``Kalau adapun perubahan, mungkin tambahan portfolio yang akan berlaku kepada Anggota Exco yang lain,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco pertama selepas dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu pada 12 Mei lepas.

Ahmad Razif berkata beliau akan mengekalkan portfolio yang disandangnya sebelum ini sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Negeri.

Selain itu, beliau memangku portfolio bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancangan; Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburan; Jawatankuasa Tanah, Petroleum, Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri akan mengkaji kadar cukai pintu berasaskan keperluan dan kebajikan kepada rakyat setelah kadar itu tidak berubah sejak 1981.

``Kita akan lihat semula di mana beberapa pilihan yang akan diambil, tetapi tidaklah sampai kenaikan sehingga 600 peratus.

``Perkara itu hanya diperbesarkan oleh pihak pembangkang sedangkan kerajaan belum membuat keputusan mengenai perkara itu,'' katanya.

Ahmad Razif berkata kerajaan negeri juga akan melihat makluman balas pihak lain sebelum membuat pertimbangan terbaik mengenai perkara itu.

- BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Utamakan rakyat tempatan

Posted: 20 May 2014 12:27 PM PDT

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

JEMPOL 20 Mei - Para majikan terutamanya di sektor peladangan diingatkan agar mengutamakan warga tempatan dan tidak hanya memberikan peluang kepada pekerja asing.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Kampung Baru negeri, L. Manickam berkata, beliau mendapat aduan ada segelintir majikan suka memberikan pekerjaan kepada warga asing kerana kadar gaji mereka lebih rendah berbanding pekerja tempatan.

Tidak salah mereka mahu menawarkan pekerjaan kepada warga asing tetapi warga tempatan mesti didahulukan. Malah saya dapat maklumat warga tempatan berminat untuk bekerja di sektor perladangan tetapi tidak diberikan peluang.

Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan menyiasat mengenai perkara tersebut dan akan memberikan khidmat nasihat kepada majikan yang berkenaan," katanya kepada para pemberita selepas perjumpaan dan sesi dialog agensi kerajaan bersama wakil-wakil Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang dekat sini semalam.

Perjumpaan yang diadakan di bilik seminar Kilang Simen Bahau itu dihadiri oleh para wakil pekerja daripada 14 buah ladang di daerah ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang berkata, dalam perjumpaan itu, pihaknya telah membawa dua orang doktor bagi menjawab masalah berkaitan kesihatan pekerja ladang.

Antara masalah yang dinyatakan oleh pekerja adalah kesukaran mendapat faedah pencen ilat disebabkan tidak mendapat surat pengesahan sakit daripada pegawai perubatan," ujarnya.

Manickam berkata, pihaknya bercadang untuk mengadakan sesi dialog di setiap daerah bagi mendengar masalah pekerja ladang.

Kadangkala mereka keliru dan tidak tahu cara untuk menyelesaikan masalah. Oleh itu, melalui sesi dialog kita bawa para wakil dari agensi kerajaan untuk membantu memberikan penerangan," katanya.

Kontraktor utama jangan amal monopoli

Posted: 20 May 2014 12:27 PM PDT

MELAKA 20 Mei - Amalan memonopoli peluang perniagaan secara tidak langsung boleh menjejaskan masa depan kontraktor kecil dan wujud tidak keseimbangan yang boleh menjejaskan ekonomi negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, sikap memonopoli oleh sesetengah kontraktor beberapa projek tidak sepatutnya berlaku kerana kemakmuran perlu dibahagikan secara adil dan dapat dirasai semua pihak.

Menurutnya, kontraktor utama perlu mempunyai sikap untuk membahagikan kekayaan diraih kepada rakan seangkatan atau memayungi kontraktor kecil lain yang baharu menapak dalam bidang keusahawanan.

Pengetahuan, kepakaran dan pengalaman itu boleh dikongsi dengan menaungi pengusaha baharu serta membahagikan kepada kontraktor lain terutamanya bumiputera dengan sewajarnya agar masing-masing dapat menikmati kemakmuran ekonomi negeri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan penutup Konvensyen Memperkasakan Ekonomi Melayu 2014 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman dan Pengarah Majlis Tindakan Ekonomi dan Sosial Bumiputera negeri, Datuk Hasnoor Sidang Husin.

Jelas Idris, kemajuan dan pembangunan sesebuah negeri bergantung kepada kaedah ekonomi utama yang saling berkait dengan ekonomi rakyat dan seterusnya dapat mewujudkan kitaran kehendak dan keperluan yang baik.

Kedua-dua bentuk ekonomi ini penting dalam sesebuah pembangunan bagi memberi sumbangan kepada rakyat yang memerlukan pekerjaan dan modal yang memerlukan rakyat sebagai sumber manusia," ujarnya.

Beliau berkata, di negeri ini terdapat ekonomi utama seperti Kumpulan Melaka Berhad (KMB), Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (Pertam), Yayasan Melaka dan sebagainya yang boleh memayungi kontraktor kecil untuk turut berjaya.

Kontraktor yang telah berjaya ini mesti membantu kontraktor kecil sekurang-kurangnya memberi kekuatan untuk jadi kontraktor berjaya sekali gus mampu mengangkat taraf ekonomi negeri," jelasnya.

Kawasan segi tiga pembangunan baharu

Posted: 20 May 2014 12:27 PM PDT

TELOK KEMANG 20 Mei - Kerajaan akan mendirikan kawasan segi tiga pembangunan yang baharu melibatkan lokasi di antara Putrajaya, Seremban dan Port Dickson bagi menampung limpahan kepesatan pembangunan yang berlaku di Lembah Klang.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, projek melibatkan kawasan yang luas itu bakal membawa faedah besar kepada negara dengan sasaran tambahan antara dua hingga tiga peratus kepada Keluaran Negara Kasar (KNK) negara apabila dimulakan tidak lama lagi.

Menurutnya, cadangan itu adalah hasil rundingan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan selepas melihat tekanan pembangunan dan kesesakan yang sedang berlaku di Lembah Klang.

Ini menyebabkan kos menjadi terlalu mahal untuk entiti korporat dan masyarakat tinggal di situ.

Jadi, kita mengambil inisiatif untuk membuka kawasan baharu yang pada masa ini akan dikenali sebagai segi tiga emas Putrajaya-Seremban-Port Dickson yang bakal membawa banyak faedah serta kemudahan kepada negara dan Negeri Sembilan," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pecah tanah Splash Park di sini semalam.

Splash Park adalah projek pembangunan resort dengan taman tema air dan pangsapuri servis di atas sebidang tanah seluas 9.2 hektar di Mukim Pasir Panjang, Port Dickson dengan nilai pembangunan kasar dianggarkan berjumlah RM600 juta.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


22 maut di tapak binaan tahun lalu

Posted: 20 May 2014 12:27 PM PDT

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
utusanpenang@utusan.com.my

PERMATANG PAUH 20 Mei - Seramai 22 orang dilaporkan maut di tapak pembinaan di seluruh negeri ini sepanjang tahun lalu.

Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) negeri, Mohd. Anuar Embi mahu aspek keselamatan di tempat kerja khususnya membabitkan sektor pembinaan di negeri ini dipertingkatkan bagi mengelak kejadian tidak diingini termasuk kematian berlaku.

Beliau berkata, pihaknya memberi ingatan kepada para majikan supaya memandang serius perkara berkenaan dan memastikan garis panduan keselamatan dipatuhi.

"Daripada jumlah yang maut itu, 11 daripadanya bekerja dalam sektor pembinaan dan sebanyak tiga lagi kematian di tempat pembinaan.

"Oleh itu, JKKP akan memberi perhatian serius kerana pada masa ini terdapat 431 tapak pembinaan yang aktif dan daripada jumlah itu, sebanyak 122 di kesan sebagai yang berisiko tinggi," katanya dalam taklimat kepada media sempena Pelancaran Operasi Tapak Bina di sini hari ini.

Menurut Mohd. Anuar, bagi memberi kesedaran kepada majikan dan pekerja, pihaknya akan menjalankan operasi di tapak pembinaan di seluruh negeri.

"Pada tahun ini kita akan mengadakan sebanyak lima operasi termasuk dua yang telah diadakan pada Mac lalu dan satu pada hari ini.

"Dalam operasi pertama, kita telah mengeluarkan 184 notis selain kompaun kepada 51 majikan dan dua pendakwaan atas pelbagai kesalahan selepas memeriksa 82 tapak pembinaan," katanya.

Mohd. Anuar berkata, antara kesalahan yang dilakukan termasuklah tidak menghadang tepian lantai terbuka, tidak menutup lubang dan tidak memakai peralatan pelindung diri.

2,000 bantah bina pemancar

Posted: 20 May 2014 12:27 PM PDT

SEBAHAGIAN penduduk mengadakan perhimpunan secara aman membantah pembinaan menara pemancar telekomunikasi di Taman Kempas, Kampung Air Merah, Kulim, Kedah baru-baru ini.

KULIM 20 Mei - Lebih 2,000 penduduk di lapan taman perumahan di sini membantah pembinaan menara pemancar telekomunikasi dekat Kampung Air Merah yang didakwa mengancam kesihatan mereka.

Bantahan itu disuarakan penduduk Taman Cengai, Taman Kempas, Tamas Kempas Merah, Taman Jelutung, Taman Bersatu, Taman Anggerik, Taman Seroja dan Taman Desa Impian dalam satu perhimpunan aman di sini baru-baru ini.

Dakwa mereka, pembinaan menara berkenaan terlalu hampir dengan kawasan perumahan dibimbangi mengancam keselamatan dan kesihatan penduduk.

Seorang penduduk, R. Suppaya, 52, berkata, terdapat dua menara pemancar yang dibina dengan jarak kurang daripada 500 meter setiap satu di kawasan Taman Kempas Merah di sini.

Katanya, menara terbabit dibina kira-kira dua tahun lalu manakala satu lagi menara dibina bersebelahan tangki air berdekatan lokasi sama dua bulan lalu.

Kami penduduk di sini berasa amat hairan kenapa terlalu banyak menara pemancar diluluskan di kawasan ini. Kami bimbang kesan pemancar akan menjejaskan kesihatan penduduk," katanya.

Seorang pesara guru, Ng Mei, 60, pula berkata, penduduk turut bimbang kerana menara pemancar terbabit terletak berdekatan empat buah sekolah yang menempatkan lebih 2,000 pelajar.

Penduduk berharap pihak terlibat memindahkan segera menara tersebut bagi memberi keselesaan kepada kami.

Sewajarnya pihak pemaju serta pihak berkuasa perlu mendapatkan pandangan daripada penduduk terlebih dahulu sebelum membina menara tersebut bagi mengelakkan bantahan seperti ini," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Chua Tiong Ghee berkata, pihaknya menerima aduan secara rasmi daripada penduduk dan akan memanjangkan isu berkenaan kepada pihak berkuasa.

Katanya, beliau bersama pemimpin tempatan akan berusaha mengadakan rundingan bagi mengatasi masalah itu.

Lima dinobat Tokoh Guru Pulau Pinang

Posted: 20 May 2014 12:27 PM PDT

Abdul Rahman Abbas (tengah) bergambar dengan para penerima anugerah Tokoh Guru Negeri 2014 pada majlis sambutan Hari Guru 2014 di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/Sazali Che Din.

PERMATANG PAUH 20 Mei - Bekas Pengarah Pendidikan negeri, Ahmad Husain, 62, antara lima yang dinobatkan sebagai Tokoh Guru Peringkat negeri sempena Sambutan Hari Guru peringkat negeri di sini hari ini.

Empat penerima lain ialah bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ara, Rokiah Hamzah, 62; bekas guru N.G. Ganapathy, 75; Pengarah Staf Latihan dan Pembangunan Sekolah Tenby Penang, Dr. Goh Kok Keng, 62; dan bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kepala Batas, Abd. Latif Saidin, 63.

Kesemua mereka menerima medal, sijil dan Sijil Simpanan Premium (SSP) RM1,000 yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di Politeknik Seberang Perai di sini hari ini.

Yang turut hadir Toh Puan Majimor Shariff dan Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Ahmad Tamizi Kamaruddin.

Sementara itu, Guru Besar SK Permatang Tok Mahat, Md. Rijani Md. Ibrahim, 40, dan Pengetua Sekolah Menengah Bakti, Calsom Ibrahim, 42, pula dinobat Tokoh Kepemimpinan Sekolah Menengah peringkat negeri.

Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas dinobatkan kepada Noorsiah Ishak, 38, dan Aminah Bee Chinnathambi, 51, (Guru Cemerlang Kurang Upaya).

Empat guru dianugerahkan Guru Inovatif iaitu Masyany Musa, 42, Nor Hayati Abi Khallad, 39, G. Thiiruchelvi, 30, dan S. Bahvani, 30.

Guru Ikon pula dianugerahkan kepada Shamsir Jemain (Penolong Pengarah Unit Kokurikulum JPN).

Sementara itu, Ahmad berkata, pengiktirafan yang diterima itu sebagai satu penghargaan yang amat bermakna dalam sejarahnya bergelar sebagai pendidik dan pengarah.

Saya bersyukur dengan penghargaan yang diberikan oleh Jabatan Pendidikan dan kerajaan kepada saya yang telah mencurah bakti sebagai pendidik selama 32 tahun," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Sehubungan itu, Ahmad berpesan guru yang berjaya adalah mereka yang berjaya mendidik dan menanamkan minat anak-anak untuk belajar dengan gigih.

Kalau kita tidak pandai mendidik sukar untuk anak-anak murid mendapat ilmu," katanya yang bersara sebagai Pengarah Pendidikan Pulau Pinang pada 2008.

Bagi Rokiah pula, kecintaannya sebagai seorang pendidik tidak pernah luntur dalam kehidupannya.

Saya masih memberikan sumbangan kepada Taman Asuhan Kanak-Kanak Perkim di Sungai Ara hingga sekarang.

Hubungan saya dengan rakan-rakan masih erat walaupun sudah bersara," ujarnya.

Sementara itu, Abdul Rahman dalam ucapannya menasihatkan guru supaya memelihara profesion perguruan, mencerminkan seorang yang intelektual dan mempunyai budi pekerti yang mulia.

Katanya, ini penting kerana guru menjadi pencetus budaya dan ilmu yang menjadi jati diri dalam memartabatkan profesion perguruan agar ia dihormati oleh masyarakat.

Cabaran globalisi sekarang, guru perlu berfikir dan bertindak ke arah mencapai matlamat dalam membina bangsa yang maju, aman dan makmur serta mampu bersaing di pentas dunia.

Sejajar dengan itu guru menjadi tulang belakang untuk mendidik anak bangsa," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Serbuan dedah kepincangan

Posted: 20 May 2014 12:27 PM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Lawatan perkukuh hubungan

Posted: 20 May 2014 12:27 PM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Bendung liberalisme, pluralisme

Posted: 20 May 2014 12:27 PM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved