Isnin, 25 November 2013

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


157 pusat pemindahan beroperasi

Posted: 24 Nov 2013 10:09 AM PST

Oleh MOHAMED SAARI
utusanjohor@utusan.com.my

A. RAHIM Nin (dua dari kiri) memecahkan ais sebagai gimik perasmian program Taklimat Persediaan Menghadapi Banjir Bersama Sukarelawan Kebajikan Daerah Segamat sambil diperhatikan Lau Chin Hoon (kiri), Norshida Ibrahim dan Ansharey Matarsad (kanan) di Segamat, baru-baru ini.

SEGAMAT 24 Nov. - Sebanyak 157 pusat pemindahan banjir yang mampu menempatkan seramai 17,365 mangsa bersedia untuk beroperasi pada bila-bila masa sekiranya bencana itu melanda daerah ini.

Pegawai Daerah Segamat, A. Rahim Nin berkata, sebanyak 25 daripada pusat tersebut dikategorikan sebagai pangkalan hadapan kerana dijangka merupakan kawasan terawal dinaiki air serta mengalami putus hubungan ketika berlaku banjir.

"Sebagai persiapan awal menghadapi banjir, sejumlah RM40,134 telah diperuntukkan bagi membekalkan barangan keperluan makanan di semua 25 pangkalan hadapan dan kesemua barangan tersebut perlu sampai lebih awal sebelum laluan terputus sekiranya banjir berlaku.

"Barangan tersebut melibatkan 2,830 kilogram (kg) beras, 1,275 kg biskut kering, 170 botol minyak masak seberat 5 kg, 850 kg gula dan 3,400 tin sardin," katanya selepas menghadiri Taklimat Persediaan Menghadapi Banjir Bersama Sukarelawan Kebajikan Daerah Segamat di Dewan Harmoni, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Segamat, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Norshida Ibrahim; ADUN Pemanis, Lau Chin Hoon; Pegawai Kebajikan Masyarakat Segamat, Ansharey Matarsad dan Pegawai AADK Segamat, Naharuddin Nawawi.

A. Rahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Segamat berkata, setakat ini sebanyak 17 kedai yang telah disenaraikan sebagai pemborong yang akan membekalkan barangan makanan kepada mangsa banjir sekiranya berlaku bencana banjir di daerah Segamat.

"Kesemua empat pusat pemindahan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemelah, Pemanis, Tenang dan Buloh Kasap akan dipengerusikan oleh ADUN masing-masing, manakala bagi DUN Bekok dan Jementah yang akan dipegerusikan oleh Pegawai Tadbir Negeri," katanya.

Bagi melancarkan urusan, pihaknya telah mengemas kini semua keahlian jawatankuasa yang terlibat termasuk pengerusi zon banjir mengikut setiap Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) yang ada.

Dalam pada itu, pusat kawalan operasi banjir tahun ini ditempatkan di Majlis Daerah Segamat (MDS) kerana lokasinya yang strategik dan tidak terlibat dengan banjir serta lebih mudah untuk menyalurkan bantuan.

Beliau turut menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan supaya proses pemindahan dapat dilakukan dengan lancar dalam tempoh yang singkat sekiranya air naik dengan cepat.

Penduduk minta Perhilitan halau gajah liar

Posted: 24 Nov 2013 10:09 AM PST

Zamhizul Ariffin Mahyudin (kiri) bersama Jaappar Mat Rani menunjukkan pokok pisang milik orang kampung yang dimusnahkan oleh gajah liar di Kampung Mawai Baru, Kota Tinggi, kelmarin.

KOTA TINGGI 24 Nov. - Penduduk Kampung Mawai Baru dekat sini merayu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menghalau kumpulan gajah liar yang sering merosakkan tanaman mereka.

Mereka mendakwa, ancaman haiwan liar tersebut kini dianggap sudah sampai ke tahap serius apabila bukan sahaja kerap merosakkan tanaman, malah mula berani masuk ke kawasan kampung.

Seorang penduduk, Zamhizul Ariffin Mahyudin, 30, berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan yang berkesan dalam menangani masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama itu.

"Sampai bila kami perlu hadapi masalah yang berulang ini sehingga penduduk terpaksa menanggung kerugian beribu ringgit.

"Malah kehadiran kumpulan gajah liar di kawasan penempatan juga secara tidak langsung mengancam nyawa penduduk. Saya tidak mahu apabila masalah ini melibatkan nyawa penduduk atau penduduk mengambil inisiatif sendiri seperti yang berlaku di Sabah, barulah pihak berkenaan atau kerajaan mahu bertindak," katanya di sini semalam.

Malam kelmarin seorang warga emas, Jamal Awang, 57, terperanjat apabila seekor gajah liar memasuki halaman rumahnya dan memusnahkan pokok-pokok di sekeliling rumahnya.

"Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi semasa kami enam beranak sedang tidur. Apabila terdengar bunyi bising, saya buka suis lampu luar dan terperanjat apabila melihat seekor gajah sedang makan daun pokok yang tumbang kira-kira 15 meter dari rumah," katanya.

Kejadian serupa turut berlaku terhadap Jaappar Mat Rani, 76, yang tinggal kira-kira 50 meter dari jalan besar Kota Tinggi-Tanjung Sedili.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam Rabu lalu, dia dan isterinya sedang duduk berehat menonton televisyen apabila terdengar bunyi gajah di belakang rumahnya.

"Habis semua pokok pisang yang ditanam tidak sampai 10 meter dari belakang rumah musnah dimakan gajah itu," katanya.

Menurutnya, dia juga pernah kerugian ribuan ringgit apabila kebun kelapa sawitnya seluas dua hektar dimusnahkan haiwan itu.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Dua pendaki sesat ditemui selamat

Posted: 24 Nov 2013 04:00 AM PST

Oleh ASLIZA MUSA

TANJUNG MALIM 24 Nov. - Dua lelaki yang sesat ketika menyertai ekspedisi mendaki Hutan Gunung Liang, Behrang Ulu dekat sini hari ini selamat setelah ditemui pasukan mencari dan menyelamat.

Low Eng Chai, 30, dan Loo Yuen Kian, 30, masing-masing dari Kepong dan Taman Intan Baiduri, Kuala Lumpur ditemui kira-kira pukul 1.55 petang setelah memasuki hutan tersebut pada pukul 1 petang.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Othman Nanyan berkata, kedua-dua mereka memulakan pendakian melalui kawasan Loji Air Sungai Dara, Behrang Ulu dan meninggalkan kenderaan mereka di kawasan air terjun berhampiran.

Katanya, mereka hanya menyedari tersesat setelah setengah jam pendakian selepas tidak menjumpai jalan menuju ke puncak gunung.

"Mereka mengambil keputusan untuk berpatah balik namun gagal menjumpai jalan keluar sebelum bertindak menghubungi talian 999 bagi memohon bantuan," katanya.

Menurutnya, usaha mencari mangsa yang dijalankan bersama pihak polis, Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) itu turut dibantu oleh dua Orang Asli kawasan berhampiran.

Katanya, mangsa berjaya dijejaki selepas pasukan mencari dan menyelamat ternampak kepulan asap daripada unggun api yang dinyalakan mangsa.

"Berpandukan asap itu, pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemui mangsa kira-kira jam 1.55 petang dalam keadaan selamat," katanya. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Ahad, 24 November 2013

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Hakim Syarie nasihat bapa, anak berbaik semula

Posted: 24 Nov 2013 10:09 AM PST

Mustafa Ismail berbincang sesuatu dengan peguamnya, Fazru Anuar Yusof (kiri) di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR

KUALA TERENGGANU 24 Nov. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini sekali lagi menasihatkan pengurus syarikat cari gali minyak dan bapanya yang memfailkan tuntutan nafkah ke atasnya itu supaya kembali berbincang menyelesaikan sengketa dua sekeluarga itu secara baik.

Hakim Syarie, Rosdi Harun membuat penegasan itu selepas usaha untuk meleraikan sengketa di antara defendan, Nasrun Mustafa, 40, dan bapanya, Mustafa Ismail, 67, dilihat semakin menemui jalan buntu dan kes itu telah berlarutan sejak lebih tiga tahun lalu.

Menurut Rosdi, kes tersebut tidak sepatutnya dibicarakan di mahkamah untuk tempoh yang panjang sekiranya kedua-dua pihak memilih untuk saling bertolak ansur.

"Sebenarnya, saya pun tak suka benda macam ini kerana ia melibatkan isu anak beranak. Sepatutnya, perkara ini boleh dibawa berbincang. Soal ikhlas atau tidak, itu biarlah Tuhan saja yang tahu. Tentang bayaran yang sepatutnya dibuat itu saya akan putuskan nanti," katanya.

Nasrun dan Mustafa hadir bersama peguam masing-masing ketika prosiding bagi mendengar notis tunjuk sebab untuk defendan membela diri itu dijalankan.

Ia dibuat selepas plaintif memfailkan permohonan supaya anaknya itu dipenjarakan kerana gagal melaksanakan perintah mahkamah berhubung pembayaran nafkah bernilai RM18,866.50.

Dalam pada itu, berlaku sedikit ketegangan ketika prosiding berlangsung apabila Nasrun melaluinya peguamnya mendakwa dihalau oleh bapanya dari rumah.

Mustafa bangkit menangkis dakwaan tersebut sambil menegaskan; "Saya tak pernah pun usir dia."

Keadaan bagaimanapun kembali terkawal apabila Rosdi berjaya menenangkan keadaan dan kemudian menetapkan 23 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk berunding.

Berdasarkan keterangan pada 13 Julai 2010, plaintif telah mengemukakan tuntutan kepada Nasrun yang dikatakan berpendapatan tidak kurang daripada RM17,000 sebulan itu agar membayar tunggakan nafkah penjagaan dua cucunya itu yang tertunggak selama tujuh tahun iaitu sebanyak RM20,000 di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Plaintif dari Kampung Beladau Kolam, Manir turut menuntut perintah agar Nasrun memberi nafkah RM800 sebulan menerusi potongan gaji untuk keperluan dua cucunya, Nur Thahirah Nazihah, 16, dan Muhammad Amirul Nasrullah, 18.

Selepas tiga tahun, permohonan pesara syarikat cari gali minyak itu akhirnya berjaya dan Mahkamah Tinggi Syariah pada 28 Ogos tahun lalu memerintahkan Nasrun selaku responden memohon maaf secara terbuka kepada ibu bapa dan dua anaknya yang ketika itu berusia 15 dan 17 tahun.

Setelah usaha untuk menjejaki defendan gagal, mahkamah yang sama pada 28 Julai lalu kemudian mengeluarkan waran tangkap ke atas Nasrun kerana mengabaikan perintah menjelaskan tuntutan nafkah dan gagal membuat permohonan maaf terhadap bapanya.

Nasrun bagaimanapun muncul buat kali pertama di mahkamah pada 6 Oktober lalu selepas waran tangkap itu dikeluarkan ke atasnya dan ketika itu Rosdi memerintahkan Nasrun membayar RM10,000 kepada Mustafa dan ibunya, Che Mariam Abdullah, 59, pada hari yang sama.

Rosdi turut memerintahkan responden membayar baki RM11,000 secara ansuran kepada kedua-dua ibu bapanya dan membenarkan Nasrun diikat jamin RM1,000 dengan dua penjamin sementara menunggu tarikh mendengar notis tunjuk sebab untuk responden membela diri hari ini.

Namun ketika itu, Mustafa menyatakan rasa kecewa kerana anaknya itu hanya bersalaman setelah diperintahkan dan bertanyakan di dalam mahkamah sama ada dilakukan kerana insaf atau sekadar lakonan.

Suami ugut bunuh isteri guna

Posted: 24 Nov 2013 10:09 AM PST

Muhammad Abdul Rahim Jaafar dikawal polis di Mahkamah Majistret Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 24 Nov. - Seorang buruh binaan dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengugut isterinya menggunakan sebilah gunting dan pisau, September lalu.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Muhammad Abdul Rahim Jaafar, 22, dari Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) yang mengaku membuat ugutan jenayah terhadap isterinya, Siti Zuhrah Arifah Mohamad, 21, dengan mengatakan hendak membunuh mangsa di rumah keluarga wanita itu di Kampung Tapang, Jalan Hospital di sini pada pukul 7.30 pagi, 8 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, semasa mangsa berada di rumah keluarganya, Muhammad Abdul Rahim masuk ke dalam rumah bertanyakan wanita itu sama ada hendak berbaik semula dan mengikutnya pulang, namun mangsa memberitahu tidak mahu bersamanya lagi.

Tertuduh kemudian mengugut isterinya untuk mengambil pisau dan membunuhnya lalu terus ke dapur mengambil sebilah pisau dan mengacukan kepada mangsa dan bertanya kembali soalan yang sama.

Dia kemudiannya mengugut untuk mengambil gunting lalu dicucuk ke perut mangsa manakala pisau diacu di belakangnya sambil memaksa wanita itu berjanji untuk kembali kepadanya.

Mangsa yang berasa amat takut terpaksa menuruti kehendaknya. Tertuduh kemudian menjauhkan diri daripada mangsa dan mengugut jika mungkir janji dia akan kembali ke rumah keluarga wanita itu dan membunuhnya.

Mangsa kemudian membuat laporan polis dan tertuduh ditangkap pada 25 September lalu.

Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Asian Television Awards: ntv7 paling banyak pencalonan

Posted: 24 Nov 2013 03:01 AM PST

Oleh ABD. AZIZ ITAR

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Saluran televisyen ntv7 mengungguli Asian Television Awards kali ke-18 apabila menerima pencalonan terbanyak iaitu dalam lapan kategori pada anugerah yang akan diumumkan di Resorts World Sentosa, Singapura pada 5 Disember ini.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam ntv7, Kamarul Ariffin Ismail, stesen di bawah Media Prima Berhad itu berjaya mengatasi jumlah pencalonan stesen-stesen lain yang disertai 12 buah negara seperti Hong Kong, Korea, Indonesia, India, China, Singapura dan Malaysia.

"ntv7 antaranya dicalonkan merebut tiga daripada enam pencalonan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik dalam Peranan Utama. Antara yang tercalon ialah Lawrence Wong melalui rancangan In Laws yang tercalon buat pertama kalinya, Coby Chong (Summer Brothers) dan Adrian Tan (Lucky Bowl Part 2) yang bersaing bersama pesaingnya yang masing-masing dari Taiwan.

"Bagaimanapun, Coby Chong yang pernah memenangi Pelakon Lelaki Terbaik di dalam Golden Awards ke-2 menerusi drama Forget Me Not tetap tidak gentar kali ini.

"Tahun lalu menyaksikan ntv7 menerima jolokan Highly Commended Terrestrial Channel Of The Year pada Asian Television Awards yang ke-17. Stesen ini juga telah memenangi anugerah Rancangan Realiti Terbaik menerusi What Men Want pada anugerah yang sama," katanya.

Katanya lagi, Majlis Gala anugerah itu bakal dihadiri oleh personaliti-personaliti televisyen popular di rantau Asia. - UTUSAN ONLINE

Mahu mengarah filem

Posted: 24 Nov 2013 04:57 AM PST

Oleh RASDAN AHMAD
rasdan_utusan@yahoo.com

ENAM tahun berada dalam industri mungkin terlalu hijau bagi sesetengah orang malah masih ramai yang terkial-kial mencari hala tuju dalam industri seni pada tempoh tersebut. Namun tidak bagi Intan Ladyana apabila sudah menyematkan impian mahu bergelar pengarah filem. Dan dia optimis dengan cita-cita besarnya itu.

Mungkin sahaja tidak ada anugerah yang boleh dibanggakan oleh Intan Ladyana sebagai anak seni biarpun dalam kebanyakan filem, dia diberi peluang menggalas watak utama.

Malah dia sendiri mengakui awal pembabitannya dalam dunia lakonan, dia kaku beraksi di depan kamera.

Dari kosong tanpa pengetahuan dan pengalaman, dia merangkak dan bertatih sebelum mampu berjalan dalam dunia lakonan sehingga namanya kini sebaris dengan para pelakon hebat tempatan yang lain.

Nak berjaya bukan sesuatu yang mudah, kita perlu belajar daripada orang yang lebih mahir. Sekarang pun saya masih dalam proses belajar.

Saya percaya sekiranya kita belajar dengan baik, lama-kelamaan hasilnya akan kita rasai. Contoh terdekat diri saya sendiri.

Dulu saya akui memang agak kaku berlakon namun sekarang saya boleh berpuas hati dengan hasil lakonan dan ini semua adalah kerana ilmu yang saya pelajari selama ini," tegasnya.

Intan Ladyana yang popular dengan filem antaranya Adnan Sempit dan Bini-Biniku Gangster ini mengakui, sepanjang bergelar anak wayang dia tidak hanya belajar tentang selok belok malah turut mempelajari teknik-teknik lain dalam proses penggambaran filem.

Justeru dia yakin dia mampu menggalas tanggungjawab pengarah biarpun menyedari impian itu bukan mudah dicapai.

Seperti dunia lakonan, katanya, proses mencari dan menimba ilmu secara langsung dan tidak langsung akan membolehkannya merealisasikan cita-citanya itu.

Tidak mustahil namun memerlukan usaha keras," ujarnya.

Malah Intan Ladyana yang terkenal dengan kelembutannya ini mengakui dia menyimpan hasrat untuk mengarah filem-filem berbentuk adiwira seperti Batman, Spiderman dan Superman.

Filem-filem begini masih asing dalam industri perfileman kita. Saya mahu pecahkan tradisi filem kita yang terlalu bergantung kepada beberapa tema sahaja seperti filem hantu ataupun komedi," jelasnya.

Malah bagi Intan Ladyana, filem berunsur epik dan sejarah juga menjadi keutamaan sekiranya dia mendapat peluang berada di bangku pengarah suatu hari nanti kerana filem-filem seumpama ini membolehkan masyarakat luar lebih mengenali budaya serta sejarah lampau tanah air.

Jika kita yang tidak mengenengahkan hal ini, siapa lagi yang akan lakukannya? Sekiranya diberi peluang, saya akan lakukannya dengan sebaik mungkin," ujarnya bersemangat.

Jaga diri

Walaupun sudah mempunyai nama yang kukuh dalam industri namun Intan Ladyana antara artis yang cukup bijak menjaga hal-hal peribadinya.

Ini kerana gadis cantik yang mencecah usia 31 tahun pada Jun lalu boleh dikatakan antara pelakon yang amat jarang dihimpit kontroversi.

Berkongsi rahsia tersebut, Intan Ladyana mengakui dirinya amat kurang bersosial malah lebih senang bersendirian dan hanya fokus kepada kerjaya membuatkan dirinya kurang dilanda cerita panas.

Malah tegas aktres ini, dia merasakan terlalu banyak bersosial hanya akan merugikan dirinya selain dia sendiri kurang gemar keluar rumah tanpa arah tujuan.

Memang saya akui saya cukup jarang kelihatan di majlis-majlis besar kecuali jika perlu. Bukan sombong tetapi itu adalah sikap saya," ujarnya

Dia juga tidak menampilkan diri di tempat-tempat hiburan yang biasa dihadiri rakan-rakan artis lain, sebaliknya lebih selesa berada di rumah pada masa terluang. Hanya sesekali sahaja dia mengunjungi pawagam untuk menyaksikan filem baru.

Mungkin itu antara sebab saya jarang dilanda kontroversi," ujarnya sambil mengakui tumpuannya hanya kepada perkembangan kerjaya sebagai pelakon.

Tambahnya dia juga tiada kawan-kawan yang terlalu rapat dalam kalangan artis yang cukup rapat dengannya, cuma sekadar berkawan biasa sahaja.

Pun begitu, Intan Ladyana yang kini muncul dengan filem terbaharu, Aku Pilih Kamu bergandingan dengan aktor Fezrul Khan mengakui bersosial juga perlu untuk meluaskan kenalan dan mendapatkan pengalaman baru.

Namun tegasnya perkara itu tidak boleh dilakukan secara berlebihan kerana kemungkinan akan memakan diri serta merosakkan nama seseorang artis itu sendiri

.

Bukan masa terdekat

Umum sudah mengetahui kisah cinta Intan Ladyana dengan aktor Kamal Adli namun berita mengenai mereka berdua nampaknya agak kurang diperkatakan ketika ini.

Bukan kerana sudah menemui jalan buntu tetapi pasangan ini cukup pandai menyimpan kisah mereka agar perjalanan cinta mereka tidak dijaja dan dihebohkan.

Mungkin ramai peminat yang tertanya-tanya apakah kesudahan kisah cinta yang telah mereka harungi hampir lima tahun itu.

Ketika ditanya mengenai hal tersebut, Intan Ladyana cukup bijak menyusun kata-katanya malah dia menyerahkan urusan jodoh kepada pasangannya untuk memberi kata putus mengenai fasa seterusnya dalam kehidupan mereka berdua.

Jelasnya, keinginan untuk berumah tangga buat masa ini mungkin masih tiada jawapannya kerana perkara itu masih dalam perbincangan mereka dan keputusan untuk mengakhiri zaman solo masih lagi menjadi tanda tanya.

Nak bercerita sangat mengenai hubungan kami ini saya rasa kurang elok sangat, tambahan saya pula di pihak perempuan.

Segala keputusan mengenai hal ini berada dalam tangan Kamal. Lebih elok sekiranya tanya Kamal sendiri untuk mengetahui bila kami akan menamatkan zaman bujang masing-masing kerana dia lebih berhak untuk bercakap hal ini.

Bohonglah kalau saya kata kami berdua tidak mahu menginjak kepada fasa berumahtangga namun bukan dalam tempoh terdekat ini. Mungkin tahun depan... atau mungkin tahun berikutnya," kata Intan.

Buat masa ini mereka masing-masing sibuk dengan kerjaya untuk mengumpul duit terlebih dahulu sebelum memikirkan soal kahwin.

Apa yang saya harapkan semua peminat doakan yang terbaik buat kami berdua," jelas Intan Ladyana.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


AP kereta jadi sasaran

Posted: 24 Nov 2013 10:09 AM PST

Oleh JOHARDY IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

Zainuddin Abdul Rahman

Hari ini, dasar Permit Import (AP) terbuka kepada bumiputera menjadi isu yang didebatkan dengan paling terbaharu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia Sdn. Bhd., Roland S. Folger yang mendakwa dasar AP mengakibatkan harga kereta import menjadi lebih mahal di negara ini.

Apa yang berlaku ini adalah 'perang' antara pemegang AP terbuka dengan AP francais iaitu syarikat-syarikat besar sama ada berstatus tersenarai persendirian atau tersenarai milik kerajaan (GLC). Perang ini begitu serius kerana kerajaan dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan asing dalam kalangan pembuat kereta, kelihatan menuruti tuntutan MAA dan memutuskan dasar AP terbuka dihapuskan pada 2015.

Di pihak pemegang AP terbuka, tindakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membelakangkan matlamat asal DEB, sekali gus menamatkan pembabitan bumiputera dalam industri automotif.

Kritikan umum yang berleluasa ialah dasar AP terbuka itu hanya menguntungkan segelintir bumiputera, apatah lagi telah terbukti beberapa kes pendakwaan terhadap segelintir pemegang AP terbuka yang mengamalkan 'ali baba' dengan menjual AP tersebut kepada syarikat bukan bumiputera.

Realitinya, kerajaan belum mengemas kini Dasar Automotif Negara (DAN) bagi menjelaskan apakah prosedur dan kaedah hendak digunakan untuk mengimport kereta terpakai selepas 2015, di sebalik tekanan banyak pihak agar harga kereta di Malaysia diturunkan.

Untuk memahami apa yang dimaksudkan oleh Folger ialah syarikat-syarikat francais Mercedes-Benz terjejas jualannya disebabkan oleh pengimportan kereta terpakai jenama tersebut oleh pemegang AP terbuka.

Mengikut peraturan MITI, pengimportan sesebuah kereta terpakai dibenarkan bagi kereta yang berusia minimum dua tahun.

Contohnya model C-Class 250 CGI Avantgarde serba baharu dijual pada harga atas jalan RM295,888 (tanpa insurans) seunit. Nama kod bagi model generasi ketiga C-Class ini ialah W204 yang dihasilkan pada 2011. Bermakna mulai sekarang, pengimportan kereta terpakai model ini sudah bermula sekarang.

Secara umumnya, pemegang AP terbuka akan menjual kereta terpakai pada harga yang lebih rendah daripada harga serba baharu, mungkin sekitar RM190,000 hingga 200,000 seunit. Murah hampir RM100,000 berbanding serba baharu. Tidak semua 'orang kaya' bersedia membeli kereta serba baharu, terutama dengan hakikat faktor susut nilai tahunan yang tinggi. Golongan ini memilih untuk membeli kereta 'recond'.

Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) menyifatkan dakwaan Folger itu sebagai 'sama sekali tidak tepat'.

"Faktor harga kereta import lebih mahal bukan disebabkan oleh dasar AP tetapi struktur duti import sebanyak 200 peratus yang dikenakan oleh kerajaan. Harga mahal kereta import tiada kena mengena dengan dasar AP," kata Presiden PEKEMA, Datuk Zainuddin Abdul Rahman kepada Utusan Malaysia.

Malah, beliau berkata, penghapusan AP terbuka hanya akan mengakibatkan harga kereta meningkat kerana tanpa persaingan dalam perniagaan akan membolehkan pemegang AP francais meletakkan harga sesuka hati mereka. Kewujudan pengimport kereta terpakai juga kata beliau, memberi peluang kepada orang ramai untuk memiliki kereta idaman mereka pada harga yang mereka mampu bayar.

Tuduhan demi tuduhan yang dilemparkan terhadap pemegang AP amat mendukacitakan, seolah-olah mengancam perniagaan pemegang francais sedangkan hakikatnya, AP terbuka hanya 6 peratus atau 36,000 unit setahun daripada jumlah keseluruhan industri (TIV).

''Dasar affirmative action ini telah memberi sumbangan yang besar kepada negara dan pembangunan ekonomi bumiputera, dan tidak benar mengatakan ia hanya menguntungkan segelintir orang," ujarnya.

Zainuddin berkata, sejak dasar AP terbuka diperkenalkan 30 tahun lalu, pihaknya telah menyediakan peluang pekerjaan kepada 78,400 orang dengan kebergantungan isi rumah seramai 313,600 orang.

Seandainya kerajaaan meneruskan hasrat untuk menamatkan AP pada 2015 kata beliau, ramai akan kehilangan mata pencarian dan tiada jaminan mereka boleh diserap ke syarikat bukan bumiputera yang mengenakan pelbagai syarat diskriminasi.

''Daripada segi hasil kepada negara, kami telah menyumbang sebanyak RM2.425 bilion dalam bentuk cukai import dan duti eksais kepada Jabatan Kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan fi RM10,000 bagi seunit AP kepada MITI untuk Dana Automotif Bumiputera yang sehingga kini tidak disalurkan kepada pemegang AP.

''Kami juga telah melabur dalam industri sebanyak RM7.752 bilion seperti bilik pameran dan cawangan, bengkel baik pulih, latihan kakitangan dan sebagainya. Dari segi industri hiliran, kami menyumbang RM5.238 bilion setahun," jelas beliau.

Zainudin berkata, angka-angka di atas jelas menunjukkan wujud kitaran ekonomi yang sihat dan membuktikan sumbangan pemegang AP kepada negara berbanding syarikat asing yang tentunya keuntungan dibawa balik ke negara asal mereka.

Pekema telah mengemukakan surat terbaharu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar kerajaan tidak menghapuskan dasar AP terbuka yang ternyata telah memberi sumbangan kepada peningkatan usahawan bumiputera dalam sektor automotif negara.

Zainuddin menegaskan, pemansuhan AP jelas bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri semasa membentangkan dasar Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pada 14 September lalu, yang menggariskan perihal Artikel 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjaga kepentingan kaum bumiputera, termasuk Melayu.

"Datuk Seri Najib menyebut bahawa Melayu dan bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Sesungguhnya, sebarang prakarsa bersifat nasional yang tidak mengambil kira atau mengabaikan agenda Melayu serta bumiputera, adalah tidak adil dan tidak saksama.

''Pemberhentian dasar AP terbuka boleh dilihat sebagai ancaman yang menggugat penglibatan kaum bumiputera dalam industri penjualan kereta," kata beliau.

Artikel 153 Perlembagaan Malaysia antara lain, menggariskan perlunya menjaga kepentingan bumiputera yang lain seperti tanah rizab Melayu, biasiswa pendidikan dan kuota dalam perkhidmatan awam.

"Sebarang perubahan di dalam artikel tersebut perlu mendapat perkenan Yang di- Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu. Maka Pekema berpendirian MITI tidak berhak menukar apa-apa dalam dasar AP," kata Zainuddin.

Persoalannya, benarkah dakwaan pemegang francais bahawa kewujudan industri kereta terpakai ini menjejaskan perniagaan mereka? Atau apakah sekadar persepsi? Apakah kerana AP terbuka dimiliki oleh kaum bumiputera maka sektor ini mudah dijadikan sasaran, berbanding AP lain yang dikuasai oleh bukan bumiputera?

Pemilihan MIC: Parti atau individu?

Posted: 24 Nov 2013 10:09 AM PST

Oleh ANBUMANI BALAN
anbumanibalan@gmail.com
PENULIS ialah penganalisis politik dan perunding media.

Presiden MIC, G. Palanivel (dua, kanan) mengangkat tangan bersama Timbalan Presiden MIC, Dr. S. Subramaniam (tiga kiri) selepas diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu di Wisma MIC, Kuala Lumpur pada 16 November lalu.

Seperti mana parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain, Malaysian Indian Congress ataupun MIC akan berdepan dengan proses pemilihannya untuk jawatan tiga Naib Presiden dan 23 ahli jawatankuasa pusat (CWC) pada 30 November ini di Melaka. Pemilihan parti ini kali ini disifatkan sebagai satu pertarungan yang cukup 'dramatik dan sensasi' dalam sejarah parti itu sejak ditubuhkan pada 1946.

Pemilihan kali ini juga membuka satu lembaran baru untuk parti itu di bawah kepimpinan Datuk Seri G. Palanivel selepas hampir 30 tahun pemilihan parti itu dikuasai bekas bosnya Datuk Seri S. Samy Vellu dengan gaya dan rentak politiknya yang tersendiri.

Cukup berbeza sekali 'irama politik' kedua-dua pemimpin tersebut terutamanya dalam soal 'pengurusan politik'.

Palanivel sering mendahulukan nilai prestasi, perkhidmatan dan perlakuan dalam memilih 'profil' politiknya. Baginya, tindakan dan perbuatan segelintir ahli politik yang asyik mahu mengejar glamour adalah umpama pelakon politik yang bersandiwara untuk 'syok sendiri'.

Justeru, pemilihan MIC di bawah era Palanivel turut mencuri tumpuan umum. Ahli-ahli MIC di peringkat akar umbi termasuk seramai 1, 500 yang bakal membuang undi pada hujung minggu ini sudah mula membuat pelbagai spekulasi dan ramalan.

Namun, ramai yang akur, pertandingan kali ini cukup sengit, mencabar dan panas. Tidak ada ruang untuk mendabik dada kerana situasi politik MIC tidak sama seperti dulu.

Selepas Palanivel dan Timbalannya Datuk Seri S Subramaniam menang tanpa bertanding, tumpuan kini tertumpu untuk jawatan Naib Presiden yang menyaksikan pertarungan lapan penjuru.

Dua penyandang, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan dan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Datuk Seri S. K. Devamany akan dicabar bekas Naib Presiden Datuk S. Sothinathan, bekas Ketua Pemuda Datuk S. A. Vigneswaran dan Datuk T. Mohan. Pencabar lain ialah Ketua Bahagian MIC Johor Baharu Datuk S. Balakrishnan, Bendahari Senator Datuk Jaspal Singh dan Timbalan Ketua Bahagian Bukit Bintang TC. James Selvaraja.

Untuk jawatan ahli jawatankuasa pusat, seramai 88 calon telah menawarkan diri untuk bertanding 23 kerusi yang dipertandingkan.

Penampilan semula Sothinathan ke kancah politik MIC dan percubaan S Balakrishnan yang juga merupakan Bendahari MIC Johor untuk kali kedua turut menjadi tumpuan.

Selain itu, kehadiran empat calon baru iaitu S. A. Vikneswaran , T. Mohan, Jaspal Singh dan James Selvaraja turut mengamatkan suasana pemilihan Naib Presiden kali ini.

Persoalannya sejauh mana pemilihan MIC kali ini mampu merubah landskap politik parti itu ?

Masyarakat umum termasuk generasi muda sedang memerhatikan, memantau dan meninjau dengan serius setiap perkembangan yang sedang berlaku dalam MIC ketika ini yang menjadi wakil tunggal masyarakat India dalam Kabinet dan kerajaan BN.

Masyarakat India mahu melihat kepimpinan MIC mengambil pendekatan politik yang lebih 'rasional' dan 'berani' yang dapat membuka mata dan hati politik mereka sekiranya mahu menjulang nilai 'perubahan' dalam parti itu untuk terus kekal 'relevan dan dinamik' dalam kancah politik nasional.

Justeru, setiap undi yang yang berada di tangan 1,500 perwakilan perlu mengambil kira harapan dan aspirasi masyarakat India di negara ini untuk memilih barisan kepimpinan parti yang lebih berwibawa yang dapat membantu Presidennya Palanivel melaksanakan segala proses transformasi politik dalam parti serta untuk masyarakat India.

Kemenangan tanpa bertanding Palanivel sebagai Presiden MIC yang kelapan secara rasmi pada 1 September selepas memangku jawatan tersebut daripada S Samy Vellu melalui proses peralihan kuasa pada 6 Disember 2010 telah meletakkan parti itu dalam keadaan yang lebih kemas, terurus dan terancang.

Palanivel sering menceritakan mengenai setiap 'pancaroba politiknya' kepada penulis ketika mempunyai masa untuk bersembang. Antara pegangan politiknya yang mendakap hati penulis ialah kenyataannya yang menyebut: " Saya bukan seorang yang popular kerana saya tidak mahu menjadi popular. Saya hanya mahu menjadi seorang insan, pemimpin yang ikhlas dan jujur. Saya hanya mengutamakan masa depan parti dan masyarakat".

Tidak dinafikan, sejak mengambil alih kepimpinan MIC, Palanivel terpaksa merentasi pelbagai rintangan, halangan dan krisis yang cukup mencabar dalam karier politiknya untuk mengembalikan semula zaman "kegemilangan politik" parti itu yang mula tercalar selepas keputusan PRU-12 pada 2008.

Di bawah kepimpinannya, MIC berjaya memenangi empat kerusi Parlimen dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRU-13 yang lepas, ia satu pencapaian yang lebih baik jika dibandingkan dengan PRU-12.

Beliau perlu membina semula kekuatan untuk MIC dan keyakinan masyarakat India. Beliau juga perlu menguruskan segala faktor persepsi masyarakat terhadap parti itu. Untuk itu, beliau memerlukan satu pasukan yang 'berkualiti dan berkredibiliti' yang mampu menjamin harapan rakyat dan parti.

Namun, setiap detik pengorbanan dan perjuangan politik MIC tidak boleh diukur dengan sekelip mata disebabkan sikap dan tingkah laku segelintir pemimpin dalam parti yang terlalu rakus mahu mengejar jawatan untuk kepentingan diri sendiri.

Golongan seperti ini menggunakan MIC untuk melindungi diri mereka bagi mencari kuasa dan kekayaan. Budaya seperti inilah yang menyebabkan parti keramat masyarakat India itu kini berada di satu persimpangan politik yang amat kritikal.

Realitinya, kesetiaan, sokongan dan keakraban masyarakat India terhadap MIC tidak sama seperti mana dulu. Pemimpin MIC dan ahlinya di peringkat akar umbi perlu akui 'hakikat' tersebut secara terbuka, ikhlas dan jujur. Mereka juga perlu sedar bahawa sudah wujud jurang perbezaan antara masyarakat India dan MIC.

Sejak 2008, laungan 'perubahan' telah menjadi satu kempen politik dalam parti itu sehingga sekarang. Pada pemilihan parti 2009, banyak pihak menawarkan diri bertanding untuk jawatan tertinggi turut melaungkan slogan yang sama. Selepas empat tahun, kempen kali ini turut menyaksikan aksi dan adegan yang hampir sama.

Memang cukup seronok, berpesta dan berwarna-warni apabila ramai calon menawarkan diri untuk bertanding. Macam-macam yang 'masuk' ketika musim pemilihan.

Sekiranya semua calon yang menawarkan diri untuk bertanding mahu menggunakan kesempatan dan kebebasan politik era Palanivel untuk bertanding, maka mereka juga perlu sedar mengenai kedudukan sebenar MIC ketika ini.

Jangan sampai pemilihan MIC dijadikan sebagai satu lagi 'agenda' politik untuk memperkayakan diri bagi mengejar jawatan dan gelaran.

Perlu diingat, pemilihan parti tidak semestinya boleh menjanjikan perubahan yang mendadak dalam parti sekiranya pemimpin yang dipilih hanya mahu menggunakan jawatan parti untuk meraih 'prestij' politik.

Dengarlah suara dan bisikan hati masyarakat India sekiranya para perwakilan mahu melihat MIC menjadi sebuah parti yang dominan mewakili masyarakat India negara ini.

Mungkin sekumpulan pemimpin boleh membeli undi perwakilan kerana terlalu ghairah mahu mempertahankan dan merebut jawatan dalam parti tetapi anda tidak sama sekali boleh membeli undi seramai 1.8 juta masyarakat India di negara ini bila tiba masanya nanti.

Seperti mana yang disarankan Palanivel baru-baru ini, pilihlah satu pasukan terbaik untuk mengurus parti di mana anggota perwakilan perlu memilih pemimpin yang memiliki bakat, berkelulusan baik dan berpengalaman dalam politik untuk memegang jawatan.

Kuatkan semangat perjuangan, berfikirlah secara rasional dan bertindak secara bijak untuk memilih barisan harapan rakyat dan negara.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Antara realiti dan misteri

Posted: 24 Nov 2013 04:57 AM PST

Oleh HAFIZAHRIL HAMID

RUMAH-RUMAH agam yang lama ditinggalkan tidak berpenghuni selalunya akan menimbulkan pelbagai spekulasi menakutkan. Begitu juga rumah lama yang ditinggalkan secara sengaja sering mengundang kisah misteri untuk diceritakan walaupun kerap kali versi yang disampaikan dari mulut ke mulut sudah banyak ditokok tambah.

Keadaan itu jugalah yang berlaku terhadap sebuah banglo terbiar dikenali sebagai Vila Nabila di Jalan Skudai, Johor Bahru baru-baru ini. Vila itu menjadi tumpuan apabila seorang remaja lelaki dilaporkan 'hilang' biarpun pengakhirannya tidaklah seperti yang disangkakan.

Sama ada vila itu benar-benar berhantu atau tidak masih belum ada jawapan yang pasti. Namun tidak dinafikan suasana yang wujud di rumah tinggal seperti Vila Nabila membuat kita tidak senang duduk selain mampu membuatkan bulu roma kita meremang.

Pancawarna minggu ini cuba menyingkap beberapa kisah rumah berhantu di dunia yang masih menjadi misteri sehingga kini.

Menariknya hampir setiap negara mempunyai kisah rumah berhantunya tersendiri.

Walaupun masyarakat dunia semakin menabik dada hidup di tengah-tengah kemodenan dan merasa diri sofistikated, namun kewujudan elemen mistik seperti rumah berhantu ini tetap mengundang perasaan seram.

BAGI mereka yang berani atau mahukan kelainan mungkin boleh mencuba menginap di sebuah rumah yang turut dijadikan motel di Gloucestershire.

Rumah yang dikatakan dibina pada tahun 1145 ini pernah menjadi tempat ritual pengorbanan kanak-kanak oleh golongan penyembah syaitan.

Diakui antara yang paling seram di UK, melihat luar rumah ini pun sudah menegakkan bulu roma apa lagi terdapat kawasan perkuburan kanak-kanak di lamannya.

Terletak di kampung Wotton-under-Edge, pemiliknya Caroline Humphries memberitahu terdapat penginap yang cabut lari pada waktu malam selepas melihat perabot di dalam biliknya berterbangan.

Malah ada yang terjun dari tingkap pada waktu malam kerana diganggu pelbagai bunyi dan pergerakan aneh.

Bapa saya tidak pernah meninggalkan kitab Injil setiap kali di dalam rumah. Malah saya juga sering tidur di luar rumah kerana terlalu takut.

Menjadi pandangan biasa melihat pelbagai barangan berterbangan di rumah dan kami meletakkan beberapa anak patung setelah mereka yang menginap di situ mendakwa melihat hantu kanak-kanak berkeliaran di dalam sebuah bilik," kata Humpries.

Para pengkaji paranormal suka menginap di motel itu tetapi Humpreys tidak boleh menyediakan makanan dan layanan biasa kerana rumah itu terlalu berhantu.

Akhirnya setelah hampir 50 tahun menginap di situ, dia menyedari adalah mustahil untuk menjual rumah itu dan terpaksa berkongsi tinggal bersama hantu-hantu tersebut.

Mampu bercakap dengan gajah

Posted: 24 Nov 2013 04:57 AM PST

Susunan ZULKIFLI SAINUDDIN

KITA sering terbaca insiden gajah mengamuk di kawasan kediaman penduduk dan merosakkan tanaman, sehingga adakalanya salah satu pihak - sama ada gajah atau manusia - tercedera malah mungkin menemui maut.

Justeru mengendalikan insiden seperti itu dikategorikan sebagai satu kerja yang berbahaya. Jika tersilap langkah, gajah naik minyak, nyawa mereka yang mengendalikan tugas itu atau nyawa orang lain boleh melayang.

Menariknya di timur India, kerja-kerja menghalau sekumpulan gajah liar yang menceroboh kawasan kediaman penduduk dilakukan oleh seorang remaja perempuan berumur 14 tahun.

Nirmala Toppo yang berasal dari Jharkhand, dikatakan mampu berbicara dengan gajah dan mengarahkan haiwan itu kembali ke habitatnya di dalam hutan.

Nirmala menjadi terkenal sejak insiden di bandar Rourkela, apabila sekumpulan gajah liar yang menceroboh kawasan penempatan penduduk berjaya dikendalikannya dengan baik sehingga haiwan itu masuk semula ke dalam hutan, sekali gus menyelamatkan nyawa penduduk di situ.

Menurut seorang pegawai hutan, Dhola, mereka terpaksa meminta bantuan daripada remaja perempuan itu untuk menghalau sekumpulan gajah yang menceroboh kawasan kediaman penduduk selepas gagal melakukannya.

Katanya, apabila sekumpulan 11 ekor gajah liar menceroboh sebuah bandar di negeri itu, pada awalnya mereka berjaya mengumpulkannya di stadium bola sepak, namun mereka tidak tahu bagaimana hendak menghalau haiwan liar itu masuk ke hutan semula.

Ekoran itu, bantuan Nirmala diperlukan kerana remaja perempuan itu dikatakan mampu bercakap dengan gajah. Nirmala kemudiannya tiba di bandar itu bersama beberapa orang dari kampungnya. Tanpa membuang masa, gadis ini menghampiri kumpulan gajah itu dan dilihat bercakap-cakap dengan haiwan tersebut. Ajaibnya, seolah-olah memahami apa yang diperkatakan, gajah-gajah itu mula bergerak ke hutan sambil diiringi Nirmala. Gadis itu berjalan sejauh beberapa kilometer bersama kumpulan gajah tersebut sehingga kakinya melecet.

Nirmala mengaku dia bercakap dengan gajah tersebut menggunakan dialek etniknya iaitu Mundaari untuk memujuk haiwan itu kembali ke habitat asal di dalam hutan.

Menurutnya, dia akan berdoa sebelum bercakap dengan haiwan tersebut dan memberitahu gajah-gajah itu bahawa bandar ini bukan kediaman mereka.

Difahamkan Nirmala mendapat kebolehan itu selepas ibunya meninggal dunia akibat diserang oleh gajah.

Sejak itu, dia belajar teknik memujuk gajah-gajah liar yang menceroboh kawasan penduduk supaya kembali ke dalam hutan. Semuanya semata-mata untuk mengelak kejadian menimpa ibunya berulang.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Penduduk bantah projek baharu

Posted: 24 Nov 2013 10:09 AM PST

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Seorang penduduk, Jerry Chan menunjukkan laluan utama ke projek pembangunan baharu yang sedang dibina oleh pemaju dikhuatiri akan menjejaskan landskap semula jadi dan mengakibatkan tanah runtuh di kawasan perumahan Templer Villa di Selayang, Selangor semalam. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ

SELAYANG 24 Nov. - Penduduk 10 buah taman perumahan sekitar Taman Templer bimbang sebuah projek pembangunan yang sedang dijalankan di kawasan mereka bakal membawa risiko tanah runtuh dan mengancam keselamatan penduduk berdekatan.

Mereka turut berasa kecewa apabila kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memberi kelulusan kepada pemaju untuk meneruskan projek tersebut biarpun mendapat bantahan daripada penduduk.

Presiden Persatuan Pemilik dan Penduduk Templer Villas, Thay Peng Kee berkata, bantahan itu dibuat setelah jurutera luar yang membuat kajian tanah mendapati kawasan itu berisiko untuk runtuh jika diteroka.

"Hasil kajian tersebut mendapati, tahap kecerunan di tapak projek kebanyakannya adalah pada tahap tiga dan empat. Pemaju didapati tidak mematuhi syarat-syarat Garis Panduan Perancangan Pembangunan di Kawasan dan Tanah Tinggi Negeri Selangor, 2010.

"Apabila berada pada tahap empat seharusnya tiada apa-apa projek pembangunan dibenarkan kerana tanah di situ berisiko besar untuk runtuh. Kami tidak faham mengapa kerajaan negeri dan MPS tidak semak perkara ini dengan teliti," katanya dalam sidang akhbar semasa mempengerusikan mesyuarat agung persatuan tersebut di sini hari ini.

Menurutnya, selain faktor keselamatan kawasan tersebut juga memiliki dua tempat rekreasi iaitu Taman Rimba Templer dan Air Terjun Kanching yang dipenuhi khazanah alam termasuk pelbagai spesies flora dan fauna yang perlu dipelihara dengan baik.

"Jika projek tersebut masih diteruskan akan memberi kesan buruk kepada tempat rekreasi ini yang pastinya mencemarkan kawasan hijau yang telah dijaga sejak sekian lama.

"Pelaksanaan projek ini jelas tidak telus dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Persatuan-persatuan Penduduk Templer Park dan ahli Kelab Golf Perangsang Templer (PTGC), Datuk Mukhtar Ismail berkata, kawasan itu perlu dikekalkan sebagai zon hijau sehingga 2020 seperti yang diwartakan oleh MPS pada 1998.

"Jika dibangunkan maka musnahlah harapan untuk melihat kawasan ini kekal hijau. Taman Rimba Templer yang dihadiahkan Sultan Selangor ketika itu, Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah pada 1954 juga merupakan kawasan tadahan air yang dikhuatiri akan terjejas sekiranya pembangunan tersebut dilaksanakan.

"Oleh itu kami minta supaya kerajaan negeri dan MPS mengkaji semula pelaksanaan projek itu yang membawa lebih keburukan daripada kebaikan," jelasnya.

90 peratus penduduk Kg. Baru sudah setuju

Posted: 24 Nov 2013 10:09 AM PST

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Sebanyak 90 peratus daripada keseluruhan pemilik hartanah di Kampung Baru telah bersetuju untuk membangunkan tanah masing-masing sebagaimana dirancang bersama dengan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB).

Persetujuan itu diperoleh menerusi maklum balas yang diterima daripada borang kaji selidik yang diedarkan kepada kesemua 1,381 pemilik dan waris lot tanah di kampung itu.

Di samping itu, sebanyak 80 peratus responden mahu segera berunding dengan PKB bagi tujuan pembangunan semula kawasan tersebut.

Timbalan Pengerusi PKB, Datuk Seri Matshah Safuan berkata, melalui empat Siri Taklimat Pembangunan Kampung Baru oleh PKB sebelum ini, majoriti penduduk telah bersetuju dan bersedia untuk mengkomersialkan lot-lot tanah mereka.

"Walaupun ada sedikit halangan apabila 50 peratus daripada status tanah penduduk kampung itu masih lagi bermasalah tetapi itu bukan penghalang kepada kami untuk membantu penduduk membangunkan Kampung Baru.

"Malah, telah terdapat lima kumpulan dalam kalangan penduduk sudah mula membangunkan tanah masing-masing dengan menggunakan pelbagai insentif pembangunan yang ditawarkan melalui PKB," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi taklimat terakhir daripada empat siri kepada kira-kira 600 waris dan pemilik tanah Kampung Atas A, Kampung Atas B dan Kampung Pindah di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru semalam.

Terdapat tujuh buah kampung dalam kawasan Kampung Baru. Empat kampung lain ialah Kampung Hujung Pasir, Kampung Periok, Kampung Masjid dan Kampung Paya.

Sesi taklimat itu dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Naharudin Abdullah, dan turut dihadiri Pengerusi PKB, Datuk Astaman Abdul Aziz.

Mat Shah berkata, bagi merancakkan lagi proses pembangunan semula Kampung Baru, PKB akan mula memanggil pemilik-pemilik lot tanah untuk digabungkan bagi menjadi tapak projek-projek yang bersesuaian untuk dibangunkan.

"Terpulanglah apa juga bentuk cadangan yang mereka ingin majukan atau menyerahkan kepada pihak pemaju yang berdaftar dengan PKB tetapi yang pasti pembangunan semula Kampung Baru bukan lagi sesuatu yang mustahil untuk dijayakan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, PKB tidak dapat menghalang penduduk daripada menjual tanah mereka kepada pihak tertentu tetapi mereka perlu memastikan penjualan tersebut mestilah memenuhi syarat ketat.

"Mereka perlu sedar bahawa Kampung Baru merupakan tanah kurnia dan hak milik kekal Melayu yang dikenakan sekatan kepentingan.

"Sekatan kepentingan ini secara jelas menyatakan tanah tersebut tidak boleh dijual dan tidak boleh diduduki oleh orang bukan Melayu. Oleh itulah ditubuhkan PKB bagi memastikan seluruh 124.37 hektar keluasan tanah milik Melayu di Kampung Baru ini tidak akan jatuh kepada mana-mana pihak yang tidak berkenaan," jelasnya.

Menurutnya, sebagai tanah kurnia hak milik kekal Melayu, pemilik tanah di Kampung Baru menikmati cukai pintu sebanyak dua peratus sahaja.

"Jadi apabila mendapat tahu bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal menaikkan kadar cukai tersebut pada 1 Januari akan datang, diharap tidak akan menjejaskan kadar cukai pintu yang selama ini dinikmati penduduk Kampung Baru.

"Jika selama ini penduduk hanya membayar RM20 dan RM30 setahun, memang ada akan terkejut apabila mendapat taksiran yang naik sehingga 200 hingga 300 peratus, jadi perkara ini bakal dibawa kepada DBKL," katanya.

Tingkatkan kebersihan ibu negara

Posted: 24 Nov 2013 10:09 AM PST

Tengku Adnan Tengku Mansor (dua dari kanan) turut cuba mengendalikan corong penyedut sampah milik Alam Flora sambil dibantu oleh Mohd. Zin Hassan sempena Kempen Kebersihan Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, kelmarin.

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Semua pihak termasuk peniaga dan orang ramai diminta menitikberatkan aspek kebersihan bagi memulihkan imej Kuala Lumpur yang dilabel sebagai sebuah bandar raya yang kotor.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kerjasama warga kota bersama pihak berkuasa amat perlu untuk memastikan Kuala Lumpur menjadi contoh kepada bandar-bandar lain.

"Sikap suka membuang sampah merata-rata serta mementingkan diri perlu diubah kerana tiada gunanya jika kerajaan menyediakan kemudahan kelas pertama tetapi tidak digunakan dengan betul.

"Masih ramai yang mempunyai pemikiran kelas ketiga dalam aspek kebersihan dan pengguna sendiri harus mengelak daripada berkunjung ke premis makanan yang kotor sebagai langkah mendidik peniaga supaya menjaga kebersihan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Kebersihan Wilayah Persekutuan yang bertemakan Bersih dan Ceriakan KL di Lanai Seni, Jalan Tuanku Abdul Rahman, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Adnan Md. Ikshan dan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Mohd. Zin Hassan.

Tambah Tengku Adnan, kementeriannya turut memperkenalkan Skuad Pendidikan Penguatkuasaan (SPP) melalui Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk meningkatkan lagi kebersihan.

Ujarnya, skuad itu berperanan memberi kesedaran kepada warga kota tentang tanggungjawab menjaga kebersihan, khususnya di kawasan tumpuan ramai.

"Skop tugas mereka juga adalah untuk membina hubungan yang baik antara warga kota dengan DBKL bagi mendidik dan menasihati orang ramai untuk mematuhi undang-undang.

"SPP juga akan menerangkan kepada orang ramai mengenai undang-undang yang diguna pakai dan akibat daripada kesalahan yang dilakukan," ujarnya.

Sementara itu, kempen tersebut disertai agensi kerajaan dan swasta termasuk DBKL, Alam Flora Sdn. Bhd., Persatuan Penjaja Kecil Masjid India, Persatuan Penjaja Kecil Lorong Tuanku Abdul Rahman dan para pelajar.

Antara aktiviti yang dijalankan di bawah program itu ialah kempen pembasmian tikus dan pemeriksaan ke premis perniagaan makanan, selain mengadakan sesi pertemuan dengan penjaja, peniaga dan penduduk untuk menggalakkan penyertaan warga kota dalam setiap kempen yang dijalankan.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved