Utusan Online - Keluarga |
Posted: 24 Nov 2013 04:57 AM PST Oleh HAFIZAHRIL HAMID RUMAH-RUMAH agam yang lama ditinggalkan tidak berpenghuni selalunya akan menimbulkan pelbagai spekulasi menakutkan. Begitu juga rumah lama yang ditinggalkan secara sengaja sering mengundang kisah misteri untuk diceritakan walaupun kerap kali versi yang disampaikan dari mulut ke mulut sudah banyak ditokok tambah. Keadaan itu jugalah yang berlaku terhadap sebuah banglo terbiar dikenali sebagai Vila Nabila di Jalan Skudai, Johor Bahru baru-baru ini. Vila itu menjadi tumpuan apabila seorang remaja lelaki dilaporkan 'hilang' biarpun pengakhirannya tidaklah seperti yang disangkakan. Sama ada vila itu benar-benar berhantu atau tidak masih belum ada jawapan yang pasti. Namun tidak dinafikan suasana yang wujud di rumah tinggal seperti Vila Nabila membuat kita tidak senang duduk selain mampu membuatkan bulu roma kita meremang. Pancawarna minggu ini cuba menyingkap beberapa kisah rumah berhantu di dunia yang masih menjadi misteri sehingga kini. Menariknya hampir setiap negara mempunyai kisah rumah berhantunya tersendiri. Walaupun masyarakat dunia semakin menabik dada hidup di tengah-tengah kemodenan dan merasa diri sofistikated, namun kewujudan elemen mistik seperti rumah berhantu ini tetap mengundang perasaan seram. BAGI mereka yang berani atau mahukan kelainan mungkin boleh mencuba menginap di sebuah rumah yang turut dijadikan motel di Gloucestershire. Rumah yang dikatakan dibina pada tahun 1145 ini pernah menjadi tempat ritual pengorbanan kanak-kanak oleh golongan penyembah syaitan. Diakui antara yang paling seram di UK, melihat luar rumah ini pun sudah menegakkan bulu roma apa lagi terdapat kawasan perkuburan kanak-kanak di lamannya. Terletak di kampung Wotton-under-Edge, pemiliknya Caroline Humphries memberitahu terdapat penginap yang cabut lari pada waktu malam selepas melihat perabot di dalam biliknya berterbangan. Malah ada yang terjun dari tingkap pada waktu malam kerana diganggu pelbagai bunyi dan pergerakan aneh. Bapa saya tidak pernah meninggalkan kitab Injil setiap kali di dalam rumah. Malah saya juga sering tidur di luar rumah kerana terlalu takut. Menjadi pandangan biasa melihat pelbagai barangan berterbangan di rumah dan kami meletakkan beberapa anak patung setelah mereka yang menginap di situ mendakwa melihat hantu kanak-kanak berkeliaran di dalam sebuah bilik," kata Humpries. Para pengkaji paranormal suka menginap di motel itu tetapi Humpreys tidak boleh menyediakan makanan dan layanan biasa kerana rumah itu terlalu berhantu. Akhirnya setelah hampir 50 tahun menginap di situ, dia menyedari adalah mustahil untuk menjual rumah itu dan terpaksa berkongsi tinggal bersama hantu-hantu tersebut. |
Posted: 24 Nov 2013 04:57 AM PST Susunan ZULKIFLI SAINUDDIN KITA sering terbaca insiden gajah mengamuk di kawasan kediaman penduduk dan merosakkan tanaman, sehingga adakalanya salah satu pihak - sama ada gajah atau manusia - tercedera malah mungkin menemui maut. Justeru mengendalikan insiden seperti itu dikategorikan sebagai satu kerja yang berbahaya. Jika tersilap langkah, gajah naik minyak, nyawa mereka yang mengendalikan tugas itu atau nyawa orang lain boleh melayang. Menariknya di timur India, kerja-kerja menghalau sekumpulan gajah liar yang menceroboh kawasan kediaman penduduk dilakukan oleh seorang remaja perempuan berumur 14 tahun. Nirmala Toppo yang berasal dari Jharkhand, dikatakan mampu berbicara dengan gajah dan mengarahkan haiwan itu kembali ke habitatnya di dalam hutan. Nirmala menjadi terkenal sejak insiden di bandar Rourkela, apabila sekumpulan gajah liar yang menceroboh kawasan penempatan penduduk berjaya dikendalikannya dengan baik sehingga haiwan itu masuk semula ke dalam hutan, sekali gus menyelamatkan nyawa penduduk di situ. Menurut seorang pegawai hutan, Dhola, mereka terpaksa meminta bantuan daripada remaja perempuan itu untuk menghalau sekumpulan gajah yang menceroboh kawasan kediaman penduduk selepas gagal melakukannya. Katanya, apabila sekumpulan 11 ekor gajah liar menceroboh sebuah bandar di negeri itu, pada awalnya mereka berjaya mengumpulkannya di stadium bola sepak, namun mereka tidak tahu bagaimana hendak menghalau haiwan liar itu masuk ke hutan semula. Ekoran itu, bantuan Nirmala diperlukan kerana remaja perempuan itu dikatakan mampu bercakap dengan gajah. Nirmala kemudiannya tiba di bandar itu bersama beberapa orang dari kampungnya. Tanpa membuang masa, gadis ini menghampiri kumpulan gajah itu dan dilihat bercakap-cakap dengan haiwan tersebut. Ajaibnya, seolah-olah memahami apa yang diperkatakan, gajah-gajah itu mula bergerak ke hutan sambil diiringi Nirmala. Gadis itu berjalan sejauh beberapa kilometer bersama kumpulan gajah tersebut sehingga kakinya melecet. Nirmala mengaku dia bercakap dengan gajah tersebut menggunakan dialek etniknya iaitu Mundaari untuk memujuk haiwan itu kembali ke habitat asal di dalam hutan. Menurutnya, dia akan berdoa sebelum bercakap dengan haiwan tersebut dan memberitahu gajah-gajah itu bahawa bandar ini bukan kediaman mereka. Difahamkan Nirmala mendapat kebolehan itu selepas ibunya meninggal dunia akibat diserang oleh gajah. Sejak itu, dia belajar teknik memujuk gajah-gajah liar yang menceroboh kawasan penduduk supaya kembali ke dalam hutan. Semuanya semata-mata untuk mengelak kejadian menimpa ibunya berulang. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan