Ahad, 24 November 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Hakim Syarie nasihat bapa, anak berbaik semula

Posted: 24 Nov 2013 10:09 AM PST

Mustafa Ismail berbincang sesuatu dengan peguamnya, Fazru Anuar Yusof (kiri) di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR

KUALA TERENGGANU 24 Nov. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini sekali lagi menasihatkan pengurus syarikat cari gali minyak dan bapanya yang memfailkan tuntutan nafkah ke atasnya itu supaya kembali berbincang menyelesaikan sengketa dua sekeluarga itu secara baik.

Hakim Syarie, Rosdi Harun membuat penegasan itu selepas usaha untuk meleraikan sengketa di antara defendan, Nasrun Mustafa, 40, dan bapanya, Mustafa Ismail, 67, dilihat semakin menemui jalan buntu dan kes itu telah berlarutan sejak lebih tiga tahun lalu.

Menurut Rosdi, kes tersebut tidak sepatutnya dibicarakan di mahkamah untuk tempoh yang panjang sekiranya kedua-dua pihak memilih untuk saling bertolak ansur.

"Sebenarnya, saya pun tak suka benda macam ini kerana ia melibatkan isu anak beranak. Sepatutnya, perkara ini boleh dibawa berbincang. Soal ikhlas atau tidak, itu biarlah Tuhan saja yang tahu. Tentang bayaran yang sepatutnya dibuat itu saya akan putuskan nanti," katanya.

Nasrun dan Mustafa hadir bersama peguam masing-masing ketika prosiding bagi mendengar notis tunjuk sebab untuk defendan membela diri itu dijalankan.

Ia dibuat selepas plaintif memfailkan permohonan supaya anaknya itu dipenjarakan kerana gagal melaksanakan perintah mahkamah berhubung pembayaran nafkah bernilai RM18,866.50.

Dalam pada itu, berlaku sedikit ketegangan ketika prosiding berlangsung apabila Nasrun melaluinya peguamnya mendakwa dihalau oleh bapanya dari rumah.

Mustafa bangkit menangkis dakwaan tersebut sambil menegaskan; "Saya tak pernah pun usir dia."

Keadaan bagaimanapun kembali terkawal apabila Rosdi berjaya menenangkan keadaan dan kemudian menetapkan 23 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk berunding.

Berdasarkan keterangan pada 13 Julai 2010, plaintif telah mengemukakan tuntutan kepada Nasrun yang dikatakan berpendapatan tidak kurang daripada RM17,000 sebulan itu agar membayar tunggakan nafkah penjagaan dua cucunya itu yang tertunggak selama tujuh tahun iaitu sebanyak RM20,000 di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Plaintif dari Kampung Beladau Kolam, Manir turut menuntut perintah agar Nasrun memberi nafkah RM800 sebulan menerusi potongan gaji untuk keperluan dua cucunya, Nur Thahirah Nazihah, 16, dan Muhammad Amirul Nasrullah, 18.

Selepas tiga tahun, permohonan pesara syarikat cari gali minyak itu akhirnya berjaya dan Mahkamah Tinggi Syariah pada 28 Ogos tahun lalu memerintahkan Nasrun selaku responden memohon maaf secara terbuka kepada ibu bapa dan dua anaknya yang ketika itu berusia 15 dan 17 tahun.

Setelah usaha untuk menjejaki defendan gagal, mahkamah yang sama pada 28 Julai lalu kemudian mengeluarkan waran tangkap ke atas Nasrun kerana mengabaikan perintah menjelaskan tuntutan nafkah dan gagal membuat permohonan maaf terhadap bapanya.

Nasrun bagaimanapun muncul buat kali pertama di mahkamah pada 6 Oktober lalu selepas waran tangkap itu dikeluarkan ke atasnya dan ketika itu Rosdi memerintahkan Nasrun membayar RM10,000 kepada Mustafa dan ibunya, Che Mariam Abdullah, 59, pada hari yang sama.

Rosdi turut memerintahkan responden membayar baki RM11,000 secara ansuran kepada kedua-dua ibu bapanya dan membenarkan Nasrun diikat jamin RM1,000 dengan dua penjamin sementara menunggu tarikh mendengar notis tunjuk sebab untuk responden membela diri hari ini.

Namun ketika itu, Mustafa menyatakan rasa kecewa kerana anaknya itu hanya bersalaman setelah diperintahkan dan bertanyakan di dalam mahkamah sama ada dilakukan kerana insaf atau sekadar lakonan.

Suami ugut bunuh isteri guna

Posted: 24 Nov 2013 10:09 AM PST

Muhammad Abdul Rahim Jaafar dikawal polis di Mahkamah Majistret Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 24 Nov. - Seorang buruh binaan dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengugut isterinya menggunakan sebilah gunting dan pisau, September lalu.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Muhammad Abdul Rahim Jaafar, 22, dari Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) yang mengaku membuat ugutan jenayah terhadap isterinya, Siti Zuhrah Arifah Mohamad, 21, dengan mengatakan hendak membunuh mangsa di rumah keluarga wanita itu di Kampung Tapang, Jalan Hospital di sini pada pukul 7.30 pagi, 8 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, semasa mangsa berada di rumah keluarganya, Muhammad Abdul Rahim masuk ke dalam rumah bertanyakan wanita itu sama ada hendak berbaik semula dan mengikutnya pulang, namun mangsa memberitahu tidak mahu bersamanya lagi.

Tertuduh kemudian mengugut isterinya untuk mengambil pisau dan membunuhnya lalu terus ke dapur mengambil sebilah pisau dan mengacukan kepada mangsa dan bertanya kembali soalan yang sama.

Dia kemudiannya mengugut untuk mengambil gunting lalu dicucuk ke perut mangsa manakala pisau diacu di belakangnya sambil memaksa wanita itu berjanji untuk kembali kepadanya.

Mangsa yang berasa amat takut terpaksa menuruti kehendaknya. Tertuduh kemudian menjauhkan diri daripada mangsa dan mengugut jika mungkir janji dia akan kembali ke rumah keluarga wanita itu dan membunuhnya.

Mangsa kemudian membuat laporan polis dan tertuduh ditangkap pada 25 September lalu.

Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved