Jumaat, 1 November 2013

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


6 keluarga hilang tempat tinggal

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL
kota@utusangroup.com.my

API dapat dilihat marak dalam kejadian kebakaran tingkat atas Flat PKNS 17 Tingkat di Kampung Kerinchi, Lembah Pantai, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/AZMAN ASMAYATIM

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Seorang wanita warga emas orang kurang upaya (OKU) adalah antara yang terselamat dalam kebakaran yang menggemparkan penduduk Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 17 Tingkat di Jalan Kerinchi, Lembah Pantai hari ini.

Saodah Che Mat, 74, yang tinggal di tingkat 13 flat itu mahu menunaikan solat asar apabila dia terdengar bunyi bising pada kira-kira pukul 4.30 petang dan dimaklumkan mengenai kebakaran itu oleh menantunya, Norehan Ramli.

Norehan ketika ditemui berkata, ibu mentuanya itu sudah sukar untuk berkomunikasi namun dia bersyukur kerana mereka sekeluarga sempat menyelamatkan diri dalam kejadian itu.

"Saya hanya sempat membawa dua orang anak yang masih kecil untuk menyelamatkan diri. Sebaik sahaja tiba di bawah, saya meminta bantuan jiran untuk menyelamatkan ibu mentua saya.

"Saya bersyukur kerana semua penghuni terselamat dalam kejadian ini walaupun kebanyakan kami tidak sempat menyelamatkan harta benda," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Kebakaran petang ini menggemparkan penduduk kawasan itu dan orang ramai yang tinggal tidak jauh dari kawasan penempatan tersebut kerana api dan asap boleh dilihat dari jarak 3 kilometer.

Seorang lagi mangsa yang merupakan kakitangan syarikat Kumpulan Utusan, Utusan Media Sales Sdn. Bhd., Ahmad Haziq Mad Shah, 25, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu daripada keluarga yang memaklumkan rumahnya terbakar.

"Ini merupakan kali kedua berlaku kebakaran di flat ini. Kebakaran pertama berlaku awal tahun ini melibatkan dua unit rumah.

"Setakat ini, kami dimaklumkan kemungkinan kebakaran berpunca dari salah sebuah rumah di tingkat 17 dan kami masih menunggu laporan daripada pihak bomba," katanya.

Dalam pada itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 4.40 petang dan sebanyak 13 jentera dari lapan buah balai dikejarkan ke tempat kejadian.

"Jentera pertama tiba di lokasi pada pukul 4.57 petang dan mendapati api sedang marak di tingkat 17 flat tersebut.

"Siasatan awal mendapati enam unit rumah terlibat. Kebakaran dipercayai berpunca dari tingkat 17 dan ketika pasukan penyelamat tiba di lokasi, api sedang marak," katanya.

Tambah Khirudin, api dapat dikawal kira-kira pukul 6 petang dan berjaya dipadamkan sepenuhnya 20 minit kemudian. Pasukan Forensik Bomba masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kejadian dan jumlah kerugian yang dialami penduduk.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati jalan raya berhampiran lokasi kejadian termasuk Lebuh Raya Persekutuan sesak akibat kejadian itu. Walau bagaimanapun perjalanan lalu lintas terkawal dengan kehadiran anggota polis trafik.

Mangsa kebakaran dipindah ke Dewan Komuniti UMNO

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (kanan) bertanyakan sesuatu kepada penduduk yang rumah mereka terbakar di Flat PKNS 17 Tingkat, Kampung Kerinchi, Lembah Pantai, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin turut merasai kesedihan yang dialami penduduk yang terlibat dalam kejadian kebakaran Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 17 Tingkat di Jalan Kerinchi petang ini.

Mereka berdua turut melawat lokasi penempatan di tengah-tengah ibu kota itu dan dilihat cuba meredakan kesedihan penduduk yang kehilangan harta benda dan hilang tempat berteduh.

"Susulan kejadian ini kerajaan bersetuju memindahkan semua mangsa yang terlibat ke Dewan Komuniti UMNO yang terletak berhampiran flat ini untuk dijadikan penempatan sementara kepada mereka.

"Saya juga meminta pihak TNB (Tenaga Nasional Berhad) memeriksa keadaan flat ini sebelum diduduki semula oleh penduduk bagi memastikan kawasan ini selamat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Enam buah rumah musnah dalam kebakaran yang berlaku di tingkat 17 flat itu.

Sementara itu, Raja Nong Chik berkata, sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian itu, beliau bergegas ke tempat kejadian.

"Selain memberikan penempatan sementara kepada mangsa, kami akan berurusan dengan Yayasan Wilayah Persekutuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan beberapa badan kebajikan untuk membantu mangsa.

"Kami difahamkan bangunan ini mempunyai insurans dan berharap pihak berkenaan dapat menjelaskannya bagi mengurangkan beban penduduk," katanya.

Pasar Chow Kit habitat tikus, ditutup 3 hari selepas Deepavali

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri) turut menikmati kuih-muih tradisional India di sebuah kedai ketika melawat Bazar Deepavali di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup Pasar Raja Bot selama tiga hari berkuat kuasa selepas Deepavali.

Arahan tersebut dikeluarkan ekoran Pasar Raja Bot yang lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit itu menjadi antara tempat pembiakan tikus yang paling tinggi di ibu negara.

Menurut Tengku Adnan, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib mengenai perkara itu dan meminta DBKL memandang serius masalah kebersihan di pasar tersebut.

"Pasar tersebut dikendalikan oleh DBKL, sekiranya kotor dan menjadi tempat pembiakan tikus bagaimana peniaga-peniaga tempat lain mahu menjadikan contoh.

"Saya amat sedih kerana kita telah mengeluarkan notis penutupan sementara kepada premis lain termasuk restoran dan gerai sebelum ini, tetapi tempat DBKL sendiri yang kotor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bazar Deepavali di Lebuh Ampang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan.

Kata Tengku Adnan, peniaga di Pasar Chow Kit juga perlu akur dengan arahan agar tidak boleh membuka perniagaan mereka dalam tempoh itu.

"Peniaga ayam juga diingatkan agar tidak melakukan penyembelihan di dalam pasar sehingga menyebabkan kawasan sekitar kotor dan menjadi tarikan kepada tikus-tikus, " tegasnya.

Tambah beliau, Pasar Pudu juga berada dalam perhatian pihaknya, namun arahan penutupan sementara hanya dikeluarkan ke atas Pasar Chow Kit buat masa ini.

Sementara itu, dalam lawatan tersebut, Tengku Adnan mencadangkan infrastruktur di Lebuh Ampang dapat dinaik taraf memandangkan kawasan itu memiliki sejarah tersendiri di samping tempat tumpuan ramai.

"Kami akan melihat apa yang boleh diperbaiki dan ditingkatkan di kawasan ini, malah saya amat gembira kerana melihat kedai-kedai di sini bersih dan sebuah restoran menjadi tempat pelancong asing menjamu selera," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Kadar baharu cukai MBJB

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 31 Okt. - Bermula 1 Januari tahun depan, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan melaksanakan nilaian dan kadar baharu ke atas semua pegangan bercukai.

Datuk Bandar Johor Bahru, Ismail Karim berkata, kerajaan negeri telah memberi kelulusan tentang perkara tersebut pada 2 Oktober dan diwartakan pada 10 Oktober lalu.

Beliau berkata, senarai nilaian sedia ada adalah berasaskan aras nilaian pada 1995 dan telah 'berusia' 16 tahun.

"Dengan senarai nilaian baharu, rekod-rekod nilai tambah pegangan dapat dikemas kini dan pembayar cukai boleh mendapat gambaran lebih tepat tentang hartanah mereka yang digunakan sebagai asas perkiraan cukai harta yang dibayar mereka.

"MBJB sering menerima rungutan dan bantahan daripada pembayar cukai kerana nilai tambah yang digunakan untuk harta mereka jauh berbeza dengan pasaran semasa," katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB, di sini hari ini.

Bagi jenis pegangan perumahan dan lain-lain, berlaku penurunan sebanyak 0.01 peratus kepada 0.12 peratus berbanding 0.13 peratus kadar cukai sedia ada, manakala bagi perumahan kos rendah, penurunannya adalah sebanyak 0.02 peratus kepada 0.11 peratus berbanding 0.13 peratus kini.

Bagi perumahan rizab Melayu pula, penurunan kadar cukai adalah sebanyak 0.01 peratus menjadi 0.04 peratus berbanding 0.05 peratus sedia ada, manakala tiada sebarang perubahan bagi jenis pegangan tanah pertanian iaitu 0.07 peratus.

Sementara itu, bagi pegangan perdagangan, kadar cukai baharu adalah sebanyak 0.27 peratus berbanding 0.26 peratus iaitu berlaku kenaikan 0.01 peratus manakala perindustrian pula berlaku kenaikan sebanyak 0.02 peratus menjadi 0.30 peratus sebelum 0.28 peratus sedia ada.

Ismail memberitahu, notis tentang nilaian dan kadar baharu itu dalam proses penghantaran kepada semua pemilik harta dan dijangka sampai selewat-lewatnya 21 November ini.

Beliau berkata, bagi pemilik harta yang tidak berpuas hati atau terkilan terhadap nilaian yang dibuat, maka mereka boleh membuat bantahan secara bertulis kepada MBJB sebelum 2 Disember ini.

Tuah Mohammad Yunos bayar cukai awal

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Salehuddin Hassan (dua dari kiri) bersama pemenang hadiah cabutan bertuah pembayar cukai dari kiri, Aminah Ilias yang menerima sebuah motosikal Modenas, Mohammad Yunos Kassim Myssoory memenangi hadiah utama sebuah kereta Perodua MyVi dan Pa'at Taman (kanan) menerima sebuah motosikal Modenas di Skudai, Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 31 Okt. - Sikap gemar membayar cukai harta awal setiap tahun membawa tuah kepada seorang pekerja swasta syarikat penerbangan apabila diumumkan sebagai pemenang hadiah pertama Program Cabutan Bertuah bagi Pembayar Cukai Harta 2013 sempena Sambutan Ulang Tahun Perbandaran Ke-12, Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) baru-baru ini.

Kemenangan tersebut membolehkan Mohammad Yunos Kassim Myssoory, 52, yang membayar cukai sebanyak RM597.80 pada 14 Februari lalu untuk sebuah rumah teres berkembar di Taman Perling, di sini yang didudukinya sejak sembilan tahun lalu membawa pulang hadiah kereta Perodua Myvi.

"Sememangnya saya amat terkejut dengan berita kemenangan ini kerana pada awalnya menyangka menerima surat saman. Malah, saya turut curiga apabila didatangi dua individu tidak dikenali yang rupanya adalah kakitangan MPJBT untuk memberitahu berita itu.

"Namun setelah saya fahami dan lihat kepala surat tersebut yang terkandung lambang MJPBT barulah saya percaya.

"Saya anggap mungkin kali ini rezeki menyebelahi saya kerana sepanjang umur ini adalah kali pertama memenangi hadiah cabutan bertuah seperti ini," katanya selepas majlis penyampaian hadiah berkenaan, di sini.

Hadiah utama itu disampaikan oleh Yang Dipertua MPJBT, Salehuddin Hassan.

Mohammad Yunos yang juga bapa kepada dua cahaya mata bersyukur dengan rezeki yang diterima dan bercadang menghadiahkan kereta itu kepada isteri tercinta, Mhherunisa Ghulamdhagir, 49, untuk memudahkannya menguruskan perniagaan kedai makan mereka.

"Dua tahun lalu, saya membeli kereta Proton Pesona. Jadi, saya bercadang hadiahkan Perodua Myvi ini kepada isteri saya. Lagipun sebelum ini saya yang hantar dia ke tempat kerja dan lepas ini mungkin dapat mudahkan kerjanya.

"Saya juga tidak akan menjual hadiah Perodua MyVi ini kerana anggap kereta ini satu kenangan terindah dalam hidup saya. Jadi, saya akan jaga dan gunakannya dengan sebaiknya. Syukur sangat-sangat dan terima kasih kepada MPJBT," katanya.

Hadiah tempat kedua dan ketiga, masing-masing berupa motosikal Modenas bernilai RM5,000 dimenangi pesara, Paat Taman, 72, dari Taman Universiti dan suri rumah Aminah Ilias, 51, dari Pekan Nanas.

Sementara itu, Salehuddin berkata, program berkenaan yang memasuki tahun ketiga penganjurannya menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah kira-kira RM250,000 kepada 1,000 pembayar cukai yang bertuah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Deepavali penuh tradisi

Posted: 01 Nov 2013 06:34 AM PDT

Oleh SITI AISHAH YUSOFF
gambar FATAH SULAIMAN

Dari kiri, Poonamjit Kaur Darshan Singh, Devia Haresh Kumar dan Manpreet Kaur Balwant Singh bergaya dengan sari tajaan Maya Fashion.

Esok, seluruh penganut Hindu bakal meraikan Deepavali, perayaan yang ditunggu-tunggu dan memberi makna tersendiri dalam kehidupan mereka.

Sebagaimana perayaan lain di negara ini, Deepavali atau lebih dikenali sebagai 'pesta cahaya' juga disambut meriah dengan pelbagai persiapan daripada menyediakan pakaian baru, menghias rumah hinggalah kepada juadah-juadah istimewa.

Deepavali juga sinonim dengan amalan-amalan tradisi yang kekal menjadi ikutan termasuk di kalangan generasi muda seperti tiga gadis cantik ini, Devia Haresh Kumar, 21, Poonamjit Kaur Darshan Singh, 18, dan Manpreet Kaur Balwant Singh , 20-an.

Bagi Devia, yang baru dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Sari Malaysia 2013 (Miss Saree Malaysia 2013) anjuran First Bollywood Studio, kemeriahan sambutan Deepavali sentiasa dinantikan setiap tahun untuk diraikan bersama kaum keluarga dan rakan-rakan.

Anak kelahiran Georgetown, Pulau Pinang ini berkata, persediaan untuk sambutan Deepavali selalunya dilakukan seminggu atau tiga hari lebih awal.

"Tidak meriah Deepavali tanpa kuih dan manisan yang disediakan sendiri oleh ibu. Kebiasaannya, saya akan membantu ibu membuat kuih seperti maruku dan sebagainya, beberapa hari sebelum Deepavali.

"Tidak tidur malam kerana menyiapkan kuih muih dan persiapan untuk sambutan Deepavali sudah menjadi kebiasaan setiap tahun," katanya sambil tersenyum manis.

Menurut Devia, menjadi rutinnya bersama adik-beradik yang lain melakukan aktiviti wajib pada pagi Deepavali.

"Pada sebelah pagi, sebelum pergi ke kuil ibu akan memasak tosai untuk dijamah oleh kami sekeluarga. Kemudian dalam beberapa minit kami akan mandi dengan menggunakan minyak kelapa. Rambut yang disaluti dengan minyak akan dibiarkan sekejap sebelum dibilas dengan air.

"Saat paling indah yang tidak akan dilupakan pastinya apabila dapat berkumpul dengan adik-beradik.

"Pada hari ini juga kami akan berkunjung ke rumah-saudara dan menghabiskan masa berbual serta menjamu selera," jelasnya.

Devia berkata, antara keunikan lain sambutan Deepavali, pelita akan dipasang di sekitar rumah bermula malam Deepavali lagi.

"Membuat 'kolam' dengan menggunakan beras yang diwarnakan dalam pelbagai warna menarik dan bentuk unik antara aktiviti yang akan dilakukan oleh kami sekeluarga," ujarnya.

Menurut gadis manis berambut panjang ini, tidak lengkap perayaan Deepavali jika kaum wanita mahupun lelaki tidak mengenakan pakaian tradisional pada hari tersebut.

"Kebiasaannya pada hari tersebut kami akan memakai pakaian tradisional seperti sari dan sut punjabi dengan pelbagai warna dan gaya yang menarik.

"Saya sendiri gemar memilih memakai sari pada hari tersebut kerana ia nampak cantik, ringkas dan mudah dipakai," jelasnya.

Bergelar Ratu Cantik Sari 2013, Devia mengakui gembira dan tidak menjangka apabila diumumkan sebagai pemenang walaupun pada permulaan pertandingan agak kekok untuk memakai sari dengan pelbagai teknik ikatan.

"Pandangan bahawa sari susah dipakai sebenarnya tidak betul. Selepas mempelajari lebih 70 teknik ikatan sari, saya rasa ia sangat mudah dipakai dan cantik apabila tersarung pada tubuh," katanya.

Sebagai peminat sari, Devia mempunyai misi untuk mempopularkan semula pemakaian sari kepada golongan muda di luar sana.

Sementara itu, sebagai pemenang kedua pertandingan, Poonamjit, mengakui tidak sabar untuk bergaya dengan sari baru pada Deepavali nanti.

Begitupun dia mengakui tidak mempunyai pengalaman memakai sari dengan betul sehinggalah menyertai pertandingan tersebut.

"Saya tidak tahu rupanya ada 80 jenis ikatan sari yang berbeza. Bagi saya sari adalah pakaian yang unik bagi kaum India. Selaku orang muda, saya berasa bertanggungjawab mengekalkan dan memperkenalkan cara pemakaian sari kepada golongan muda di negara ini.

"Apabila mengenakan sari rasa lebih bersemangat, bertambah cantik, seksi dan elegan untuk berjalan di khalayak ramai," jelasnya.

Poonamjit turut mengakui walaupun berketurunan Punjabi, tetapi apabila sambutan Deepavali dia juga turut mengenakan pakaian sari.

Sementara itu Manpreet Kaur yang juga Pengurus First Bollywood berkata, dengan adanya pertandingan Ratu Cantik Sari Malaysia 2013, diharap dapat memperkenalkan pemakaian sari kepada generasi muda sekali gus memelihara keistimewaan pakaian tradisional kaum India itu

"Percayalah, hanya lima minit diperlukan untuk memakai sari. Selain mudah dipakai, ia juga menjadikan wanita tersebut cantik, seksi dan elegan," jelasnya.

Jus pahit rahsia cantik

Posted: 30 Oct 2013 06:27 AM PDT

Oleh NORAZLINA ISMAIL
Gambar SYAHRIL AZMAN ZIN
Solekan & Dandanan ZUL BASTARI

TUTUR kata yang sopan ditambah dengan segaris senyuman manis terukir di bibir memberi persepsi awal bahawa gadis ini seorang yang mesra dan mudah didekati.

Telahan itu ternyata benar apabila Mariyah Yusoff, 29, yang merupakan Pengurus Pembangunan Perniagaan di sebuah syarikat petroleum dan gas di ibu negara begitu sopan menutur kata sewaktu disapa.

Meskipun sibuk dengan kerjaya yang memerlukannya berjumpa dengan orang ramai dan pelanggan serta berkejar ke sana ke sini, Mariyah tetap ligat dan bersemangat.

Tidak lokek berkongsi rahsia kecergasannya, gadis ini memberitahu sentiasa menitikberatkan soal kesihatan dan kecantikan supaya kekal bersemangat dalam apa jua keadaan.

"Saya memang dikenali oleh rakan-rakan sebagai seorang yang sangat teliti tentang apa jua perkara yang membabitkan kesihatan, pemakanan, dan kecantikan.

"Penjagaan kesihatan, pemakanan dan kecantikan memang sudah menjadi agenda kehidupan saya. Sejak kecil lagi saya telah dilatih untuk tidak memandang remeh perkara seperti itu," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Puteri kepada pasangan suami isteri, Yusoff Othman dan Faridah Said ini menambah, amalan gaya hidup sihat yang diterapkan oleh ibu bapa sejak kecil lagi memang berkesan dan membuatkannya tampil cergas bertenaga.

Jujur Mariyah mengakui, tidak lengkap harinya jika tidak melakukan sebarang aktiviti senaman sebelum keluar bekerja.

"Sudah menjadi rutin harian saya akan melakukan sit up sebanyak 200 kali setiap pagi selepas bangun dari tidur.

"Saya juga boleh dilabelkan sebagai 'kaki gym' kerana saya akan pastikan pergi ke pusat kecergasan tersebut empat kali seminggu," katanya.

Selain itu, dia juga mengakui turut mengamalkan minum segelas jus campuran buah-buahan dan sayuran hijau setiap pagi untuk memberikan keselesaan kepada perut dan rahsia mencantikkan kulit.

Kata orang 'alah bisa tegal biasa' kerana memang pada awalnya dia mengalami kesukaran untuk mengambil campuran jus tersebut, namun lama-kelamaan tekaknya sudah boleh menerima minuman berkhasiat itu.

"Sebenarnya ibu saya yang amalkan minum jus campuran pegaga, ulam raja, strawberi, dan epal.

"Masa mula-mula nak minum, memang tekak saya tidak boleh terima sebab pahit dan susah untuk ditelan. Tetapi, selepas lebih setahun mengamalkannya, saya pelbagaikan bahan dalam minuman tersebut seperti kisarkan sekali pisang dan campurkan yogurt untuk hilangkan rasa pahit," katanya.

Ternyata petua yang diamalkan gadis berdarah campuran Siam-Melayu itu berkesan sehingga mampu memiliki kulit yang cantik, sentiasa lembap, licin dan mulus.

Tambahnya lagi, bagi memastikan tubuh badannya kekal langsing, dia juga tidak mengamalkan pengambilan daging dan makanan berlemak dalam menu dietnya, sebaliknya banyak mengambil suplemen dan vitamin C.

Minat bidang peragaan

Sudah namanya cantik, langsing dan tinggi lampai, gadis ini mengakui selain menyandang jawatan Pengurus Pembangunan Perniagaan, dia juga tidak menafikan minatnya terhadap dunia peragaan sukar dipadam.

Mariyah berkata, rasa cinta terhadap dunia peragaan mula mekar ketika usianya menginjak ke angka 23 tahun.

Berkongsi rasa, gadis ini memberitahu di awal pembabitannya dalam bidang peragaan tidak mudah kerana mendapat tentangan daripada keluarga terutama kedua orang tuanya.

"Mereka takut untuk membiarkan saya masuk ke dalam dunia peragaan kerana beranggapan ketika itu bukanlah masa sesuai memandangkan saya sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Malaya.

"Tetapi saya ini seorang yang suka mencabar diri dan saya nekad untuk libatkan dalam bidang peragaan secara sambilan dan hingga sekarang saya masih aktif menerima undangan untuk menjadi model sambilan," katanya.

Jelasnya, kini keluargannya mula menerima kecenderungan dan minatnya itu setelah dia berjaya membuktikan kerjaya dan minatnya boleh berkembang seiringan.

Dalam pada itu, ketika diajukan soalan mengapa tidak memilih kerjaya sebagai peguam, Mariyah memberitahu, kerjaya peguam bukanlah kerjaya impiannya sejak kecil.

"Memang waktu kecil apabila ditanya guru, saya akan beritahu ingin jadi peguam mungkin kerana dorongan dan cadangan daripada keluarga.

"Kemudian saya mengambil jurusan undang-undang di peringkat universiti atas saranan ibu bapa tetapi selepas itu saya mengambil keputusan untuk mencuba kerjaya baru yang lebih mencabar dan memerlukan saya berkomunikasi dengan lebih ramai orang," katanya.

Ingin berniaga

Berkongsi impian dan perancangannya pada lima tahun akan datang, gadis manis ini bercadang untuk memiliki sebuah agensi peragaan sendiri.

"Saya tidak mahu mensia-siakan minat terhadap dunia peragaan begitu saja sebab itu saya merancang untuk mengembangkan minat itu dalam bentuk perniagaan.

"Saya juga bercadang untuk membuka perniagaan menjual barangan berasaskan wanita dan mahu menghasilkan produk atas jenama sendiri suatu hari nanti," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Penjara mendidik bukan mendera

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

Banduan diberi penerangan tentang cara memandikan jenazah dalam kursus pengurusan jenazah di Institut Pemulihan Dadah Jelebu, baru-baru ini.

JELEBU 31 Okt. - Kehidupan di sebalik jeriji besi selalunya dikisahkan orang awam sebagai 'dunia gelap' dan sudah tidak punya harapan lagi untuk meneruskan masa hadapan yang lebih baik.

Malah ada yang beranggapan, sesiapa sahaja yang diperintah menerima hukuman penjara itu akan terus dilabel sebagai banduan dan apabila bebas kelak tidak ada siapa yang berani menggajikan mereka apatah lagi mendampingi orang awam.

Apa pun, itu hanya persepsi yang harus ditolak biarpun ada dalam kalangan bekas banduan yang kembali kepada 'kerja asal' dan sukar dipulihkan.

Apa yang jelas, sebenarnya kehidupan dalam jeriji besi itu bertujuan membentuk sahsiah diri, mendidik banduan melewati kesilapan yang pernah mereka lakukan serta kembali ke dalam masyarakat sebagai insan yang baik.

Penguasa Penjara di Institut Pemulihan Dadah Jelebu, Amer Shariffudin Mat Nor berkata, banduan sendiri perlu ada kehendak dan kemahuan untuk berubah kerana tembok batu dan jeriji itu dilihat penghalang dalam kehidupan mereka jika terus berdegil.

"Kita berikan mereka ilmu, didikan agama serta tanggungjawab sebagai manusia yang baik. Kita tidak mahu apabila banduan ini bebas kelak, masyarakat terus mencemuh kerana diri mereka sendiri tidak mahu berubah.

"Banduan yang menjalani hukuman di institusi pemulihan ini bukan sekadar menjalani hukuman penjara tetapi diberikan pelbagai kemahiran agar mereka mampu berdikari kelak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Amer Shariffudin berkata, di institusi pemulihan itu terdapat sebanyak 500 orang banduan yang kebanyakannya terlibat dengan kes dadah.

"Benar apabila kita sebut penjara, orang awam beranggapan banduan ini meringkuk dalam bilik kecil, dikurung dan sebagainya.

"Itu silap, mereka kita didik dengan pelbagai ilmu, diberikan modul kerohanian dan aspek agama. Dalam masa yang sama, banduan akan mengikuti pelbagai kursus kemahiran," tegasnya.

Jelas beliau, institusi pemulihan ini disediakan kemahiran seperti bengkel pertukangan kayu, anyaman rotan, kimpalan dan jahitan.

"Ada juga banduan yang terlibat dalam pertanian dan penternakan. Kita ada projek penternakan lembu, kambing dan ikan air tawar. Projek nanas kita mendapat kerjasama daripada Lembaga Nanas Malaysia," tegasnya.

Kata Amer Shariffudin, sebagai penguasa, beliau dibantu oleh 200 anggota dan pegawai yang akan sentiasa memberikan nasihat, panduan dan teguran kepada semua banduan.

"Bukan mudah untuk membawa seseorang yang tegar dalam kes dadah ini untuk kembali ke pangkal jalan. Ini memerlukan banyak kesabaran. Apa yang kami lakukan di sini ialah melayan mereka seperti 'ahli keluarga' sebagai pendekatan ke arah perubahan yang lebih baik.

"Dalam masa sama, kami bertegas melaksanakan peraturan dan undang-undang dalam penjara ini. Itu tidak akan kami kompromi," katanya.

Apa pun, katanya, amat mengecewakan apabila ada banduan yang bebas tetapi kembali ke dalam penjara.

"Ada yang degil dan tidak mahu ikut nasihat. Yang masuk semula ke penjara ini, itu adalah banduan yang tidak serik dengan hukuman. Ada juga yang insaf dan kini hidup dengan lebih berjaya," kata beliau.

Dadah musnahkan kehidupan Amir, Mat dan Murty

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Ilmu agama dan nilai-nilai murni kehidupan turut diterapkan ke dalam diri setiap banduan dengan harapan mereka mampu menjadi insan berguna kepada keluarga, masyarakat dan agama.

JELEBU 31 Okt. - "Saya telah mengazankan anak sulung yang baru berusia 12 hari di hadapan mahkamah. Saya insaf dan tidak mahu lagi terlibat dengan dadah".

Amir (bukan nama sebenar) yang kini berusia 28 tahun adalah antara penghuni penjara di Institut Pemulihan Dadah Jelebu meluahkan perasaan itu di hadapan wartawan Utusan Malaysia sewaktu mengimbas kekesalannya kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

"Saya dihukum penjara lapan tahun dan menerima 20 sebatan kerana terlibat menjual dadah. Saya tidak dapat melihat anak saya membesar. Saya kesal," katanya dalam nada sedih.

Amir memulakan kisah hitamnya dengan memberitahu, dia mula mengenal dadah pada usia 15 tahun.

"Pada masa itu, saya ingin mencari sesuatu 'projek' yang boleh menambah wang saku. Oleh kerana dadah ada permintaan yang tinggi dan projek 'wang cepat', maka saya memberanikan diri menjual dadah itu kepada rakan-rakan," kata anak kedua daripada lima beradik ini.

Tambahnya, selepas melihat sambutan yang baik, dia mencuba pula dadah yang dahulunya hanya untuk tujuan dijual kepada rakan-rakan sebaya.

"Bila cuba kali pertama, terasa 'melayang'. Semakin hari bertambah khayal dan seronok. Saya tidak boleh berpatah balik kerana dadah sudah melekat dalam diri saya.

"Akhirnya ibu dan ayah saya mengetahui perkara ini dan mereka begitu kecewa. Anaknya sudah terjebak dalam kancah dadah," ujarnya.

Ketika itu, katanya, dia ' melihat' ibu dan ayahnya merampas segala kemewahan hidup yang diperoleh hasil penjualan dadah ini.

"Saya marah, menengking kepada ibu dan ayah. Saya selalu katakan yang saya sudah dewasa dan tidak mahu mereka mencampuri urusan kehidupan saya," jelasnya.

Pada 2007, Amir bertunang dan melebarkan aktiviti penjualan dadah sehingga ke sempadan Thailand.

Pada tahun 2009 pula, dia mendirikan rumah tangga walaupun isterinya tahu yang dia terlibat dalam kegiatan dadah.

"Saya hidup cukup mewah dan kerana bimbang kegiatan ini dihidu, saya mula bekerja dan menerima tempahan membaiki peralatan elektrik sebagai mengaburi perhatian pihak berkuasa," ujarnya.

Jelas Amir, ibarat pepatah sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga, dia dan isteri akhirnya ditahan pihak berkuasa ketika sedang mengedar dadah.

"Kami berdua direman 10 hari dan paling menyedihkan ketika itu isteri saya mengandung enam bulan. Selepas tamat tempoh reman, isteri saya dibenarkan pulang dan ibu saya hampir pengsan selepas mahkamah menjatuhkan saya hukuman mati.

"Alhamdulillah, selepas rayuan, hukuman dikurangkan dan kini saya berada di Jelebu untuk menjalani hukuman itu. Inilah akibat terlalu tamak dan mahu mencari wang dengan mudah. Isteri saya telah membuat tuntutan cerai dan kami sah bercerai pada awal tahun ini," katanya.

Katanya, walaupun hidup dalam jeriji besi, dia telah menerima didikan dalam aspek kemahiran dan agama untuk menjadi insan yang lebih baik.

Sementara itu, seorang lagi penghuni, Mat, 23 (bukan nama sebenar), menjelaskan dia bukan tidak mahu belajar dari kesilapan namun ditahan untuk kali ketiga akibat terpengaruh dengan rakan-rakan lama.

"Sudah tiga kali saya ditahan atas kesalahan yang sama dan masih mengambil dadah kerana tertekan.

"'Bila tiada siapa yang mahu memberikan saya kerja dan orang ramai menjauhkan diri daripada saya. Tiada jalan lain selain mencari semula rakan lama. Akhirnya saya terjebak sekali lagi," katanya.

Bagi Murty, 46 (juga bukan nama sebenar), dari Rawang pula, dia ditahan untuk kali ketiga akibat penyalahgunaan dadah dan menjadikan alasan terpengaruh dengan rakan lama sebagai sebab utama kembali menagih.

"Bila di penjara saya selalu menyimpan hasrat untuk menjadi insan yang baik jika dibebaskan nanti. Namun, saya gagal dan mula menghisap dadah apabila bertemu dengan rakan lama.

"Saya memperoleh pelbagai ilmu di sini termasuk belajar menjahit pakaian dan menternak lembu," katanya.

Menurutnya, dia akan dibebaskan Disember ini dan merancang untuk memulakan kehidupan baharu.

"Saya akan berpindah ke kawasan baharu dan menghabiskan masa bersama tiga cucu yang masih kecil," katanya.

Struktur semula persatuan nelayan

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanmelaka@utusan.com.my

Hasan Rahman (kiri) menyampaikan kunci kepada wakil LKIM Melaka sebagai simbolik penyerahan bangunan dan kemudahan awam yang dinaik taraf dengan kos RM5.8 juta di Jeti Kuala Sebatu, Sungai Rambai, Jasin, Melaka, kelmarin.

JASIN 31 Okt. - Persatuan nelayan di negeri ini akan melalui proses penstrukturan semula supaya pengurusannya lebih cekap dan tersusun sekali gus membawa imej baharu kepada persatuan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, persatuan itu akan disusun mengikut daerah dan cawangan masing-masing bagi memudahkan segala urusan berkaitan nelayan.

Menurutnya, persatuan yang sedia ada ketika ini terbahagi kepada dua iaitu Persatuan Nelayan Melaka Selatan dan Melaka Barat yang bernaung di bawah Persatuan Nelayan Negeri Melaka.

"Sudah tiba masanya untuk kita menubuhkan persatuan nelayan mengikut daerah iaitu Jasin, Alor Gajah dan Melaka Tengah dengan jumlah ahlinya yang lebih kecil dalam sesebuah persatuan.

"Penyusunan yang bakal dilaksanakan ini dilihat lebih sistematik dan berbeza dengan situasi sekarang sebagai contoh nelayan dari Sungai Rambai hingga ke Bukit Rambai diuruskan oleh Persatuan Nelayan Melaka Selatan.

"Hal ini memperlihatkan pentadbiran kita nampak seperti tidak tersusun kerana terlalu ramai ahli di bawah satu persatuan yang sama berbanding perubahan yang bakal dilaksanakan nanti tampak lebih teratur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bangunan dan Kemudahan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) di Jeti Kuala Sebatu, Sungai Rambai, di sini semalam.

Walau bagaimanapun, Hasan berkata, struktur baharu persatuan nelayan itu dijangka dilakukan selepas memperoleh semua senarai daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

"Usaha mengadakan perubahan bertujuan memudah dan melicinkan pentadbiran merangkumi aktiviti nelayan, khidmat nasihat bagi permasalahan dihadapi serta kebajikan nelayan supaya lebih terbela," katanya.

Tambahnya, menerusi rombakan berkenaan di setiap daerah akan mempunyai cawangan-cawangan persatuan nelayan yang lengkap dengan struktur jawatankuasa pembangunan nelayan selain mencadangkan Jeti Kuala Sebatu sebagai lokasi persatuan di daerah Jasin.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Maklumat sulit ketenteraan negara selamat - PAT

Posted: 01 Nov 2013 01:43 AM PDT

ZULKIFELI Mohd Zin berucap merasmikan penutup Eksesais Setia Padu 1/2013 di Gebeng, Kuantan hari ini. Eksesais Setia Padu merupakan satu latihan yang pertama kali diadakan serta menggabungkan Angkatan Tentera Malaysia, ageni kerajaan dan NGO bagi mengukur tahap kesiapsiagaan dan menilai mekanisme pengurusan bencana secara menyeluruh. - UTUSAN

KUANTAN 1 Nov. - Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata setakat ini tiada kebocoran membabitkan maklumat dan rahsia ketenteraan negara kepada pihak asing.

Beliau berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai pendekatan tertentu untuk mengekang perkara itu selain sentiasa mempertingkat kewaspadaan.

Setakat ini rahsia ketenteraan negara selamat, katanya kepada pemberita selepas menutup program Eksesais Setia Padu ATM bersama agensi keselamatan lain seperti polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam bagi menangani bencana alam di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan, Gebeng, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani.

Beliau ditanya mengenai dakwaan bekas ejen Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA) Edward Snowden yang mengatakan Amerika Syarikat menggunakan kedutaan Australia, Britain dan Kanada untuk memintas panggilan dan data beberapa negara Asia termasuk China, Indonesia dan Malaysia.

Mengulas lanjut, Zulkifeli turut memberi jaminan bahawa latihan eksesais ATM bersama angkatan tentera asing tidak akan menyebabkan kebocoran maklumat.

Mengenai program itu, Zulkifeli berkata ATM menerusi Majlis Keselamatan Negara akan meneruskan latihan eksesais tersebut setiap dua tahun bagi memantapkan prosedur menyelamat sebagai persediaan menghadapi bencana alam.

"Program yang pertama kali kita adakan hari ini akan diperbesarkan lagi ke tempat-tempat yang kerap berlaku bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh di negara ini," katanya. - BERNAMA

KDN arah henti ambil pengawal keselamatan sementara

Posted: 01 Nov 2013 12:23 AM PDT

Oleh AMRAN MULUP

MELAKA 1 Nov. - Syarikat kawalan keselamatan tidak lagi dibenarkan mengambil pengawal keselamatan berjawatan sementara kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurutnya, langkah itu diambil adalah sebahagian daripada tindakan drastik kementerian berikutan kejadian pengawal keselamatan melakukan rompakan masih terus berlaku.

Beliau berkata, kementerian memandang serius berhubung kejadian yang menimpa pegawai bank operasi AmBank, Allahyarham Norazita Abu Talib, bulan lalu dan terbaharu, seorang pengawal keselamatan merompak sebuah kedai emas yang berlaku di Setapak semalam.

"Saya akan meminta unit keselamatan kementerian untuk memaklumkan kepada semua syarikat keselamatan di seluruh negara agar tidak lagi membuat pengambilan pengawal keselamatan berjawatan sementara.

"Ada pelanggan terdesak inginkan pengawal keselamatan dan syarikat kawalan keselamatan tanpa berfikir panjang terus melantik mereka sebagai pekerja sementara dan ini tidak lagi dibenarkan oleh kementerian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Penjara Malaysia ke-206 di Dataran Sejarah Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Setiausaha Kanan (Pengurusan), Datuk Daud Tahir; Ketua Pengarah Penjara, Komisioner Datuk Sri Zulkifli Omar; Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Komisioner Jeneral Datuk Hassan Sakimon.

Wan Junaidi berkata demikian mengulas mengenai kejadian terbaharu di Setapak semalam apabila seorang pengawal keselamatan yang baharu sebulan bekerja, bertindak nekad merompak sebuah kedai emas di dalam pusat beli-belah KL Festival City. - UTUSAN ONLINE

Jangan takutkan rakyat jika diri sendiri tidak faham GST

Posted: 31 Oct 2013 11:36 PM PDT

YAN 1 Nov. - Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini membidas sesetengah pemimpin pembangkang yang sebenarnya tidak memahami sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) namun cuba menakut-nakutkan rakyat mengenainya.

Beliau berkata pemerhatiannya mendapati kebanyakan pemimpin tertinggi pembangkang memahami konsep GST, malangnya maklumat itu tidak sampai ke peringkat pemimpin pertengahan.

"Mereka inilah yang menakut-nakutkan rakyat sebab mereka sendiri tidak berapa faham tentang GST tetapi bercakap mengenai GST dalam ceramah-ceramah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Hari Bersama Pelanggan kementerian itu di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Ismail Kassim.

Dalam pada itu Mahdzir meminta masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau agar mempertimbang secara keseluruhan pembangunan yang dinikmati mereka ketika Kedah ditadbir Barisan Nasional (BN) dan juga ketika berada di bawah kerajaan Pas.

"Saya serahkan pada masyarakat untuk menilai sendiri secara keseluruhan dari segi pembangunan yang telah dibawa," kata Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah.

Isnin ini, 27,222 pengundi di DUN Sungai Limau akan memilih wakil baharu mereka antara calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan calon PAS Mohd Azam Abd Samat. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Landskap Ipoh berubah wajah

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

Roshidi Hashim (kiri) melihat pemandangan Ipoh dari salah satu tingkat Hotel Symphony Suite di Ipoh, kelmarin.

IPOH 31 Okt. - Pembangunan 268 projek komersial di bandar raya ini sejak enam tahun lalu telah berjaya merubah wajah dan landskap Ipoh sebagai ibu negeri.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, 268 projek itu merupakan sebahagian daripada 468 projek bangunan komersial yang diluluskan pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sejak tahun 2007.

Menurutnya, projek yang telah siap sepenuhnya itu dilihat berpotensi menjadi satu tarikan baharu, selain menarik perhatian masyarakat luar datang ke negeri ini.

"Saya penuh yakin bandar raya Ipoh akan terus membangun dengan wujudnya lebih banyak bangunan komersial termasuk hotel.

"Itulah yang kita harapkan semasa meluluskan setiap cadangan yang dipohon dulu. Kita mahu bandar raya ini kembali menyinar, sekali gus menarik ramai pelancong luar datang ke sini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Symphony Suites Hotel di sini semalam.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Symphony Suites Hotel, Lee Chee Ming dan dua Pengarahnya, Datuk Seri Richard Tan dan Marc Khoo serta Pengurus Besar, Thayundi Intachat.

Menurut Roshidi, lebih membanggakan kebanyakan projek komersial yang dibangunkan di bandar raya ini adalah hasil daripada pelaburan anak tempatan.

Katanya, ini secara tidak langsung menunjukkan golongan berkenaan yakin terhadap pembangunan dan potensi yang dimiliki di negeri ini.

Sementara itu, Roshidi berkata, pelancongan merupakan sektor yang sangat dinamik dari segi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), penjanaan pekerjaan dan tukaran asing.

Katanya, di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), sasaran-sasaran yang telah ditetapkan bagi sektor pelancongan adalah untuk memperbaiki kedudukan Malaysia menjadi antara 10 negara teratas dari segi pendapatan pelancongan global.

"Oleh itu, saya amat yakin dengan perasmian hotel butik perniagaan Symphony Suites ini akan merancakkan lagi sektor pelancongan dan ekonomi di bandar raya Ipoh.

"Dengan segala kemudahan yang ada seperti hotel, pusat beli-belah dan bermacam-macam lagi, pasti ini menjadi satu tarikan baharu pelancong datang ke sini," katanya.

Pulau Pinang tidak dipinggir dalam bajet

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Oleh ZABRY MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

Zainal Abidin Osman menyampaikan anugerah kepada salah seorang pemenang dalam majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum peringkat negeri di Kepala Batas, semalam.

KEPALA BATAS 31 Okt. - Kerajaan tidak pernah meminggirkan pembangunan negeri yang ditadbir pembangkang termasuk Pulau Pinang malah menyediakan peruntukan besar dalam Bajet 2014.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, untuk tahun depan, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM880.65 juta bagi melaksanakan beberapa projek baharu di negeri ini.

Sehubungan itu, menurutnya, dakwaan Ketua Menteri, Lim Guan Eng kononnya Pulau Pinang tidak disediakan sebarang peruntukan dalam Bajet 2014 adalah tidak benar.

"Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menyebut perkataan Pulau Pinang ketika membentangkan Bajet 2014, kesemua manfaat yang Kerajaan Persekutuan sediakan untuk negeri ini adalah sesuatu yang terjamin.

"Kerajaan DAP Pulau Pinang tolong jangan bersangka buruk dengan Kerajaan Persekutuan. Tanpa mengira fahaman politik, kita terus bantu rakyat Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum peringkat negeri di sini hari ini.

Guan Eng baru-baru ini mendakwa Bajet 2014 tidak menawarkan sebarang peruntukan kepada Pulau Pinang.

Zainal Abidin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri memberitahu, antara pembangunan yang bakal dilaksanakan di Pulau Pinang tahun depan adalah 21 projek di bawah Kementerian Pelajaran dengan kos sebanyak RM77.62 juta.

Tambahnya, turut akan dilaksanakan adalah lima projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (RM24.80 juta), dua projek Kementerian Kesihatan (RM270 juta), dua projek Kementerian Kerja Raya (RM455 juta) serta satu projek Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (RM20 juta).

Projek-projek baharu lain, katanya, termasuk di bawah Jabatan Perdana Menteri (RM7 juta), Kementerian Pelancongan (RM2.5 juta), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (RM5.23 juta) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (RM1.7 juta).

Selain projek baharu, tambah beliau, Kerajaan Persekutuan juga meneruskan beberapa projek mega seperti pembesaran Empangan Mengkuang yang menelan belanja RM1.2 bilion, pembinaan landasan berkembar elektrik Ipoh-Padang Besar (RM2.066 bilion) dan Jambatan Kedua Pulau Pinang (RM4.5 bilion).

Projek tebatan Beriah kurangkan banjir daerah Kerian

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

BAGAN SERAI 31 okt. - Masalah banjir yang kerap melanda daerah Kerian dekat sini, berjaya diatasi sejak siapnya projek tebatan banjir di Beriah setahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat berkata, perkara itu terbukti selepas hanya sebilangan kecil penduduk yang terjejas akibat banjir yang melanda di daerah itu baru-baru ini.

Beliau berkata, sebelum siapnya projek tebatan berkenaan, daerah itu kerap dilanda banjir teruk sehingga melibatkan jumlah mangsa yang tinggi.

"Namun setelah siapnya projek tebatan banjir di Beriah setahun lalu, tiada lagi kejadian banjir teruk di daerah ini seperti yang berlaku pada 2003 dan 2006.

"Sebelum ini, setiap kali banjir banyak kawasan terjejas sehingga beratus-ratus orang terpaksa dipindahkan dan jumlah kemusnahan harta benda yang agak tinggi," katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan RM300 seorang kepada 16 mangsa banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah itu di sini baru-baru ini.

Beberapa kawasan di daerah itu dilanda banjir baru-baru ini termasuk Parit Simpang Lima dan Parit Simpat Empat manakala laluan di Kilometer (KM) 13 hingga KM 17 Changkat Lobak-Matang Pasir di sini, yang ditutup sementara akibat ditenggelami air.

Selain wang tunai, mangsa banjir juga menerima sumbangan barang makanan daripada Yayasan Bina Upaya (YBU) Perak.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Syarikat perumahan turut terlibat?

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

WIEF jadi jenama global - PM

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Lagi pengawal merompak - KPN

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved