Khamis, 17 Oktober 2013

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Bajet kawin mahal

Posted: 16 Oct 2013 11:07 PM PDT

Peraduan Gerbang Cinta anjuran Mega, Utusan Malaysia menyaksikan pasangan yang memenangi peraduan ini mendapat tajaan sepenuhnya bagi pakej perkahwinan yang dirancang.

MAKA tidak hairanlah ada yang membelanjakan ratusan ribu ringgit dan sanggup berhutang semata-mata mahu tetamu yang hadir kagum dengan majlis perkahwinan mereka.

Ini kerana, kata orang setiap 'keindahan' ada nilainya dan begitu juga dengan keinginan pasangan pengantin untuk memiliki sebuah majlis perkahwinan yang indah, sempurna dan gilang-gemilang. Justeru, pilihan di tangan bakal pengantin, kerana zaman sekarang semuanya memerlukan duit.

Peningkatan kos yang tinggi menyebabkan ada yang berpendapat belanja perkahwinan hari ini semakin lama semakin mahal.

Sebenarnya isu kos kahwin mahal tidak akan wujud jika pasangan bakal pengantin mahupun ibu bapa pengantin bersikap realistik dalam soal penetapan bajet untuk sesuatu majlis perkahwinan.

Bak kata pepatah, 'ukur baju di badan sendiri'. Jika pasangan bakal pengantin dan ibu bapa mereka mampu dari segi kewangan maka tidak menjadi kekangan kepada mereka untuk menyediakan sebuah majlis perkahwinan yang mewah dan besar-besaran.

Tetapi, bagi mereka yang tidak mempunyai bajet yang begitu besar, eloklah bersederhana kerana dalam kesederhanaan juga anda boleh memiliki sebuah majlis perkahwinan yang meriah.

Perunding perkahwinan Precious Moment Collection, Izzuddin Karso berkata, bakal pengantin yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan perlulah berunding terlebih dahulu dengan pihak perunding majlis bagi memastikan keinginan mereka sepadan dengan bajet yang ada.

"Perkara pertama yang saya tekankan kepada setiap bakal pengantin yang ingin mendapatkan perkhidmatan perunding perkahwinan adalah bajet mereka.

"Sebab itu, pada peringkat awal kita akan adakan rundingan bagi mengetahui kehendak mereka dan bajet yang mereka ada supaya mereka faham apa yang akan mereka dapat dengan bajet yang sebegitu," katanya.

Izzuddin yang telah 13 tahun menjadi perunding perkahwinan memberitahu, kos perkahwinan menjadi mahal disebabkan atas beberapa faktor.

Katanya, kos sesuatu perkhidmatan itu menjadi tinggi kerana pihak perunding perkahwinan sendiri terpaksa mengeluarkan kos mereka bagi menampung perbelanjaan pengangkutan dan upah pekerja.

"Sebagai perunding perkahwinan kami hanya mengikut kehendak pelanggan dan saya sendiri tidak akan mengeluarkan sebut harga jika tidak berbincang terlebih dahulu dengan mereka.

"Orang sekarang nak macam-macam, jadi bila mereka mahu kesemua kehendak itu dipenuhi kita akan ikut dan sebab itu kos menjadi tinggi kerana banyak bahan seperti bunga dan aksesori hiasan lain perlu digunakan.

"Bagaimanapun, bagi mereka yang mempunyai bajet perkahwinan yang sederhana pula tidak perlu bimbang kerana mereka juga boleh mendapatkan majlis perkahwinan yang indah dengan cara meminimakan penggunaan perhiasan tertentu supaya majlis tampak ringkas tapi tetap cantik," ujarnya.

Berkongsi pandangan sama, pemilik butik pengantik De Sri Klasik, Mokhida Moktar, 40, pula berkata, pelanggan tidak perlu bimbang soal harga kerana banyak pilihan yang disediakan bergantung kepada bajet mereka.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Kak Long memberitahu, stigma negatif sesetengah bakal pengantin yang tidak yakin dengan pakej perkahwinan yang murah perlu dielakkan.

"Berdasarkan pengalaman saya, kadang-kadang pelanggan sendiri tidak yakin untuk ambil pakej yang murah dengan alasan mereka takut pihak butik tidak mampu hasilkan pelamin, hiasan dan majlis yang menarik.

"Sebenarnya, dalam seni menghias dan mendandan biasanya melibatkan kreativiti dan jika seseorang perunding perkahwinan atau mak andam itu kreatif maka dia juga boleh hasilkan yang terbaik tanpa memerlukan kos yang banyak," katanya.

Tambahnya lagi, pasangan pengantin perlu merancang dengan bijak dan tidak mengikut nafsu semata-mata kerana pada hakikatnya mereka memerlukan peruntukan kewangan yang lebih besar selepas berumah tangga nanti.

"Walaupun saya perunding perkahwinan, tetapi saya juga tidak lokek menasihati pasangan pengantin muda supaya bersikap rasional dan berjimat cermat dalam memilih pakej perkahwinan.

"Ini kerana kebanyakannya bukanlah datang daripada keluarga berada dan sebab itu saya katakan pilih pakej yang mereka mampu, jangan berlebihan kerana walaupun murah, kami sebagai perunding pastinya tetap akan berikan sentuhan terbaik kepada pelanggan," ujarnya.

Mokhida berkata, pakej biasa yang ditawarkan kebanyakan butik pengantin adalah sebanyak RM3,500 untuk set pelamin biasa, sepasang baju dan solekan.

Selain itu, faktor tempat berlangsungnya majlis juga boleh menyebabkan kos perkhidmatan meningkat. Jelasnya, kos pemasangan pelamin dan hiasan lain akan menjadi lebih tinggi jika sesebuah majlis itu diadakan di dewan berbanding di rumah.

"Contohnya jika majlis di dewan, pelamin sudah tentulah lebih besar, bahan hiasan lebih banyak diperlukan dan kos pengangkutan dan pekerja perlu lebih ramai.

"Perkara ini yang menyebabkan kos sesebuah majlis perkahwinan menjadi mahal," ujarnya.

Sementara itu, pasangan pengantin, Norlaili Zakaria, 26, dan Muhamad Arif Sulaiman, 28, berkata, setiap bakal pengantin harus menyediakan bajet secara bertulis.

Menurut Norlaili, dia dan suami menyediakan bajet tiga bulan lebih awal bagi memastikan mereka tidak bercelaru untuk membuat pilihan pakej perkahwinan yang bersesuaian dengan kemampuan mereka.

"Bajet ini penting untuk membuat perancangan kewangan seperti sewa tempat perkahwinan, katering, pelamin dan pakaian yang akan dipakai pada majlis itu nanti.

"Kami juga akan mendahulukan perkara yang penting dan tidak berlebihan dalam semua perkara kerana apa yang penting kepuasan tetamu yang hadir," katanya. - NORAZLINA ISMAIL

Snek ringkas untuk kanak-kanak

Posted: 16 Oct 2013 11:07 PM PDT

Oleh NORAZLINA ISMAIL
Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI

Ettakunisa Rohani (kiri) dan Mansor Mohd. Amin (kanan) serta anak-anak menyediakan biskut yang sesuai dengan cita rasa kanak-kanak.

KREATIF dalam menghasilkan biskut dan snek yang ringkas dan menarik untuk kanak-kanak telah menjadikan produk keluaran Enyneesa Bakery & Catering begitu mendapat sambutan.

Pengusahanya, Ettakunisa Rohani, 41, berkata, kebanyakan biskut keluarannya berasaskan coklat dan diolah supaya sesuai dengan cita rasa kanak-kanak.

"Snek coklat cornflakes antara yang paling mendapat sambutan kerana saya memang mensasarkan snek tersebut kepada pelanggan kanak-kanak.

"Saya suka buat biskut atau snek yang ringkas supaya biskut ini tidak hanya sesuai dimakan pada hari raya sahaja sebaliknya boleh dimakan ketika menonton televisyen atau aktiviti riadah lain," katanya ketika di temui pada Karnival Usahawan Desa 2013 di Putrajaya, baru-baru ini.

Menurut Ettakunisa, sebanyak 500 balang snek coklat cornflakes berjaya dijual setiap bulan.

Katanya lagi, selain biskut dan snek dia juga turut menjual cream puff, cheese tart, fruit tart, cup cake, kek ising dan kek moden.

Tambahnya, dia bertuah kerana turut berkongsi minat yang sama dengan suami, Mansor Mohd. Amin, 45, dan empat lagi anaknya yang sentiasa membantu menyiapkan setiap tempahan pelanggan.

"Keempat-empat anak saya memang ringan tulang membantu kerana kalau saya seorang pasti tidak menang tangan.

"Mereka akan bantu saya menyediakan 1,500 cream puff setiap hari untuk dipasarkan," katanya.

Mereka yang berminat untuk membuat tempahan boleh menghubungi Ettakunisa di talian 014-7759323 atau berkunjung ke No. 3, Kompleks IKS Jalan Lingkaran Taman Sri Lambak 86000, Kluang Johor.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


DBKL bangunkan hutan rekreasi

Posted: 17 Oct 2013 10:56 AM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

Peserta Program Tautan Rimba Alam menanam pokok sebagai usaha mengindahkan Taman Rimba Bukit Kerinchi, Kuala Lumpur, kelmarin.

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Hutan Simpan Taman Rimba Bukit Kerinchi bakal menjadi tumpuan warga kota pada hujung minggu apabila pembangunan fasa keduanya sebagai taman rekreasi siap tidak lama lagi.

Taman Rimba tersebut adalah antara 14 buah taman rekreasi di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dipelihara kehijauan dan sumber alam semula jadinya bagi membolehkan pembangunan seimbang dilaksanakan di ibu negara.

Pembantu Pertanian Jabatan Landskap dan Rekreasi DBKL, Badarin Basir berkata, segala kemudahan di sekitar taman itu akan dibaik pulih dan dipertingkatkan demi keselesaan pengunjung.

"Kawasan ini agak terbiar selama ini kerana kami terpaksa bergantung kepada peruntukan yang ada untuk memulihara dan menjaganya, tetapi DBKL akan berusaha untuk membangunkan semula hutan rekreasi ini," katanya ketika ditemui dalam Program Tautan Rimba Alam di Hutan Simpan Taman Rimba Bukit Kerinchi, di siini.

Baru-baru ini, DBKL menjalinkan kerjasama dengan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Kampus Wilayah untuk menjalankan Program Tautan Alam yang melibatkan 50 peserta dari Kursus Diploma Pengurusan Awam Intan Kampus Wilayah Timur (Intim).

Antara aktiviti-aktiviti yang mereka jalankan bersama penduduk sekitar hutan simpan itu termasuklah gotong-royong membersihkan kawasan taman, menanam anak-anak pokok hutan dan membersih serta menyenggara pokok-pokok.

Badarin tidak menafikan banyak infrastruktur dan kemudahan-kemudahan asas di hutan rekreasi itu telah rosak, termasuk lampu jalan dan pondok pengawal.

Selain itu, katanya, tidak ramai yang mengetahui kedudukan dan jalan masuk ke situ kerana agak tersorok daripada pandangan.

"Oleh itu DBKL sangat mengalu-alukan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta untuk membantu dan menyokong DBKL dalam apa juga bentuk bagi menjadikan hutan simpan ini sebagai sebuah hutan rekreasi yang bakal menjadi tumpuan dan kunjungan warga kota untuk tujuan riadah, berkelah dan sebagainya," katanya.

Sementara itu Pengarah Program Tautan Alam, Mohamad Fauzan Shafii berkata, program itu dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan dan penghargaan terhadap alam sekitar yang begitu penting dalam kehidupan manusia.

"Peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) bukan sahaja melihat soal pentadbiran negara sebagai keutamaan dalam tugas mereka malah mereka juga merupakan golongan yang mencintai alam sekitar yang akan diperjuangkan daripada menjadi mangsa pembangunan yang rakus," katanya.

Kakitangan Syabas laksana korban

Posted: 17 Oct 2013 10:56 AM PDT

Abdul Halem Mat Som (empat dari kiri) dibantu kakitangan Syabas melapah daging korban pada Majlis Ibadah Korban dan Akikah anjuran Peka di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Ibadah korban terus dilaksanakan oleh Umat Islam di sekitar Lembah Klang sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Hari ini, seramai kira-kira 70 warga kerja Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd (Syabas) melaksanakan ibadah korban dan akikah anjuran Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (Peka) di pekarangan ibu pejabat Syabas, di sini.

Presiden Peka, Zainuddin Othman berkata, sebanyak enam ekor lembu dan dua ekor kambing telah disembelih dan dilapah secara bergotong royong di peringkat ibu pejabat.

Menurutnya, majlis seumpamanya turut diadakan di sembilan lagi Wilayah Syabas melibatkan 16 ekor lembu korban.

"Ibadah korban itu dilaksanakan secara bergotong royong bermula dengan kerja-kerja menyembelih, melapah, memotong daging dan mengagihkan daging korban kepada golongan yang kurang kemampuan.

"Daging korban ini turut diagihkan kepada beberapa golongan kurang berkemampuan dan miskin.

"Selain penghuni Rumah Anak- anak Yatim Al Kadim, Rumah Anak Yatim Darul Quraq di Jalan Kebun Kelang, Rumah Anak Yatim Besraya Sungai Besi dan Persatuan Ibu Tunggal Kampung Medan, daging korban turut diagih kepada warga Syabas,"katanya.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som.

Tambah Zainuddin, ibadah korban dilaksanakan setiap tahun sejak Syabas mengambil alih pengurusan pembekalan air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada tahun 2005.

"Di samping melaksanakan tanggungjawab sebagaimana yang dituntut oleh agama, majlis seperti ini merapatkan lagi hubungan dalam kalangan kakitangan syarikat,"katanya.

Penduduk bimbang pokok hempap rumah

Posted: 17 Oct 2013 10:56 AM PDT

Beberapa batang pokok yang semakin condong ke arah rumah penduduk di Taman Petaling, Kepong, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Keadaan pokok condong dan berusia lebih 20 tahun yang terletak betul-betul berhadapan dengan rumah penduduk di Taman Petaling, Kepong Baru dekat sini terus menimbulkan kebimbangan.

Penduduk mendakwa, jika angin kencang atau ribut, pasti pokok berkenaan tumbang dan keadaan itu membahayakan keselamatan mereka.

Seorang penduduk, Richard Teh, 69, berkata, pihak bertanggungjawab perlu segera memantau keadaan pokok berkenaan sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

Menurutnya, dalam hal ini dia yang mewakili 10 buah keluarga lain di kawasan perumahan itu meminta jasa baik pihak berkuasa tempatan menebang mana-mana pokok yang berisiko tumbang pada bila-bila masa sahaja.

"Malang tidak berbau dan sebab itu kita minta supaya mana-mana pokok yang condong ke rumah penduduk segera ditebang untuk mengelak ia menghempap rumah jika ribut melanda.

"Jika kita melalui kawasan ini, pasti dapat lihat banyak pokok condong dan ada antaranya yang sudah tumbang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Richard, ranting dan dahan pokok yang tidak diketahui jenisnya itu selalu patah terutamanya selepas hujan.

Turut melahirkan kebimbangan, Tan Ah Aun, 72.

Katanya, selain bimbang dihempap pokok, daun kering yang sentiasa memenuhi halaman rumah penduduk turut menimbulkan rasa tidak selesa.

"Daun-daun yang berguguran itu bukan setakat penuh di depan rumah tetapi masalah paling besar adalah ia turut menutupi saluran air di atas bumbung sehingga menyekat air daripada mengalir.

"Ekoran kejadian itu juga, rumah saya pernah dimasuki air setelah ia mengalir daripada saluran tersebut ke dinding bilik tidur utama kerana tidak dapat mengalir dengan sempurna," ujarnya.

Menurut Ah Hun, mereka juga terpaksa mengupah pekerja untuk mencuci saluran tersebut dengan kos RM100 setiap kali kerja-kerja pembersihan dilakukan.

Sementara itu, Ketua Pusat Perkhidmatan Komuniti Kepong, Yee Poh Ping berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah dimaklumkan mengenai masalah itu dan berjanji untuk bertindak segera.

"Kita mencadangkan agar pokok-pokok sedia ada ini diperiksa dahulu dan jika tidak sesuai dan uzur mereka perlu menebang kesemuanya dan menggantikan dengan pokok yang baharu," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Tingkat kelancaran trafik di CIQ

Posted: 16 Oct 2013 11:30 AM PDT

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
utusanjohor@utusan.com.my

Deretan kenderaan warga Singapura yang penuh sesak memasuki pusat CIQ melalui Tambak Johor ke pusat bandar raya Johor Bahru sempena cuti, baru-baru ini. - GAMBAR HIASAN

JOHOR BAHRU 16 Okt. - Dalam usaha meningkatkan jumlah pelancong asing masuk ke negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, salah satu perkara yang penting untuk diambil kira adalah kelancaran di pintu sempadan negara, khususnya di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar di sini.

Namun, ramai pemandu teksi kereta sewa yang membawa penumpang berulang-alik menyeberangi Tambak Johor memaklumkan bahawa mereka sering menerima aduan pelancong tentang kesesakan yang dikatakan berpunca ekoran kelewatan proses Imigresen di CIQ dan tiada pengawasan trafik.

Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Tuan-Tuan Punya Teksi Kereta Sewa Johor Bahru ke Singapura, A. Wahab Hashim berkata, satu atau dua lorong di pemeriksaan Imigresen selalu ditutup, malah hanya beberapa kaunter sahaja yang dibuka di lorong-lorong lain.

"Saya pun tidak tahu sistem yang digunakan mereka, kita mengadakan pertemuan dan mesyuarat setiap tahun dengan pihak pengurusan CIQ tetapi setakat ini seperti 'mencurah air ke daun keladi'. Menambah lagi kelewatan proses adalah perkhidmatan tambah nilai touch n go sedangkan di Singapura dibuat di stesen-stesen minyak.

"Tidak guna belanja banyak untuk CIQ jika kelancaran di kemudahan yang lama lebih pantas berbanding sekarang. Waktu puncak pukul 5 pagi hingga 9 pagi pun banyak kaunter tidak dibuka dan sejak tiga bulan kebelakangan ini lebih teruk kesesakan di CIQ," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

A. Wahab memberitahu, ahlinya bergantung kepada kekerapan pergi dan balik dari Singapura dan masalah kesesakan di CIQ turut menjejaskan mata pencarian mereka.

Namun katanya, perkara yang paling penting adalah kepuasan penumpang tiba ke destinasi yang sepatutnya hanya 45 minit untuk kedua-dua arah kerana persatuan telah beberapa kali ditegur pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang menerima aduan kelewatan daripada pelanggan.

"Bagaimana kami pula yang dipersalahkan, sedangkan kelancaran di CIQ bergantung kepada kelancaran Imigresen dan kawalan trafik. Pihak Imigresen di Singapura perlu dicontohi kerana walaupun menjalankan pemeriksaan yang ketat, trafik tetap lancar, tetapi di sebelah kita pula sebaliknya," katanya.

Antara masalah lain yang dihadapi ialah tindakan pemandu lori yang memotong barisan kenderaan terutama kenderaan berat kerana sebuah treler yang berbuat demikian sudah cukup untuk menyebabkan kesesakan sehingga ke Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Bentuk keluarga kukuh berasaskan kasih sayang

Posted: 16 Oct 2013 11:30 AM PDT

Anuar Abdul Manap (dua dari kiri) ketika menghadiri Majlis Perasmian Penutup Program Mesra Sakinah di Dewan Serbaguna Kampung Paya Pulai dekat Segamat, baru-baru ini.

SEGAMAT 16 Okt. - Golongan ibu bapa kini berdepan cabaran besar berikutan terpaksa bekerja bagi memenuhi tuntutan kehidupan sehingga ada antara mereka yang terlepas pandang untuk membentuk ikatan kekeluargaan yang kukuh berasaskan kasih sayang.

Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap berkata, Program Mesra Sakinah yang dilaksanakan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) merupakan satu usaha yang sesuai dalam menangani masalah keruntuhan akhlak dan kerapuhan institusi keluarga.

"Menerusi program ini, ibu bapa didedahkan dengan pelbagai ilmu termasuk bagaimana institusi keluarga yang kukuh dapat dibentuk melalui kemesraan dan kasih sayang bersandarkan ajaran agama Islam selain dapat memupuk sikap bertanggungjawab membina sahsiah anak-anak.

"Di samping itu, program ini turut menggalak dan merangsang masyarakat untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti sosial dan sukarela serta membentuk pemikiran yang lebih positif dalam kalangan mereka," katanya semasa menutup Program Mesra Sakinah Palimen Sekijang di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, pengaruh budaya luar dan persekitaran negatif tanpa pandu arah daripada keluarga antara punca golongan remaja semakin tersasar serta meninggalkan nilai-nilai murni menyebabkan berlakunya masalah sosial yang perlu ditangani dengan segera oleh semua pihak.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Peluang anak-anak desa miliki tanah

Posted: 16 Oct 2013 11:30 AM PDT

Oleh NAZARUDIN SHAHARI
nazarudin.shahari@utusangroup.com.my

Mohamad Hasan beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Perasmian Pengundian Lot Peserta-Peserta FELCRA Berhad Kerangai Penagoh di Kuala Klawang dekat Jelebu, semalam.

JELEBU 16 Okt. - Kerajaan negeri akan melaksanakan Dasar Pembesaran Kampung bagi memberi peluang kepada anak-anak generasi kedua dan ketiga memiliki tanah di kawasan kampung mereka sendiri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagi menjayakan dasar tersebut, kerajaan negeri telah mengarahkan pentadbir tanah di semua daerah mengenal pasti tanah milik kerajaan di kawasan kampung yang boleh dijadikan rezab bagi tujuan itu.

Beliau berkata, kerajaan akan membina infrastruktur dan kemudahan awam yang bersesuaian di kampung berkenaan agar lebih tersusun dan selesa untuk didiami.

"Dasar ini kita buat memandangkan luas tanah di kampung yang semakin mengecil kesan daripada sistem pembahagian tanah antara ibu bapa kepada anak dan ada yang menjualnya kepada pihak lain.

"Kita tidak akan beri tanah yang besar, cukup untuk mereka buat rumah dan kita akan bina sistem kampung yang tersusun," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pengundian Lot Peserta-Peserta FELCRA Berhad Kerangai Penagoh di Kuala Klawang dekat sini hari ini.

Pada majlis hari ini, seramai 348 peserta Felcra mengundi bagi mendapatkan lot tanah masing-masing.

Mohamad menarik perhatian, dasar itu juga dilaksanakan bagi mengelakkan penghijrahan ke bandar dalam kalangan generasi kedua dan ketiga yang tidak mahu terus tinggal di rumah ibu bapa masing-masing di kampung.

Jelasnya, penghijrahan ke bandar akan memberi tekanan kepada kerajaan dengan kadar inflasi akan terus naik dan kadar kos sewa rumah dan harga rumah di bandar akan melambung kerana permintaan yang meningkat.

"Dasar Pembesaran Kampung adalah salah satu cara kita untuk mengurangkan kadar inflasi di negeri ini supaya permintaan perumahan dapat dikurangkan, jadi tidak melambung sangat harga rumah di Negeri Sembilan.

"Jadi kita harap tumpuan ke bandar dapat dikurangkan untuk membeli rumah yang sedikit tetapi pembeli yang ramai," ujarnya.

Permohonan korek pasir perlukan ulasan teknikal - KM

Posted: 16 Oct 2013 11:30 AM PDT

IDRIS Haron menunjukkan gambar aktiviti mengorek pasir di Bukit Senggeh, Jasin dalam sidang akhbar di Melaka, semalam.

MELAKA 16 Okt. - Kerajaan negeri menetapkan agar semua permohonan korek pasir di atas lot tanah milik kekal di negeri ini terlebih dahulu perlu mendapat ulasan teknikal daripada jabatan berkaitan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, arahan itu diputuskan dalam mesyuarat Exco dalam usaha kerajaan negeri membendung kesan buruk yang berlaku terhadap alam sekitar terutamanya di kawasan Bukit Senggeh, Jasin.

Menurutnya, ulasan teknikal secara terperinci perlu diperoleh terlebih dahulu dari Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Tanah dan Galian sebelum kerajaan negeri memberikan kebenaran atau sebaliknya.

"Undang-undang yang berkuat kuasa serta-merta ini dikhaskan bagi kawasan perlombongan yang di dalam kawasan tanah seluas 500 hektar.

"Namun begitu, kerajaan negeri telah menetapkan supaya syarat ini dipatuhi walaupun kerja-kerja pengorekan dan perlombongan itu berlaku dalam kawasan tanah yang kurang daripada keluasan tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah mengarahkan aktiviti perlombongan pasir di kawasan Solok Ayer Keroh, Kampung Bukit Senggeh dihentikan serta-merta atas faktor keselamatan.

Arahan itu diputuskan akibat kejadian banjir lumpur yang melanda kawasan berkenaan didapati berpunca daripada limpahan lombong terbabit.

Bagaimanapun jelas Idris, semua kos bagi permohonan itu perlu ditanggung sendiri oleh pemohon, pemilik tanah dan syarikat yang diberikan lesen perlombongan.

"Polisi ini ditetapkan setelah kerajaan negeri mendapati bahawa syarikat yang terbabit dalam aktiviti perlombongan pasir di negeri ini tidak menunjukkan kesedaran tentang pentingnya memelihara keseimbangan ekosistem di kawasan yang dilombong.

"Mekanisme yang diperkenalkan ini bukanlah untuk menghalang kerja perlombongan, namun memperbetulkan kaedah kerja yang dilaksanakan," ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri bakal berhadapan dengan kehilangan punca pendapatan sebanyak kira-kira RM1.6 juta melalui aktiviti itu, namun keselamatan penduduk setempat adalah perkara yang menjadi keutamaan.

Program membentuk jati diri pelajar

Posted: 16 Oct 2013 11:30 AM PDT

Oleh NURUL HUSNA HAMDAN
utusanN9@utusan.com.my

Para pelajar ketika membuat kawalan kehormat pada Program Perkhemahan Unit Uniform Sekolah-sekolah Rendah Daerah Jelebu dan Hari Kokurikulum SKUJ 2013 di Jelebu, baru-baru ini.

JELEBU 16 Okt. - Sama ada mahu atau tidak, rakyat kini harus menerima hakikat bahawa generasi muda merupakan tunjang dan nadi kekuatan negara kerana mereka merupakan golongan pewaris masa hadapan.

Bagi memastikan negara dapat melahirkan generasi muda yang mempunyai kekuatan dari segi spiritual dan mental, pelbagai usaha telah dilakukan sebagai persediaan bagi membolehkan mereka benar-benar bersedia untuk mengambil alih warisan negara pada masa depan.

Justeru, program Perkhemahan Unit Uniform Sekolah-sekolah Rendah Daerah Jelebu dan Hari Kokurikulum Sekolah Kebangsaan Undang Jelebu (SKUJ) 2013 yang diadakan baru-baru ini dilihat sebagai satu pengisian bagi mencerna jati diri selain membentuk potensi dan disiplin pelajar sekolah.

Program yang melibatkan lebih 200 pelajar dari beberapa buah sekolah berlangsung selama tiga hari dua malam itu turut meliputi acara kawad kaki, perkhemahan, 'Xplore Race', model gajet, simpulan dan beberapa ruang pameran dari pelbagai agensi yang terlibat.

Menurut Ahli Parlimen Jelebu, Zainudin Ismail berkata, program kokurikulum seperti ini adalah salah satu program dalam pengisian sistem pendidikan negara.

Apatah lagi kata beliau, potensi pelajar kini tidak hanya dinilai melalui pencapaian akademik semata, malah turut meliputi aspek kokurikulum yang terkandung dalam sistem pendidikan negara.

''Kebolehupayaan pelajar untuk membawa diri di dalam masyarakat adalah sangat penting dan bukan khusus kepada akademik semata-mata. Oleh itu, program sebegini sangat penting supaya pelajar yang akhirnya akan menjadi sebahagian daripada masyarakat kelak bersedia apabila dilatih dan didedahkan di peringkat awal.

''Akhirnya nanti, apabila pelajar ini menjadi dewasa, mereka sudah mempunyai latihan, secara automatik ilmu yang diperoleh digunakan sebagai input untuk mereka dalam menangani cabaran akan datang," katanya di sini baru-baru ini.

Tambahnya, biarpun pembelajaran dalam kelas berjalan seperti biasa, namun latihan dari segi persediaan fizikal harus seiring bagi melahirkan pelajar yang bersedia dalam apa jua rintangan apabila dewasa.

Malah katanya, program ini dapat melahirkan modal insan yang mempunyai minda kelas pertama menerusi penglibatan aktif pelajar dalam kokurikulum.

''Mempunyai pendidikan tetapi tidak bercampur dengan masyarakat, tidak mempunyai perasaan untuk membantu kepada kumpulan yang memerlukan menyebabkan mereka hanya menjadi seorang yang mementingkan pencapaian akademik semata-mata," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Permatang Pauh perlu transformasi

Posted: 16 Oct 2013 11:30 AM PDT

Oleh ANI AWANG
pengarang@utusan.com.my

UTUSAN: Kenapa Permatang Pauh perlukan perubahan?

MOHD. ZAIDI: Perubahan itu diperlukan supaya ia seiring dengan transformasi yang diperkenalkan UMNO di peringkat nasional. Kita perlu memecahkan benteng bayangan Anwar Ibrahim dalam kalangan pemimpin UMNO yang masih ada di Permatang Pauh. Justeru, saya menawarkan sebuah pasukan yang dinamakan 'Pasukan Transformasi', terdiri daripada muka baharu dan lama untuk membawa perubahan kepada UMNO bahagian.

Kepemimpinan macam mana diperlukan di Permatang Pauh?

Golongan muda di sini masih berasa terpinggir daripada perjuangan politik pemimpin sekarang. Kerana itu usaha menarik golongan muda amat diperlukan. Ia terbukti apabila golongan muda menterjemahkan hasrat mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu dengan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN). Peningkatan itu diterjemahkan oleh golongan muda yang membuktikan minat mereka terhadap UMNo makin bertambah.

Bagaimana misi Pemuda sekarang ini?

Misi saya dengan menetapkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai misi menjatuhkan penguasaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah pimpinan Ahli Parlimennya yang juga Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tanggungjawab itu perlu dilaksana bagi memastikan orang Melayu di kawasan tersebut tidak terus terpinggir meskipun banyak projek pembangunan di sekitarnya berjalan rancak.

Pembangunan perlu ditingkatkan di Permatang Pauh?

Pembangunan di Permatang Pauh masih perlahan. Pembangunan yang ada sekarang adalah semasa kepimpinan UMNO. Jadi, matlamat saya untuk merancakkan kembali pembangunan untuk dinikmati oleh rakyat terutama peluang pekerjaan kepada generasi muda.

Saya mahu memperjuangkan pembangunan pendidikan dengan mewujudkan sebuah Sekolah Agama berasrama penuh, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Rumah mampu milik untuk golongan miskin dan sederhana di Permatang Pauh. Selain mewujudkan peluang perniagaan baru di sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta pertanian.

Bagaimana harapan tiga sayap penting UMNO di Permatang Pauh?

Keputusan pemilihan tiga sayap baru-baru ini membuktikan transformasi golongan muda memerlukan pembaharuan dalam kepimpinan UMNO.

Keputusan yang ditunjukkan oleh Pemuda, Puteri dan Wanita dalam pemilihan itu menunjukkan pengaruh kepimpinan terdahulu perlu berubah. Itulah keputusan yang diterjemahkan oleh tiga sayap parti yang mahukan gandingan baharu untuk memantapkan parti di Permatang Pauh.

Wakil rakyat mahu kukuh kedudukan dalam parti

Posted: 16 Oct 2013 11:30 AM PDT

Wan Khairil Anuar Wan Ahmad (tengah) bersama Mohd. Kamil Shafie (kanan) dan Mazlin Sham Razman mahu memastikan mereka mampu menyampaikan hasrat rakyat kepada kerajaan.

KUALA KANGSAR 16 Okt. - Tiga wakil rakyat yang akan bertanding pada pemilihan bahagian UMNO Kuala Kangsar pada Sabtu ini berkata, mereka bertanding kerana mahu mengukuhkan kedudukan dan peranan di dalam parti.

Ketiga-tiga wakil rakyat berkenaan ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad yang bertanding Ketua Bahagian; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, Mazlin Sham Razman bersaing jawatan Naib Ketua Bahagian manakala ADUN Manong, Mohd. Kamil Shafie calon jawatan Timbalan Ketua Bahagian.

Wan Khairil Anuar akan menentang penyandang Ketua Bahagian itu, Datuk Ramly Zahari iaitu bekas Exco kerajaan negeri dan bekas ADUN Manong.

Seorang lagi calon untuk jawatan Ketua Bahagian itu ialah Dul Hayati Beheran.

Naib Ketua bahagian itu, Mohd. Kamil dicabar Azizul Rahim Abdul Rahman dan Zaid Abd. Aziz bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian.

Mazlin Sham pula berdepan saingan seorang ahli perniagaan, Basri Mat Tah untuk jawatan Naib Ketua Bahagian itu.

Ketiga-tiga mereka berkata, keupayaan dan kekuatan seseorang wakil rakyat tidak hanya menyampaikan hasrat dari rakyat kepada kerajaan, tetapi perlu berada pada kedudukan penting dalam parti.

Calon ahli Majlis Tertinggi (MT), Wan Khairil Anuar yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memberitahu, sebagai wakil rakyat, mereka harus ada kedudukan dalam parti.

"Sebagai pemimpin pilihan rakyat, kedudukan penting dalam parti tidak boleh dipisahkan," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mohd. Kamil pula berkata, sebagai wakil rakyat mereka akan terus bekerja keras untuk menyampai suara rakyat kepada kerajaan.

Kerajaan negeri dirayu sediakan premis untuk persatuan pesakit ichtyosis

Posted: 16 Oct 2013 11:30 AM PDT

Mohd. Firdaus Mehat (kiri) menimbang daging lembu korban sebelum diagihkan sewaktu majlis korban anjuran Perkid di Kampung Kandai, Jalan Alor Mengkudu, Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 16 Okt. - Pertubuhan Kebajikan Pesakit Ichtyosis Kedah (Perkid) merayu kerajaan negeri menyediakan sebuah premis untuk mereka menjalankan kegiatan persatuan.

Pengerusinya, Mohd. Firdaus Mehat berkata, pihaknya mahu menjadikan pusat itu sebagai pejabat dan mengadakan pelbagai aktiviti untuk ahli serta penduduk setempat.

"Ketika ini pertubuhan yang ditubuhkan tiga tahun lalu beroperasi di rumah saya di Kampung Kandai di sini.

"Kami sudah menghantar surat Ahad lalu berhubung perkara ini kepada Pejabat Menteri Besar dan berharap ia mendapat pertimbangan sewajarnya," katanya ketika ditemui pada majlis korban persatuan berkenaan di Kampung Kandai, di sini hari ini.

Mohd. Firdaus berkata, Perkid mempunyai 35 ahli dari seluruh Kedah dan bergiat aktif menerusi penganjuran beberapa program dalam kalangan ahli persatuan berkenaan.

"Antara aktiviti yang diadakan ialah jamuan dan sumbangan kepada ahli pada Aidilfitri serta hari keluarga. Kami turut merancang untuk mengadakan pelbagai lagi program selepas ini," katanya

Kata beliau, pihaknya turut mengalu-alukan penglibatan pelbagai pihak termasuk badan korporat untuk bersama mereka menerusi sumbangan perubatan, kewangan dan sokongan moral.

"Oleh kerana penyakit ini tidak boleh sembuh perhatian utama adalah penjagaan dan rawatan berterusan," katanya.

Ichtyosis adalah sejenis penyakit kulit yang menyebabkan penghidap diselaputi sisik seakan-akan sisik ikan di seluruh tubuh mereka.

Ciri utama penghidap ichtyosis adalah rupa paras mereka yang seakan-akan sama walaupun berlainan bangsa dengan mata yang sentiasa kemerah-merahan.

Mohd. Firdaus boleh dihubungi menerusi talian 012-4467112.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Kalimah Allah: Jangan sampai berpecah - Ahmad Zahid

Posted: 16 Oct 2013 11:52 PM PDT

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Kementerian Dalam Negeri membuat rayuan di mahkamah berhubung penggunaan kalimah Allah dalam The Herald demi menjaga keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini, kata menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menjelaskan, selaku pihak yang terlibat dalam proses rayuan itu, kementerian tidak melihat kepada aspek undang-undang semata-mata sebaliknya memberi penekanan kepada sensitiviti umat Islam di Malaysia.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak perlu menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penerbitan mingguan Katolik, The Herald, menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan.

"Kita harus menghormati antara satu sama lain dalam soal pegangan agama," katanya kepada pemberita selepas ditemu bual dalam program Ruang Bicara terbitan BernamaTV di Wisma Bernama malam tadi.

Ahmad Zahid juga berharap keputusan Mahkamah Rayuan itu tidak mewujudkan perpecahan antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam.

"Jika ada ketidakpuasan hati di pihak berkenaan untuk bawa ke Mahkamah Persekutuan, itu adalah hak mereka. Bagi saya itu adalah proses undang-undang tetapi daripada segi keselamatan, kita tak mahu ada perpecahan antara orang Islam dan bukan Islam," katanya.

Isnin lepas, Mahkamah Rayuan membuat keputusan sebulat suara untuk membenarkan rayuan kerajaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan The Herald menggunakan kalimah Allah dalam versi bahasa Malaysia penerbitan itu. - BERNAMA

Jangan percaya swasta tawar visa haji - Jamil Khir

Posted: 16 Oct 2013 11:42 PM PDT

MEKAH 17 Okt. - Orang ramai dinasihat agar jangan sekali-kali percaya dengan mana-mana pihak yang menjanjikan tawaran pakej haji lengkap dengan visa tanpa melalui Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan kesal apabila setiap kali musim haji, mesti terdapat kes jemaah yang terkandas kerana syarikat pakej haji itu akan menghadapi masalah mendapatkan visa.

"Kita dapat tahu banyak juga jemaah haji terkandas di lapangan terbang di ibu negara dan juga di rumah masing-masing dan setelah siasatan, kita dapati jemaah haji terbabit sebenarnya hanya berdaftar dengan syarikat tertentu dan bukannya dengan TH," kata beliau kepada pemberita di Mina di sini hari ini.

Katanya, siasatan juga mendapati syarikat terbabit membuat pelbagai tawaran pakej dengan mendakwa mereka akan mendapat visa terus dari Kerajaan Arab Saudi dan ada yang mendakwa membeli visa daripada kuota negara jiran.

Jamil Khir menjelaskan, tiada mana-mana syarikat memperoleh visa secara langsung dari Kerajaan Arab Saudi kerana pemberian visa haji adalah urusan antara kerajaan dengan kerajaan.

Beliau berkata, Kerajaan Arab Saudi tidak pernah membenarkan kuota sesebuah negara diberikan kepada negara lain dan kerajaan negara itu juga tidak berurusan dengan mana-mana syarikat.

Katanya, orang ramai yang bercadang mengerjakan haji pada musim depan menerusi pakej syarikat swasta, disaran agar menghubungi TH terlebih dahulu bagi mendapat pengesahan mengenai status syarikat berkenaan.

Menurut beliau, TH mempunyai senarai syarikat yang diiktiraf dan mempunyai data mengenai jumlah kuota TH yang diberikan kepada syarikat berkenaan untuk membawa jemaah haji.

"Pada setiap tahun selepas musim haji, kerajaan akan mengadakan mesyuarat dengan pengurusan muassasah dan Kerajaan Arab Saudi bagi memperbaiki sebarang kelemahan dan berbincang mengenai kuota yang ditetapkan," kata beliau.

Beliau berkata, setiap negara akan diberikan kuota sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah penduduk dan Kerajaan Arab Saudi dijangka akan mengekalkan pengurangan sebanyak 20 peratus ekoran kerja-kerja pembesaran Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi. - BERNAMA

Usahawan muda dijemput beri input mantapkan ekonomi bumiputera

Posted: 16 Oct 2013 11:38 PM PDT

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Usahawan muda bumiputera harap dapat memberi input kepada kerajaan dalam membolehkan pelbagai program yang dilaksanakan ketika ini dimantapkan lagi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kelompok ini amat penting kerana idea yang dijana mereka membolehkan pelbagai program kerajaan diperbaiki dari semasa ke semasa untuk pembangunan ekonomi Bumiputera.

"Saya berterima kasih kepada GMB (Generasi Muda Berjaya) Malaysia kerana menganjurkan Kongres Usahawan Muda Bumiputera bertepatan dengan saranan Perdana Menteri yang mengumumkan beberapa dasar bagi memperkasa ekonomi Bumiputera seiring usaha untuk merealisasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.

"Kongres ini mampu memberi input berguna kepada kami lebih-lebih lagi ia disertai oleh kelompok muda yang mempunyai wawasan tinggi.

"Untuk itu, saya telah mengarahkan semua agensi di bawah MITI untuk membantu kejayaan kongres ini yang turut akan memberi input kepada bermakna kepada kami," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas majlis pra pelancaran Kongres Usahawan Muda Bumiputera yang turut dihadiri oleh Presiden GMB Malaysia, Agil Faisal di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini hari ini.

Sementara itu, Agil yang ditemui pemberita menjelaskan, kongres yang akan diadakan pada bulan Februari tahun hadapan itu bakal disertai oleh 2,000 usahawan muda Bumiputera seluruh Malaysia.

Antara lain menurut beliau, kongres ini turut mempunyai segmen Town Hall berkonsepkan Parlimen, 200 ruang pameran dan jaringan perniagaan bagi membolehkan usahawan muda membina jaringan antara mereka.

"Antara objektif kongres ini ialah kita akan menghasilkan road map untuk usahawan Bumiputera selaras dengan dasar kerajaan dan ia juga mampu menambah nilai usahawan muda dalam aspek akses kepada pasaran, kewangan dan pembinaan kapasiti.,

"Ia juga mampu mengukuhkan pembangunan kapasiti pengusaha muda sebagai pengeksport yang berdaya saing di pasaran global.

"Malah, kongres ini juga berperanan sebagai satu platform bagi usahawan muda berkongsi maklumat pendapat dan membina jaringan perniagaan yang lebih baik dan luas," katanya. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Rumah dibina 30 hari

Posted: 16 Oct 2013 11:29 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Jangan politikkan isu kalimah

Posted: 16 Oct 2013 11:29 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Lima tokoh tempatan diumum penerima Anugerah Merdeka 2013

Posted: 16 Oct 2013 11:29 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved