Rabu, 28 Ogos 2013

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


10 tahun dihantui banjir kilat

Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIn
kota@utusangroup.com.my

Ketua kampung, Hassan Abdul Rahman (kanan) dan penduduk Abdul Samad Ibrahim menunjukkan perangkap sampah yang tersumbat apabila hujan sehingga menyebabkan Kampung Pasir, Hulu Klang, Selangor dilanda banjir kilat pada Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Setiap kali hujan, hati mereka mula gelisah.

Mereka bimbang rumah yang terletak di kawasan rendah itu akan dilanda banjir. Dan, jika itu berlaku, maka mereka terpaksa mengambil masa beberapa hari untuk membersihkan rumah dan perabot seperti yang terpaksa mereka lakukan sejak lebih sepuluh tahun lalu.

Bencana banjir kilat yang melanda Kampung Pasir di Hulu Klang, dekat sini itu kali terakhir dialami penduduk pada Jumaat lepas, yang sekali gus merencatkan kemeriahan suasana menyambut Aidilfitri di penempatan itu.

Penduduk berkata, mereka terpaksa menanggung kerugian besar setiap kali banjir kilat berlaku kerana barangan mereka, terutama perabot dirosakkan air yang membawa lumpur.

Ketika wartawan Utusan Malaysia ke kampung itu hari ini, kesan banjir pada Jumaat lalu masih dapat dilihat. Di kebanyakan rumah, barangan seperti permaidani masih terjemur di luar untuk dikeringkan selepas dibasuh.

Mereka yang ditemui mendakwa, banjir yang kerap mereka hadapi disebabkan kampung itu tidak memiliki sistem perparitan dan saliran sempurna.

Akhir-akhir ini keadaan semakin teruk, kata mereka, yang mendakwa ia mungkin berpunca daripada aktiviti pembangunan perumahan di kawasan berhampiran di kedudukan lebih tinggi daripada kampung mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, terdapat sebuah kolam takungan yang mempunyai perangkap sampah dari kawasan perumahan berdekatan, tetapi penduduk mendakwa tidak membantu melancarkan aliran air apabila hujan lebat.

Penduduk memberitahu, jika hujan, perangkap tersebut akan dipenuhi sampah dan menghalang aliran air selain turut mengakibatkan tebing kolam takungan air itu runtuh.

Parit itu terletak di kawasan lebih tinggi daripada kampung itu menyebabkan air dari tebing yang runtuh itu terus menderu ke Kampung Pasir di bawahnya.

Penduduk juga berkata, banjir juga berlaku disebabkan oleh pembinaan sebuah kondominium yang terbengkalai sejak sepuluh tahun lalu tidak menyediakan sistem perparitan yang sempurna.

Mereka mendakwa, projek pembangunan kondominium berkenaan tidak mengikut spesifikasi asas yang ditetapkan menyebabkan masalah banjir kilat bertambah buruk.

Kondominium setinggi 12 tingkat tersebut juga dakwa mereka telah diambil alih oleh beberapa pemaju akibat daripada masalah dalaman projek berkenaan.

Tetapi yang terpaksa menanggung akibat daripada projek terbengkalai tersebut adalah penduduk Kampung Pasir terutamanya yang tinggal di sepanjang Jalan Hj. Mokhtar.

3 pihak biayai pembaikan cerun

Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kerajaan Pusat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan I&P Sdn. Bhd. akan membiayai kos pembaikan cerun Bukit Setiawangsa dan bayaran mengambil semula tanah yang terlibat dengan kerja-kerja itu.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari berkata, kos membabitkan dua perkara tersebut masih di peringkat kajian oleh pihak yang terlibat.

Menurut beliau, pihaknya dimaklumkan bahawa kerja-kerja mengkaji kecuraman cerun mengikut Garis Panduan 2010 telah selesai dilaksanakan oleh perunding yang dilantik oleh I&P selaku syarikat pemaju perumahan di atas Bukit Setiawangsa.

"Satu pertemuan antara penduduk dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib kini sedang diatur bagi membolehkan segala maklumat mengenai keselamatan kawasan itu diterangkan.

"Beliau kini berada di luar negara dan saya akan menggesa perjumpaan itu dipercepatkan kerana kita tidak mahu penduduk tertanya-tanya apa yang akan berlaku seterusnya di puncak bukit tersebut," katanya ketika ditemui.

Minggu lalu, bekas Ahli Parlimen kawasan itu yang juga mangsa kejadian tembok runtuh pada Disember lalu, Tan Sri Zulhasnan Rafique memaklumkan, kecuraman cerun bukit itu akan dikurangkan daripada 70 darjah kepada 39 darjah.

Malah, kerajaan turut memutuskan untuk mengambil semula tanah yang menempatkan banglo Zulhasnan; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis dan bekas tapak rumah seorang ahli perniagaan Arab yang terlibat dengan kerja pembaikan cerun itu.

Jeti pendaratan ikan haram diroboh

Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT

Jeti pendaratan ikan di Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, yang dikenakan tindakan roboh pada Jumaat lalu.

SABAK BERNAM 27 Ogos - Keingkaran dan kedegilan seorang pemilik sebuah jeti pendaratan ikan di Bagan Nakhoda Omar di sini yang enggan mengosongkan premis yang dibina tanpa kebenaran mengundang padah apabila pihak berkuasa bertindak merobohkan jeti tersebut baru-baru ini.

Penolong Pegawai Penguat Kuasa Kanan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Dzulkefly Idrus berkata, operasi meroboh yang dijalankan pada Jumaat lalu itu melibatkan 60 pegawai LUAS, Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, Majlis Daerah Sabak Bernam dan Jabatan Kerja Raya serta dipantau oleh polis.

Menurut beliau, pengusaha jeti berkenaan telah diberikan notis sebanyak tiga kali sejak 2011 supaya mengosongkan premis haram tersebut namun arahan itu tidak dipedulikan dan perniagaannya diteruskan.

Beliau berkata, tindakan pengusaha terbabit memaksa Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor membuat keputusan agar jeti yang didirikan di atas tanah rezab Melayu milik kerajaan negeri itu dirobohkan.

"Sebelum itu, LUAS bersama Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) pernah menjalankan operasi bersepadu memotong bekalan elektrik dan air di premis berkenaan pada Mei 2012.

"Bagaimanapun tindakan itu tidak memberi sebarang kesan apabila pengusaha terbabit tetap menjalankan operasi dan akhirnya tindakan yang lebih tegas terpaksa diambil dengan meroboh struktur jeti ini pada Jumaat lalu," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dzulkefly berkata, sebelum membina premis itu, pemilik jeti berkenaan pernah meminta kebenaran untuk mendirikan jeti di kawasan itu tetapi tidak diluluskan kerana melibatkan tanah rezab Melayu.

"Pengusaha terbabit telah bertindak mendirikan jeti tersebut tanpa kebenaran dan tidak bimbang tindakan penguatkuasaan kerajaan negeri yang bakal dihadapi.

"Kami menyeru mana-mana pihak supaya mendapatkan kelulusan pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum mendirikan premis perniagaan di kawasan tertentu bagi mengelakkan tindakan undang-undang dan mengalami sebarang kerugian," katanya.

Tambah beliau, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 kerana menceroboh tanah kerajaan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Bakal haji bersyukur dipilih

Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

Mohamed Khaled Nordin (kanan) beramah mesra dengan Kamdani Mohd. Asnan (berkerusi roda) yang kudung kaki kanannya semasa beliau hadir dalam Majlis Perjumpaan Dengan Bakal-Bakal Haji Rombongan Kerajaan Negeri Johor di Pusat Konvensyen Persada, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 27 ogos - Biarpun perlu berkerusi roda atau bertongkat, bagi bakal haji, Kamdani Mohd. Asnan, 60, kesulitan itu bukan penghalang untuknya mengerjakan ibadat haji bersama rombongan kerajaan negeri Johor September ini.

Dia yang terpaksa berkerusi roda selepas kaki kanannya dipotong sehingga paras lutut pada Mei lalu akibat penyakit kencing manis sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri atas peluang menjadi tetamu Allah itu.

"Tak terlahir rasa gembira bila diberitahu saya terpilih mengikuti rombongan kerajaan Johor menunaikan ibadat haji tahun ini. Bersyukur sangat atas rezeki yang diberikan kepada saya dan saya akan berlepas pada 14 September ini.

"Tetapi saya turut berasa sedih kerana isteri tidak dapat turut serta, namun saya harap rayuannya untuk pergi bersama saya dipertimbang," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Bakal-bakal Haji Rombongan Kerajaan Johor Tahun 1434H/2013M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, hari ini.

Majlis tersebut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut.

Kamdani merupakan antara antara 2,700 orang yang berpeluang mengerjakan rukun Islam kelima berkenaan tahun ini dan akan berlepas dengan tujuh penerbangan mulai 9 September sehingga 5 Oktober ini.

Sementara itu, mualaf, Norhayati Abdullah, 53, menyifatkan peluang menjejak kaki ke tanah suci bagaikan satu mimpi dan Allah mendengar doanya untuk ke sana.

Ibu kepada enam cahaya mata yang memeluk Islam kira-kira 30 tahun lalu itu berharap segala urusannya di sana dipermudahkan Allah dan dapat mengerjakan Rukun Islam kelima tersebut dengan sempurna.

"Saya memang berhajat mengerjakan haji, saya mahu melihat Kaabah dan alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya," katanya.

Siswa UiTM kutuk keganasan

Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT

Oleh MOHAMED SAARI
utusanjohor@utusan.com.my

Sebahagian daripada pelajar dan kakitangan UiTM Segamat berdoa memohon keselamatan rakyat Malaysia di Mesir selepas solat hajat di Masjid As Syakirin, UiTM Segamat, baru-baru ini - UTUSAN/MOHAMED SAARI

SEGAMAT 27 Ogos - Seramai 6,000 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, di sini menurunkan tandatangan di kain rentang sebagai mengutuk keganasan di Mesir serta mengadakan solat hajat selepas selesai fardu Jumaat di Masjid As-Syakirin di sini baru-baru ini bagi mendoakan keselamatan rakyat Malaysia di sana.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Segamat, Mohd. Asraf Senen berkata, suara penuntut itu adalah bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan ganas pihak tentera di Mesir dengan menzalimi rakyat mereka.

"Pihak MPP mengambil masa seminggu untuk mengumpul tanda tangan daripada 6,000 penuntut dari Fakulti Perniagaan, Perakaunan, Pengurusan Maklumat, Sains Komputer dan Maklumat.

"Harapan kita agar kekejaman tersebut dihentikan dan semua rakyat Malaysia termasuk penuntut di Mesir dalam keadaan selamat," katanya yang ditemui di pekarangan masjid berkenaan.

Program menandatangani kain rentang dan solat hajat anjuran oleh MPP UiTM Segamat itu adalah yang pertama dilakukan oleh penuntut UiTM di negara ini dan secara tidak langsung dapat melahirkan rasa kesyukuran dalam kalangan penuntut di negara ini kerana dapat mengikuti pembelajaran dalam keadaan aman.

Sementara itu, Naib Rektor UiTM Segamat, Dr. Mohd. Halim Kadri berkata, program tersebut secara tidak langsung menunjukkan mahasiswa prihatin terhadap isu-isu semasa dan dapat menimbulkan sifat insaniah terhadap keamanan.

"Sebagai pemimpin masa depan sikap yang ditunjukkan oleh penuntut di sini memberi gambaran kita tidak ketandusan pemimpin yang berkebolehan dan nilai jati diri serta modal insan yang seiring dengan kehendak zaman pada masa akan datang bagi mentadbir negara ini.

"Mereka juga begitu menginsafi dengan nasib yang menimpa rakan mereka di sana dan bersyukur berpeluang menuntut ilmu dalam keadaan negara yang aman tenteram dan diharapkan segalanya akan dijadikan pengajaran kepada mereka untuk menjaga kestabilan dan kemakmuran," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Kombinasi unik Lorna

Posted: 27 Aug 2013 11:48 PM PDT

Jubah potongan moden dengan perincian manik pada bahagian hadapan baju.

PASTINYA setiap rekaan yang dihasilkan mengikut cita rasa wanita moden masa kini.

Butik yang diusahakan oleh Noranita Mohd Salleh, 42, sudah tidak lagi asing dalam kalangan penggemar pakaian Muslimah di negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Butik ini menawarkan pelbagai koleksi pakaian wanita yang unik, fabrik berkualiti dan pelbagai corak yang menerapkan elemen kontemporari.

Jika dahulu, agak sukar bagi wanita berhijab untuk mencari rekaan moden yang boleh dipadankan dengan imej mereka, tetapi kini boleh mencuba pelbagai koleksi menarik rekaan Lorna yang menjanjikan kepuasan maksimum buat si pemakai.

"Kebanyakan rekaan yang dihasilkan di sini pasti tidak menjadi sarat jika dipadankan dengan tudung yang sesuai.

"Para pelanggan juga boleh memilih padanan tudung di butik ini kerana selain menghasilkan koleksi pakaian yang bermutu tinggi, kami juga menawarkan rekaan selendang serta tudung menawan dengan taburan kilauan manik di atas permukaan fabrik," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di Jalan Jambatan Sultan Yahya Petra, Kelantan.

Noranita yang memulakan perniagaan melalui dalam talian, sebelum ini hanya menjual rekaannya kepada rakan-rakan terdekat.

Tanpa disedari, rekaan tersebut digemari ramai kerana ia di luar daripada kebiasaan khususnya dari segi potongan dan kombinasi fabrik serta warna.

Rekaan berasakan gabungan ciri-ciri Arab, Indonesia dan Melayu menjadikan koleksi Butik Lorna sesuai digayakan untuk pelbagai acara.

Atas dorongan rakan-rakan dan keluarga, serta maklum balas positif yang diterima, Lorna maju selangkah lagi dengan mengembangkan perniagaan sehingga wujudnya Butik Lorna di premis miliknya sendiri.

Kebanyakan koleksi rekaan Noranita berkonsepkan pakaian muslimah moden seperti kaftan, jubah abaya, baju kurung, jubah Arab dan dres labuh.

Butik Lorna turut menawarkan khidmat perundingan rekaan baju khusus untuk majlis-majlis tertentu seperti majlis makan malam dan majlis-majlis rasmi.

Selain boleh menempah sendiri, para pelanggan boleh memilih rekaan siap untuk dipakai.

Rekaan siap untuk dipakai antara yang paling laris kerana para pelanggan boleh mencuba pakaian mengikut saiz badan masing-masing.

Fabrik daripada jenis kapas, syifon, dan sutera Thai, pasti membuatkan si pemakai merasa selesa tatkala menggayakan koleksi ini.

Para pelanggan tidak perlu risau mengenai harga yang ditawarkan kerana semuanya mampu milik.

"Saya berharap Butik Lorna mampu menjadi label pakaian muslimah terkemuka yang dikenali bukan hanya di Kelantan malah di seluruh Malaysia," ujarnya sebelum mengakhiri bicara.

Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan boleh hubung talian 019-3486464. - MARIATUL QATIAH ZAKARIA

Revolusi potongan jean

Posted: 27 Aug 2013 11:48 PM PDT

Oleh SITI AISYAH IBRAHIM

Anitha Narayanan (depan dua dari kiri) bersama barisan para model pada pelancaran Levi's Revel di kuala Lumpur, baru-baru ini.

ADAKAH anda selesa dengan fabrik jean yang anda kenakan? Ramai wanita mengakuinya terutama mereka yang mempunyai personaliti lasak.

Keselesaan apabila berpakaian merupakan aspek terpenting dalam penampilan harian. Terutama golongan wanita, yang amat menitikberatkan fesyen terkini dan keselesaan.

Sejak 1934 lagi, dalam memenuhi kehendak wanita, jenama Levi's mengambil langkah dalam mengubah trend fesyen wanita dengan memperkenalkan jean pertama iaitu Lady Levi's jeans.

Kini, sekali lagi Levi's membantu wanita tampak lebih bergaya dengan memperkenalkan jean sempurna mengikut bentuk badan dengan Levi's Revel.

Levi's Revel menawarkan teknologi pembentuk yang dipaten, fabrik denim berkualiti tinggi dan perincian inovatif, kesemuanya diolah bagi menghasilkan reka bentuk idaman wanita untuk kelihatan cantik dan meningkatkan keyakinan diri.

Menurut Pengarah Komersial Levi's Strauss Malaysia, Anitha Narayanan, Levi's Revel melangkah setapak lagi dalam memajukan inovasi lengkung dengan menggiatkan usaha membentuk tubuh wanita, sekali gus memberi bayangan ketinggian serta punggung lentik yang diidamkan setiap wanita.

"Jean Levi's Revel menggunakan teknologi liquid shaping untuk membentuk, menyokong dan melangsingkan badan wanita," katanya semasa majlis pelancaran di ibu negara baru-baru ini.

Denim Levi's Revel dengan ciri regangan empat hala boleh menyerlahkan bentuk badan wanita selain menganjal mengikut gerak-geri si pemakai.

Ciri-ciri kelembutan dan gaya yang unggul dapat membantu mengekalkan bentuk jean dan juga bentuk si pemakainya.

Selain itu, kemasan berkontur, kelim memanjang dan tampalan kocek direka secara strategik untuk menyerlahkan lagi gaya si pemakai.

Para wanita boleh membuat pilihan denim yang sesuai dengannya, iaitu sama ada Slight, Demi dan Bold Curve. Koleksi Levi's Revel boleh didapati bermula September ini dengan harga RM229.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Projek RM7.73b di Pulau Pinang

Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT

Oleh AZHARI ZAINOODDIN
utusanpenang@utusan.com.my

PULAU PINANG 27 Ogos - Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM7.73 bilion bagi membiayai 315 projek dan program pembangunan di negeri ini sepanjang tempoh 2011 hingga 2013.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman (gambar) berkata, sebanyak RM980 juta daripadanya adalah peruntukan yang disalurkan untuk membiayai 158 projek bagi tahun ini.

Katanya, peruntukan berkenaan adalah jauh lebih besar daripada apa yang dibelanjakan kerajaan DAP Pulau Pinang dalam projek pembangunan.

"Jumlah ini hampir tiga kali ganda lebih daripada peruntukan kerajaan negeri yang hanya RM363 juta dan antara projek yang termasuk dalam peruntukan ini adalah pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang, pembesaran Empangan Mengkuang dan projek landasan keretapi berkembar.

"Selain itu sebanyak RM4.5 juta disalurkan kepada Tabung Penyelengaraan 1Malaysia untuk menyelenggara pangsapuri-pangsapuri kos rendah di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tindakan berkenaan di sini semalam.

Zainal Abidin mengambil alih jawatan pengerusi majlis tindakan tersebut bermula 31 Julai lalu daripada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohammed Yakcop yang menjawat jawatan itu selama lima tahun sebelum ini.

Mengulas mengenai mesyuarat berkenaan tegas beliau, mesyuarat tersebut membincangkan mengenai perjalanan projek-projek yang telah dirancang oleh kerajaan Pusat di negeri ini terutama projek luar bandar bagi merapatkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini.

Menurutnya, antara projek yang akan dijalankan tahun ini adalah menaik taraf Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya selain pembangunan projek punca air bagi pertanian.

Dalam perkembangan lain beliau memberitahu, pihaknya menjangkakan projek Jabatan Kedua Pulau Pinang akan dibuka kepada orang ramai selewat-lewatnya Januari depan.

"Kita jangka projek ini disiapkan pada November nanti dan selepas itu mungkin percubaan projek akan dijalankan terlebih dahulu bagi memastikan aspek keselamatan jambatan berkenaan sebelum ia dibuka untuk kegunaan orang ramai," ujarnya.

Selepas mesyuarat berkenaan, Zainal Abidin melancarkan majlis penyerahan Jalur Gemilang sempena sambutan kemerdekaan negara yang bakal tidak lama lagi.

Tiga projek mega di USM

Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT

Oleh AZHARI ZAINOODDIN
utusanpenang@utusan.com.my

PULAU PINANG 27 Ogos - Sebanyak tiga projek mega bakal dilaksanakan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam usaha menambah kelengkapan universiti itu untuk kemudahan warganya.

Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Omar Osman (gambar) berkata, tiga projek berkenaan adalah pembinaan Pusat Pemindahan Ilmu Toray, Kompleks Sukan Tan Sri Azman Hashim dan sebuah pusat inkubator.

Katanya, projek pusat pemindahan ilmu dan kompleks sukan itu akan dibangunkan di kampus induk universiti di Minden manakala pusat inkubator pula di Sains@USM, Bukit Jambul.

"Kesemua projek menelan belanja sebanyak RM44 juta dan kita jangka pembinaannya dapat dimulakan menjelang hujung tahun ini.

"Projek pusat pemindahan ilmu akan dibangunkan dengan kerjasama Toray Industries Sdn. Bhd. (Toray), dengan belanja sebanyak RM4 juta manakala projek kompleks sukan dibiaya oleh Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim dengan kos RM10 juta," katanya ketika ditemui dalam majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Naib Canselor USM di sini semalam.

Omar dalam pada itu menambah, projek pusat inkubator akan dibangunkan dengan peruntukan RM30 juta.

"Semua projek ini dibina demi kemudahan dan keperluan warga USM terutama pelajar dan penyelidik untuk menjalankan rutin mereka," jelasnya.

Menyentuh mengenai rumah terbuka yang diadakan, jelas beliau, majlis itu merupakan program tahunan di ketiga-tiga kampus USM.

"Melalui majlis sebegini akan merapatkan lagi hubungan antara semua warga kampus selain meraikan Syawal secara bersama terutama pelajar yang tidak dapat pulang beraya di kampung halaman.

"Dengan majlis ini juga kita dapat mengetengahkan adat dan budaya kita kepada pelajar asing yang belajar di USM," ujarnya.

Raja Dr. Nazrin Shah rasmi Pusat Kesihatan Komuniti UKM

Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT

Raja Dr. Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim (tiga dari kanan) melihat demonstrasi kecergasan semasa melawat pameran klinik di Kampus Pusat Kesihatan Komuniti UKM, di Teluk Intan, Perak, baru-baru ini. - UTUSAN/Ain Safree

TELUK INTAN 27 Ogos - Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berkenan merasmikan pembukaan Pusat Kesihatan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kampus Teluk Intan bernilai RM2.6 juta dekat sini.

Kampus seluas 5.55 hektar itu merangkumi ada sebuah bangunan yang mengandungi pejabat pentadbiran, bilik pensyarah, bilik mesyuarat, dewan makan, surau dan bilik-bilik perbincangan.

Bangunan berkenaan dibina pada awal 2009 dan siap sepenuhnya pada Oktober tahun lalu, turut mempunyai beberapa blok asrama yang mampu menempatkan sehingga 160 orang mahasiswa pada satu-satu masa.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim serta diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Sharifah Hapsah dalam ucapannya berkata, kampus berkenaan pada asalnya menyediakan kemudahan penginapan kepada pelajar perubatan UKM yang melakukan pengajian klinikal dalam bidang pediatrik, pembedahan perubatan serta obstetrik dan ginekologi di Hospital Teluk Intan sebelum diserahkan sepenuhnya kepada Fakulti Perubatan universiti itu pada 30 Mac tahun ini.

Menurut beliau, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam telah memberikan kerjasama sepenuhnya dengan menjadikan Hospital Teluk Intan dan Hospital Slim River sebagai hospital satelit bagi Fakulti Perubatan UKM sejak 2004.

"Oleh kerana Pusat Perubatan UKM (PPUKM) adalah hospital rujukan tertiari dan spektrum penyakit tertumpu pada sub-bidang, maka pengunaan Hospital Teluk Intan dan Slim River pula lebih memberi pendedahan kepada pelajar perubatan tentang pelbagai kes penyakit yang lazimnya berlaku.

"Pengunaan dua hospital ini telah mengurangkan nisbah pelajar kepada pesakit dan ini memberikan lebih keselesaan, namun lebih penting, UKM boleh menumpukan perhatian kepada latihan doktor pakar yang sangat diperlukan oleh negara," katanya.

Dalam perkembangan sama, Sharifah Hapsah berkata, UKM telah berjaya menghasilkan sebanyak 5,144 doktor perubatan, 2,814 doktor pakar dalam pelbagai bidang serta 94 lagi dalam pengajian doktor falsafah (PhD) yang kini bertugas di seluruh negara sejak Fakulti Perubatannya ditubuhkan pada Mei 1972.

Sehubungan itu katanya, adalah menjadi harapan beliau agar masyarakat di sekitar Teluk Intan dan daerah Hilir Perak dapat memanfaatkan kemudahan kampus berkenaan dalam mendapatkan maklumat serta rawatan awal bagi membendung sebarang bentuk penyakit.

"Pihak UKM berbangga dengan pencapaian ini kerana pergilah ke mana-mana hospital, pusat kesihatan mahu pun klinik awam dan swasta termasuk perkhidmatan angkatan tentera, anda akan bertemu dengan lulusan UKM," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Sasar lulus 100% peperiksaan UPSR

Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT

Oleh MOHAMAD AIZIM BAHARON
utusanN9@utusan.com.my

calon UPSR bersama Hassan Malek (barisan kedua, lima dari kanan) dan di sebelah kanannya, Kalsom Khalid menunjukkan lima jari sebagai simbolik sasaran mencapai keputusan 5A dalam UPSR di Kuala Pilah, Negeri sembilan, semalam.

KUALA PILAH 27 Ogos - Semua sekolah di negeri ini hendaklah meletakkan sasaran lulus 100 peratus dalam peperiksaan peringkat kebangsaan termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Kalsom Khalid berkata, semua murid juga perlu membuat sasaran terhadap keputusan peperiksaan itu mengikut kemampuan dan tahap pencapaian mereka ketika ini.

''Janganlah pula ada yang meletakkan sasaran untuk mendapat gred paling lemah kerana ia akan hanya menyaksikan rekod buruk dalam pencapaian keputusan peperiksaan keseluruhannya.

''Kita optimis pihak sekolah sudah boleh mencongak kemampuan murid ketika ini dan memastikan sekurang-kurangnya memperoleh minimum dan lulus 100 peratus dalam semua mata pelajaran," katanya sewaktu hadir dalam program Akademik Cemerlang UPSR/Pacu 5A di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Tambah Kalsom, beliau juga berharap calon UPSR yang akan menduduki peperiksaan memupuk sikap positif dengan keyakinan diri yang tinggi.

Mengenai program Akademik Cemerlang UPSR/Pacu 5A yang diadakan itu, Kalsom memberitahu, usaha itu adalah bantuan yang diberikan untuk melengkapkan diri serta keyakinan murid menghadapi UPSR tidak lama lagi.

''Kita perbaiki teknik pembelajaran saat akhir, cara menjawab soalan dan sebagainya," katanya.

Dalam majlis itu juga berlangsung acara penyampaian bantuan sebanyak RM600 setiap seorang kepada 10 orang murid kurang mampu.

Selain itu, pihak Yayasan Bank Rakyat turut menyumbang 5,000 bantuan alat tulis kepada calon UPSR, Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM20,000.

MPHTJ sasar kutipan cukai capai 90 peratus

Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT

MELAKA 27 Ogos - Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menyasarkan jumlah kutipan cukai bagi penggal kedua tahun ini mencapai 90 peratus berbanding 89.6 peratus untuk tempoh sama penggal lalu.

Yang Dipertuanya, Sapiah Haron berkata, walaupun jumlah itu tidak menunjukkan banyak peningkatan namun angka kutipan keseluruhan yang ditunjukkan sehingga awal minggu ini memberi gambaran baik.

Menurutnya, tahap kesedaran pembayar cukai mula meningkat dan mereka menyedari tanggungjawab untuk menjelaskan cukai yang telah ditetapkan.

Katanya, hasil kutipan itu juga dilihat mampu melonjakkan sasaran cukai keseluruhan penggal ini yang dijangka mencapai angka 90 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan iaitu sebanyak RM16 juta.

"Pada tahun lalu, kadar cukai yang berjaya dikutip bagi penggal pertama dan kedua sekitar 88 peratus sahaja dan saya berharap akan ada peningkatan meskipun tidak banyak, ini amat penting untuk melicinkan perjalanan dan operasi MPHTJ.

"Walau bagaimanapun, menerusi tinjauan yang dilakukan di kaunter-kaunter bayaran mulai semalam dan hari ini, kebanyakan daripada pembayar cukai melaksanakan tanggungjawab dan saya berpuas hati dengan apa yang telah dilunaskan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Rumah Terbuka MPHTJ di pusat beli-belah Melaka Mall, Ayer Keroh, di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Sapiah turut mengingatkan pihak yang tidak membayar cukai dapat berbuat demikian kerana MPHTJ memerlukan sebahagian wang tersebut untuk kerja-kerja penyelengaraan dan sebagainya.

"Kita berharap baki 40 peratus yang masih belum diperoleh itu dapat diselesaikan pembayar-pembayar cukai dalam masa terdekat," katanya.

Warga tentera diseru eratkan hubungan dengan masyarakat

Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT

Sebahagian daripada orang ramai yang menghadiri Majlis Makan Malam Warga Pasukan bersama Menteri Besar di Kem Senawang dekat Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

SEREMBAN 27 Ogos - Warga tentera perlu bersama masyarakat di kawasan sekitarnya melalui kerjasama yang mampu mengeratkan hubungan kedua belah pihak tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau melihat anggota tentera sering terpinggir daripada masyarakat kerana kehidupan yang dihabiskan di dalam kem menyebabkan orang ramai tertanya-tanya kehidupan mereka di luar.

Katanya, beliau tidak mahu lagi melihat kehidupan tentera bersama masyarakat umum terpisah jauh selepas mereka bersara daripada perkhidmatan akibat jarang bercampur dengan masyarakat.

"Jika ini dapat dilakukan saya yakin warga tentera tidak akan menghadapi masalah selepas bersara daripada perkhidmatannya kelak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Makan Malam Warga Pasukan bersama Menteri Besar Negeri Sembilan di Kem Senawang, dekat sini baru-baru ini.

Majlis itu sempena Hari Terbuka 1 Briged dan Ulang Tahun 15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ke-43.

Sambutan itu menggunakan kaedah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) berkonsep Military Community Volunteering Days (MCVD) yang melibatkan kehadiran orang awam.

Yang turut hadir, isteri Menteri Besar, Raja Datin Salbiah Tengku Nujumuddin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Mohd. Ghazali Abd. Wahid, Panglima 1 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Adnan Abu Bakar dan Pegawai Pemerintah Rejimen ke-15 RAMD, Leftenan Kolonel Mohd. Nor Ghaniman.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sempena sambutan tersebut seperti pameran senjata dan peralatan Tentera Darat, agensi awam dan pameran kerjaya, hari keluarga, gotong-royong membersih tanah perkuburan dan derma darah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Ops Piramid II berjaya, 583 enggan pulang - MKN

Posted: 28 Aug 2013 01:40 AM PDT

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Seramai 2,796 daripada 3,379 rakyat Malaysia yang didaftarkan berada di Mesir berjaya dibawa pulang ke tanah air menerusi Ops Piramid II yang berakhir hari ini.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata, baki 583 rakyat Malaysia yang masih berada di negara tersebut adalah atas keinginan dan pilihan mereka sendiri.

Ops Piramid II yang bertujuan membawa keluar rakyat Malaysia di Mesir berikutan situasi keselamatan di negara tersebut telah berjaya dilaksanakan.

"Operasi ini yang bermula pada 21 Ogos dan berakhir pada hari ini merupakan satu usaha kerajaan bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Mesir terus diberi keutamaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamed Thajudeen, kesemua rakyat Malaysia yang terlibat dalam operasi itu dibawa balik menerusi 49 penerbangan menggunakan perkhidmatan 13 syarikat penerbangan. - UTUSAN ONLINE

Tabung Haji beri vaksin percuma kepada jemaah haji

Posted: 28 Aug 2013 01:29 AM PDT

PETALING JAYA 28 Ogos - Lembaga Urusan Tabung Haji sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan untuk memberi suntikan vaksin percuma kepada jemaah haji Malaysia yang dijadual berlepas ke Tanah Suci pada 7 September ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata ini berikutan penularan virus Middle East Respiratory Syndrome Corona Virus (MERS-CoV) yang dahulunya dikenali sebagai Novel Coronavirus telah dikesan dari negara-negara seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Qatar dan Tunisia .

"Tabung Haji memang sedang berbincang dengan pihak kementerian yang mana mereka akan memberi vaksin percuma ini kepada jemaah haji yang akan pulang ke Malaysia.

"Bagaimanapun, kita belum ada lagi keputusan tentang pelaksanaan vaksin tersebut kepada jemaah haji," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran MyKifayah Perkhidmatan Pengurusan Jenazah Bersepadu Tanpa Tunai, di sini hari ini.

Sehingga 9 Julai 2013, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah melaporkan sebanyak 82 kes disahkan mengidap MERS-CoV dengan 45 kematian seluruh dunia.

Ini menjadikan jangkitan virus ini amat berbahaya dengan kadar kematian yang tinggi, melebihi 50 peratus. - BERNAMA

DUN Kedah lulus enakmen banteras fahaman Syiah

Posted: 28 Aug 2013 01:12 AM PDT

ALOR SETAR 28 Ogos - Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah telah meluluskan satu undang-undang di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah bagi membolehkan penguatkuasaan diijalankan untuk membanteras ajaran Syiah di negeri ini.

Keputusan itu dibuat menerusi undian pada hari ketiga Persidangan DUN Kedah Ke-13 di sini semalam setelah pihak pembangkang secara prinsip tidak setuju dengan pindaan enakmen tersebut.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, dalam undian berbelah bahagi yang difahamkan kali pertama dalam DUN Kedah itu, sebanyak 21 wakil rakyat menyokong usul supaya enakmen tersebut diluluskan manakala sembilan membantah, empat berkecuali dan dua orang tidak mengundi.

"Maka isu Syiah telah diselesaikan di peringkat DUN Kedah kerana sekarang kita mempunyai enakmen membenarkan pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang yang semata-mata diwujudkan untuk membanteras penyebaran fahaman Syiah," katanya kepada pemberita selepas persidangan DUN Kedah malam tadi.

Persidangan selama tiga hari berakhir pukul 10.45 malam itu merupakan ujian pertama dihadapi Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Jangan jadi mangsa peras ugut

Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Jangan ekstrem hingga tolak bahasa Inggeris

Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Pelaksanaan lemah 'penyakit' jejaskan dasar pendidikan negara

Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved