Ahad, 25 Ogos 2013

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Cabaran polis tangani jenayah berat

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

JENAYAH kekerasan yang berlaku di seluruh negara sejak kebelakangan ini mengundang kebimbangan semua pihak.

Pembunuhan demi pembunuhan yang berlaku menjadi tajuk-tajuk utama akhbar dan isu perbincangan utama pelbagai pihak.

Tatkala kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyuarakan ketegasan dalam menangani isu ini, segelintir pihak mengambil peluang menyalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kononnya bertindak tanpa mengikut prosedur untuk memburu penjenayah tegar yang masih bebas.

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Tan Sri Zaman Khan ketika ditanya mengenai isu ini, melahirkan rasa simpati terhadap tohmahan yang dilemparkan kepada pasukan itu.

Ada sesetengah kata ada perkara dalam EO (Ordinan Darurat) itu ada dalam Akta Pencegahan Jenayah, memang betul. Tapi itu bukan untuk jenayah biasa namun bagi aktiviti menentang pengganas," katanya kepada wartawan Mingguan Malaysia, SUFFIAN ABU BAKAR, SOFIAN BAHAROM dan jurugambar HANAFI KHAMIS ketika ditanya isu itu di Putrajaya baru-baru ini.

Bekas Pengarah Penjara Malaysia itu turut berkongsi maklumat dan pandangannya bagaimana menangani isu jenayah kekerasan ini berdasarkan kepada pengalamannya.

UTUSAN: Jenayah kekerasan contohnya tembak-menembak semakin berleluasa di negara ini. Apa pandangan Tan Sri?

ZAMAN KHAN: Tidak dinafikan kejadian tembak-menembak ini satu fenomena baharu. Semasa saya selaku pencegah jenayah di sepanjang kerjaya saya tidak pernah dengar begini. Ada memang ada tetapi tidak seperti ini. Ini saya rasa disebabkan, berdasarkan beberapa bukti bahawa sindiket pengedaran dadah ini mempunyai senjata api seolah-olah untuk mempertahankan kedudukan mereka sekiranya ada serbuan dan sebagainya.

Ada juga segelintir penjenayah ini menggunakan kekerasan termasuk menembak kerana dendam seperti di Kelantan sebelum ini. Jadi, perkara ini dilihat membimbangkan serta menakutkan masyarakat. Pada mulanya saya ingat pihak polis tidak mempunyai perisikan yang baik tetapi ia adalah tanggapan silap. Kalau kita perhatikan, dalam seminggu ini selepas kejadian tembak-menembak berlaku, polis mengetahui siapa dalangnya.

Ini bermakna pihak polis telah melakukan siasatan sebaik-baiknya. Orang awam perlu sedar bahawa polis ini bukan ahli silap mata. Mereka bergantung kepada maklumat yang dicari dan disampaikan. Melalui cara inilah, pegawai-pegawai turun padang ke kelab-kelab malam, kedai-kedai kopi dan sebagainya bukan untuk berjoli tetapi untuk mendapatkan maklumat sedikit-sebanyak.

Kita ada rangkaian juga dengan penjenayah dan bekas-bekas banduan yang insaf untuk mendapatkan maklumat. Namun begitu, maklumat daripada orang ramai adalah yang paling penting.

Tan Sri berkata sindiket pengedaran dadah mempunyai senjata api untuk mempertahankan kedudukan mereka, boleh Tan Sri jelaskan kenapa?

Saya percaya sindiket-sindiket ini mempunyai senjata api untuk mengongkong kawasan pengedaran dadah mereka. Ingat lagi Bentong Kali? Salah satu matlamatnya adalah menjadikan Kuala Lumpur kawasan kawalan pengedaran dadahnya. Sejak kes pertama saya dulu di Pulau Pinang, saya masih ingat ketika itu, polis mendapat maklumat berhubung kegiatan membawa dadah di Jelutong dan Ayer Hitam jadi kita lakukan serangan hendap. Apabila si pembawa itu ditahan polis, baru sahaja ditanya suspek sudah melepas tembakan.

Kami menembaknya mati dan mendapati terdapat sejumlah dadah yang cuba dibawa ke tempat lain. Ini perkara selalu berlaku dan ia dibuktikan apabila unit narkotik merampas dadah pasti terdapat senjata api bersama. Nampaknya, dadah bukan sahaja merosakkan masyarakat terutama golongan muda tetapi juga membawa kepada jenayah kekerasan di negara ini.

Orang kata, jalan penyelesaian kepada perkara ini adalah dengan menutup sempadan. Mereka perlu tahu sempadan kita panjang, saya tahu kerana saya juga berasal daripada kawasan sempadan. Di sempadan tersebut terdapat penduduk. Penduduk kedua-dua sempadan juga mempunyai pertalian yang sangat erat.

Malahan dahulu terdapat cadangan untuk memagari sempadan tersebut. Saya hanya tersenyum. Orang tanya kenapa tersenyum? Saya kata tidak guna memagari kawasan tersebut kerana masyarakat kedua-dua belah mengenali satu sama lain. Kalau hari ini letak pagar mungkin esok pagar tersebut akan dirobohkan. Itu sebab kita jadikan sempadan tersebut sebagai kawasan perdagangan bebas seperti di Tak Bai, Rantau Panjang, Padang Besar dan utara Perlis. Langkah itu bagi mencegah penyeludupan dan supaya orang kita tidak terdedah kepada ancaman-ancaman.

Terdapat segelintir pihak yang mempersoalkan tindakan polis semasa melakukan operasi. Kenapa ini berlaku?

Pihak polis sekiranya dapat maklumat dalam kes berbahaya seperti tembak-menembak ini, kita akan ada perancangan. Jangan kata polis bertindak membuta-tuli. Sekiranya kita tengok insiden di Pulau Pinang, kekuatan operasi kita diambil dari Bukit Aman, Pulau Pinang dan Alor Setar. Ini semua anggota polis yang terlatih untuk berjaga-jaga dalam sebarang kemungkinan. Apabila kita ke tempat itu, kita sudah tahu sebelum ini sudah banyak kes polis ditembak. Takkan kita perlu menunggu mereka menembak dua tiga das dahulu sebelum bertindak?

Dalam keadaan tebusan dan sebagainya seperti saya yang dilatih dalam situasi tersebut, kita memasuki lokasi dan akan menembak suspek bukan untuk membunuhnya tetapi memastikan yang dia tidak menjadi ancaman kepada kita.

Saya bukan menjustifikasikan tindakan itu tetapi keadaan sedia cemas. Janganlah fikir polis perlu menunggu penjenayah menembak dahulu.

Tan Sri tadi ada menyebut polis menjadikan penjenayah sebagai sumber rangkaian maklumat. Boleh jelaskan berhubung kenapa? Apakah sehingga kini masih terdapat hubungan tersebut?

Mahu tidak mahu, kita perlu ada rangkaian ini. Kita baca cerita di Amerika Syarikat (AS), England dan sebagainya yang mana Agensi Penyiasatan Pusat (CIA) terlibat dalam dadah, bukan mereka mahu berniaga dadah, cuma mereka mahu menyelidik perkara tersebut. Di Malaysia, kita ada tiga cara untuk mendapatkan maklumat iaitu kita cari sendiri, sumber daripada orang bersalah dan terbaik sekali adalah daripada orang ramai supaya siasatan dapat dijalankan.

Seperti yang selalu dikatakan kami, a dead body dont tell (orang yang mati tidak akan memberi maklumat), kita kalau boleh mahu maklumat daripada mereka yang berada di sekitar. Ada orang kata kita perlu menggunakan kaedah penyamaran apabila polis menjadi orang awam, kita buat. Sebagai contoh, kes-kes ragut cuba dikurangkan dengan anggota polis lelaki dan wanita menyamar menjadi pejalan kaki.

Ramai pihak yang bercakap, disebabkan ketiadaan Ordinan Darurat (EO) menyebabkan peningkatan jenayah berat ini?

Benar perkara tersebut. Memang tahanan tanpa bicara itu bertentangan dengan fahaman hak asasi manusia. Tetapi saya ingin tanya, itu hak asasi penjenayah, tetapi di mana hak saya dan orang lain?

Jadi kita perlu undang-undang ini untuk menahan mereka. Katakan saya penjenayah macam Botak Chin dahulu, kita tengok betapa susahnya dia untuk mati. Ramai orang tahu perkara ini, dia pergi ke Segambut atau Sentul, berjumpa dengan budak berketurunan India, dia akan beri wang dan mengucapkan Happy Deepavali kalau Cina dia kata Happy Chinese New Year.

Apabila keadaan seperti itu, masyarakat tidak akan memberi maklumat. Tetapi ada juga yang tidak suka perkara tersebut tetapi mereka takut untuk memberi keterangan di mahkamah. Tetapi bila kita minta mereka memberi kenyataan hanya untuk siasatan, mereka akan bekerjasama. Semua benda mereka tidak mahu pergi. Jadi kita merakam kenyataan, siasat dan melakukan kerjasama tersebut. Ini gunanya untuk mencegah kegiatan jenayah terutama gangsterisme, memeras ugut dan pengutipan wang perlindungan.

Pernah berlaku di Ampang, sebuah kedai India diganggu sekumpulan penjenayah, habis semua pekerja dan pelanggan takut. Semuanya disebabkan tidak membayar duit perlindungan.Mereka tidak mahu melaporkan kepada polis kerana mereka takut. Jadi dalam kes-kes begini, kita akan siasat. Kalau mereka kata kita aniaya dan sebagainya, wujudkan satu sistem ketat pula agar polis tidak menyalahguna kuasa. Sekarang ini terbukti, kebanyakan mereka yang keluar dari tahanan EO ini melakukan jenayah. Katakan awak menyebabkan saya meringkuk dalam penjara, bila saya keluar, saya akan cari awak. Begitulah.

Kalau kita sedar Tan Sri, terdapat juga pihak yang arif dengan undang-undang berkata, semua pihak tidak perlu khuatir dengan pemansuhan EO kerana terdapat juga akta lain seperti Akta Pencegahan Jenayah.

Memang betul ada akta lain tetapi kita tiada kuasa menahan seperti EO. Ada sesetengah kata ada sesetengah perkara dalam EO itu ada dalam Akta Pencegahan Jenayah, itu memang betul. Tetapi itu bukan untuk jenayah biasa namun bagi aktiviti menentang pengganas. Kalau kita boleh untuk pengganas, kenapa tidak kepada jenayah lain. Suasana kini, orang awam tidak takut kepada pengganas kerana tidak mengancam mereka secara menerus.

Orang kata ia tidak adil kerana orang kata seseorang tidak boleh dihukum sehingga terbukti salah menerusi keputusan mahkamah, saya setuju. Itu untuk hak asasi penjenayah sahaja tetapi bagaimana dengan awak dan saya? Saya rasa hak asasi seperti ini memang terlampau.

Ada juga kata bila orang ditahan oleh EO ini, mereka akan dianiaya. Tetapi silalah melawat mereka di penjara, memang sihat belaka di sana. Bukan dianiaya, tetapi mereka yang ditahan perlu mematuhi peraturan ditetapkan seperti bangun pagi pukul berapa dan melakukan aktiviti bersama-sama.

Ada cadangan juga untuk meminda akta tersebut dan apabila ditanya kepada polis, mereka meminta akta yang lebih kurang EO, apa pendapat Tan Sri berhubung bentuk akta baharu nanti?

Saya salah seorang daripada mereka yang juga mementingkan hak asasi manusia dan saya pernah hadir pada 2003 pada kursus hak asasi di University of Strasbourg, Perancis. Saya sedar tetapi perlu kita tahu bahawa hak orang lain perlu dihormati. Bukan sahaja diri kita sahaja. Jadi undang-undang yang diminta polis ini harus menjadi sebuah undang-undang bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan kepada mereka yang menjadi ancaman kepada masyarakat. Cuma, kalaulah orang kata ada salah guna kuasa, kita kena perketatkan mekanisme seperti cara kelulusan dan sebagainya. Apa yang patut dilakukan dan sebagainya.

Kita tidak suka kewujudan kongsi gelap dan sebagainya. Gangsterisme ini memang daripada dahulu ada, tetapi syukur Alhamdulillah, kita masih ada undang-undang membendung dan mematahkannya. Sekarang memang wujud kongsi gelap atau triad. Memang ada triad ini tetapi tidak seperti dahulu. Namun begitu, kalau kita tidak kawal, mereka akan naik semula. Pada saya, undang-undang ini sangat diperlukan. Kita minta ada keadilan untuk menyiasat betul-betul. Kalau ada bukti baru boleh didakwa ke mahkamah kalau tiada bukti tidak boleh. Takkan kita biarkan mereka sahaja?

Apa pandangan Tan Sri terhadap pendekatan pencegahan jenayah yang dilakukan KDN?

Banyak kerajaan sudah buat untuk mencegah jenayah. Kalau kita rujuk indeks jenayah terbaharu, jenayah biasa ada penurunan. Cuma jenayah kekerasan yang secara tiba-tiba menjadi masalah. Saya rasa puncanya dendam, menguasai kawasan, pengedaran dadah, memeras ugut dan sebagainya. Ini semua susah dikawal secara terbuka. Kita memerlukan undang-undang khusus berhubung perkara ini.

Salah satu langkah diambil polis adalah Op Cantas Khas, apa pandangan Tan Sri?

Masyarakat perlu ingat bahawa mereka tidak akan ditahan tanpa melakukan jenayah tetapi kerana melakukannya. Pada saya Op Cantas ini sangat bagus.

Walau bagaimanapun, Op Cantas juga mendapat kritikan.

Kita lihat persepsi segelintir kelompok masyarakat di negara ini. Satu ketika dulu penjenayah seperti Bentong Kali diangkat sebagai wira. Waktu itu, polis melakukan pengumuman berhubung pembunuhan Bentong Kali, ada bertanya, benarkah polis telah melakukannya? Saya kata benar. Hampir semua pemberita yang hadir ketika itu bertepuk tangan menyambut pengumuman tetapi ada juga yang tidak.

MIC dan peranan besar Palanivel menjelang 2016

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

Oleh Hassan Mohd. Noor

BERGABUNG sebagai satu parti tunggal mewakili masyarakat India. Itulah mesej yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tengku Adnan Tengku Mansor ketika merasmikan persidangan perwakilan Parti Makkal Sakti Malaysia kali kelima di Kuala Lumpur semalam. Tujuan penggabungan itu adalah mewujudkan sebuah parti yang mewakili masyarakat India menjadi parti yang dapat menjalin kerjasama demi pembangunan dan kepentingan kaum itu. Mesej yang sama pernah dilontarkan pelbagai pihak sebelum ini tetapi tidak ada usaha-usaha yang konkrit dilakukan.

Harus diingat, penggabungan atau penyatuan ini memerlukan pengorbanan, kejujuran dan keikhlasan. Usaha penyatuan ini menjadi rumit disebabkan sikap ego, tidak mahu bertolak ansur serta tidak sanggup mengorbankan jawatan dan kedudukan masing-masing. Sikap jujur dan ikhlas amat penting dalam memenuhi matlamat penyatuan ini. Mungkin juga ada faktor lain yang menyebabkan penggabungan itu tidak dapat dilakukan. Pada satu masa dulu, MIC merupakan parti tunggal yang mewakili masyarakat India yang menjadi parti komponen BN dan sebelum itu Perikatan. Parti Progresif Penduduk (PPP) yang juga parti pelbagai kaum turut dianggotai majoriti masyarakat India. Selepas berlaku perselisihan dalaman MIC di bawah era kepemimpinan S.Samy Vellu, beberapa parti serpihan muncul yang dipimpin oleh bekas pemimpin kanan parti itu. Ada yang terus hidup sehingga ke hari ini dan ada yang berakhir begitu sahaja.

Kini, wujud beberapa parti yang mewakili masyarakat India berada di luar BN tetapi menyokong kerajaan termasuklah Makkal Sakti, Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) dan Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF).

Ku Nan melontarkan persoalan: Kenapa perlu berpecah?...Kenapa perlu wujud banyak parti yang memperjuangkan perkara yang sama? ...Barangkali perlu dibuat analisa atau duduk semeja untuk memikirkan bagaimana mengatasi masalah ini,.

Apa yang lebih penting, penggabungan itu adalah bagi meraih kembali sokongan pengundi masyarakat India. Pada pilihan raya umum (PRU) lalu, BN hanya memperoleh 48 peratus sokongan kaum India. Jumlah itu perlu ditingkatkan kepada 60 hingga 70 peratus. Memang tepat saranan Ku Nan supaya MIC yang menjadi parti tertua mewakili masyarakat India bersikap lebih terbuka mendengar pendapat dan membuat analisa mengapa terlalu ramai masyarakat India membentuk parti politik baharu bagi mewakili kaum itu. MIC mesti mencari di mana silapnya sehingga lahir begitu banyak parti yang mewakili masyarakat India.

Mungkin perkara ini berlaku pada era lalu. Kini MIC di bawah kepemimpinan baru yang diterajui oleh G. Palanivel. Beliau boleh melihat perkara ini dengan lebih serius. Dengan tempoh sehingga jawatannya berakhir atas kehendaknya pada tahun 2016, Palanivel yang mempunyai corak kepemimpinan yang berbeza dengan presiden sebelum ini boleh mengorak langkah untuk merealisasikan saranan Ku Nan ini. Beliau boleh mengambil peluang ini untuk duduk semeja bersama parti-parti berkenaan untuk mencari formula penyatuan.

Mungkin MIC boleh menubuhkan majlis pemuafakatan parti politik masyarakat India ini bagi menggerakkan usahasama dan penyatuan.

Sebagai orang yang pernah bersama pemimpin terdahulu, Palanivel tentunya lebih arif di mana silapnya sehingga berlaku penolakan terhadap MIC dan membawa kepada penubuhan parti baharu. Eloklah Palanivel merintis jalan perpaduan ini. Jika berjaya, beliau pasti dikenang sebagai pemimpin yang dapat menyatukan seluruh parti masyarakat India melalui parti tunggal.

Dalam suasana sekarang serta berhadapan PRU akan datang, peranan atau tanggungjawab Palanivel nampak lebih besar. Beliau tentunya melihat keperluan ini dan memerlukan tempoh yang ada untuk memperkasakan parti MIC dan masyarakat India seluruhnya. Tanpa sebarang pertandingan bagi jawatan yang disandangnya kini, Palanivel yang mengambil alih jawatan itu daripada Samy Vellu pada Disember 2010 mempunyai lebih banyak masa untuk memikirkan soal penyatuan. Bukannya memikirkan soal pertandingan dalam parti yang hasilnya belum pasti mampu memperkukuhkan pengaruh dalam kalangan pengundi-pengundi.

Sejak dua bulan lalu, Palanivel sibuk mengadakan perjumpaan bersama semua ketua cawangan di seluruh negeri. Beliau turun ke akar umbi bagi menyelami dan mendekati anggota-anggota parti. Difahamkan, semasa perjumpaan tersebut, Palanivel lebih banyak bercakap mengenai usaha untuk memperkasakan MIC, mengembalikan semula kekuatan parti, mencadangkan perubahan perlembagaan dalam parti mengikut peredaran zaman, perpaduan dan peranan generasi muda.

Memang sudah tiba masanya, pemimpin MIC di semua peringkat memikirkan masa depan parti itu dengan lebih serius. Jangan terlalu fanatik, ghairah dan emosional tentang pemilihan parti kerana segala percaturan dalam parti tidak semestinya mewakili suara masyarakat India.

Penganalisis politik yang juga Ketua Penerangan MIC Wilayah Persekutuan, Anbumani Balan berkata, MIC perlu menerima hakikat yang sebenar mengenai segala kisah benar yang berlaku pada dua PRU lalu, 2008 dan 2013. Sebagai sebuah parti politik dominan yang mewakili masyarakat India di negara ini, semua pemimpin dan ahli MIC perlu mendahulukan masa depan masyarakat India - khususnya aspek pembangunan dan ekonomi - satu agenda yang lebih besar bagi menjamin harapan mereka. Pertandingan dalam parti hanyalah salah satu proses demokrasi tetapi ianya tidak dapat menyelesaikan masalah masyarakat India di negara ini khususnya ketika MIC berada di- persimpangan politik yang cukup kritilkal.

Diharapkan, Palanivel serta seluruh kepemimpinan MIC dapat menggunakan kesempatan yang ada ini untuk memantapkan parti. Palanivel perlu diberikan masa dan ruang yang secukupnya untuk melakukan segala proses penambahbaikan politik yang relevan untuk tempoh sehingga menghadapi PRU akan datang. Sebenarnya, masih banyak yang perlu dilakukan. Selain melihat sokongan masyarakat India, MIC dan barisan kepemimpinannya juga perlu melihat sokongan orang Melayu dan Cina terhadap parti itu terutama di kawasan-kawasan yang pernah mereka wakili.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Pengaruh Elvis sepanjang zaman

Posted: 25 Aug 2013 05:44 AM PDT

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
dianna.azaham@utusan.com.my
Foto AZLIZA HAILANI

KAMAL amat menggemari Elvis Presley sejak kecil.

SEWAKTU kecil, ibu kepada Kamaluddin Mohd. Kasim sering memainkan lagu-lagu nyanyian Raja Rock N Roll, Elvis Presley sebagai peneman keluarganya kala bersantai di rumah.

Ulangan lagu-lagu Elvis berkali-kali membuatkan Kamal yang kini merupakan Pegawai Perhubungan Awam Universal Music Malaysia dapat mengingati setiap butir liriknya sehingga sekarang dan amat meminati penyanyi yang digelar The King ini.

Malah pengaruh daripada lagu-lagu tersebut membuatkan Kamal lebih menghargai seni muzik dan memberikan pemahaman berkenaan muzik dengan lebih mendalam selain membuatkan dia amat menghargai dunia seni.

Begitu juga dengan pemilik Ol' Skool Bistro di Petaling Jaya, Calvin Adelrick. Pengaruh yang kuat daripada pelantun suara lagu Heartbreak Hotel ini merupakan punca dia terjebak dalam industri hiburan bermula dengan pemuzik dan deejay pada awal 1990-an.

"Saya masih ingat ibu saya menangis membaca mengenai kematian Elvis di dada akhbar pada 17 Ogos 1977. Saya baru berusia 7 tahun dan saya masih ingat laporan tersebut menunjukkan gambar dari atas ketika majlis pengkebumian legenda tersebut.

"Pengaruh daripada keluarga yang amat meminati Elvis Presley membuatkan saya turut sama menggemari lagu-lagu dan aksinya sejak kecil lagi sehingga sekarang," ujarnya yang gigih menganjurkan majlis memperingati Elvis Presley buat peminatnya di Malaysia buat kali kelima sejak tahun 2009 di tempatnya itu.

'Tribute To the King of Rock n Roll - Elvis Presley' tahun ini diadakan pada Ahad lalu di Ol' Skool Bistro, Jalan Gasing, Petaling Jaya dan pertama kali menyaksikan lebih 20 orang 'Elvis' dari seluruh negara menggayakan sut terkenal yang sering digayakan Elvis lengkap dengan gaya potongan rambut dan jambang yang 'mahal' itu.

Malah, mereka tidak kekok memberikan gaya bergambar legenda tersebut di hadapan kamera serta persembahan mantap lagu-lagu Elvis lengkap dengan gaya tariannya yang unik dan menjadi ikutan ramai di zaman tersebut.

Selain Kamal yang menyampaikan lagu Love Me Tender, Wooden Heart dan Teddy Bear dan HT Long, artis Elvis lain yang memberikan persembahan mantap pada majlis penghormatan buat Elvis Presley selama 12 jam itu termasuk Eddie Francis yang merupakan Raja Rock n Roll Malaysia, Sunny Tai, Frankie Fong, Alex Wong, Aziz, Joe Rosario, Peter Lee dan Anthony.

Jam tangan gaya metropolitan

Posted: 25 Aug 2013 05:44 AM PDT

DALAM dunia fesyen yang sinonim dengan gaya dan kecantikan, jam tangan bukan sekadar penunjuk waktu sebaliknya sebahagian aksesori pelengkap penampilan. Walaupun jam tangan mula diperkenalkan pada kurun ke-16, tetapi hanya pada awal tahun 1800, barulah tukang permata dan tukang jam mereka jam tangan berlian untuk kerabat diraja.

Ratu Elizabeth I dikatakan mempunyai seutas jam tangan pada masa itu.

Pada lewat kurun ke-19, wanita dan lelaki mula memakai jam tangan sebagai barang perhiasan. Kini ia tidak asing lagi khususnya golongan muda.

Bagi golongan remaja, aksesori seperti ini memberi kelainan dengan penampilan yang eksotik dan ranggi, selain kelihatan lincah dan bertenaga.

Uniknya, aksesori seperti ini memberikan keunikan dari segi pemakaian kerana mampu membuat kejutan.

Bagaikan memahami kemahuan remaja, Alfio Raldo memperkenalkan koleksi jam tangan bertemakan gaya metropolitan.

Koleksi ini menampilkan gaya metropolitan dengan corak sofistikated berkonsep flora dan fauna.

Sementara itu, koleksi jam tangan ini hadir dalam saiz kecil hingga besar dengan pelbagai warna. Jam tangan eksklusif bagi lelaki dan wanita ini sesuai bagi mereka yang ingin kelihatan bergaya dengan rekaan moden terkini.

Alfio Raldo juga dilihat berjaya menghasilkan jam tangan berkualiti tinggi dengan mengambil inspirasi daripada rekaan fesyen mewah namun mengekalkan harga berpatutan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Utamakan perpaduan - MB

Posted: 24 Aug 2013 10:53 AM PDT

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
utusanjohor@utusan.com.my

BATU PAHAT 24 Ogos - Semua ahli UMNO negeri ini digesa mengutamakan perpaduan antara mereka daripada berpecah akibat pertembungan sesama sendiri bagi merebut jawatan di peringkat bahagian dalam pemilihan parti kali ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu penting diambil kira oleh semua ahli UMNO kerana kekuatan sesebuah parti terletak kepada perpaduan dalam kalangan ahli.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, ahli perlu sedar bahawa pemilihan peringkat bahagian merupakan platform untuk memilih pemimpin, bukan 'gelanggang pertembungan'.

"Kesemua 26 bahagian diingatkan supaya mementingkan perpaduan semasa pemilihan pemimpin di peringkat bahagian kerana dilihat dan dinilai oleh masyarakat atau pengundi.

"Oleh itu, elaklah bertembung sesama sendiri sehingga meretakkan perpaduan yang wujud dalam parti ketika kita bekerjasama secara erat dan padu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu," katanya dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama penduduk daerah ini di sini malam semalam.

Yang turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohamad Aziz serta barisan Exco negeri, selain pemimpin UMNO Bahagian Batu Pahat, Sri Gading dan Parit Sulong.

Mohamed Khaled berkata, perpaduan atau kerjasama yang ditunjukkan oleh tiga UMNO bahagian di daerah ini dalam menjayakan majlis sambutan Aidilfitri itu perlu dicontohi.

"Kalau nak dianjurkan majlis sama di setiap bahagian, ini memerlukan kos yang tinggi dan pencarian kawasan terutamanya dewan yang boleh memuatkan orang ramai.

"Tapi dalam kerjasama tiga UMNO bahagian ini, satu majlis telah dianjurkan secara kerjasama dan alhamdulillah cukup meriah dan berjaya membawa tetamu daripada ketiga-tiga bahagian," katanya.

Beliau berharap perpaduan seperti itu dapat diteruskan dan dicontohi oleh ahli, khususnya dalam pemilihan pemimpin peringkat bahagian kelak.

Pelantikan Ali suntikan baharu kepada PUNB

Posted: 24 Aug 2013 10:53 AM PDT

YUSOF Abu Bakar (tengah) bersama para tetamu yang hadir pada majlis rumah terbuka beliau di Bukit Pasir, Muar, Johor, semalam.

PAGOH 24 Ogos - Pelantikan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam selaku Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) yang baharu diyakini akan membawa perubahan dalam melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera yang dinamik, berdaya tahan dan progresif.

Pengerusi Persatuan Usahawan Bumiputera Muar, Datuk Yusof Abu Bakar berkata, kemampuan Mohd. Ali yang menggantikan Khairy Jamaluddin berkuatkuasa 1 Ogos lalu, dinilai melalui kepimpinannya sebelum ini yang menyaksikan banyak usaha meningkatkan pendapatan usahawan bumiputera.

"Dengan adanya pengaruh beliau sebelum ini kita percaya PUNB akan terus menjadi nadi penggerak untuk membangun usahawan bumiputera yang penglibatan dan sumbangan mereka penting kepada pembangunan ekonomi negara," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbukanya di pekan Bukit Pasir di sini hari ini.

Mohd. Ali dilantik menggantikan Khairy yang kini menjadi Menteri Belia dan Sukan berdasarkan pengalaman dalam memajukan ekonomi Melaka semasa menjadi Ketua Menteri di negeri itu selama 12 tahun.

Mengulas lanjut Yusof berkata, Mohd. Ali akan memberi suntikan baharu dan lebih segar terhadap PUNB selain memberi sumbangan tersendiri dalam membangunkan perbadanan tersebut dalam usaha memperkasa ekonomi bumiputera ke tahap yang lebih baik.

Sementara itu, beliau yang mengumumkan hasratnya pada 23 Julai lalu untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pagoh pada pemilihan parti pada Oktober ini, berharap mendapat sokongan daripada ahli-ahli.

"Penjelasan sudah diberikan tentang hala tuju baharu Pemuda UMNO Pagoh dalam bidang ekonomi, agama dan sosial.

"Saya yakin ramai akan menyokong idea-idea besar ini namun pada masa sama saya menafikan pertandingan merebut jawatan ini akan membawa perpecahan kerana ahli bijak menilai calon yang mempunyai visi dan misi," katanya yang juga Penasihat Majlis Belia Daerah Muar.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Lapan suspek diberkas

Posted: 24 Aug 2013 10:53 AM PDT

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
pengarang@utusan.com.my

IPOH 24 Ogos - Polis menahan sebanyak lapan orang termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah dalam Ops Cantas Khas yang dijalankan di sini malam tadi.

Semua tangkapan tersebut dilakukan sekitar pukul 10 malam di tiga lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Anuar Othman berkata, tangkapan pertama membabitkan dua lelaki yang dipercayai terlibat dengan pengedaran dadah di Bercham.

Katanya, kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Tangkapan kedua pula dibuat di sekitar Pekan Baru di sini melibatkan sebanyak empat lelaki dan seorang wanita yang juga disyaki terlibat dalam pengedaran dadah. Mereka disiasat mengikut seksyen sama.

"Satu lagi tangkapan membabitkan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes rompakan dan dia disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Tangkapan tersebut tidak termasuk empat penjenayah yang ditahan selepas berbalas tembakan dengan polis di Medan Bercham Selatan di sini tengah malam tadi.

Sebelum ini, polis menahan tiga lelaki dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap dalam Ops Cantas Khas yang dijalankan di sini dan Kampar pada minggu lepas.

122 murid sertai pertandingan mewarna

Posted: 24 Aug 2013 10:53 AM PDT

Murid-murid SK Hutan Kampong sibuk mewarna dalam pertandingan anjuran MMC Corporation Berhad dengan usaha sama Utusan Malaysia sempena Program Semarak Generasi Berilmu di SK Hutan Kampong, Alor Setar, Kedah, semalam. - MINGGUAN/SAFRIZAL AZMI

ALOR SETAR 24 Ogos - Seramai 122 orang murid-murid Sekolah Kebangsaan Hutan Kampung di sini hari ini menyertai pertandingan mewarna anjuran MMC Corporation Bhd. (MMC Corp.) dengan kerjasama Utusan Malaysia sempena program 'Semarak Generasi Berilmu'.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Hutan Kampung, Jelipah Ismail berkata, program tersebut merupakan program pertama anjuran MMC Corp di sekolah tersebut.

Katanya, kesemua yang menyertai pertandingan tersebut terdiri daripada murid-murid tahun satu hingga tiga sekolah itu.

"Pertandingan mewarna ini memang bagus diadakan kerana ia dapat mencungkil bakat seni di dalam diri kanak-kanak.

"Pihak sekolah ingin mengucapkan terima kasih kepada MMC Corp dan Utusan Malaysia yang telah memilih sekolah kami untuk menjalankan program ini," katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Hutan Kampung di sini hari ini.

Menurut Jelipah, pihaknya berharap program-program sebegini akan terus diadakan pada masa depan di sekolah tersebut kerana ia banyak mendatangkan manfaat kepada murid-murid.

"Murid-murid di sini memang didedahkan dengan program mewarna di luar sekolah, tetapi kami lebih suka jika pertandingan mewarna diadakan di dalam sekolah," jelasnya.

Dalam pada itu, seorang murid tahun tiga, Mohamad Ali berkata, dia teruja kerana dapat menyertai pertandingan mewarna itu hari ini.

"Saya gembira kerana dapat mewarna bersama kawan-kawan hari ini dan saya harap kami akan perolehi hadiah yang menarik hari ini," katanya.

47 warga asing ditahan di Barat Daya

Posted: 24 Aug 2013 10:53 AM PDT

PULAU PINANG 24 Ogos - Sebanyak 47 warga asing ditahan dalam Op Bersepadu manakala lebih 300 kenderaan diperiksa sempena Op Cantas Khas di daerah Barat Daya di sini.

Operasi yang bermula pada kira-kira pukul 11 malam tadi berakhir enam jam kemudian disertai kira-kira 80 pegawai dan anggota polis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Mohd. Hatta Mohd. Zain (gambar) berkata, sebanyak 257 saman trafik dikeluarkan ke atas kenderaan yang melanggar kesalahan trafik.

"Polis juga menahan 13 orang termasuk seorang wanita atas kesalahan memiliki dadah dan positif air kencing," katanya di sini hari ini.

Antara kawasan yang menjadi tumpuan polis dalam operasi berkenaan ialah Bayan Baru, Bayan Lepas, Sungai Ara, Teluk Kumbar dan Balik Pulau.

Pada perkembangan sama, Mohd. Hatta memberitahu sebanyak 12 motosikal disita dalam Op Rempit di Bayan Baru malam tadi.

Jelasnya, lebih 51 buah motosikal dibawa ke balai Bayan Baru untuk pemeriksaan lanjut selepas pihak polis memeriksa 200 buah motosikal dalam operasi terbabit.

"Kita telah keluarkan lebih 200 saman atas pelbagai kesalahan manakala bagi mereka yang bawah umur kita minta ibubapa datang ke balai untuk keterangan lanjut," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Pangsapuri dijadi pusat judi

Posted: 24 Aug 2013 10:53 AM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

Salehhudin Abd. Rahman (empat dari kanan) melihat komputer yang digunakan untuk bermain judi serta mereka yang terlibat dengan permainan tersebut semasa serbuan di Pangsapuri Cheng Ria, Melaka, baru-baru ini.

MELAKA 24 Ogos - Taktik satu sindiket judi menjalankan aktiviti perjudian di pangsapuri bagi mengaburi pihak berkuasa gagal apabila kegiatan itu berjaya dibongkar pihak polis dalam satu serbuan di Pangsapuri Cheng Ria, Cheng di sini petang kelmarin.

Serbuan pada pukul 5 petang yang dijalankan 10 pegawai dan anggota polis dari Bahagian Judi, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah itu turut berjaya merampas sebanyak 18 set komputer yang dijadikan mesin judi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, serbuan di tingkat tiga pangsapuri tersebut dijalankan hasil maklumat yang diterima daripada orang awam.

Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, dua penjaga premis bersama tujuh lelaki berumur antara 22 hingga 45 tahun didapati sedang leka bermain mesin judi.

"Polis turut merampas wang tunai bernilai RM1,998 yang dipercayai dijadikan wang pertaruhan perjudian di pangsapuri berkenaan," katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Jelas Salehhudin, kesemua set komputer yang dijadikan mesin judi itu diletakkan di tiga bilik berasingan yang terdapat di rumah tersebut.

"Modus operandi terbaharu sindiket judi adalah dengan menjadikan pangsapuri sebagai pusat perjudian dalam usaha mereka mengaburi pihak berkuasa.

"Taktik ini digunakan ekoran pemantauan berterusan yang dilakukan polis terhadap premis-premis perniagaan sebelum ini," ujarnya.

Tambah beliau, pangsapuri tersebut dipercayai baharu digunakan selama dua hari untuk dijadikan pusat perjudian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(b) dan Seksyen 6 Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Rashid Hussain wakaf kompleks komuniti umat Islam di NS

Posted: 24 Aug 2013 10:53 AM PDT

SEREMBAN 24 Ogos - Selepas mewakafkan Masjid Hussain di Seremban 2 dekat sini tahun lalu yang bernilai RM15 juta, pengasas kumpulan perbankan RHB, Tan Sri Abdul Rashid Hussain sekali lagi terlibat dalam kerja wakaf di negeri ini.

Kali ini, beliau mewakafkan pembinaan sebuah kompleks komuniti umat Islam di Bandar Sri Sendayan dekat sini bernilai tidak kurang daripada RM15 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, melalui usaha itu, Abdul Rashid membeli sebidang tanah seluas kira-kira empat hektar di Bandar Sri Sendayan milik Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) pada harga yang nominal.

Beliau yang juga Pengerusi MAINS berkata, tokoh korporat itu kemudian akan membina sebuah kompleks Islam di atas tanah berkenaan.

"Antara komponen kompleks itu ialah masjid, dewan serbaguna, kedai, kemudahan pendidikan, pusat rawatan dan prasarana bagi menjalankan aktiviti masyarakat.

"Ia menepati hasrat kerajaan negeri yang mahu masjid menjadi pusat komuniti dan menjana ekonomi umat Islam.

"Kita jangka pembinaan kompleks ini akan dimulakan sebelum hujung tahun ini," katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian jual beli tanah dan lafaz wakaf antara MAINS dengan Abdul Rashid di sini semalam.

Pada majlis tersebut, kedua- dua belah pihak menandatangani perjanjian berkenaan sebelum Abdul Rashid melafazkan wakaf projek berkenaan dengan Mohamad bertindak menerima wakaf berkenaan.

Tahun lalu, Abdul Rashid mewakafkan pembinaan Masjid Hussain di Seremban 2 dekat sini.

Masjid yang dijangka siap dalam tempoh 14 bulan itu mampu memuatkan sehingga 3,000 orang jemaah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Waythamoorthy perlu faham tanggungjawab bersama

Posted: 25 Aug 2013 02:21 AM PDT

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorthy seharusnya memahami tentang tanggungjawab bersama yang digalas oleh setiap menteri Kabinet di negara ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tiada pihak yang boleh meletakkan kepentingan politik mereka melebihi tanggungjawab bersama itu.

Beliau turut menyifatkan tindakan yang bersandarkan kepada emosi dalam sesuatu keadaan tidak menunjukkan kepimpinan yang waras.

"Saya dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mesti ada pandangan peribadi.

"Kalau saya beremosi dalam membuat keputusan berhubung tragedi di Genting Highlands, mungkin hari ini saya hentikan semua perkhidmatan bas di kawasan itu," katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Hishammuddin yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan sebelum itu mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menerima kunjungan hormat Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Chuck Hagel. - UTUSAN ONLINE

Indeks kesejahteraan rakyat antara fokus Bajet 2014

Posted: 25 Aug 2013 01:02 AM PDT

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Indeks kesejahteraan rakyat turut menjadi fokus utama baharu dalam Bajet 2014 yang dilihat akan memberi manfaat kepada rakyat secara holistik dan menyeluruh.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, indeks itu diberikan tumpuan oleh kerajaan adalah bagi membantu rakyat untuk mengurangkan pelbagai tekanan sama ada ekonomi dan juga berkaitan isu kehidupan.

Tegas beliau, isu seperti penurunan dan pengawalan harga rumah, barang keperluan harian, keselamatan serta kesesakan jalan raya dilihat penting dalam meningkatkan indeks tersebut.

"Bajet kali ini memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk mengagihkan nikmat serta limpahan ekonomi kepada semua pihak tanpa ada terkecuali.

"Diharapkan, rakyat dapat bersama-sama memberi cadangan serta komen dalam usaha kerajaan meningkatkan indeks kesejahteraan agar bajet kali ini akan memberi manfaat kepada semua,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kongsi Raya anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti Bandar Sri Permaisuri di Masjid An-Najihin di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Najib terima kunjungan Setiausaha Pertahanan AS

Posted: 25 Aug 2013 12:47 AM PDT

NAJIB Razak bersalaman dengan Chuck Hagel ketika mengadakan pertemuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini. Hagel mengadakan lawatan tiga hari hingga Isnin ini dan lawatan itu merupakan sebahagian daripada program kunjungan beliau keempat negara di Asia Tenggara. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima kunjungan hormat Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Chuck Hagel di sini hari ini.

Hagel, diiringi Ketua Staf Mark Lippert dan Kuasa Usaha Kedutaan Amerika Syarikat, Lee McClenney meluangkan masa kira-kira 45 minit bersama Najib.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Hagel yang tiba di negara ini semalam dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia, sebagai sebahagian daripada program kunjungannya ke empat negara di Asia Tenggara. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


AS siap sedia serang Syria

Posted: 24 Aug 2013 10:53 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Enam nyaris maut ditembak

Posted: 24 Aug 2013 10:53 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Model Perodua paling murah

Posted: 24 Aug 2013 10:52 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved