Selasa, 13 Ogos 2013

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Desa Murni Batik gagah di Gong Kapas

Posted: 13 Aug 2013 12:15 AM PDT

Suhaimi Embong bersama isteri dan lima orang cahaya mata mereka.

BANGUNAN baru Desa Murni Batik tersergam megah, dari dinding kaca bangunan, mata dijamu dengan berpuluh mannequin yang dibalut dengan fabrik batik keluaran syarikat itu sendiri.

Bagi pengunjung yang berada di luar, mungkin sudah berkira-kira corak mana yang mereka inginkan.

Sementara itu, di tingkat atas yang menempatkan pakaian siap, turut kelihatan mannequin yang memakai pelbagai rekaan jubah.

Di ruang sebelah pula ialah bahagian permaidani dan langsir dengan corak-corak terbaru yang mampu menarik pelanggan yang ingin mengubah hiasan rumah mereka pada hari raya ini.

Melihat pemandangan ini dari seberang jalan, saya dan tiga orang lagi wakil media yang didatangkan dari Kuala Lumpur untuk majlis pembukaan bangunan baru Desa Murni Batik serta dua orang wakil syarikat tersebut melihat rempuhan orang ramai yang berpusu-pusu ingin masuk sebaik sahaja pintu dibuka.

Bangunan baru Desa Murni Batik cawangan Gong Kapas yang berkeluasan 43,000 kaki persegi ini merupakan cawangan keenam Desa Murni Batik milik Suhaimi Embong, 44, yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya.

Cawangan-cawangan lain juga terletak di Kuala Terengganu, iaitu di Batu 6 (dua buah), Pengadang Baru, Kuala Berang dan Kampung Pulau Rusa.

Pada bulan Oktober ini, sebuah lagi cawangan akan dibuka di Dungun yang menjual batik dan tekstil untuk rumah.

Suhaimi yang ditemui pada hari pembukaan rasmi bangunan Gong Kapas itu baru-baru ini berkata, cawangan baru ini merupakan lokasi strategik bagi Desa Murni Batik memandangkan persekitarannya yang ramai penduduk.

''Sasaran jualan Desa Murni Batik dalam tempoh setahun di Gong Kapas ini ialah sebanyak RM20 juta.

''Selain jualan utama, iaitu kain batik, turut terdapat ialah pakaian siap untuk dewasa dan kanak-kanak bagi persiapan raya, tudung, aksesori, langsir dan permaidani.

''Bagi menarik pelanggan untuk datang, kami mengadakan promosi istimewa hari pertama dengan menawarkan sebanyak 1,000 buah dulang pada harga lima sen.

"Hari kedua ialah pelapik kaki dan hari ketiga, kuali yang kedua-duanya dijual juga dengan harga lima sen,'' katanya yang juga merupakan anak kepada seorang pembatik, Embong Su yang turut memberikan nama kepada Desa Murni Batik.

Bercerita mengenai batik yang dikeluarkan oleh Desa Murni Batik yang ditubuhkan sejak tahun 1974, menurut Suhaimi, kilang batiknya menggunakan teknologi moden, iaitu teknologi daripada Itali bagi menghasilkan corak batik digital.

Mesin yang digunakan bagi menghasilkan batik digital ini mampu mengeluarkan sebanyak 200 pasang batik sehari.

Corak-corak batik seperti abstrak, floral, fauna dan sebagainya dibuat oleh lebih 30 orang pereka yang berkelulusan dalam bidang rekaan daripada universiti tempatan dan swasta.

Corak yang paling popular ialah corak klasik sementara corak abstrak dijangka popular pada hari raya. Setiap rekaan corak akan bertukar tiga atau empat bulan sekali.

Pada masa ini terdapat sebanyak 20 rekaan corak yang dicetak di atas fabrik sutera krep, sutera jacquard dan sutera satin yang diberi dengan pelbagai nama. Antaranya ialah Nabeela, Tania, Umairah, Isabela, Damiana, Vitalia, Sakura, Dyana, Tamara dan banyak lagi.

Rekaan batik yang paling mahal ialah Umairah yang dijual pada harga RM480 sepasang manakala yang paling murah ialah Baihaqi berharga RM180 sepasang.

''Dahulu semasa saya bekerja dengan ayah, pembuatan batik agak lembap semasa bulan puasa tetapi sekarang setelah mempunyai syarikat sendiri, saya mahu menjadikan bulan puasa sama sibuk dengan bulan-bulan lain,'' ujar bapa kepada lima orang anak ini.

Suhaimi yang mendapat banyak sokongan daripada isteri, Fatimah Fathiyyah Ismail, 39, yang turut membantu perniagaan batik ini, menambah, sejak mengeluarkan batik digital ini, tempahan yang diterima seluruh negara meningkat sebanyak 60 peratus dalam tempoh enam bulan berbanding sebelum itu yang hanya 15 hingga 20 peratus sahaja.

Malah batik Desa Murni kini turut dieksport ke Brunei dan Singapura. Batik juga mendapat banyak tempahan daripada pihak kerajaan dan swasta. - MERAN ABU BAKAR

Juadah raya ancam diet

Posted: 13 Aug 2013 12:15 AM PDT

Oleh NURUL SHYAZWANIE MOHAMAD

Seronok menjamu selera ketika menghadiri rumah terbuka menyebabkan berat badan yang berkurangan ketika Ramadan naik semula sepanjang Syawal. - Gambar hiasan

SEPANJANG bulan Ramadan yang baru sahaja berlalu, di samping melipat gandakan ibadah, ramai juga yang mengambil kesempatan menurunkan berat badan, sesuai dengan amalan pada bulan tersebut yang memerlukan umat Islam menahan lapar dan dahaga di siang hari.

Namun jangan terkejut, sekiranya impian itu gagal dicapai sebaliknya berat badan kembali naik ketika Syawal menjelma ekoran tidak mampu menahan nafsu sewaktu memenuhi undangan majlis-majlis rumah terbuka.

Siapa yang mampu menolak pelbagai juadah seperti lemang, ketupat dan rendang yang menyelerakan terhidang di atas meja dan hanya menunggu untuk dijamah.

Segala usaha dan pengorbanan pada bulan Ramadan seakan-akan menjadi sia-sia. Lebih teruk apabila jumlah berat badan bertambah berkali ganda melebihi jumlah berat yang hilang semasa berpuasa.

Pakar pemakanan dari Hospital KPJ Perdana Kelantan, Rose Hanizan Mat Hassan, berkata, bagi mengatasi masalah ini, orang ramai digalakkan memilih makanan mengikut piramid makanan iaitu makanan yang tinggi gula, lemak dan minyak perlu diambil dalam kuantiti yang sedikit walaupun semasa perayaan.

"Jika boleh semasa menghadiri rumah terbuka, elakkan daripada mengambil makanan berkalori tinggi seperti sate, nasi tomato dan sebagainya.

"Lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam setiap hidangan yang diambil manakala makanan yang berkarbohidrat dan berprotein pula hanya diambil dalam kuantiti yang sederhana mengikut keperluan kalori sendiri.

"Namun, tiada halangan bagi mereka yang ingin merasa hidangan kesukaan seperti soto, nasi minyak, nasi dagang dan lain-lain tetapi pastikan kuantiti hidangan yang diambil adalah sedikit dan terkawal," katanya.

Rose Hanizan memberitahu, bagi mereka yang menghadiri majlis rumah terbuka pada sebelah malam atau makan makanan yang tinggi kalori pada waktu itu pula, pastikan waktu tidur selepas makan adalah jarak di antara empat hingga ke lima jam agar proses pencernaan dapat berjalan dengan baik serta mengelakkan penambahan berat badan.

"Apa pun lebih digalakkan jika hanya mengambil snek ringan yang berkhasiat seperti biskut rendah lemak, tinggi fiber satu jam atau setengah jam sebelum tidur," katanya.

Jelas Rose Hanizan, untuk mengekalkan berat badan semasa musim perayaan ini, orang ramai harus minum air putih (air masak) dengan lebih kerap berbanding minuman manis serta makan dalam keadaan yang tenang.

"Orang ramai juga tidak digalakkan mengambil makanan dalam keadaan lapar kerana kerana boleh menyebabkan lebihan kuantiti atau saiz makanan," katanya.

Rose Hanizan turut berpesan, selain makanan bergoreng dan berminyak, makanan berlemak juga tidak digalakkan kerana ia bukan sahaja memberikan kalori yang banyak kepada badan malah akan mempercepatkan penambahan berat badan hingga menjejaskan diet semasa musim perayaan ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Keberkesanan MPB dipertikai

Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT

PAPAN paparan MPB yang dipasang di salah sebuah hentian bas di Jalan Cheras, Kuala Lumpur tidak berfungsi seperti yang diharapkan pengguna. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Pengguna bas RapidKL mahukan sistem paparan elektronik Maklumat Perkhidmatan Bas (MPB) yang diwujudkan pihak pengendali Syarikat Prasarana Negara Bhd. (Prasarana) diperbaiki supaya lebih memudahkan mereka.

Dalam tinjauan Bernama di beberapa hab dan hentian bas RapidKL di sekitar ibu negara mendapati walaupun MPB dilaksana sejak April tahun ini, namun keberkesanannya boleh dipertikaikan kerana tidak semua kawasan yang dipasang sistem itu, seperti sekadar 'melepas batok di tangga'.

Malah kalau dipasang pun, ia tidak berfungsi seperti yang diharapkan menyebabkan pengguna masih tidak mendapat manfaat daripadanya.

Di hab Titiwangsa misalnya, tidak pula dipasang MPB sedangkan ia merupakan kawasan tumpuan penting pengguna yang turut menggunakan perkhidmatan monorel dan Transit Aliran Ringan (LRT) serta menempatkan Hentian Bas Pekeliling.

Junaidah Baharudin, 22, yang tiba dari Maran, Pahang berkata sistem MPB perlu dipasang supaya dapat memberi panduan kepadanya.

"Saya datang ke Kuala Lumpur sekali-sekala. Sekiranya MPB diwujudkan di sini, saya mungkin tidak perlu lagi tertanya-tanya pukul berapa bas ke destinasi saya seterusnya akan tiba," katanya kepada Bernama.

Situasi sebaliknya berlaku di hentian bas di KLCC yang walaupun paparan MPB telah dipasang sejak beberapa bulan lepas, tetapi tidak berfungsi langsung.

Shahnizam Hair Johari, 30, yang menggunakan perkhidmatan RapidKL dari stesen LRT Bangsar ke Pantai Dalam berkata, ada masanya beliau tidak dapat bergantung kepada paparan sistem MPB kerana bas tidak selalunya tiba tepat seperti yang terpapar di MPB.

Maka sebagai alternatif, beliau beralih menggunakan tren atau teksi yang tambangnya lebih mahal.

Wong Pe Jin, 18, dari Rawang yang sering berkunjung ke Bukit Bintang berharap usaha dapat ditingkatkan supaya sistem pengangkutan awam bas lebih sistematik termasuk dari segi pelaksanaan MPB.

Para pelancong turut melahirkan rasa tidak puas hati dengan penggunaan MPB.

Nikki Kooger, 22, dari Belanda juga tidak sanggup bersesak-sesak di dalam bas yang sentiasa terlebih muatan dan terpaksa menunggu bas yang tidak kunjung tiba tanpa sesiapa dapat memberitahunya waktu ketibaan sebenar bas.

Namun menurut Pengurus Hal Ehwal Media Prasarana Azhar Ghazali, syarikat berkenaan sedang melaksanakan MPB secara berperingkat dengan 52 daripada 56 MPB telah dipasang di hab dan hentian bas pilihan.

Beliau berkata, kerja-kerja pemasangan MPB adalah agak sukar kerana turut melibatkan mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan dan memperoleh bekalan elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad.

Beliau juga berkata, bas mungkin terpaksa melakukan lencongan disebabkan kesesakan lalu lintas atau kerja-kerja membaiki jalan sehingga tidak dapat menepati masa yang telah dijadual.

Kadang-kadang Sistem Kedudukan Global (GPS) yang dipasang di bas mungkin tidak berfungsi kerana kegagalan sambungan Internet yang menyumbang kepada maklumat tidak tepat di MPB yang disambung ke GPS. - BERNAMA

Penduduk setinggan dalam dilema

Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT

Ashari Awang duduk termenung setelah sebahagian daripada rumahnya dirobohkan dalam operasi PTGWP di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/NOORADZRENE MOHD NOOR

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Sebanyak 14 keluarga setinggan berdekatan Jalan 1/48A, Bandar Baru Sentul berada dalam dilema kerana rumah yang diduduki mereka sejak lebih sepuluh tahun lalu bakal dirobohkan pihak berkuasa.

Mereka juga mendakwa notis yang dikeluarkan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) hanya memberi masa dua hari untuk mereka mengosongkan tanah milik kerajaan itu.

Wakil kumpulan penduduk terlibat, Norzambri Johari berkata, mereka menerima notis bertarikh 30 Julai lalu yang meminta rumah-rumah terlibat dikosongkan selewat-lewatnya pada 31 Julai sebelum operasi meroboh dijalankan sehari kemudian.

"Pada 1 Ogos lalu, sebanyak tujuh buah rumah sudah dirobohkan dengan ada di antaranya tidak sempat mengeluarkan barangan kerana tempoh berpindah yang terlalu singkat serta tiada orang di rumah.

"Tetapi penduduk yang ada ketika itu diminta menandatangani satu surat dan penguat kuasa memaklumkan akan datang kembali hari ini untuk meneruskan kerja-kerja meroboh," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Utusan Malaysia difahamkan operasi meroboh baki 14 buah rumah lagi di kawasan itu akan dilakukan hari ini selepas mendapat penangguhan.

Dakwa Norzambri, mereka juga tidak pernah mendapat sebarang arahan atau notis lain sebelum 31 Julai lalu dan tiada perbincangan antara pihak berkuasa dengan penduduk.

Tambahnya, surat sokongan turut dihantar kepada pejabat wakil rakyat dan UMNO Bahagian Batu baru-baru ini agar permohonan mereka dapat diberi pertimbangan yang sewajarnya.

"Namun tiada maklum balas daripada semua pihak diterima sehingga kini dan kami terpaksa mengambil sikap tunggu dan lihat sehingga rumah diroboh," katanya.

Seorang lagi penduduk, Ashari Awang, 75, berkata, mereka boleh mengosongkan tanah tersebut kerana sedar ia bukan milik mereka namun merayu agar penempatan baharu disediakan terlebih dahulu.

"Malah, kami memohon sekiranya tindakan ini boleh ditangguh sehingga ada projek yang mahu dilakukan di kawasan ini kelak," ujarnya.

Ashari yang sebahagian rumahnya sudah dirobohkan pihak berkuasa berasa sedih dan terkilan ekoran tindakan meroboh itu, yang disifatkannya dilakukan secara tergesa-gesa.

"Saya tinggal di sini sejak 1992 selepas pencen dari Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan elaun bersara hanya RM820. Saya tiada lagi rumah lain untuk tinggal dan rumah anak-anak juga tidak sebesar mana untuk tumpang," katanya.

Sementara itu, Khairil Husni, 22, berkata, penduduk turut terkejut apabila bekalan elektrik masih mengalir ketika operasi meroboh dilakukan 1 Ogos lalu.

"Bekalan elektrik masih berjalan seperti biasa tanpa diputuskan terlebih dahulu...ini amat membimbangkan semua orang kerana boleh memberi risiko terhadap keselamatan.

"Tetapi, kerja-kerja meroboh telah dilakukan, apa yang diharapkan agar kami diberikan kediaman ganti sama ada Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan sebagainya," katanya.

Dalam pada itu, usaha untuk mendapatkan maklum balas PTGWP gagal kerana pegawai berkenaan masih bercuti sempena hari raya.

Sampah di Ampang Waterfront sudah dibersihkan

Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Ketiadaan pemandu lori sampah yang bercuti ekoran sambutan Hari Raya Aidilfitri menyebabkan sampah-sampah tidak dapat dikutip selama dua hari di kawasan perniagaan Ampang Water Front, dekat sini.

Seorang pemandu lori salah sebuah syarikat kontraktor mengutip sampah, Marimuthu Krishnan, 50, berkata, pada hari ini dia terpaksa bertugas sejak pukul 2 pagi memandu lori sampah besar dan kecil secara bergilir-gilir tanpa henti untuk mengutip sampah-sampah dari pelbagai premis dan kawasan di sekitar Ampang.

"Bukan kami sengaja tidak mengutip sampah-sampah itu tetapi kebetulan kebanyakan pemandu lori yang beragama Islam bercuti untuk menyambut hari raya menyebabkan kerja-kerja mengutip menjadi tertangguh.

"Tetapi pada hari ini, hampir kesemua sampah telah kami kutip di kebanyakan kawasan di Ampang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Orang ramai terutama pemilik premis perniagaan di sekitar Ampang Water Front sebelum ini mengadu mengenai sampah-sampah yang tidak dikutip dan diangkut sejak beberapa hari lalu oleh pihak kontraktor sampah sehingga menimbulkan bau yang kurang menyenang.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Lot rumah kedai masih kosong

Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT

Oleh FARIK SALLEH
utusanjohor@utusan.com.my

Deretan rumah kedai yang masih kosong menyebabkan penduduk di Desa Sejahtera, Kota Tinggi Johor sukar mendapatkan bekalan keperluan harian.

KOTA TINGGI 12 Ogos - Sebanyak 10 lot rumah kedai yang siap dibina bersama dengan 360 unit rumah di kawasan penempatan semula mangsa banjir Desa Sejahtera dekat sini, terbiar tanpa pemilik dan menyebabkan penduduknya berasa kesal kerana tiada sebarang aktiviti perniagaan dijalankan.

Seorang penduduk, Rohani Abdul Rahman berkata, masalah tersebut memaksanya berulang-alik ke bandar untuk membeli barangan dapur dan menyukarkan urusan sehariannya sebagai suri rumah apatah lagi dia tidak mempunyai kenderaan sendiri.

Saya berharap pihak berkenaan dapat menyegerakan proses kelulusan rumah kedai agar pemilik yang berjaya dalam proses pemilihan dapat memulakan perniagaan mereka.

Sekurang-kurangnya kami tidak perlu pergi jauh untuk membeli barangan keperluan terutama barang runcit," kata ibu kepada lima anak ini ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Yati Yusof, 48, pula berkata, keluarganya dan penduduk lain terpaksa menempuh perjalanan kira-kira lima kilometer untuk ke bandar dan perkara tersebut sudah berlarutan sehingga lebih setahun.

Desa Sejahtera merupakan kawasan penempatan semula mangsa banjir tahun 2006 dan 2007 dari enam perkampungan iaitu Kampung Sungai Berangan, Kampung Tembioh, Kampung Batu 25, Kampung Makam, Kampung Kelantan dan Kampung Panti itu.

Ia mula dihuni sebaik sahaja kunci rumah itu diserahkan dan dirasmikan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman pada Julai 2012.

Pegawai Daerah Kota Tinggi, Mohd. Noorazam Osman ketika dihubungi memaklumkan bahawa proses tawaran dan pemilihan telah dijalankan pada Mei lalu dengan 50 daripada 56 pemohon hadir pada sesi temu duga.

Seramai 15 pemohon berpotensi dipilih sebelum 10 orang yang benar-benar layak akan dibenarkan berniaga di situ. Kami berharap penduduk di perumahan Desa Sejahtera bersabar kerana pemilihan terakhir akan ditentukan oleh kerajaan negeri," katanya.

Pejabat Kadi bantu pesakit di hospital

Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT

ABD. Rahman Dewam menyampaikan sumbangan kepada pesakit sambil diperhatikan Selahuddeen Abdul Aziz (dua dari kiri) dan Dzulkafli Mohamed di HPSF, Muar, Johor, baru-baru ini.

MUAR 12 Ogos - Sebanyak 500 bungkusan berserta duit raya diedarkan kepada pesakit di setiap wad dalam Majlis Penyampaian Bungkusan Hari Raya Kepada Pesakit Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Program anjuran Unit Dakwah Bil Hal, Pejabat Kadi Daerah Muar dengan kerjasama HPSF itu merupakan aktiviti tahunan yang diadakan sejak enam tahun lalu bertujuan meraikan mereka yang sakit selain menanam sikap saling membantu khususnya dalam bulan Ramadhan.

Pengarah HPSF, Dr. Selahuddeen Abdul Aziz berkata, program itu diharap dapat mengukuh hubungan silaturahim antara kakitangan dan pesakit selain untuk menerap nilai-nilai murni.

"Program kali ini kita terapkan ikatan dan jalinan murni antara kakitangan dan pesakit untuk saling membantu dan meringankan beban apabila dalam keadaan susah dan sakit," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Muar, Abd. Rahman Dewam dan Kadi Muar, Dzulkafli Mohamed.

Sementara itu, pesakit, Hairul Nizam, 36, yang berasal dari Pagoh berkata, dia pertama kali menerima sumbangan itu selepas dimasukkan ke hospital akibat penyakit kencing manis tahap satu.

"Terima kasih kepada pejabat kadi dan pihak pengurusan hospital yang mengambil berat kebajikan pesakit. Ini secara tidak langsung dapat meringankan beban atau kesakitan pesakit di hospital ini," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Menyusahkan pengguna sejak 2012

Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

BEGINILAH keadaan Jalan Jelawat di Kawasan Perindustrian Seberang Jaya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang menyusahkan pengguna sejak penghujung tahun lalu. - UTUSAN/Othman Yahaya

BUKIT MERTAJAM 12 Ogos - Sejak tujuh bulan lalu pemandu dan penunggang motosikal yang melalui Jalan Jelawat di Kawasan Perindustrian Seberang Jaya di sini terpaksa menggadai nyawa menggunakan laluan satu lorong sepanjang hampir satu kilometer.

Mereka terpaksa menggunakan jalan yang terbengkalai dan tidak disiapkan dengan sempurna berikutan kerja-kerja membaiki sistem pembentungan dan longkang yang dilakukan sejak hujung tahun lalu.

Malah, beberapa bahan binaan seperti besi dan pembetung ditinggalkan di tepi jalan itu sehingga membahayakan nyawa pengguna terutama penunggang motosikal yang melalui laluan itu terutama pada waktu malam.

Seorang pengguna jalan tersebut, Rosinah Lajid, 48, berkata, dia sering menggunakan laluan tersebut untuk menjemput suaminya yang bekerja di sebuah kilang berhampiran.

"Jalan ini pada asalnya adalah laluan dua hala dan pernah ditutup hampir dua bulan untuk kerja-kerja pembetungan, namun tidak diturap dengan baik apabila siap menyebabkan berlubang dan hanya satu lorong yang boleh dilalui.

"Saya terpaksa memandu dengan berhati-hati ketika melalui jalan ini kerana bimbang bertembung dengan kenderaan berat terutama lori kontena yang datang dari arah hadapan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, jalan itu juga agak berbahaya terutama pada waktu malam kerana gelap dan banyak bahan binaan ditinggalkan di tepi jalan.

Bagi Siti Nor Atiqah Osman, 23, beliau kesal dengan tindakan kontraktor pembinaan terlibat yang gagal menyiapkan kerja dengan sempurna sehingga mengabaikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain terutama penunggang motosikal.

"Saya hairan kenapa kerja-kerja ini tidak disambung dan mengambil masa yang terlalu lama untuk disiapkan sehingga menimbulkan kesulitan kepada pengguna. Apa yang pasti kerja-kerja pembinaan itu seperti telah ditamatkan dan tiada tanda-tanda kerja-kerja itu akan disambung semula," ujarnya.

Selain itu jelasnya, tiada papan tanda mengenai kerja-kerja pembinaan dipasang di kawasan itu sehingga mengelirukan pengguna terutama yang tidak biasa menggunakan laluan itu.

Oleh itu katanya, pihak berwajib seperti Jabatan Kerja Raya dan Majlis Perbandaran Seberang Perai perlu turun padang untuk meneliti perkara itu dan mengarahkan kontraktor terlibat menyiapkan kerja mereka.

Bau longkang: Peniaga tutup operasi

Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT

AIR parit yang tersumbat menyebabkan limpahannya masuk ke premis perniagaan di Medan Selera Lorong Kulit, Jalan Datuk Keramat, Pulau Pinang.

PULAU PINANG 12 Ogos - Sekumpulan peniaga di Medan Selera Lorong Kulit, Jalan Datuk Keramat di sini terpaksa menutup operasi mereka selain menanggung kerugian berikutan masalah longkang di situ.

Menurut seorang peniaga nasi ayam, Mariam Isa, 52, masalah longkang itu menyebabkan pelanggan kurang mengunjungi medan selera berkenaan kerana longkang tersumbat menyebabkan air bertakung di kawasan ruang niaganya.

"Kami sudah membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dua hari lepas, namun sehingga hari ini tiada sebarang tindakan diambil. Longkang tersumbat berikutan saiz saluran terlalu kecil hingga tidak dapat menampung sisa buangan.

"Bagi membolehkan kami terus mencari rezeki di sini, beberapa langkah diambil termasuk mencedok takungan air keluar bagi mengelakkan bau kurang menyenangkan demi keselesaan pelanggan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mariam yang sudah berniaga lebih enam tahun di situ, pernah beberapa kali berlaku keadaan itu namun kali ini paling teruk sehingga menjejaskan aktiviti perniaga.

"Saya minta MPPP mengambil tindakan segera. Saya takut berikutan pencemaran sebegini boleh mengundang pelbagai penyakit kerana rata-rata di sini jual makanan," katanya.

Keadaan menjadi lebih buruk buat lebih 20 peniaga di situ apabila hujan lebat kerana takungan air mengeluarkan bau busuk sehingga "melumpuhkan" perniagaan.

Sementara itu, seorang peniaga minuman yang hanya mahu dikenali sebagai Aziz berharap agar perkara demikian dapat diselesaikan segera kerana ia merupakan punca pendapatannya.

MBAS cadang bina parkir bertingkat

Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT

ALOR SETAR 12 Ogos - Masalah kekurangan tempat letak kenderaan di pusat bandar raya ini dijangka dapat diatasi apabila Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) merancang membina sebuah bangunan parkir bertingkat tidak lama lagi untuk keselesaan orang ramai.

Menurut Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad, parkir bertingkat tersebut akan memuatkan sebanyak 500 petak letak kereta dan pihaknya sudah mengenal pasti lokasi yang bersesuaian.

Pada ketika ini terdapat kira-kira 700 tempat meletak kereta di tengah-tengah bandar raya ini termasuk 400 petak di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kedah yang baru disiapkan di Kompleks MBAS Jalan Kolam Air.

MBAS menyedari keperluan orang ramai untuk berkunjung ke bandar ini bagi menyelesaikan pelbagai urusan mereka, jadi kita merancang membina parkir bertingkat ini," katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Mat Noh, pihaknya menjangka kehadiran orang ramai ke Alor Setar bertambah dengan pembukaan UTC Kedah sejak 21 Julai lalu.

MBAS akan berusaha menyelesaikan parkir di bandar raya ini termasuk menaik taraf tempat letak kereta di Kompleks MBAS bersesuaian dengan pembukaan UTC Kedah yang kini mempunyai sebanyak 400 petak," katanya.

Menyentuh tentang UTC Kedah, pihaknya berharap orang ramai dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan di bawah satu bumbung.

Katanya, sehingga kini terdapat sebanyak 22 jabatan kerajaan dan swasta beroperasi termasuk Klinik 1Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Surau resort dirobohkan selepas siasatan selesai

Posted: 13 Aug 2013 02:29 AM PDT

JOHOR BAHRU 13 Ogos - Bangunan surau sebuah resort di Sedili, Kota Tinggi yang digunakan oleh bukan Islam untuk upacara ritual keagamaan mereka baru-baru ini, mungkin dirobohkan sebaik sahaja siasatan mengenai kes itu selesai.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut berkata, keputusan mengenai nasib bangunan yang dipercayai dibina dengan kos lebih RM60,000 itu akan diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata, surau berkenaan tidak boleh dirobohkan serta-merta kerana bangunan tersebut adalah `barang kes dan kini berada di bawah pengawasan pihak polis dan Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

"Setelah siasatan pihak polis selesai, MAINJ akan mengambil alih siasatan mengikut prosedur yang ditetapkan berdasarkan Seksyen 7A Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

"Kemungkinan besar surau tersebut akan dirobohkan selepas siasatan selesai dan kita jangka mengambil masa kira-kira sebulan untuk meneliti semua perkara sebelum membuat keputusan," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kompleks Pusat Islam Iskandar Johor, di sini hari ini.

Beliau terdahulu menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama Pengerusi MAINJ yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim serta beberapa ahli yang lain di Istana Pasir Pelangi. - UTUSAN ONLINE

Perak sudah wartakan fatwa anti-Syiah - Harussani

Posted: 13 Aug 2013 02:16 AM PDT

IPOH 13 Ogos - Kerajaan Perak sudah mewartakan fatwa melarang sebarang bentuk penyebaran atau pengembangan fahaman Syiah di negeri itu kerana bertentangan dengan ajaran yang dibawa Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, fatwa tersebut yang diwartakan beberapa bulan lalu bertujuan menyekat ajaran Syiah yang dilihat semakin mengancam pemikiran dan perpaduan umat Islam di negara ini.

Sehubungan itu katanya, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) diarah supaya memantau secara dekat sebarang pergerakan atau tindakan individu serta kumpulan yang menyebarkan fahaman berkenaan.

"Ajaran Syiah berbahaya kerana memecah-belah umat Islam. Semua maklum kita di Malaysia berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Bagi (pengikut) Syiah, golongan Sunni ini kafir, halal darahnya.

"Kita tidak boleh biar sampai ajaran ini tersebar luas baru hendak bertindak. Dalam soal (fatwa) ini, kita tidak kata Syiah itu kafir, tetapi ajaran dan fahamannya itu tidak betul dan kita boleh sekat dan ambil tindakan," katanya kepada Utusan Online di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Hujan halang orang ramai saksi meteor Perseid

Posted: 12 Aug 2013 10:59 PM PDT

ORANG ramai menunggu untuk melihat pancuran meteor Perseid di ruang angkasa di hadapan Balai Cerap, Baitul Hilal Port Dickson, malam tadi. - UTUSAN/MD.SHAHJEHANM MAAMIN

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Fenomena pancuran meteor Perseid daripada buruj Perseus tidak dapat dilihat dengan jelas berikutan hujan di kawasan utara dan tengah Semenanjung awal hari ini.

Penolong Pegawai Sains Observatori Negara Langkawi, Karzaman Ahmad berkata pihaknya hampa apabila hanya berjaya merakam empat kelibat meteor Perseid selama setengah jam bermula 1 pagi ini.

"Balai Cerap Langkawi, Kedah mula melakukan cerapan jam 12.30 tengah malam hingga 6 pagi ini dan hasilnya agak kurang memberangsangkan berikutan awan hujan yang menyelubungi kawasan utara tanah air," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Karzaman berkata jangkaan awal untuk melihat dengan jelas pancuran meteor itu tersasar disebabkan hujan yang hanya berhenti jam 4 pagi.

Beliau berkata fenomena pancuran meteor Perseid ini diramalkan dapat dilihat dengan jelas pada awal tengah malam di utara tanah air ini tetapi jangkaan itu meleset disebabkan hujan.

"Mengikut maklumat awal diterima setakat malam tadi, negeri di sebelah selatan semenanjung iaitu Johor dan Negeri Sembilan dikhabarkan dapat melihat sehingga 20 lintasan meteor Perseid berikutan awan hujan tidak melanda kawasan tersebut," katanya.

Sementara itu, orang ramai di Melaka dan Kuala Selangor hampa apabila fenomena pancuran meteor Perseid tidak kelihatan berikutan hujan lebat sejak awal pagi semalam.

Jurugambar sambilan, Mohd Hasif Naqib Abd Aziz, 23, berkata beliau dan keluarganya hampa apabila tidak dapat melihat hujan meteor Perseid itu di pantai Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka malam tadi.

"Saya bersama keluarga menunggu hampir sejam dan pulang hampa kerana sudah memasang peralatan kamera untuk merakam gambar fenomena meteor Perseid yang dikatakan jarang berlaku," katanya.

Guru, Mohd Aizat Yahya, 26, berkata beliau bersama tiga rakannya pulang hampa setelah menunggu hampir tiga jam sejak 11 malam bagi melihat fenomena meteor Perseid itu di puncak Bukit Melawati, Kuala Selangor.

Sebelum ini Agensi Angkasa Negara melaporkan fenomena pancuran meteor Perseid terjadi apabila bumi melintasi laluan komet dan menyebabkan debu-debu komet ini terbakar apabila memasuki atmosfera bumi yang dikatakan dapat dilihat dengan mata kasar. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


SGEDT siap hujung tahun depan

Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

Stesen Kereta Api Sungai Gadut dekat Senawang, Negeri Sembilan adalah antara stesen yang dibina bagi Projek Landasan Kereta Api Elektrik Berkembar Seremban-Gemas - utusan/Abd. Razak Aid

SEREMBAN 12 Ogos - Projek Landasan Kereta Api Elektrik Berkembar Seremban-Gemas (SGEDT) dijangka dapat diuji pada penghujung 2014.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) berkata, keupayaan rel, kelancaran tren dan paling utama ujian isyarat atau signal terhadap aliran kereta api akan dilakukan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bersama juru perunding agar ia berfungsi dengan baik sebelum diberikan lampu hijau bagi operasi awam.

Projek SGEDT sepatutnya siap hujung tahun ini, tetapi beberapa masalah melibatkan laluan di kawasan Melaka seperti isu pengambilan tanah menyebabkan ia sedikit terlewat.

Apa pun, kita optimis projek yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit itu akan dapat disiapkan hujung 2014 dan jika tiada halangan, ia akan dapat digunakan pada 2015. Mungkin KTMB juga mempunyai jadual tersendiri yang ditetapkan," katanya di sini hari ini.

Mohamad memberitahu, beberapa stesen kereta api baharu yang menjadi laluan rel berkembar elektrik itu dalam kawasan Negeri Sembilan sudah siap sepenuhnya seperti di Rembau dan Gemas selain stesen baharu di Sungai Gadut dan hentian Senawang.

Pembinaan projek SGEDT bernilai RM3.45 bilion meliputi jarak sejauh 98.2 kilometer mula dibina oleh Indian Railway Construction (IRCON) melalui anak syarikatnya, IRCON International Ltd pada Januari 2008.

Oleh kerana kereta api ini digerakkan dengan tenaga elektrik, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah menyiapkan beberapa keperluan tenaga termasuk menempatkan stesen janakuasa mereka di lokasi tertentu sepanjang laluan kereta api ini," katanya.

Apabila siap kelak, landasan berkembar itu akan menyaksikan perkhidmatan tren berkuasa laju yang mampu membawa lebih 350 penumpang dalam satu-satu masa dengan kelajuan 140 kilometer sejam, selain menaik taraf beberapa stesen di negeri ini.

Antara stesen yang terlibat adalah Stesen Sungai Gadut (baharu), Stesen Rembau, Stesen Tampin, Stesen Batang Melaka dan Stesen Gemas.

Pembinaan stesen berkembar itu juga turut merangkumi infrastruktur asas lain di setiap stesen bagi kemudahan awam seperti lif, tandas, medan kereta, telefon awam, sistem pungutan tambang automatik, sistem hebahan maklumat, surau dan sistem kawalan keselamatan kamera litar tertutup (CCTV).

Kemudahan bagi orang kurang upaya (OKU) turut diambil kira bagi memastikan tahap kepuasan rakyat dikecapi semua.

Kerajaan optimis dengan beroperasinya SGEDT ini kelak peningkatan jumlah penduduk di negeri ini dapat dilihat di mana akan menjadi penyokong kepada pembangunan yang semakin pesat.

Orang ramai akan memilih untuk tinggal di Negeri Sembilan walaupun bekerja di Kuala Lumpur kerana kita sudah mempunyai sistem kereta api laju yang dapat menjimatkan masa perjalanan mereka," tegasnya.

10,000 meriahkan rumah terbuka bekas Ketua Menteri Melaka

Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT

Mohd. Ali Rustam bersalaman dengan sebahagian orang ramai yang hadir dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Tun Ali, Bukit Katil, Melaka, semalam.

MELAKA 12 Ogos - Lebih 10,000 pengunjung memeriahkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dianjurkan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di Dewan Tun Ali, Bukit Katil, di sini malam tadi.

Mohd. Ali berkata, kehadiran orang ramai daripada pelbagai kaum pada majlis tersebut menunjukkan bahawa sokongan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) di kawasan itu masih kuat.

"Terima kasih kepada seluruh rakyat Melaka terutama di Parlimen Bukit Katil yang masih setia menunjukkan sokongan dan datang beramai-ramai memeriahkan majlis pada hari ini.

"Dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi ini, kita (BN) akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh rakyat," katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

Majlis yang bermula pukul 8 malam itu turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim.

Selain itu, turut hadir Ketua Menteri, Datuk Idris Haron; Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Muhamad serta barisan Exco kerajaan negeri.

Jelas Mohd. Ali, majlis yang diadakan setiap tahun itu turut diharap dapat merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan rakyat serta mendekatkan mereka dengan pemimpin.

"Sokongan padu rakyat diharap dapat menguatkan lagi azam kerajaan untuk membina masa depan negeri dan negara yang lebih bahagia," ujarnya.

Pada majlis itu, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada Idris yang mendendangkan dua buah lagu yang mendapat sorakan gemuruh.

Selain itu, orang ramai turut diceriakan dengan telatah pelawak terkenal tanah air iaitu Datuk Ali Mamak dan Abon selain disajikan pelbagai hidangan enak untuk seisi keluarga.

Promosi Melaka di luar negara dipergiat

Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT

Ghazale Muhamad

JASIN 12 Ogos - Kerajaan negeri akan mempergiat usaha mempromosi sektor pelancongan di luar negara dalam usaha mengekalkan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama negara ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pantai, Sungai dan Pulau-pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad berkata, usaha tersebut di peringkat dalam negara kini sedang rancak dilaksana terutama di negeri-negeri utara Semenanjung.

Menurutnya, kerajaan negeri mahu memperluas bidang pelancongan negeri dengan memberi tumpuan kepada pelancong dari Indonesia, Arab, Afrika Selatan dan Asia Barat.

"Antara usaha yang dilakukan termasuk mengadakan promosi pelancongan melibatkan 12 subsektor ke Johannesburg, Afrika Selatan pada 1 September ini serta ke Riau dan Jakarta, Indonesia selepas itu.

"Kita juga akan ke Jeddah, Arab Saudi pada 23 hingga 27 September ini untuk menarik kedatangan pelancong Arab ke Melaka," katanya.

Beliau ditemui dalam majlis rumah terbuka anjurannya di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri Rim di sini semalam.

Jelas Ghazale, di samping memperkenal adat budaya dan produk pelancongan, pihaknya juga akan memperkenal Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron.

"Promosi pelancongan yang dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Promosi dan Pelancongan negeri dan Tourism Malaysia diharap akan terus menjadikan Melaka destinasi pelancongan dunia," ujarnya.

Sementara itu, katanya, percutian musim perayaan Aidilfitri terus menjadikan Melaka sebagai tumpuan pelancong.

"Sebanyak 4.12 juta pelancong direkodkan ke negeri ini pada suku tahun pertama Januari hingga April lalu.

"Jumlah ini dijangka terus bertambah dengan beberapa perayaan dan cuti persekolahan dari sekarang sehingga hujung tahun ini," jelasnya.

Tambah beliau, pelancong dari China masih merupakan yang tertinggi dicatat melawat negeri ini diikuti Singapura, Indonesia, Taiwan dan Jepun.

"Beberapa tarikan baharu turut dijangka membantu peningkatan jumlah pelancong termasuk Arab City, Perkampungan Hang Tuah, Extreme Park Tasik Chin Chin, Jasin dan Malaysia Eye & Theme Park di Pulau Melaka," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Abdullah nafi tulis, taja buku

Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Jawatankuasa Fatwa tentukan hukuman

Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Pengurus resort mengaku beri kebenaran guna surau untuk meditasi

Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved