SECARA kebetulan atau memang takdir yang menentukan perkenalan saya dengan wanita ini yang membahasakan dirinya sebagai Balqis (bukan nama sebenar).
Semuanya bermula di Facebook. Namun hubungan itu berterusan dan Balqis sering meluahkan masalahnya kepada saya setiap kali ada masa terluang.
Banyak perkara yang kami kongsi bersama, tentang rumah tangga, kerjaya, masa depan dan anak-anak termasuk juga kisahnya yang digantung tidak bertali selama hampir 15 tahun.
Mengenalinya, Balqis seorang wanita yang hebat, tabah dan penyabar. Hinggalah kesabarannya itu telah tidak dapat dibendung lagi sehingga Balqis akhirnya mengalah pada keadaan kerana tidak lagi larat menanggung masalah rumah tangganya.
Saya meminta izin Balqis untuk berkongsi ceritanya dengan pembaca. Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.
Ini cerita Balqis.
"Salam Ramadan untuk pembaca semua. Saya pernah berjanji untuk menulis kisah hidup saya di ruangan ini kepada Puan Normala. Alhamdulillah, kini baru hajat saya tertunai. Maaflah sebab saya terpaksa berdepan dengan kelangsungan hidup yang amat menyulitkan.
"Nama saya Balqis, berusia lewat 40-an, berkahwin 22 tahun yang lalu dengan seorang lelaki yang bernama Izat (bukan nama sebenar).
"Kami dikurniakan tiga orang anak yang baik-baik tingkah lakunya. Anak sulung masih menuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan yang kedua serta ketiga di sekolah menengah.
"Selama usia perkahwinan kami, Izat memang tidak ambil kisah, nafkah, sara hidup, tempat tinggal dan lain-lain tidak diberikan. Semuanya saya yang tanggung.
"Saya mempunyai pekerjaan tetap. Tetapi saya juga buat kerja sambilan di sebuah kedai membantu kawan. Pada hujung minggu dan ada kelapangan saya buat kuih muih untuk jualan walaupun tidak pada musim raya.
"Semuanya saya lakukan untuk menambah pendapatan kami sekeluarga. Saya perlu kerja keras untuk menyara tiga orang anak saya kerana tidak mahu anak-anak tidak mendapat pembelaan. Saya mahu mereka hidup seperti anak-anak lain yang ada ayah dan ibu.
"Suami nampak bagaimana saya bekerja setiap hari. Ke sana sini saya mencari duit tetapi dia buat tak tahu sahaja. Dia dengan dunianya dan sedikit pun tidak rasa bersalah.
"Tapi saya tidak mahu berkeras dengan suami kerana bimbang dia akan mengapa-apakan saya dan anak-anak. Faham-faham sahajalah orang yang mengambil dadah, bagaimana sikap mereka kalau bekalan tidak ada.
"Pada masa yang sama, saya bagi tahu anak-anak buruk macam mana perangai ayah mereka, sebagai anak mereka perlu hormat, kasih dan menjaganya apabila mereka telah berjaya kelak.
"Tentu ramai yang tanya kenapa saya boleh bertahan lama? Sebabnya, saya tidak mahu ada kepincangan dalam kehidupan yang membabitkan masa depan anak-anak. Saya pendam segala perasaan, suka duka sepanjang berkongsi hidup dengan Izat.
"Saya tidak pernah putus berdoa agar dia berubah. Malah air mata saya sudah kering untuk menangisi masalah rumah tangga saya.
"Dari sehari ke sehari perangai Izat dan hidup kami tetap sama. Nafkah zahir batin saya entah di mana, sakit demam saya dan anak-anak kami sendiri yang uruskan. Walaupun suami bekerja, duit gajinya entah ke mana dihabiskan.
"Apabila saya tanya kena marah, tak tanya langsung tak merasa duitnya. Kadang-kadang saya juga mengalami kesempitan tetapi mujur wang simpanan hasil menjual kuih muih dan buat kerja sambilan menjadi penyelamat.
"Wang itulah yang membantu persekolahan anak-anak, bayar tuisyen, mengaji dan duit bas. Alhamdulillah kami belum pernah kelaparan.
"Pada hari raya pula, saya tidak pernah meminta pakaian sedondon seperti orang sekarang, anak-anak tidak merungut jika saya beli pakaian yang murah sebab mereka tahu bagaimana susahnya saya mencari duit dan perangai ayah mereka. Malah langsir dan keperluan lain untuk hari raya tidak pernah berganti.
"Sehingga kini, saya merasakan mereka memahami masalah yang saya hadapi dengan ayah mereka dan kenapa saya ingin berpisah dengan ayah mereka.
"Saya tidak berniat untuk mengaibkan sesiapa tetapi ingin berkongsi kisah saya agar ia menjadi teladan kepada pasangan suami isteri yang lain betapa tanggungjawab sebagai ketua keluarga itu sangat penting bagi seorang lelaki yang bergelar suami.
"Untuk makluman, suami saya seorang yang tidak pernah solat, tidak puasa, main nombor ekor dan mencari rezeki yang meragukan. Dia juga mempunyai hubungan dengan ramai wanita dan seorang penagih.
"Seingat saya sudah 20 tahun dia menagih. Dalam tempoh itu sekali pun saya tidak pernah melihat dia menunaikan solat tarawih.
"Saya bukan mahu dia jadi manusia yang sangat sempurna, memadai seadanya. Seorang lelaki yang boleh dijadikan ketua keluarga, suami dan bapa yang penyayang. Ketika catatan ini disiarkan, kita sudah 18 hari berpuasa tetapi suami saya rasanya hanya berpuasa pada hari pertama sahaja.
"Bukan nak tuduh tetapi kalau terjumpa puntung rokok di tandas pada pukul 9 pagi, siapa lagi yang punya? Sebab hanya dia seorang sahaja lelaki dalam rumah kami.
"Kak, saya sudah puas bersabar, berdoa agar dia berubah, sehingga kini Allah masih belum kabulkan, malah keajaiban yang saya tunggu-tunggu juga belum diizinkan oleh Allah.
"Hujung tahun lalu saya menjalani pembedahan. Ketika luka masih merah, saya mencuri-curi mengesan pelbagai mesej masuk ke telefon suami. Macam-macam sehinggakan saya tidak sanggup membacanya lagi.
"Dalam kesakitan hati menjadi tawar dan terus merentap kesabaran yang selama ini saya pertahankan. Saya ajak anak-anak berbincang dan meminta pandangan mereka.
"Setelah saya terangkan kenapa saya harus berpisah dengan ayah mereka, kesemuanya setuju kerana mereka amat berharap saya akan bahagia selepas ini dan dapat menjalani hidup seperti orang lain, tanpa derita dan memendam rasa dengan perbuatan suami.
"Namun begitu, bukan mudah untuk saya buat keputusan. Ini kali kedua saya naik mahkamah dan saya berharap kali ini semuanya akan selesai. Saya tidak peduli lagi apa yang akan berlaku. Saya mahu bebas. Bebas dalam erti kata sebenar untuk terus hidup. Anak-anak adalah segala-galanya bagi saya. Merekalah dunia dan kehidupan saya. Cukuplah saya digantung tidak bertali selama 15 tahun.
"Sebagai isteri saya juga kecewa dengan apa yang kami lalui. Kenapa kami tidak boleh bahagia seperti pasangan suami isteri lain? Kenapa saya ditemukan jodoh dengan lelaki seperti Izat?
"Sebagai manusia dan isteri, saya reda dengan takdir Allah. Saya terima dengan ikhlas ujian Allah untuk saya. Saya tidak pernah kesal dengan apa yang berlaku.
"Tetapi saya sedih. Jika takdirnya perpisahan ini terjadi, saya ralat kerana tidak sekali pun saya mencium tangan suami selepas solat kerana dia tidak pernah mengimamkan saya dan anak-anak sepanjang kami hidup bersama.
"Pada Ramadan yang mulia ini, ketika orang lain menghitung hari untuk menyambut hari raya, saya membilang hari untuk ke Mahkamah Syariah menyelesaikan masalah saya demi masa depan saya dan anak-anak.
"Aidilfitri tahun ini tidak bermakna buat saya dan anak-anak. Apa pun keputusan kes saya, kami anak-beranak tidak akan menyambut hari raya, memadai dengan persiapan ala kadar.
"Kepada Allah saya pasrah. Mohon dimudahkan segala urusan kes saya dan diberi kehidupan baharu yang lebih membahagiakan saya dan anak-anak selepas ini," Balqis menamatkan ceritanya dengan sebak dan air mata yang berlinangan.
Sepanjang perbualan, saya banyak mendiamkan diri. Sebak di dada tidak dapat saya kawal dan saya biarkan Balqis bercerita kerana tidak mahu mengganggu fokusnya.
Esakan, tangisan bertali arus namun apalah daya saya untuk membantu. Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat telinga mendengar, berat lagi bahu yang memikul.
Bertemankan pengalaman dan naluri seorang wanita tentunya saya amat memahami masalah yang Balqis hadapi. Saya minta dia bersabar, jangan putus berdoa dan mohon kepada Allah agar memberi petunjuk yang terbaik kepadanya dalam menangani masalah ini.
Pada saat kedukaan ini, anak-anak mungkin teman terbaik Balqis dan mereka juga adalah kekuatan hidupnya pada masa depan.
Menamatkan catatan, pesanan ikhlas saya, "Jika sudah tidak tertanggung akan rasa gundah itu, dekatkan dirimu kepada Allah kerana hanya Dia yang mampu memberi ketenangan dan kegembiraan dalam erti kata sebenar."
Salam