Sabtu, 18 Mei 2013

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Tentera Nigeria gempur kubu kuat pemberontak, 10 militan maut

Posted: 18 May 2013 09:33 AM PDT

LAGOS 19 Mei - Seramai 10 pemberontak dibunuh dan 65 lagi ditahan dalam satu operasi besar-besaran yang dilancarkan oleh tentera Nigeria ke atas kubu kuat militan di timur laut negara ini, semalam.

Seorang jurucakap tentera Nigeria berkata, pihak tentera turut merampas sejumlah senjata termasuk pelancar grenad, pistol dan peluru dalam operasi di sekitar bandar Maiduguri.

Operasi memburu kumpulan pemberontak yang dikaitkan dengan militan Boko Haram dilancarkan selepas Presiden Goodluck Jonathan mengisytiharkan perintah darurat di negeri Borno, Yober dan Adawama pada Selasa lalu. - REUTERS

Kumpulan lelaki bersenjata culik bapa Timbalan Menteri Luar Syria

Posted: 18 May 2013 09:32 AM PDT

BEIRUT 19 Mei - Sekumpulan lelaki bersenjata dilapor menculik bapa kepada Timbalan Menteri Luar Syria selepas tentera kerajaan menahan ahli saudara kumpulan penculik tersebut.

Pengarah Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi Syria, Rami Abdel Rahman berkata, ayah Faisal Muqdad ditahan di rumahnya di kampung Ghossom, selatan wilayah Daraa, namun tarikh mangsa diculik tidak dapat dipastikan.

Mangsa dipercayai diculik sebagai membalas tindakan tentera kerajaan menahan ahli saudara kumpulan militan itu.

Rundingan untuk membebaskan ayah Faisal masih lagi dijalankan," katanya. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


40 balai bomba tambahan di Pahang

Posted: 18 May 2013 11:08 AM PDT

Oleh MOHD.FAIRUZ YUSOF
fairuz.yusof@utusan.com.my

Abdul Wahab Mat Yasin (dua dari kanan) beramah mesra dengan sebahagian wakil media sempena Hari Anggota Bomba Sedunia 2013 peringkat negeri di Kuantan, semalam. - BERNAMA

KUANTAN 18 Mei - Sebanyak 40 balai bomba tambahan akan dibina di seluruh negeri ini menjelang 2015 bagi memastikan tempoh maklum balas terhadap setiap aduan diterima dapat dipendekkan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, penambahan itu akan dibina secara berperingkat-peringkat terutama di kawasan luar bandar dan pekan kecil.

"Sebelum ini kita berdepan masalah untuk tiba di lokasi kebakaran akibat jaraknya yang jauh dari balai bomba sedia ada.

"Bagi memastikan operasi di setiap anggota bomba berjalan lancar, kita akan tempatkan pegawai terlatih untuk menyelia semua urusan dan pengendalian setiap aduan diterima," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Anggota Bomba Sedunia 2013 peringkat negeri, di sini hari ini.

Yang turut hadir, timbalannya, Nazili Mahmood.

Abdul Wahab berkata, semua balai bomba berkenaan akan dilengkapkan dengan peralatan kebombaan asas seperti pam angkut, hose, nozzle dan kenderaan volunteer fire response vehicle (VFRV), bergantung kepada peruntukan diterima.

Tambahnya, latihan berterusan akan disediakan kepada anggota bomba sukarela yang ditempatkan di balai berkenaan supaya mereka terlatih dalam memadamkan kebakaran atau kejadian tertentu yang lain.

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya berjaya menyelamatkan sejumlah RM1.7 bilion harta benda sepanjang tahun lalu, meningkat 22 peratus berbanding 2011.

"Jumlah kerugian akibat kebakaran mencatatkan penurunan lapan peratus iaitu RM26.5 juta, berbanding RM31.4 juta pada 2011.

"Sepanjang tahun lalu, kita terima 1,639 panggilan menyelamat termasuk membantu mangsa kemalangan jalan raya dan mencari mangsa lemas," katanya.

Abdul Wahab berkata, selain itu, pihaknya menerima sebanyak 135 panggilan tugas khas seperti menangkap ular, membantu pembikinan filem dan lain-lain.

Kuala Lipis bakal jadi hab pendidikan

Posted: 18 May 2013 11:08 AM PDT

Abdul Rahman

KUALA LIPIS 18 Mei - Bandar Bersejarah Kuala Lipis bakal menjadi hab pendidikan berasaskan keusahawanan dan teknologi tinggi sekiranya perancangan pembinaan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di daerah ini dapat direalisasikan.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, pada masa ini kerajaan negeri sudah pun menyediakan tapak untuk pembinaan IPT itu di Bukit Sarang, berdekatan Jalan Lipis - Merapoh.

Beliau berkata, sehubungan itu, sudah masanya daerah ini mempunyai IPT yang pasti melonjakkan kecemerlangan pendidikan anak-anak penduduk termasuk pelajar Orang Asli.

"Saya akan membawa perancangan pembinaan IPT ini kepada kerajaan agar disegerakan projek ini memandangkan keperluan pendidikan berasaskan bidang berkenaan perlu dilestarikan segera untuk memacu pembangunan di Lipis.

"Sehingga ini, Lipis sudah mempunyai sebuah Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang menerima penuntut dari seluruh negara.

''Dua pusat pendidikan itu banyak membantu melonjak pembangunan di bandar Kuala Lipis dan kawasan berdekatan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Penuntut Kolej Komuniti Lipis, di Hotel Lipis Plaza, di sini baru-baru ini.

Menurut Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Lipis, hasrat membina IPT di Lipis merupakan aku janji beliau untuk mengisi pembangunan modal insan penduduk setempat.

''Pihak kita mencadangkan bidang pengajian yang berkaitan dengan daerah ini seperti perhutanan, geologi, kejuruteraan, pelancongan dan beberapa bidang lain.

"Ini bagi melahirkan lebih ramai pakar termasuk usahawan di bidang berkenaan terdiri daripada anak-anak tempatan termasuk Orang Asli untuk bekerja di sektor kerajaan, perlombongan emas dan pembangunan usahawan berasaskan pelancongan dan pertanian," katanya.

Tambahnya, kerajaan BN diyakini akan melaksanakan projek berkenaan untuk mengubah landskap pembangunan dan kehidupan rakyat di Lipis menjelang 2020.

Menurut beliau, projek sebuah IPT sudah diuar-uarkan dua tahun lepas dan hampir direalisasikan di sini, tetapi oleh kerana beberapa masalah di samping kepentingan tertentu, projek itu dipindahkan ke tempat lain.

"Tetapi, selepas dimanahkan sebagai wakil rakyat Parlimen di sini, saya memberi jaminan akan berusaha untuk melestarikan projek berkenaan di tapak yang sudah disediakan di Bukit Sarang," katanya.

RMTN sambut Hari Tapir Sedunia

Posted: 18 May 2013 11:08 AM PDT

JERANTUT 18 Mei - Resort Mutiara Taman Negara (RMTN) melakar sejarah selepas buat pertama kali dipilih melaksanakan Sambutan Hari Tapir Sedunia di Kuala Tahan, di sini baru-baru ini.

Program itu dianjurkan bersama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Jabatan Perlindungan dan Hidupan Taman Negara (Perhilitan) dan Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Program yang dilancarkan sejak 2008 itu mendapat sambutan luar biasa selepas disertai kira-kira 300 orang terdiri daripada pelancong, kakitangan MTN, MNS, Perhilitan dan pelajar.

Pengurus Besar RMTN, Nathan Vaithi berkata, pihaknya membantu merealisasikan program itu dengan menaja penginapan sebanyak 44 pelajar sebuah sekolah menengah daerah ini termasuk tetamu daripada MNS dan UPM.

"Lebih penting kehadiran tetamu dan pelajar adalah untuk mengenali empat spesies tapir yang terdapat di sini yang merupakan habitat haiwan itu sekali gus menjadi aset tarikan pelancong.

"Sumbangan resort ini untuk membantu MNS dalam kerangka mewujudkan kesedaran mengenai pentingnya penjagaan tapir dan signifikan kepada ekosistem alam serta kehidupan manusia," katanya kepada pemberita selepas sambutan program tersebut.

Program sehari itu turut melibatkan aktiviti seperti pameran kesedaran ancaman tapir, bengkel mengenali tapir, kraf tangan, lukisan wajah, demonstrasi menyalakan api, tayangan video, forum dan konservasi tapir oleh Perhilitan.

Selain itu, pengunjung termasuk pelancong asing turut serta dalam beberapa kegiatan seperti pengembaraan hutan, pengembaraan malam dan meniti cabaran di Canopy Walkway.

Bagi Pengurus Pelancong RMTN, Sabri Abdullah, program itu akan meniup kesedaran masyarakat setempat dan pelancong mengenai pemuliharaan tapir.

Tambahnya, mereka juga dapat mengenali Taman Negara Kuala Tahan yang merupakan antara destinasi pelancongan yang kaya khazanah flora dan fauna.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


‘Retreat’ untuk serangan baru

Posted: 18 May 2013 11:08 AM PDT

Oleh NORDIN KARDI

TERMASUK pemimpin besar Barisan Nasional (BN), ada yang menggelarkan PRU 13 sebagai ibu segala peperangan. Gelaran sedemikian jika diberikan oleh pasukan yang berkuasa, walaupun tujuannya ialah untuk membakar semangat juang pahlawan-pahlawan perang mereka, dia juga memberi pengiktirafan kepada pihak lawan yang kesannya menjulang moral perang pihak musuh. Semua itu sudah berlalu, perang psikologi di lawan dengan perang psikologi, keunggulan logistik masing-masing telah diuji, taktik dan operasi telah dipertarungkan dan hasilnya, ada yang menang ada yang kalah.

Peperangan ketenteraan lambat laun akan ada kesudahannya. Dalam peperangan politik, pengakhirannya tiada, walaupun ada pihak, terutama yang menang, mungkin berani menukar sistem permainan untuk mempertahankan kekuasaan mereka. Oleh yang demikian saya berpendapat di dalam politik, kemenangan dalam sesuatu pilihan raya hanyalah suatu kemenangan dalam suatu pertempuran tetapi bukan memenangi suatu peperangan. Kemenangan suatu peperangan ialah kemenangan meletakkan suatu fahaman atau idea yang dapat menjadikan idea-idea lain menjadi kecil atau marginal. Jika konsepsi yang saya kemukakan ini dapat diterima, masing-masing yang berminat dengan hal ini boleh menilai sama ada BN yang menang dalam pilihan raya dua minggu lepas telah memenangi suatu battle atau telah memenangi suatu war? Jika jawapannya ialah BN hanya memenangi suatu pertempuran maka BN akan berhadapan dengan banyak lagi pertempuran dan masih awal untuk sesiapa menilai bahawa satu pihak telah memenangi suatu peperangan.

Pertempuran

Sama ada pertempuran konvensional atau gerila, kedua-dua pihak yang berperang akan melakukan taktik berundur atau retreat seketika selepas melalui suatu kemuncak tempur. Apabila dianalisis, antara parti-parti yang bertempur baru-baru ini, nampaknya parti-parti berideologi utama yang terdiri daripada BN, Pas, PKR dan DAP mengambil pendekatan yang berbeza-beza. BN dan Pas nampaknya mengambil pendekatan retreat berbanding dengan DAP dan terutamanya PKR terus melakukan serangan-serangan post battle seperti cerita-cerita combat yang pernah kita tonton di TV dengan harapan sebiji dua peluru akan mencederakan satu dua tentera pihak yang menang. Hal ini terpaksa dijuruterakan oleh pemimpin utama mereka atas kepentingan menjaga supaya moral perang anggota mereka tidak luluh terus dan kedudukan pemimpin akan terancam dengan kehilangan kepercayaan. Dalam kes ini, misalnya, antara tanda-tanda kemerosotan kepercayaan ialah apabila orang nombor dua salah sebuah parti utama itu sudah bersuara mempersoalkan kredibiliti ketuanya. Oleh itu, pemimpin tersebut tiada pilihan kecuali terus melakukan tembakan-tembakan post battle bagi mengalihkan atau divert pemikiran anggota daripada mempersoalkan kredibiliti kepimpinannya kepada membakar hati anggota perang dengan mengatakan mereka kalah kepada musuh yang amat zalim dan tidak mempunyai etika perang, sedangkan dia amat tahu bahawa kalah adalah kalah. Nyawanya betul-betul ditentukan oleh sama ada dia berjaya menjadikan suara orang nombor duanya itu sebagai tidak relevan. Hal sebegini amat lumrah dalam mana-mana peperangan. Walaupun idea pemimpin ini seperti ditaja oleh pihak Barat, namun etika permainannya berlainan dengan etika perang atau perlawanan Barat bahawa dia wajib turun takhta sebagai tanda tanggungjawabnya atas kekalahan dalam pertempuran yang begitu penting.

Mungkin boleh menjadi pilihan yang baik daripada banyak pilihan-pilihan yang lain untuk BN melakukan retreat, iaitu meletakkan senjata (termasuk merehatkan cyber-troopersnya) untuk sementara dan mengambil tempoh sepi perang. Cara begini ialah cara bagaimana biasa pasukan yang menang sewajarnya bertingkah laku. Jika ini dilakukan biasanya golongan tengah akan bertukar menjadi penyimpati atau peminat baharu. Penyimpati akan mula menebalkan perasaan kagum akan digniti pihak yang menang berbanding jika pihak yang menang itu masih lagi melakukan serangan-serangan post battle secara konvensional.

Menghapuskan

Jika pasukan yang menang masih mahu menghapuskan saki-baki musuh, memadai dianya dilakukan oleh pasukan gerila atau pasukan perang psikologi memenangi heart and mind anggota perang pihak musuh yang moral perang mereka telah ranap selain keletihan.

Saat sepi perang ini sewajarnya diisi oleh BN melalui dua komponen penting: komponen eksekutif atau kerajaan dan komponen parti. Komponen kerajaan seeloknya dilihat menumpu kepada semata-mata melaksanakan program yang telah ditawarkan dengan bersungguh-sungguh dan meyakinkan. Komponen kerajaan hendaklah tidak tergiur langsung untuk melayan peluru-peluruh musuh post battle supaya musuh benar-benar kelihatan tidak relevan lagi. Jika perlu, besarkan maruah pemimpin musuh seperti Rasulullah pernah membesarkan Abu Sufyan, bekas kepala perang Quraish, setelah Mekah ditawan oleh baginda. Komponen parti hendaklah retreat untuk meneliti dengan terperinci semua aspek kalah-menang pertempuran yang mempunyai kesan kepada keseluruhan peperangan.

Retreat perang BN tentu nanti membuat diagnosis melalui tanda-tanda atau symptom dan membuat prognosis bahawa apa akan terjadi jika tanda-tanda tidak dirawat dan adakah tanda-tanda itu akan hilang sendiri tanpa perlu rawatan kerana tubuh BN itu sendiri telah ada sistem pertahanan diri sendiri yang telah diuji berkali-kali sebagai tahan serangan penyakit. Perbezaan tanda-tanda dianggap hanya darjah kekuatan serangan. Semasa membuat diagnosis BN akan mencari erti-erti penting kepada tanda-tanda yang dibaca. Misalnya, apakah maksud kegagalan memperolehi majoriti dua pertiga dua kali berturut-turut? Adakah itu tanda kegagalan fungsi kerajaan dan parti, seumpama kegagalan fungsi ginjal atau fungsi jantung? Atau, dia adalah tanda kegagalan saraf pusat (central nervous system) yang bermaksud kegagalan keseluruah fahaman atau idea yang kadangkala disebut juga sebagai ideologi parti. Kegagalan sistem saraf pusat boleh mengakibatkan setiap cabang anggota seperti sihat tetapi tidak lagi dapat dikoordinasikan dan dia menghasilkan tindakan-tindakan mengelirukan dan di luar batas normal.

Diagnosis BN tentu akan juga mencari makna kepada kepada tanda-tanda berikut: tiga parti komponen BN (PBB, SPDP dan PBRS) yang memenangi seratus peratus kemenangan merupakan angka yang signifikan iaitu 19 kerusi. Jika hal itu berlaku sebaliknya BN mungkin akan masih disimpan di ICU bagi mengelak sebarang jangkitan lain kerana BN hanya tinggal dengan kelebihan dua kerusi. BN wajib mencari erti adakah kemenangan di lapangan pertempuran itu simbol kepada kelicinan fungsi anggota atau kerana idea BN masih kukuh menjadi pegangan pasukan perancang dan pasukan tempur mereka?

Selanjutnya BN akan meneliti dengan rapi fungsi tulang tunjangnya iaitu UMNO yang telah meningkat jumlah kemenangan daripada 68 peratus (79 kerusi) pada PRU12 kepada 73 peratus (88 kerusi) pada PRU 13. Jika diumpamakan parti itu sebagai badan manusia, maka tulang tunjang akan menentukan sama ada badan itu akan lumpuh terbaring atau berkerusi roda atau dia akan terus dapat berjalan dengan segak. Tentulah juga BN tidak boleh untuk tidak mengerling kepada komponen MCA yang merosot daripada 38 peratus kepada 19 peratus, GERAKAN merosot daripada 17 peratus kepada 9 peratus yang hampir menjadikan parti komponen ini menjadi sama sekali tidak relevan lagi. Legasi Chong Eu dan Dr Lim Keng Yaik melalui GERAKAN telah berakhir sama sekali di tangan penyambungnya. Demikian juga dengan kemenangan kosong peratus PPP dan kebangkitan MIC daripada 33 peratus kepada 44 peratus (masih pada pangkat gagal atau paling tinggi Gred D).

BN juga tentulah akan cuba memahami penyakit yang menyerang - apakah kuman ini kuman biasa atau kuman baru yang belum pernah ditemui atau mutasi daripada kuman yang telah lama berlegar di alam keliling. DAP adalah kuman yang telah lama ada dalam alam keliling BN. Dalam PRU 13 kuman ini menjadi aktif dan membesar dan berjaya meningkatkan kekuatan daripada 60 peratus dalam PRU12 kepada 75 peratus. Data ini amat penting ditafsir: UMNO meningkat dan DAP juga meningkat. BN hampir tidak perlu gusar apa-apa dengan PKR dan PAS kerana mereka merosot daripada 32 peratus kepada 30 peratus dan daripada 35 peratus kepada tinggal 29 peratus masing-masing. Sambil itu BN juga boleh mendapat maklumat tambahan seperti yang dikatakan oleh rakan karib saya di dalam PKR bahasa Pas ada menghantar mesej supaya penyokong mereka tidak memberi kemenangan terlalu banyak kepada PKR di Parlimen kerana mereka tidak mahu ketua PKR akan dictate semua perkara dalam PR.

Selain daripada membuat diagnosis terhadap semua fungsi anggota badan BN sewajarnya membuat retreat atau mendapat mungkin ratusan sesi untuk melihat kefungsian minda atau idea. BN wajar menyoal sama ada kefungsian minda BN masih kukuh dan relevan sepanjang zaman atau BN juga sudah dijangkiti oleh penyakit neurotik apa lagi jika ada tanda-tanda psikopatik. Jika tanda-tanda itu ditemui maka BN semestinya membuat keputusan: jika dibiarkan tidak dirawa apa akan terjadi dan jika ingin dirawat apakah jenis rawatannya dan apakah pelbagai kemungkinan hasil atau outcome daripada rawatan itu. Masa retreat tidak terlalu panjang dan tidak juga terlalu suntuk dan terdesak sehingga semuanya dilakukan secara dangkal-dangkal. Semuanya di tangan komander perang -membiarkan atau melakukan.

Sambil saya menyeru BN melakukan retreat, PAS, PKR dan DAP juga mesti melakukan retreat tetapi mereka tidak perlu melakukan apa-apa diagnosis kerana pemimpin mereka telah gagal. Pemimpin DAP, PAS, PKR mesti turun kerana mereka telah berkali gagal, bahkan telah berkali-kali gagal. Sebagai pemimpin beretika, menggunakan nilai Barat dan Timur, mereka yang gagal mesti menyerahkan kepada darah baru. DAP bukan menang, PAS tidak menang dan PKR telah kalah. Kalah adalah kalah, besar atau kecil, dan dengan itu komander mereka harus turun sebagai pemimpin beradab.

Media sosial penggalak undang-undang koboi

Posted: 18 May 2013 11:08 AM PDT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
ku_seman@icloud.com

DALAM kalangan penganalisis politik, mereka menggambarkan Pilihan Raya Umum 13 (PRU13) sebagai ibu segala pilihan raya di negara ini. Sebabnya Barisan Nasional (BN) berhadapan dengan cabaran paling sengit untuk mengatasi pembangkang; DAP, PKR dan Pas. Perubahan terhadap landskap politik sejak 2008 sebenarnya mengubah banyak perkara, bukan sahaja politik malah sosial, budaya dan tatasusila.

PRU13 dikaitkan dengan pertumbuhan media sosial yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini. Pada 2008, PRU12 hanya berperang dengan portal yang pro pembangkang dan lebih setengah juta blog. Ketika itu blog muncul sebagai satu media baharu alternatif kepada media konvensional seperti akhbar dan televisyen serta radio.

Tetapi pada PRU13, media sosial seperti Facebook, Twiter, blog serta portal berita pro pembangkang lebih agresif memainkan peranan dalam ruang kebebasan bersuara hingga melanggar sempadan peribadi pihak tertentu. Cerita palsu tentang sesuatu dijual di pasaran terbuka dan masyarakat menerimanya sebagai satu yang benar.

Keadaan menjadi paradoks. Media yang menyiarkan kebenaran dianggap sebagai pembohongan, media sosial yang menyiarkan pembohongan pula dianggap sebagai kebenaran yang selama ini disembunyikan daripada umum. Tsunami media sosial mencetuskan porak peranda kerana masyarakat kita umumnya belum bersedia untuk berdepan dengan realiti dan permainannya.

Akhirnya kita seolah-olah kembali pada zaman koboi di Old West di Amerika Syarikat (AS) tahun 1930-an dulu di mana undang-undang berada di muncung senapang. Siapa yang kuat, berani dan tidak berperikemanusiaan akan menakluki yang lebih lemah. Media sosial mengembalikan zaman undang-undang di tangan sendiri dan lihatlah bagaimana pengendali media sosial bertindak membunuh karakter tokoh tertentu dengan pembohongan yang dijaja sebagai kebenaran.

Perang media sosial pasca PRU12 dan menjelang PRU13 banyak sekali menghakiskan nilai dan tamadun yang selama ini menjadi kebanggaan kita terutama Melayu. Kebiadapan diperagakan tanpa segan silu di laman media sosial atas nama demokrasi kebebasan bersuara.

Secara idealnya media sosial membuka ruang dan kebebasan bersuara dengan lebih luas. Positifnya ruang media sosial ini menyediakan pentas untuk masyarakat berforum tentang semua perkara. Malah boleh pula disertai oleh sesiapa sahaja seperti di laman Facebook, blog dan ruangan komen di portal berita Malaysiakini dan Malaysian Insider.

Tetapi yang bahayanya ruang kebebasan bersuara ini disalahgunakan sebagai pemangkin kebiadapan dan perosak tatasusila. Kalau kita meneliti komen-komen di media sosial kita akan tahu betapa teruknya keruntuhan nilai masyarakat terutama generasi baharu semata-mata untuk meluahkan perasaan. Sebelum ini kebiadapan seperti memaki hamun tidak pernah berlaku secara terbuka di depan khalayak. Media arus perdana yang dikatakan menyembunyikan "kebenaran" tidak akan menyuburkan kebiadapan begini dalam komen-komen pembaca mereka. Adakah ini satu kesalahan?

Tetapi sempadan ini telah diceroboh oleh media sosial atas nama kebebasan bersuara. Sebenarnya hanya sebahagian sahaja pemilik akaun blog, Facebook atau Twiter yang benar-benar memanfaatkan media sosial untuk menyuburkan kebebasan bersuara yang beradab. Mereka tidak akan menyiarkan komen yang berbaur fitnah kepada pihak tertentu.

Tetapi selebihnya memberikan kebebasan mutlak kepada orang ramai untuk meluahkan perasaan tanpa mengambil kira ruang peribadi pihak yang lain. Blog-blog politik tidak kira sama ada BN atau pembangkang sebahagiannya menjadi pemangkin kebiadapan ini.

Generasi muda termasuk dalam kalangan Melayu lebih terarah kepada media sosial berbanding media arus perdana kerana menganggap itu adalah suara kerajaan. Selain media sosial, golongan ini mendapat maklumat mengenai politik daripada portal berita pro pembangkang antaranya. Semua orang tahu portal berita ini walaupun kelihatan profesional menyiarkan berita tetapi sangat condong kepada pembangkang. Maklumat politik dalam portal begini sangat berkesan untuk membina persepsi tentang politik di negara ini terutamanya kewajaran mereka menolak aliran establishment.

Politik adalah persepsi. Kejayaan menimbulkan persepsi yang buruk kepada pihak lawan dan yang baik kepada diri sendiri adalah peluang untuk meraih sokongan. Pengaruh media sosial dan portal berita pro pembangkang sangat berkesan membina persepsi.

Walaupun sebahagian daripada masyarakat menganggap media sosial bukan penyalur maklumat yang sahih tetapi kepada pembangkang bukanlah kesahihan. Yang penting boleh membina persepsi. Golongan muda adalah pelanggan media sosial dan dengan sikap anti establishment yang dibina oleh pembangkang.

Kalau dilihat pula kadar penembusan Internet jalur lebar pada tahun 2008 hanya 22 peratus dan meningkat 66.7 peratus tahun 2013. Ketika ini negara mencatatkan pengguna Internet sebanyak 22.7 juta atau 77.84 peratus daripada populasi 29.1 juta. Sementara itu 50 peratus daripada populasi pula adalah pemilik akaun Facebook dan ini meletakkan Malaysia negara ke 18 terbanyak pemilik akaun Facebook terbanyak. Daripada jumlah ini 34 peratus pemilik akaun facebook berumur antara 18 hingga 24 tahun.

Maka tidak hairanlah kalau DAP menubuhkan pasukan tentera siber yang dinamakan Red Bean Army yang terdiri daripada pengundi muda parti itu. Kumpulan tentera siber yang seramai 200 orang ini diberi gaji dan latihan secukupnya untuk menyebarkan doktrin politik DAP sejak enam tahun lalu. DAP terlebih dahulu memanfaatkan media sosial untuk tujuan memperkasakan parti dan orang Cina.

Walaupun media sosial menjadi pemangkin kebiadapan tetapi analoginya sama seperti pisau yang boleh melukakan. Pada masa yang sama boleh digunakan untuk mempertahankan diri dan memudahkan kehidupan harian. Media sosial memberikan banyak faedah sekiranya kita menyedari kesan buruknya kalau tidak digunakan dengan tujuan yang betul. Kebebasan tetap ada sempadannya dan yang berlaku dalam media sosial bukan kebebasan tetetapi pencabulan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Stubborn kekal ‘degil’ demi muzik

Posted: 18 May 2013 02:00 AM PDT

STUBBORN mula dikenali ramai selepas memperkenalkan genre irama Melayu laju dalam industri muzik indie tempatan.

MULA ditubuhkan pada tahun 2006, kumpulan ini nyata kental apabila dua ahli asalnya meneruskan perjuangan yang telah dilaksanakan sejak mereka masih di bangku sekolah lagi.

Kini, kumpulan ini dianggotai oleh empat anak muda yang masing-masing mempunyai kerjaya sendiri tetapi minat yang mendalam terhadap muzik membuatkan mereka terus bersatu.

Ahli kumpulan Stubborn terdiri daripada Anissabri Alaihi Malek, 24, (vokal/gitar), Farul Fadzri Mohammad Fuzi, 23, (gitar), Mohd. Mu'izzudin Mohd. Minhad, 22, (bass) dan Shafiq Farhan Shahidan, 23, (drum).

Menurut Anissabri Alaihi, persaingan yang wujud ketika kumpulannya mula menapak dalam industri muzik indie sememangnya tidak dapat dilupakan kerana sukar untuk mendapatkan kepercayaan daripada peminat dengan mempertaruhkan karya mereka.

Kami memutuskan untuk mencari dan memiliki ciri-ciri unik untuk membezakan Stubborn dengan kumpulan muzik underground sedia ada agar mudah dikenali oleh peminat.

Stubborn mula bergerak serius pada tahun 2009 dan mencetuskan fenomena baharu dalam industri muzik underground apabila mencipta genre yang agak unik iaitu irama Melayu laju," katanya.

Single pertama mereka bertajuk Mimpi diberi nafas menggunakan genre baharu itu terus melonjakkan nama mereka pada tahun 2010. Sehingga kini masih ramai peminat mereka yang meminta untuk mempersembahkan single itu setiap kali Stubborn muncul di atas pentas.

Secara keseluruhan, kumpulan ini membawa konsep Punk Rock (Jepun dan Amerika Syarikat) dalam kebanyakan lagu mereka dan nyata berkesan apabila peminat muzik indie tanah air menerimanya walaupun genre berkenaan masih baharu.

Irama yang kami bawakan masih fresh dan ia sangat membantu perkembangan karier kami, sekali gus menjadi identiti kami termasuk pembawaan irama Melayu laju.

Kami juga sentiasa menghasilkan lagu-lagu yang mempunyai jalan penceritaan yang dekat dengan masyarakat kita di samping menyelitkan mesej berunsurkan nasihat dan hakikat di zaman moden ini," katanya.

Baru-baru ini, Stubborn telah melancarkan single terbaru mereka yang bertajuk Heyy Kirana pada Mac lalu berserta penghasilan video klip yang dilakukan dengan kerjasama Pengarah Lemediator Production, Idham Md. Din menggunakan teknologi skrin hijau.

Single ini lebih bercirikan Pop Punk dan juga Dance yang mengisahkan seorang insan melalui satu proses yang sukar untuk menyampaikan hasrat tetapi menunggu saat yang tepat supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

Kepada anda yang masih tidak berpeluang mendengar genre unik yang dibawa oleh kumpulan ini, apa kata anda dengar sendiri dengan melayari www.facebook.com/stubbornmalaysia, www.twitter.com/wearesostubborn, www.youtube.com/stubbornmalaysia atau stubbornband@yahoo.com. - AZRIN

Ainul Aishah sibuk berniaga

Posted: 18 May 2013 02:00 AM PDT

KEKANGAN masa tidak menghalang Ainul Aishah untuk beramah mesra serta berkongsi cerita mengenai perkembangan terbaharu dengan peminat-peminatnya.

DIKENALI sebagai seorang pelakon wanita yang cukup berbakat dan mempunyai potensi besar dalam bidang lakonan, namun semenjak kebelakangan ini penampilan Ainul Aishah Azizun, 27, kini dilihat semakin berkurangan sama ada di kaca televisyen atau di layar perak.

Selain mencipta nama sebagai dramatis yang sudah membintangi pelbagai drama, pelakon berkenaan juga sudah tampil dengan beberapa buah filem seperti Nana Tanjung, Nana Tanjung 2, Otai, Skrip 7707 dan Histeria.

Jika kamu ingin tahu, Ainul kini semakin bergiat aktif dalam menguruskan perniagaan biskutnya dan selain perniagaan berkenaan, Ainul juga menolong keluarganya membuka cawangan Tutty Fruity di Bangi, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan.

Berkesempatan menemui pelakon berkenaan dalam satu majlis baru-baru ini, Ainul memberitahu buat masa ini dia sememangnya mengurangkan aktiviti seninya dan menumpukan perhatian terhadap perniagaannya yang baru beroperasi dua bulan lalu.

Mengimbau kembali penglibatannya dalam bidang seni, wanita bertubuh genit ini berkata, semuanya bermula seawal usia 13 tahun dan dia terlibat secara langsung dalam beberapa iklan komersial televisyen.

Maka tak hairanlah namanya pernah terpilih membintangi lebih 30 buah iklan antaranya Pepsi, Maxis, TM, Head & Shoulder dan banyak lagi.

Menurut Ainul, idea membuka perniagaan berasaskan biskut bermula hanya suka-suka dengan mempelajarinya di laman web YouTube dan lama-kelamaan dia tergerak hati untuk menjadikan satu cabang niaga buat dirinya.

Tanpa diduga, usahanya itu memberi pulangan yang menggalakkan apabila beberapa jenis biskut yang dijualnya mendapat sambutan luar biasa.

Kata Ainul, disebabkan perkara itu dia terpaksa menggaji seorang pembantu kerana perlu memenuhi permintaan dan tempahan daripada orang ramai.

Ainul nyata seorang yang mempunyai wawasan dan jelas memikirkan masa depannya. Ini kerana dia meletakkan pelbagai strategi untuk memasarkan biskut buatannya itu antaranya dengan cara menempatkan biskut-biskut tersebut di bazar-bazar tertentu serta kedai runcit di sekitar Bangi dan Kuala Lumpur.

Menamakan biskut-biskutnya Ainul A Cookies, Ainul juga berhasrat untuk membuka sebuah kafe tidak lama lagi bagi mengembangkan perniagaan tersebut.

Sehubungan itu, tambah pelakon drama Begitulah Cinta ini, disebabkan ingin memberi fokus terhadap dunia perniagaan membuatkan dia terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon terutamanya drama bersiri.

Mengakui berlakon memerlukan komitmen yang tinggi, membuatkan dia menjadi selektif dan tidak mensia-siakan sekiranya ada watak yang bagus serta sedikit sahaja dia akan pertimbangkan.

Terbaharu, Ainul baru selesai penggambaran filem Pilot Cafe dan mengakui menerima tawaran tersebut kerana ingin berlakon di bawah arahan Osman Ali biarpun wataknya hanya sekadar pembantu sahaja.

Bagi kamu yang ingin merasai keenakkan biskut buatan Ainul bolehlah melawati instagram miliknya, hanya taip Ainul Aishah dan boleh terus membuat tempahan di situ.

Sebagai anak seni, biar sibuk mana sekalipun, Ainul tetap mengutamakan para peminatnya. Baru-baru ini, .com berkesempatan menemukan Ainul bersama peminatnya di satu majlis pembukaan Cosway cawangan Kota Damansara, baru-baru ini. - NORLIDA ROSLAN / AZLAN HADI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Megabait

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


1M4U untuk belia Malaysia

Posted: 18 May 2013 02:00 AM PDT

http://www.facebook.com/1M4YOUTH

RAMAI sudah mengetahui tentang 1M4U, sebuah program yang diwujudkan kerajaan bagi menyemarakkan semangat kesukarelaan dalam kalangan remaja.

Mereka yang ingin mengetahui program-program terkini 1M4U boleh melayari Facebook program itu dan turut serta jika berminat.Remaja juga boleh mengajukan segala pertanyaan termasuk berkaitan kad keahlian dan menjadi ahli 1M4U.

Generasi muda adalah pemimpin masa depan negara dengan itu mereka haruslah bersedia menghadapi segala kemungkinan yang datang serta dilatih dari sekarang.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Percumakah kehidupan kita?

Posted: 18 May 2013 02:00 AM PDT

REMAJA hari ini perlu bijak dalam mencari peluang yang ada agar lebih berdaya saing dalam memajukan diri bagi mengharungi cabaran negara maju menjelang tahun 2020. - Gambar Hiasan

HAMPIR semua orang inginkan segala perkara dalam kehidupan ini secara percuma supaya tidak perlu bersusah payah untuk mendapatkan sesuatu yang dingini. Kesudahannya, apakah nilai percuma dalam kehidupan kita?

Kita telusuri sejarah kemerdekaan negara kita. Tidak mungkin kita mencapai kemerdekaan tanpa pengorbanan yang dilakukan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu sehingga ada yang mengorbankan harta benda malah nyawa mereka.

Maka itu adalah harga sebuah kemerdekaan yang perlu dibayar oleh pejuang-pejuang kemerdekaan untuk negara kita.

Sekiranya kita lihat pula kemajuan dan keamanan negara kita, percumakah kemajuan dan keamanan yang kita nikmati? Tidak mungkin kita capai kemajuan tanpa adanya pembangunan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara kita dengan sokongan padu rakyat.

Maka itu adalah harga yang perlu dibayar untuk mendapatkan kemajuan negara. Manakala keamanan pula dibentuk oleh pemimpin dan rakyat dengan saling bertoleransi antara kaum serta dengan menghormati perlembagaan dan persefahaman yang telah dibina oleh pemimpin terdahulu negara kita.

Sering kali kita terdengar segolongan rakyat menuntut agar sesetengah perkara diberikan secara percuma serta diberikan subsidi seperti pendidikan percuma.

Timbul satu persoalan, adakah salah untuk menuntut pendidikan percuma? Semestinya tidak salah namun sedar atau tidak, dalam negara kita pendidikan daripada sekolah rendah hingga ke menengah boleh dikatakan percuma (dengan bayaran minimum hanya untuk pendaftaran), diberi buku teks percuma dan perkara-perkara lain.

Malah di universiti sekali pun pendidikan adalah percuma kerana sekiranya kita berjaya bergraduasi dengan ijazah kelas pertama maka pinjaman akan ditukarkan kepada biasiswa.

Sebenarnya tidak salah untuk menyuarakan permintaan dan tuntutan kepada kerajaan tetapi pada masa yang sama adalah perlu untuk kita menghargai perkara yang sudah kita kecapi.

Sehingga bilakah kita ingin menjadi manusia yang meminta tanpa mentransformasikan diri kepada manusia yang memberi? Mungkin kita telah terlupa bahawa sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima.

Secara konklusinya, kehidupan yang kita nikmati kini bukanlah sesuatu yang percuma. Nilai kehidupan bergantung kepada bagaimana kita membina kehidupan dan menghargainya.

Yang pipih tidak akan datang melayang dan yang bulat tidak akan datang bergolek, maka kitalah yang perlu berusaha untuk mendapatkannya. Mana mungkin kita mendapat sagu tanpa memecahkan ruyungnya. Mari kita mulakan langkah untuk menjadi insan yang memberi tanpa hanya tahu meminta.

HAJA MYDIN ABDUL KUTHOOS

Universiti Sains Malaysia

Innanie Ariffin, Gadis Analogi

Posted: 18 May 2013 02:00 AM PDT

GADIS ini mempunyai senyuman yang manis. Setiap tutur katanya bukan sekadar omongan kosong tapi penuh dengan maksud yang membina. Pemilik blog Coklateyes ini bersungguh-sungguh dengan setiap apa yang dibicarakannya.

Baru menginjak usia 24 tahun pada awal bulan lalu, anak kedua daripada tiga adik-beradik ini sentiasa berfikiran positif dan berperwatakan ceria. Nur Fateen Innanie Ariffin juga gemar menghadiri majlis-majlis ilmu yang mampu memberikan pelbagai input kepadanya.

Pelajar tahun akhir di Universiti Malaya (UM) ini tidak pernah bermimpi untuk berada di tahap ini. Baginya, segala info yang dimuatkan sekadar untuk perkongsian minda bersama rakan-rakan. Ada juga sebagai pesanan dan peringatan agar yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Buat kamu yang tertanya-tanya siapa blogger yang kami pilih untuk mengisi ruangan blogger pilihan minggu ini, nah! Teruskan membaca ya.

- LAILISUHANA/NANA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Penganjur naikkan sewa RM1,000

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusan.com.my

Rosli Sulaiman (empat dari kiri) menjelaskan kepada wartawan mengenai masalah yang dihadapi oleh peniaga-peniaga di Downtown Cheras dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur kelmarin.

KUALA LUMPUR 17 Mei - Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputra Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memantau penganjur bazar larut malam Downtown Cheras, di sini yang menaikkan harga sewa tapak niaga sehingga RM1,000 sebulan.

Presidennya, Datuk Rosli Sulaiman berkata, penganjur dilihat menyalah guna surat kebenaran yang diberi oleh DBKL untuk mengutip sewa bulanan.

"Mereka (penganjur) sepatutnya mengutip sewa sebanyak RM350 sahaja daripada peniaga. Tetapi apa yang dimaklumkan, penganjur sesuka hati menaikkan sewa dan menindas peniaga.

"Bagaimana peniaga nak menjana pendapatan jika keuntungan yang diperoleh digunakan semata-mata untuk membayar sewa. Saya fikir ini sudah keterlaluan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat bersama kira-kira 50 peniaga Downtown Cheras, di sini semalam.

Dalam mesyuarat itu, peniaga meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penganjur dan berharap perkara itu diambil perhatian oleh DBKL.

Seorang peniaga, Yanti Tamin, 32 berkata, selain sewa dinaikkan sehingga RM1,000 penganjur turut meminta deposit dalam jumlah yang sama daripada peniaga.

"Kami dimaklumkan bahawa deposit sebanyak RM1,000 itu adalah wang pendaftaran. Namun ia tidak akan dipulangkan semula kepada kami, perkara itu benar-benar memberi tekanan kepada peniaga di sini.

"Malah, jika tiba bulan puasa dan hari raya, sewa tapak akan dinaikkan sehingga RM3,000," katanya yang berniaga tudung sejak tiga tahun lalu.

Sementara itu, rakannya, Khairul Johari Mohd. Dani, 32, berkata, penganjur akan menutup gerai jika lewat membayar sewa.

"Jika lewat sehari pun, tanpa budi bicara mereka akan tutup gerai kami.

"Selain itu, kami juga dipaksa menandatangani dokumen yang mengatakan persetujuan kami untuk membayar sewa sebanyak RM1,000 serta membayar sewa mengikut kadar yang mereka tetapkan pada bulan puasa dan Aidilfitri," katanya.

Dalam pada itu, Rosli berkata, pihaknya akan menghantar memorandum mengenai perkara tersebut kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dan DBKL dalam masa terdekat.

"Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan segera kerana bimbang jika dibiarkan peniaga Melayu tidak mampu untuk meneruskan perniagaan mereka di sini.

"Malah, jika dilihat kini sudah ada peniaga luar yang berniaga di sini," katanya.

DBKL akan siasat penganjur - Mhd. Amin Nordin

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

KUALA LUMPUR 17 Mei - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Pelesenan dan Pengurusan Penjaja akan membuat siasatan terhadap penganjur di Downtown Cheras yang didakwa menaikkan sewa sehingga RM1,000 sebulan.

Ketua Pengarah Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, pihak penganjur seharusnya mendapatkan surat kebenaran daripada DBKL untuk menentukan kadar sewa tapak.

"Kami akan siasat perkara ini dengan lebih lanjut dan tindakan akan diambil jika didapati penganjur melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mhd Amin Nordin berkata, tapak bazar larut malam itu akan dipindahkan ke kawasan lain memandangkan kawasan tersebut terlibat dengan sebuah projek.

"Tapak baru yang dikenal pasti tidak jauh daripada tapak asal iaitu di Bandar Permaisuri," katanya.

Tengku Adnan tumpu masalah banjir, perumahan

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

Tengku Adnan Tengku Mansor (baris depan, dua dari kiri) menerima kad perakam masa daripada Adnan Md. Ikhsan pada majlis sambutan ketibaannya bersama Dr. J. Loga Bala Mohan (tiga dari kanan) di Kementerian Wilayah Persekutuan di Menara Seri Wilayah, Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA 17 Mei - Masalah kesesakan lalu lintas, banjir kilat dan perumahan untuk golongan muda berpendapatan rendah dalam sektor perkhidmatan akan diberi perhatian serius oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau yang memulakan tugas rasminya hari ini berkata, rakyat yang tinggal di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan juga dialu-alukan mengemukakan sebarang masalah kepada pihak kementerian supaya jalan penyelesaian boleh diambil.

Menurutnya, kajian mengenai kesesakan jalan raya terutamanya pada waktu puncak di Kuala Lumpur akan terus diberi perhatian demi keselesaan rakyat yang sangat tertekan dengan masalah tersebut.

"Saya dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib akan turun untuk melihat sendiri masalah kesesakan jalan raya dan kenapa masalah banjir kilat di Kuala Lumpur berlaku.

"Saya juga akan berbincang bagi mencari kaedah bagaimana perumahan awam yang disewakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau kementerian dapat disewakan kepada anak muda yang bekerja dalam sektor perkhidmatan seperti hotel dan restoran kerana gaji mereka rendah dan tidak mampu membayar sewa rumah di Kuala Lumpur," katanya.

Tengku Adnan berkata demikian kepada pemberita selepas beliau dan timbalannya, Senator Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan hadir dalam majlis sambutan ketibaan mereka di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian Datuk Adnan Md. Ikshan.

Tengku Adnan juga akan mengambil inisiatif berjumpa dengan semua persatuan penduduk di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan dalam tempoh empat bulan pertama ini bagi mendapatkan maklumat mengenai kehendak rakyat di kawasan-kawasan terlibat.

"Kami nak tanya apa yang mereka mahu dan apa yang kami boleh buat," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya mahu menyampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kakitangan awam yang tinggal di kuarters kerajaan diberikan Elaun Bantuan Sara Hidup (Cola) pada kadar penuh berbanding separuh ketika ini.

Beliau juga akan membangkitkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa mengenai penjawat awam yang berpangkat rendah terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kuarters kerajaan di Putrajaya.

Beliau juga mahu melawat setiap tingkat di DBKL untuk bertemu dengan kakitangan di situ walaupun menyedari ada di kalangan mereka tidak menyokong kerajaan.

"Ini disebabkan oleh persepsi, tapi kita akan mendekati dan menerangkan tentang sesuatu perkara jadi mereka akan faham," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved