Utusan Online - Pahang |
- 40 balai bomba tambahan di Pahang
- Kuala Lipis bakal jadi hab pendidikan
- RMTN sambut Hari Tapir Sedunia
40 balai bomba tambahan di Pahang Posted: 18 May 2013 11:08 AM PDT Oleh MOHD.FAIRUZ YUSOF Abdul Wahab Mat Yasin (dua dari kanan) beramah mesra dengan sebahagian wakil media sempena Hari Anggota Bomba Sedunia 2013 peringkat negeri di Kuantan, semalam. - BERNAMA KUANTAN 18 Mei - Sebanyak 40 balai bomba tambahan akan dibina di seluruh negeri ini menjelang 2015 bagi memastikan tempoh maklum balas terhadap setiap aduan diterima dapat dipendekkan. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, penambahan itu akan dibina secara berperingkat-peringkat terutama di kawasan luar bandar dan pekan kecil. "Sebelum ini kita berdepan masalah untuk tiba di lokasi kebakaran akibat jaraknya yang jauh dari balai bomba sedia ada. "Bagi memastikan operasi di setiap anggota bomba berjalan lancar, kita akan tempatkan pegawai terlatih untuk menyelia semua urusan dan pengendalian setiap aduan diterima," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Anggota Bomba Sedunia 2013 peringkat negeri, di sini hari ini. Yang turut hadir, timbalannya, Nazili Mahmood. Abdul Wahab berkata, semua balai bomba berkenaan akan dilengkapkan dengan peralatan kebombaan asas seperti pam angkut, hose, nozzle dan kenderaan volunteer fire response vehicle (VFRV), bergantung kepada peruntukan diterima. Tambahnya, latihan berterusan akan disediakan kepada anggota bomba sukarela yang ditempatkan di balai berkenaan supaya mereka terlatih dalam memadamkan kebakaran atau kejadian tertentu yang lain. Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya berjaya menyelamatkan sejumlah RM1.7 bilion harta benda sepanjang tahun lalu, meningkat 22 peratus berbanding 2011. "Jumlah kerugian akibat kebakaran mencatatkan penurunan lapan peratus iaitu RM26.5 juta, berbanding RM31.4 juta pada 2011. "Sepanjang tahun lalu, kita terima 1,639 panggilan menyelamat termasuk membantu mangsa kemalangan jalan raya dan mencari mangsa lemas," katanya. Abdul Wahab berkata, selain itu, pihaknya menerima sebanyak 135 panggilan tugas khas seperti menangkap ular, membantu pembikinan filem dan lain-lain. |
Kuala Lipis bakal jadi hab pendidikan Posted: 18 May 2013 11:08 AM PDT Abdul Rahman KUALA LIPIS 18 Mei - Bandar Bersejarah Kuala Lipis bakal menjadi hab pendidikan berasaskan keusahawanan dan teknologi tinggi sekiranya perancangan pembinaan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di daerah ini dapat direalisasikan. Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, pada masa ini kerajaan negeri sudah pun menyediakan tapak untuk pembinaan IPT itu di Bukit Sarang, berdekatan Jalan Lipis - Merapoh. Beliau berkata, sehubungan itu, sudah masanya daerah ini mempunyai IPT yang pasti melonjakkan kecemerlangan pendidikan anak-anak penduduk termasuk pelajar Orang Asli. "Saya akan membawa perancangan pembinaan IPT ini kepada kerajaan agar disegerakan projek ini memandangkan keperluan pendidikan berasaskan bidang berkenaan perlu dilestarikan segera untuk memacu pembangunan di Lipis. "Sehingga ini, Lipis sudah mempunyai sebuah Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang menerima penuntut dari seluruh negara. ''Dua pusat pendidikan itu banyak membantu melonjak pembangunan di bandar Kuala Lipis dan kawasan berdekatan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Penuntut Kolej Komuniti Lipis, di Hotel Lipis Plaza, di sini baru-baru ini. Menurut Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Lipis, hasrat membina IPT di Lipis merupakan aku janji beliau untuk mengisi pembangunan modal insan penduduk setempat. ''Pihak kita mencadangkan bidang pengajian yang berkaitan dengan daerah ini seperti perhutanan, geologi, kejuruteraan, pelancongan dan beberapa bidang lain. "Ini bagi melahirkan lebih ramai pakar termasuk usahawan di bidang berkenaan terdiri daripada anak-anak tempatan termasuk Orang Asli untuk bekerja di sektor kerajaan, perlombongan emas dan pembangunan usahawan berasaskan pelancongan dan pertanian," katanya. Tambahnya, kerajaan BN diyakini akan melaksanakan projek berkenaan untuk mengubah landskap pembangunan dan kehidupan rakyat di Lipis menjelang 2020. Menurut beliau, projek sebuah IPT sudah diuar-uarkan dua tahun lepas dan hampir direalisasikan di sini, tetapi oleh kerana beberapa masalah di samping kepentingan tertentu, projek itu dipindahkan ke tempat lain. "Tetapi, selepas dimanahkan sebagai wakil rakyat Parlimen di sini, saya memberi jaminan akan berusaha untuk melestarikan projek berkenaan di tapak yang sudah disediakan di Bukit Sarang," katanya. |
RMTN sambut Hari Tapir Sedunia Posted: 18 May 2013 11:08 AM PDT JERANTUT 18 Mei - Resort Mutiara Taman Negara (RMTN) melakar sejarah selepas buat pertama kali dipilih melaksanakan Sambutan Hari Tapir Sedunia di Kuala Tahan, di sini baru-baru ini. Program itu dianjurkan bersama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Jabatan Perlindungan dan Hidupan Taman Negara (Perhilitan) dan Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM). Program yang dilancarkan sejak 2008 itu mendapat sambutan luar biasa selepas disertai kira-kira 300 orang terdiri daripada pelancong, kakitangan MTN, MNS, Perhilitan dan pelajar. Pengurus Besar RMTN, Nathan Vaithi berkata, pihaknya membantu merealisasikan program itu dengan menaja penginapan sebanyak 44 pelajar sebuah sekolah menengah daerah ini termasuk tetamu daripada MNS dan UPM. "Lebih penting kehadiran tetamu dan pelajar adalah untuk mengenali empat spesies tapir yang terdapat di sini yang merupakan habitat haiwan itu sekali gus menjadi aset tarikan pelancong. "Sumbangan resort ini untuk membantu MNS dalam kerangka mewujudkan kesedaran mengenai pentingnya penjagaan tapir dan signifikan kepada ekosistem alam serta kehidupan manusia," katanya kepada pemberita selepas sambutan program tersebut. Program sehari itu turut melibatkan aktiviti seperti pameran kesedaran ancaman tapir, bengkel mengenali tapir, kraf tangan, lukisan wajah, demonstrasi menyalakan api, tayangan video, forum dan konservasi tapir oleh Perhilitan. Selain itu, pengunjung termasuk pelancong asing turut serta dalam beberapa kegiatan seperti pengembaraan hutan, pengembaraan malam dan meniti cabaran di Canopy Walkway. Bagi Pengurus Pelancong RMTN, Sabri Abdullah, program itu akan meniup kesedaran masyarakat setempat dan pelancong mengenai pemuliharaan tapir. Tambahnya, mereka juga dapat mengenali Taman Negara Kuala Tahan yang merupakan antara destinasi pelancongan yang kaya khazanah flora dan fauna. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan