Bisik-Bisik MingguanBisik-Bisik Mingguan
Oleh Awang Selamat
SEKS bebas dan agenda
Sehingga semalam, tidak silap Awang, tiada pendirian rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap isu penganjuran program promosi seks bebas atau apa yang dipanggil sebagai Seksualiti Merdeka.
Pemimpin utamanya, Anwar Ibrahim yang juga ketua pembangkang, berdiam. Begitu juga dengan Wan Azizah Wan Ismail, Azmin Ali dan Nurul Izzah. Isu-isu lain mereka lantang dan cepat respons tetapi berbeza kali ini. Apakah mereka menyokong program itu atau menentang, adalah tidak pasti.
Ini mencetuskan tanda tanya ramai. Lebih-lebih lagi Anwar pernah dua kali dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan liwat. Beliau turut dikaitkan dengan isu rakaman video seks bersama wanita dipercayai pelacur asing.
Seandainya PKR tidak mengambil pendirian, ia juga sesuatu yang pasti menjadi perhatian analisis. Kita tunggu.
Rakyat daripada pelbagai kaum, badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin semua agama telah menyatakan bantahan kepada penganjuran program promosi seks bebas, Seksualiti Merdeka.
Majlis Peguam dan bekas pengerusinya, S. Ambiga (perancang perhimpunan haram 9 Julai) menjadi tumpuan kemarahan ramai kerana mereka adalah di antara penganjur program itu.
Gelombang bantahan itu akhirnya memaksa penganjur menghentikan acara awam berkaitan program tersebut. Bagaimanapun penganjur tetap mempertahankan tindakan mereka untuk memperjuangkan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Pada Awang, ia adalah isyarat bahawa agenda pihak berkenaan masih terus menyala. Ia perlu diwaspadai oleh pihak berkuasa betapa gerakan mereka tetap menjadi ancaman. Ia bukan sekadar isu hak asasi manusia malah lebih daripada itu untuk menggugat agama, perlembagaan, budaya murni dan institusi kekeluargaan.
Sepatutnya tindakan pendakwaan mengikut perundangan yang sesuai sudah boleh dikenakan ke atas mana-mana pihak. Adalah tidak memadai sekadar polis mengharamkan program itu.
Apa pun, Awang mengucapkan tahniah kepada semua kerana bangkit bersatu menentang percubaan untuk menghalalkan gejala LGBT di negara ini.
Jika tiada penentangan seperti itu, nescaya gejala seks luar tabii yang sudah pun menular meluas secara gelap, akan dihalal dan dibudayakan.
Maka akan muncullah banyak perarakan homoseksual di negara ini sebagaimana berlaku di Barat. Awang tak rela melihat semua itu.
Kepada pemimpin tertentu Pas seperti Hadi Awang, Nik Aziz Nik Mat, Mohamed Sabu dan ketiga-tiga Naib Presidennya, isu program seks bebas adalah satu lagi pengajaran.
Penganjur program itu mendapat rangsangan untuk melakukan apa sahaja selepas menerima sokongan padu Pas ketika menganjurkan perhimpunan haram 9 Julai.
Sehingga kini, belum ada pendirian rasmi daripada Pas berhubung program promosi seks bebas. Yang ada cuma reaksi secara individu pemimpin tertentu. Dalam dua lagi isu yang mencabar kepentingan Islam iaitu pemeriksaan JAIS terhadap gereja dan Himpunan Anti Murtad, Pas senyap kerana memilih untuk menjaga kepentingan DAP.
Itulah akibat kalau beberapa pemimpin Pas bertuankan DAP, Ambiga dan seorang pemimpin yang mengamalkan budaya songsang.
Belum pernah dalam sejarah Pas tunduk kepada percaturan pihak lain. Awang melihat, selagi Pas dikuasai oleh puak Anwarinas, selagi itulah parti tersebut boleh dicucuk hidung oleh musuh Islam.
Bagaimanapun Awang percaya ketika ramai orang Islam kecewa dengan kepimpinan Pas, harapan mereka masih bersandar kepada kelompok yang rasional di dalam parti itu.
Antaranya Dr. Hasan Ali, Nasrudin Hassan Tantawi dan Nik Abduh. Begitu juga kepada Mustafa Ali, Harun Din, Harun Taib, Nasharudin Mat Isa dan Azizan Razak yang boleh diharap. Mereka serta sebahagian lagi ahli dan penyokong masih meletakkan kepentingan Islam mengatasi muslihat politik dan agenda peribadi. Semoga Allah terus memberikan mereka kekuatan. Insyallah.
Lagi provokasi DAP
Tidak habis-habis institusi penting negara menjadi sasaran DAP. Kali ini, parti tersebut bertekad untuk mengurangkan saiz kakitangan awam kepada separuh berbanding sekarang, jika dapat memerintah negara.
Itulah yang dicanangkan oleh Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua pada satu seminar di Johor baru-baru ini. Menurut laporan akhbar Cina, satu projek khas akan dilaksanakan bagi tujuan tersebut.
Antara lain Pua menyatakan pembangkang tidak akan mengambil ramai graduan universiti menyertai sektor awam. Selain itu, jika mahu membuat pengambilan, hanya memilih yang berkualiti dan menggalakkan kakitangan sudah tua berhenti kerja.
Pertanyaan Awang apakah ia bermakna peluang graduan untuk berkhidmat dalam sektor awam semakin mengecil, apakah kakitangan awam yang ada sekarang rata-ratanya tidak berkualiti dan berdaya saing; dan apakah tiada masa depan bagi kakitangan awam yang agak lanjut usia?
Awang melihat kenyataan tersebut sebagai satu lagi provokasi DAP yang tersirat agenda tertentu.
Biarlah seluruh kakitangan awam terutama yang masih menyokong pakatan pembangkang renungkan pemikiran dan muslihat DAP terhadap perkhidmatan awam.
Bayangkan nanti nasib kakitangan awam di negara ini jika pakatan pembangkang memerintah?
Sektor tersebut yang merupakan nadi penting pembangunan negara dan sentiasa dihargai selama ini, akan dikoyak-koyak oleh DAP. Selama ini pun, parti itu tidak prihatin kepada perkhidmatan awam, asyik ditohmah dan diperlekehkan.
Aneh mengapa sektor perkhidmatan awam menjadi sasaran semata-mata, apakah kerana majoritinya orang Melayu? Sepatutnya DAP yang mendakwa memperjuangkan keadilan untuk semua kaum turut sama membela nasib kakitangan awam. Imbuhan yang dinikmati kakitangan awam masih rendah jika dibandingkan dengan sektor swasta dan persendirian yang dikuasai oleh majikan Cina. Sektor itu yang mengaut keuntungan besar hanya terbatas untuk satu kaum sahaja meskipun banyak syarikat memperoleh bisnes dan kontrak daripada kerajaan.
Kenapa, majikan sektor swasta dan persendirian tidak disentuh? Sepatutnya Pua melaksanakan kempen memujuk majikan Cina mengambil lebih ramai orang Melayu dan India menyertai sektor swasta termasuk di peringkat pengurusan kanan dan pertengahan. Janganlah guna strategi hadkan pengambilan berdasarkan kebolehan berbahasa Mandarin.
Lalu Awang tertarik dengan cabaran Ahli Parlimen Johor Bahru, Shahrir Samad agar kerajaan pakatan pembangkang melaksanakan terlebih dahulu rancangan pemberhentian kakitangan awam di negeri-negeri yang mereka kuasai. Sediakah cabaran itu disahut? Shahrir juga melihat kenyataan itu bukanlah bersifat penyelesaian daripada persoalan ekonomi tetapi hanya mahu menaikkan sentimen rasis di kalangan rakyat. Awang setuju.
Sudah banyak kali Awang menulis bahawa DAP adalah parti paling rasis. Tak perlu membuang masa berhujah panjang lebar. Itulah realitinya.
Thompson dan bahasa
Sekali lagi Pengerusi Subsidiari-Subsidiari ExxonMobil di Malaysia, Hugh W. Thompson mencuri perhatian dengan kesungguhannya menggunakan Bahasa Kebangsaan.
Pada majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil ke-25, baru-baru ini, beliau memilih untuk berucap dalam bahasa kita.
Walaupun dibenarkan untuk menggunakan bahasa Inggeris atas sifatnya sebagai ekspatriat, Thompson tetap dengan pilihan beliau.
Penampilannya berbahasa Melayu di khalayak ramai, bukan kali pertama. Pada peraduan musim lepas, Thompson menambat hati hadirin dengan berucap sebahagiannya dalam Bahasa Kebangsaan.
Kali ini, komitmennya lebih tinggi. Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menyaksikan Thompson berucap sepenuhnya dalam Bahasa Kebangsaan.
Walaupun disampaikan perlahan-lahan, beliau dapat menyempurnakan ucapan, yang diselitkan pantun, dengan baik. Para hadirin termasuk Muhyiddin memberikan tepukan gemuruh kepadanya.
Awang angkat topi kepada beliau kerana bersungguh-sungguh menterjemahkan rasa hormatnya terhadap Bahasa Kebangsaan menerusi ucapan. Merangkak-rangkak dan pelat sekalipun, digagahkan jua.
Apa yang Awang saksikan malam itu meredakan seketika keresahan terhadap kecenderungan banyak pihak yang kian mengabaikan Bahasa Kebangsaan.
Full content generated by Get Full RSS.